PENGENALAN
Seni Dalam Pendidikan (SDP) iaitu seni visual, seni muzik dan seni pergerakan. Seni Dalam Pendidikan merupakan komponen yang penting kerana dapat membantu meningkatkan kreativiti dan ekspresi kendiri seseorang pelajar, meningkatkan perkembangan insan dan minda secara holistik. Demi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, saya telah mengintegrasikan seni visual, seni muzik dan seni pergerakan ke dalam tajuk mata pelajaran yang akan saya ajarkan.
Seni dalam pendidikan meletakkan Teori Kecerdasan Manusia (1983) oleh Howard Gardner sebagai asas pemupukan minda murid untuk mencapai kecemerlangan (Abdullah, 1993). Teori ini jelas menyokong seni yang mengambil peranan penting dalam kurikulum yang ada. Oleh itu, guru perlu menggalakkan murid untuk mengenal dan menggunakan kelebihan yang ada pada diri mereka. Selain itu, guru juga perlu merancang aktiviti pembelajaran yang pelbagai dan bersepadu untuk memenuhi keperluan murid yang mempunyai gaya belajar yang berbeza, keinginan mencuba idea serta pendekatan dan teknik yang baru seiring dengan persekitaran yang memberikan inspirasi.
Konstruktivisme ialah perspektif psikologi dan falsafah yang menyatakan individu membentuk atau mengkonstruk tentang apa yang dipelajari dan difahami oleh mereka (Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya & Fawaziah Yahya, 2005). Ia menekankan tentang kepentingan interaksi sosial individu dalam pemerolehan kemahiran dan pengetahuan. Konstruktivisme merupakan teori pembelajaran deskriptif iaitu cara seseorang belajar dan bukan teori pembelajaran preskriptif iaitu cara yang sepatutnya seseorang individu belajar. Ia juga menegakkan fahaman bahawa pembelajaran merupakan proses membina makna daripada pengalaman yang dilalui. Pengintegrasian seni visual dalam Bahasa Malaysia merupakan salah satu pengajaran konstruktivis yang mempunyai ciri-ciri seperti pengajaran pemusatan pelajar, pengalaman pembelajaran aktif, lebih kepada interaksi pelajar-pelajar dan guru-pelajar, lebih bekerja dengan bahan konkrit dan penyelesaian masalah realistik (Shuell 1996).
Dalam sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran saya, strategi yang saya laksanakan ialah strategi pemusatan murid dan strategi pemusatan bahan pelajaran. Peranan murid dan peranan bahan bantu mengajar diutamakan dalam proses pengajaran saya. Saya telah menggunakan teknik penyoalanan, tunjuk cara dan memberi bimbingan kepada murid supaya komunikasi dua hala dapat diwujudkan dan objektif pembelajaran murid dapat diutamakan. Dari segi bahan bantu mengajar pula, saya telah bergantung kepada Powerpoint, bahan konkrit dan muzik untuk mencapai objektif pembelajaran. Hal ini disebabkan ia dapat mewujudkan pengajaran yang menarik dan berkesan. Selain itu, murid juga dapat dilatih dalam kemahiran, kefahaman dan berdikari.
Seni Dalam Pendidikan akan menjadikan mata pelajaran yang dipelajari oleh murid di sekolah menjadi lebih seronok. Selain itu ia membantu guru untuk memahami diri sendiri. Ia juga membantu perkembangan intelek terutamanya dari aspek menyelesaikan masalah, memotivasikan guru untuk menjadi lebih kreatif, inovatif, peka, berpersonaliti yang seimbang, berketrampilan dan professional. Seni Dalam Pendidikan juga membantu perkembangan insan secara seimbang dan menyeluruh
1.0 TUGASAN 1
TUGASAN 2
2.1 PERSEMBAHAN
Nama : Ahmad Syahmi Bin Ahmad Sudir
Kelas : 2 Pendidikan Khas
Mata Pelajaran : Bahasa Malaysia Tahun Dua Pendidikan Khas
Bilangan Murid : 6
Tarikh : 6 April 2016 (Rabu)
Masa : 60 minit
Tema : Warna
Tajuk : Perkataan KV+KV
Standard Kandungan
2.1: Asas membaca dengan sebutan yang betul.
