REFLEKSI SENI DALAM PENDIDIKAN
Seni dalam pendidikan merupakan salah satu daripada elektif yang saya perlu
ambil bagi semester tujuh ini. Seni dalam pendidikan atau singkatannya SDP
menekankan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting.
Elemen-elemen tersebut ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni
muzik. Elemen-elemen ini akan menjadikan sesuatu pembelajaran menyeronokkan
yang akan membuatkan murid-murid mempunyai minat yang tinggi untuk
menuntut ilmu. Sepanjang penghasilan tugasan ini, pelbagai ilmu baru telah
saya perolehi. Antaranya, pembelajaran yang berkesan bukan hanya
bersandarkan kepada kurikulum semata-mata, bahkan perlu mempunyai elemen
seni agar penerimaan ilmu dikalangan murid menjadi lebih jitu dan mampan.
SDP pada kali ini telah menambah ilmu pengetahuan saya di dalam bidang
seni. Sebagai contoh, saya telah memahami bahawa dalam seni visual ianya
lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan
ruang dalam sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi
seseorang terhadap muzik yang didengari. Warna merupakan elemen yang
penting dalam kehidupan. Tanpa warna kehidupan akan menjadi tidak bermakna.
Semestinya, kehidupan akan menjadi bosan dan tidak menarik. Warna juga
turut digunakan dalam seni dalam pendidikan iaitu dalam komponen Pendidikan
Seni Visual. Warna memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan
sesebuah kebudayaan, emosi. dan maksud dalam karya seni visual.
Selain itu, saya turut mengetahui bahawa irama merupakan elemen yang
terdapat dalam seni muzik. Irama dapat dinyatakan sebagai rentak yang
berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita
mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi
seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam kehidupan
kita seharian, kita semestinya akan menemui pelbagai irama. Sebagai contoh
bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di sinki dan
sebagainya. Semua ini merupakan irama yang wujud disekeliling kita tanpa
kita sedari dan kebanyakan ianya berlaku setiap masa.. Dalam pendidikan
seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan corak yang berulang dan
susunan sekata yang mewujudkan pergerakan.
Kanak-kanak akan mula memahami sesuatu kemahiran yang berbentuk irama
sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke
kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat
meransang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang
dilakukan. Tanpa kehadiran muzik, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu
menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran
irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat
kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktviti dengan lebih seronok dan
bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktviti
seperti melompat sambil mengikut irama muzik.
Irama yang diaplikasikan dalam pengajaran akan menjadikan murid banyak
melakukan pergerakan dan secara tidak langsung, elemen yang ketiga
dipenuhi. Elemen-elemen seni dalam pengajaran ini menjadi satu hubung kait
yang kukuh dalam menjadikan pengajaran lebih efektif dan kreatif. Kanak-
kanak akan menjadi lebih terdorong untuk memahami sesuatu perkara secara
seronok. Kesimpulannya, saya sebagai seorang guru perlu mengambil langkah
dalam memanipulasikan elemen seni dalam pengajaran supaya pengajaran mereka
akan menjadi lebih berkesan.
Walaupun dalam subjek selain pendidikan seni, aktviti pendidikan seni ini
boleh wujud secara pengintegrasian dan boleh berfungsi sebagai satu cabang
komunikasi dan kemahiran pelbagai yang dapat membantu murid-murid saya
dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku. Kebolehan saya
sebagai seorang guru dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran
menggunakan kaedah yang betul ini akan dapat memenuhi keperluan murid-murid
berdasarkan teori-teori yang saya pelajari sepanjang program PPG ini.
Semasa merancang rancangan pengajaran bagi subjek Dunia Sains & Teknologi
ini, saya menggunakan teori konstruktivisme 5 Fasa Needham dan
mengintegrasikan SDP semasa fasa penstrukturan semula idea dan fasa
penggunaan idea. Saya telah merancang agar pengintegrasian ini terjalin
dengan lancar dan dapat membantu murid-murid Tahun 2A saya agar lebih
memahami isi pelajaran selain berasa seronok sepanjang kelas dijalankan.
SDP yang dirancang dalam pengajaran kali ini diharapkan dapat membantu saya
sebagai guru dalam mengaktifkan proses pembelajaran dan perpindahan
pembelajaran kepada murid-murid saya. Saya merancang rancangan ini supaya
saya dapat mencapai objektif dan matlamat pada akhir pelajaran DST iaitu
murid dapat menyatakan cara haiwan bergerak, menjelaskan kepentingan
bergerak kepada haiwan dan melakukan simulasi pergerakan haiwan.
Sewaktu melaksanakan rancangan pengajaran dan pembelajaran, SDP yang
diintegrasikan membantu saya untuk mempelbagaikan teknik dan strategi
pengajaran dan pembelajaran saya. Seni perlu diberi peranan yang penting
dalam kurikulum kerana manusia memperolehi pengetahuan melalui pelbagai
kecergasan dan juga melalui perbagai teknik pengajaran. Oleh itu, sebagai
guru, saya hendaklah menggunakan pelbagai teknik dan strategi serta
kelebihan diri untuk menggalakkan murid mencapai objektif kendiri dalam
melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid mendapat
banyak faedah sewaktu saya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
sekiranya saya menerapkan SDP dalam proses pengajaran. Antaranya ialah
murid-murid mendapat pengalaman yang menarik dan SDP yang diterapkan dapat
memberi keyakinan kepada murid-murid. Ini dapat diperhatikan semasa murid-
murid menyanyi sambil membuat gerakan. Murid-murid telah dapat menonjolkan
diri masing-masing dan tidak mempunyai perasaan malu untuk belajar kerana
merasakan seronok semasa melakukan aktiviti di dalam kelas.
Walaubagaimanapun, saya sebenarnya mempunyai kekangan masa pengajaran
subjek DST ini kerana jadual waktu saya ialah saya mengajar DST selama tiga
puluh minit sahaja pada hari Khamis dan hari Jumaat. Jadi bagi memenuhi
tugasan ini, saya telah pecahkan fasa pengajaran yang saya rancang selama
enam puluh minit untuk diajar pada kedua-dua hari berkenaan. Hanya ini
sajalah cara yang saya dapat lakukan agar tugasan saya dan juga
tanggungjawab saya terhadap pengajaran dan pembelajaran murid-murid saya di
sekolah berjalan dengan lancar. Akan tetapi, kekangan ini hanyalah halangan
yang kecil dan saya berjaya atasinya kerana saya mempunyai ketegasan dan
kegigihan yang baik agar semua yang dirancang berjaya dilakukan dan
ternyata hasilnya murid-murid saya berasa seronok pada kedua-dua hari
berkenaan kerana saya telah menerapkan elemen SDP dan secara keseluruhannya
kesemua murid saya dapat memahami tajuk yang dipelajari dan hanya beberapa
orang murid sahaja yang perlu bimbingan dan aktiviti pengukuhan. Tugasan
ini secara tidak langsung telah membuka mata dan minda saya bahawa seni
pada hari ini bukan hanya menjurus kepada hiburan sahaja, malahan mampu
untuk menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih hidup dan
menarik.