PERANAN GURU DALAM MEWUJUDKAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA Dalam arus pemodenan kini, para guru di sekolah khususnya para guru di sekolah rendah berdepan dengan kepelbagaian murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosiobudaya, komunikasi, keluarga dan tahap ekonomi yang berbeza. Menurut Mansor Mohd noor (2005) hal ini terjadi kerana faktor ibu bapa yang berimigrasi dari sebuah ke sebuah kawasan lain dalam mencari keselesaan kehidupan. Oleh itu, para guru di sekolah seharusnya mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar sekaligus dapat membina sebuah negara bangsa dalam persekitaran bilik darjah yang berbeza sosiobudaya. Antara peranan guru dalam mewujudkan bilik darjah mesra budaya ialah,Seorang guru seharusnya
bersikap
professional
dengan
mempunyai
sifat
keterbukaan
dalam
melaksanakan aktivti pengajaran dan pembelajaran (pnp) agar peluang untuk murid berinteraksi sesama mereka akan lebih terbuka luas. Sebagai contoh, menurut Mohd milson,(2009) guru seharusnya mengelompokkan murid mengikut latar sosiobudaya yang berbeza ketika menjalankan aktiviti pnp yang menggunakan kaedah kumpulan kecil.Hal ini juga sekiranya dilihat dalam aspek pembinaan negara bangsa, ianya secara langsung akan mewujudkan sebuah bangsa yang lebih selesa untuk bergaul sesama sendiri walaupun terdiri daripada agama,ras dan etnik yang berbeza.Oleh itu jelaslah, guru seharusnya bersikap professional dan mempunyai sikap keterbukaan agar pnp dan negara bangsa yang lebih baik akan terwujud. Tambahan lagi, guru juga seharusnya menggunakan laras bahasa yang sesuai agar pola komunikasi yang terhasil di dalam bilik darjah akan lebih berkesan. Hal ini selaras dengan pendapat pertubuhan pendidikan pelbagai kaum (2007) yang menyatakan guru seharusnya menggunakan bahasa rasmi yang tidak bercampur dengan dialek negeri ketika mengajar agar murid-murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosiobudaya dapat memahami isi kandungan pelajaran pada hari tersebut. Hal ini juga akan membawa impak yang lebih besar dari sudut aspek pembinaan negara bangsa iaitu para murid akan lebih memahami dan belajar dengan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul dalam kehidupan harian mereka. Selain itu, dalam mewujudkan bilik darjah mesra budaya, guru juga seharusnya pandai dalam mengubah suai reka bentuk bilik darjah mengikut kesesuaian latar belakang sosiobudaya para murid yang berbeza. Sebagai contoh, guru boleh mengubah kedudukan murid yang rabun dan murid yang ketinggian lebih pendek berbanding rakan lain ke tempat duduk yang lebih hadapan di dalam kelas. Melalui cara ini, secara tidak langsung sikap menghormati antara satu sama lain dapat dipupuk ke dalam diri murid-murid. Dalam sudut
pembinaan negara bangsa juga, perkara ini walapun dilihat sebagai perkara yang kecil, namun secara tidak langsung ia akan menanamkan sifat menghargai orang lain yang mempunyai ras yang berbeza berbanding diri sendiri. Selaian itu, guru-guru juga boleh mewujudkan beberapa sudut sejarah,sudut patriotik dan sudut elektronik yang memuatkan maklumat yang mampu menarik minat murid untuk menambah ilmu pengetahuan seterusnya memberi kesedaran kepada murid-murid akan pentingnya semangat perpaduan antara kaum dari pelbagai latar belakang etnik dan sosiobudaya. Hal ini secara tidak langsung akan mewujudkan sebuah suasana bilik darjah yang mesra budaya. Dari sudut pembinaan negara bangsa juga, ianya dilihat akan mewujudkan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat yang berilmu pengetahuan terhadap agama,etnik dan sosiobudaya di sesebuah