Standard Pembelajaran
2.1.3: Mengeja suku kata tertutup dengan
sebutan yang betul.
Pengetahuan Sedia Ada
Murid pernah belajar menyebut suku kata terbuka.
Murid boleh menyatakan suku kata KV+KV yang utama
Objektif Pembelajaran
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat:
Mengeja sekurang-kurangnya 2 daripada 4 suku kata dengan sebutan yang betul.
Nilai Murni
Kasih sayang, Kerjasama
Kemahiran Bernilai Tambah
Kemahiran Berfikir: Menghubungkait
Kecerdasan Pelbagai: Verbal-linguistik, interpersonal,
Muzik, visual-ruang, kinestetik
Elemen Merentas Kurikulum
Kreatif
Sistem Bahasa
Tatabahasa : Kosa kata –datuk, adik
Bahan Bantu Mengajar
Komputer, Powerpoint, kotak Kiub Huruf Berpusing, keratan gambar, muzik, kacang merah, kacang hijau, biji sagu,, muzik "Ikan Kekek".
Langkah-langkah
Set induksi
Guru meminta murid menyebutkan 4 suku kata yang mereka tahu.
Aktiviti 1:
Guru menunjukkan gambar berdasarkan kotak dan murid mencari suku kata dengan memusingkan kotak tersebut.
Apabila murid telah berjaya mencari suku kata kv+kv , murid dikehendaki mengambil satu aktiviti berdasarkan gambar.
Murid dikehendaki membaca aktiviti tersebut.
Seni pergerakan
Murid menyanyi sambil bergerak mengikut video yang ditayangkan
Murid menggerakkan kotak untuk mencari suku kata KVKV
Seni visual:
Murid menggunakan pelbagai kacang untuk menulis KVKV
Seni muzik:
Murid menyanyikan lagu
Penghuraian Berkaitan Pengintegrasian Aktiviti Seni yang Dipilih
Teori Kecerdasan Manusia (1983) oleh Howard Gardner mengesyorkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tujuh jenis kecerdasan yang seharusnya disuburkan di kalangan murid melalui pengenalan pelbagai mata pelajaran di sekolah. Howard Gardne, (1983) menyatakan bahawa jika hanya satu sahaja pendekatan digunakan di dalam pengajaran, murid tertentu sahaja akan mendapat bahan yang disampaikan. Ini disebabkan murid mempunyai kebolehan menaakul dan menanggap dalam keadaan yang berbeza. Pendekatan yang berintegrasi terhadap pelbagai jenis kecerdasan memudahkan penerimaan pemikiran murid kepada yang lebih kreatif. Demi menjana kecerdasan minda murid dengan lebih menyeluruh, saya telah mengintegrasikan aktiviti seni visual, aktiviti seni muzik dan aktiviti seni pergerakan ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya.
Dengan mengintegrasikan tajuk dengan seni muzik dan seni pergerakan. Tujuan melaksanakan aktiviti ini adalah untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan murid. Irama lagu yang akan saya gunakan ialah lagu "Ikan Kekek". Demi mengaitkan ilmu yang diajar pada hari ini, saya telah mengubah lirik lagunya. Saya telah menerapkan perkataan-perkataan yang diajar ke dalam lirik lagu tersebut. Sebelum murid belajar cara menyanyikan lagu ini, murid diminta untuk membaca lirik lagu tersebut. Kemudian, saya membimbing murid untuk menyanyi dan melakukan pergerakannya dengan mengikut video tersebut. Aktiviti ini bukan sahaja dapat memberi kecekapan psikomotor di kalangan murid, ianya juga dapat mengelakkan kebosanan pengajaran dan pembelajaran ini.
Strategi yang saya aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini ialah strategi pengajaran berpusatkan pelajar. Dalam pelaksanaannya, murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini seperti aktiviti mencari suku kata KV+KV berdasarkan gambar, sesi soal jawab, aktiviti membaca pantun, aktiviti menyanyi dan menari.
TUGASAN 3
(Refleksi)
Alhamdullilah bersyukur kepada hadrat ilahi kerana dengan izin dan inayahnya saya telah dapat menyiapkan tugasan yang diberikan tepat pada masanya. Di dalam menyiapkan tugasan yang diberikan ini pelbagai perkara, input dan ilmu baru telah saya perolehi. Namun begitu dalam proses menyiapkan tugasan ini juga pelbagai masalah dan halangan yang telah terpaksa hadapi. Namun dengan berkat ketekunan dan kesabaran akhirnya saya dapat menyiapkan tugasan in dengan jayanya dengan berbincang bersama ahli kumpulan dan menemui pensyarah sebagai tempat rujukan.tugasan yang diberikan ini banyak memberikan makna dan ilmu yang berharga dalam diri saya untuk menjadi seorang guru pendidikan khas yang cemerlang dimasa hadapan.
Hal ini kerana diawal tugasan lagi saya telah mengalami pelbagai cabaran dan rintangan seperti terpaksa mencari buku yang sesuai mengenai cara membuat rancangan pengajaran dan mencari buku seni seperti cara- cara untuk membentuk huruf menggunakan bahan seperti kacang hijau, kacang merah, biji sagu dan sebagainya. Namun dengan usaha yang dilakukan saya berjaya menemui nota dan langkah- langkah untuk menghasilkannya. Selain itu dari segi pengurusan masa pula saya telah mengalami kesuntukan masa dimana pada masa yang sama saya perlu menyiapkan empat tugasan yang lain. Namun dengan jadual yang telah dibuat oleh saya akhirnya saya telah dapat menyiapkan dengan baik walaupun banyak pengorbanan dari segi masa dan kewangan yang banyak dihabiskan. Namun tanggungjawab sebagi seorang pelajar telah dipikul oleh saya dengan menerimanya sebagai satu cabaran yang positif kepada diri sendiri. Hal ini kerana selagi bergelar sebagai seorang pelajar tidak dapat tidak lari daripada tugasan. Kalau tidak pecahkan ruyung manakan dapat isi sagunya, berakit- rakit kehulu, berenang- renang ke muara, bersakit- sakit dahulu, bersenang- senang kemudian.
Dengan adanya tugasan sebegini pada semester ini, ia dapat menambahkan pengetahuan yang baharu dan berguna kepada saya. Selain ianya menjadikan saya lebih mahir dalam membuat pengajaran dan menyesuaikannya dengan kaedah- kaedah pengajaran yang sepatutnya serta bahan bantu mengajar yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, dengan adanya pengetahuan yang berguna ini, akan saya gunakan apabila menjadi seorang guru kelak, samada semasa praktikum nanti mahupun semasa menjadi seorang guru nanti.
Akhir kata dengan selesainya tugasan yang telah diberikan ini, saya telah dapat menguasai dan memahami isi pelajaran yang cuba disampaikan oleh pensyarah penilai iaitu Cik Siti Fatimah Binti Salleh dan Puan Nor Laini Che Mat, walaupun interaksi kami didalam kelas adalah terhad. Dengan adanya tugasan seni didalam pendidikan dimana kombinasi tiga elemen iaitu seni muzi, seni lukis dan seni gerakan saya yakin dan percaya ianya akan memberikan kesan yang positif kepada bakal guru untuk mendidik anak bangsa dengan cara yang menarik dan berkesan.
Dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Pendidikan Khas Tahun 2, saya telah mengintegrasikan Seni Dalam Pendidikan bagi tajuk "Warna". Objektif pembelajarannya ialah murid dapat mengeja sekurang-kurangnya 2 daripada empat suku kata dengan sebutan yang betul pada akhir pengajaran dan pembelajaran.
Antara Kebaikan aktiviti ini ialah ia dapat merangsangkan perasaan ingin tahu para murid. Murid akan berasa hairan terhadap suku kata yang mereka pelajari. Kebaikan kedua ialah ia dapat memupuk nilai kerjasama dalam kalangan murid. Namun begitu, aktiviti ini juga mempunyai kelemahannya. Kelemahan pertama, aktiviti ini tidak dapat melibatkan semua murid. Hal ini disebabkan bilangan keratan gambar dan suku kata tidak sebanyak dengan bilangan murid. Kumpulan murid yang tidak mendapat keratan gambar tersebut akan berasa bahawa mereka diketepikan dalam aktiviti ini. Untuk menambahbaikkan aktiviti ini, saya perlu memastikan bilangan keratan gambar adalah cukup untuk semua murid. Saya juga harus memastikan semua murid mendapat bilangan keratan gambar yang sama agar keadilan terhadap semua murid dipeliharakan.