negara itu seterusnya dapat mewujudkan sebuah kehidupan aman dan makmur. Di samping itu, guru juga seharusnya prihatin dan peka terhadap situasi sekeliling kelas. Sebagai contoh, guru boleh membina sebuah rancangan mengajar yang tidak menyentuh kepada kepercayaan dan agama yang diamalkan murid-murid. Ini bermaksud setiap akiviti pnp yang dijalankan seharusnya tidak menyentuh kepada isu-isu sensitif yang boleh membawa kepada pergaduhan antara kaum. Perkara ini secara tidak langsung akan memberi contoh kepada murid-murid agar tidak menyentuh kepada kepercayaan dan agama yang diamalkan rakan-rakan dan sekiranya dilihat dari sudut aspek pembinaan negara bangsa ianya akan mewujudkan masyarakat yang tidak ekstrem dalam mengamalkan agama. Seterusnya, dalam membina budaya bilik darjah yang mesra budaya, seorang guru itu perlulah membina hubungan yang erat diantara murid-murid dan guru itu sendiri. Melalui cara ini, secara tidak langsung ianya akan menimbulkan minat dalam diri murid-murid terhadap mata pelajaran yang diajarkan guru tersebut seterusnya meningkatkan kesungguhan murid untuk belajar. Perkara ini jika dilihat dalam sudut aspek pembinaan negara bangsa juga, ianya secara tidak langsung akan menjadikan kerjaya seorang guru itu sebagai sebuah agen sosialisasi yang mengajarkan kepada murid-murid untuk menjalin hubungan yang erat bukan sahaja terhadap guru itu sendiri tetapi turut menjalin hubungan yang erat terhadap rakan-rakan sekelas dan masyarakat setempat. Hal ini kerana menurut Bandura di dalam buku murid dan alam belajar (2015 ) sosioemosi dan tingkah laku murid diperolehi melalui peniruan.Oleh itu jelaslah,melalui bimbingan dan membina hubungan yang erat antara murid-murid dan guru, pembinan budaya bilik darjah mesra budaya dan pembinaan negara bangsa dapat dibentuk.
Tambahan lagi, budaya bilik darjah mesra budaya akan berjaya dibentuk sekiranya guru menerapkan 5 elemen rukun negara sebagai elemen merentas pengajaran secara tidak langsung. Sebagai contoh, elemen-elemen yang terdapat di dalam rukun negara semuanya menjurus diri bangsa Malaysia kearah perpaduan. Oleh itu,guru-guru boleh menyatakan nilai-nilai perpaduan ini secara tidak langsung di dalam pnp untuk mengajar murid-murid bersatu dalam kepelbagaian sosiobudaya. Perkara ini juga jika dilihat dalam aspek pembinaan negara bangsa, ianya akan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang mendokong kuat akan ideologi kebangsaan iaitu ideologi rukun negara dalam menjalinkan hubungan yang erat dalam kepelbagaian sosiobudaya. Sebagai kesimpulannya, peranan guru dalam mewujudkan bilik darjah mesra budaya seterusnya meningkatkan pencapaian murid di samping menjayakan hasrat negara dalam membina sebuah negara bangsa adalah amat penting. Guru seharusnya sentiasa bersedia dari sudut fizikal mahupun emosi dalam segala perubahan demi mencapai tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran setanding negara maju seterusnya mampu membina negara bangsa.
RUJUKAN
Mohd milson. (2009). Kaedah Kumpulan Kecil dalam Pengajaran dan
Pembelajaran
Sejarah.International Islamic University. Mansor Mohd (2005). Transformasi Perhubungan Etnik Di Malaysia. Journal Analisa Politik Vol.2 No.9 Januari- Jun 2005. Noriati A.Rashid,Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad.(2015). Murid Dan Alam Belajar. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn
Bhd.
Pertubuhan pendidikan pelbagai kaum(2007). Memorandum mengembalikan bahasa ibunda dalam pendidikan di sekolah. Sharifah Alawiyah Alsagoof (1990). Ilmu pendidikan Psikologi. Kuala Lumpur: Heinemann Education Book (ASIA) Ltd.