Pada langkah 1 dan 2, saya telah menggunakan kaedah oral aural untuk membimbing murid menyebut suku kata tertutup, membaca, mengeja dan membaca pantun yang diberikan setiap perkataan dalam gambar tersebut. realistik dan secara berulang kali. Kaedah ini membolehkan murid untuk mudah mengingat dan menyebut dengan tepat. Tambahan pula, kaedah ini juga dapat dijadikan sebagai asas pembelajaran bacaan dan tulisan. Terdapat kelemahan di mana murid semestinya tidak mampu untuk membacakan pantun dengan baik, maka gurulah yang perlu membacakan pantun tersebut dan murid hanya mendengar sahaja.
Dalam tajuk ini, pengintegrasikan aktiviti seni visual ialah saya membimbing murid untuk membuat perkataan suku kata menggunakan aktiviti gam dan meletakkan kacang-kacang yang disediakan di atas polisterin pinggan. Murid boleh mencantikkan lagi huruf KVKV mereka mengikut kreativiti masing-masing dengan menggunakan bahan yang disediakan seperti biji sagu, kacang merah, kacang hijau. Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman dan pengekalan ingatan tajuk ini dalam minda pelajar, bahkan ia juga dapat mengingatkan murid tentang pengetahuan mereka mengenai kacang-kacang tersebut. Namun, kemungkinan sesetengah murid tidak suka aktivti ini disebabkan kadar kekuatan dan kemahiran mereka dalam seni visual tidak tinggi dan penggunaan gam yang diberikan pula adalah keras menyebabkan murid tidak dapat melakukan aktiviti ini dengan baik. Dengan menggantikan gam tersebut kepada gam batang maka murid lebih mudah untuk melakukan aktiviti tersebut. Seterusnya, aspek yang perlu diberikan perhatian ialah semasa murid sedang menulis perkataan di atas polisterin pastikan murid menulis dengan huruf yang kecil setiap perkataan KVKV.
Pada penutup pula, saya telah mengintegrasikan aktiviti seni muzik dan seni pergerakan dengan membimbing murid untuk menyanyikan lagu "Ikan Kekek" sambil membuat gaya pergerakannya. Demi mengaitkan lagu dengan isi tajuk ini, saya telah mengubah lirik lagunya. Oleh itu, saya akan meminta murid membaca lirik lagu tersebut sebelum menyanyikannya. Selepas itu, murid dikehendaki menggerakkan anggota badannya mengikut video tersebut. Kebaikan aktiviti ini ialah ia memberi kecekapan psikomotor dalam kalangan murid. Aktiviti ini juga boleh menimbulkan minat pelajar terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru kerana murid berasa seronok (Ayob, 1993). Fitrah kanak-kanak yang cenderung kepada pembelajaran lebih menarik. Aktiviti ini boleh menimbulkan minat bagi pelajar yang mempunyai jenis kecerdasan muzik. Ia juga dapat mencetuskan hubungan mesra antara guru dengan murid dan murid dengan murid. Terdapat penambahbaikkan yang perlu diletakkan di dalam video ini dimana aspek perkataan nama orang adalah merupakan kata nama khas, ini bermakna ianya perlu diubah pada huruf hadapan dalam perkataan itu dengan huruf yang besar seperti "Ahmad".
4.0 RUJUKAN
Abdullah, J. B. (1993). Pendidikan Muzik Semasa. Selangor: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Ayob, S. (1993). Panduan Asas Teori Muzik. Kuala Lumpur: SMC Services (M) Sdn, Bhd.
Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya & Fawaziah Yahya. (2005). Aplikasi Kognitif Dalam Pendidikan . Kuala Lumpur: PTS Professional.
5.0 LAMPIRAN
10