GC6483: PEMBIAYAAN KEWANGAN PENDIDIKAN
TAJUK TUGASAN : KELEBIHAN DAN KELEMAHAN PEMBIAYAAN KEWANGAN PENDIDIKAN TINGGI MENERUSI PTPTN DAN MODEL ALTERNATIF
NAMA
: ALI BIN ABDU
NO. MATRIKS
: GP 03929
PROGRAM
: SARJANA PENDIDIKAN (PENTADBIRAN PENDIDIKAN)
SEMESTER
:1
SESI PENGAJIAN
: 2015 / 2016
PENSYARAH
: DR. MOHAMED YUSOFF BIN MOHD NOH : DR. AZLIN NORHAINI BINTI MANSOR
1.0
PENGENALAN
Bagi membentuk negara maju berpendapatan tinggi, Malaysia amat memerlukan modal insan yang berpengetahuan tinggi, inovatif dan kreatif. Pendidikan pula memainkan perana penting dan merupakan pendokong utama kepada pembangunan modal insan seperti yang diharapkan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluaskan akses dan ekuiti
dalam pendidikan bagi memastikan setiap individu mempunyai peluang pendidikan yang sama dan adil bermula di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pasca menengah dan institut pengajian tinggi. Menjelang tahun 2020, dianggarkan 50 peratus kohort 17 – 23 tahun menyertai pendidikan tertiari dan 33 peratus daripada tenaga kerja mempunyai kelayakan tertiari terutamanya yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi.
Dewasa ini, kemasukan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah sangat kompetitif. Ia bergantung kepada keupayaan akademik dan penglibatan kokurikulum pelajar di peringkat pasca menengah. Sistem berasaskan prinsip meritokrasi ini memberi layanan yang sama kepada setiap pelajar tanpa mengira jurang pendapatan, wilayah, perbezaan etnik dan keupayaan fizikal. Namun demikian, laluan ke IPTA adalah terhad bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) turut berkembang pesat bagi menampung keperluan ini. Dalam masa yang sama, pembiayaan yang tinggi di peringkat pengajian tinggi dikatakan salah satu faktor yang mengekang pelajar melanjutkan pelajaran.
Bagi mengatasi kekangan ini, pembiayaan secara lestari diperlukan seiring dengan peningkatan enrolmen pelajar. Penelitian semula kaedah pembiayaan pelajar di IPT, penambahan saiz dana dan pembiayaan dari pelbagai sumber serta pemberian insentif kepada sektor swasta yang terlibat diperlukan dalam program pembiayaan. Pembiayaan pendidikan merupakan langkah signifikan bagi mewujudkan peluang yang lebih baik kepada pelajar (Idris Jusoh 2013). Pelbagai bentuk pembiayaan yang telah disediakan kepada pelajar seperti biasiswa, pinjaman dan bantuan lain.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan peneraju pembiayaan demi memastikan generasi muda yang berpendidikan, berketrampilan serta berdaya saing untuk memimpin negara. Inisiatif PTPTN dalam menyediakan pembiayaan 1
berterusan adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan. Tanggungjawab responsif ini dituntut demi merealisasikan negara yang cemerlang melalui pendidikan yang berterusan (Zunaidah 2013). Dalam menyediakan pembiayaan untuk pengajian tinggi, PTPTN berdepan dengan pelbagai cabaran. Antaranya, ialah cabaran menangani isu yang berkaitan dengan peruntukan dana pinjaman pendidikan yang begitu besar dan sentiasa meningkat, kutipan bayaran balik yang rendah dan bebanan subsidi kerajaan.
Pembiayaan pendidikan pengajian tinggi juga melibatkan pemberian biasiswa kepada pelajar. Biasiswa ini melibatkan berkanun dan tidak berkanun seperti Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Bantuan Kewangan Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Program Pendidikan Khas (PPK) KPTM dan Yayasan Negeri. Pemberian biasiswa turut melibatkan badan-badan korporat dan swasta seperti Petronas, Shell dan sebagainya. Pada kebiasaannya, bidang-bidang pengajian yang ditawarkan adalah mengikut keperluan organisasi tersebut (Shahril 2005). Tujuan utamanya adalah melahirkan sumber manusia yang berkemahiran dan mempunyai kepakaran dalam bidang yang dicaburi dengan harapan mereka dapat memberi sumbangan kepada organisasi. Justeru itu, pembiayaan pengajian tinggi merupakan satu bentuk pelaburan jangka masa panjang bagi membentuk negara maju pada masa akan datang.
2.0
PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN)
Penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan tidak ada pelajar yang tercicir daripada mendapat pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang disebabkan oleh masalah kewangan. PTPTN adalah sebuah agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Perbadanan ini telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. PTPTN mula beroperasi pada 1 November 1997 di Bangunan Wisma Chase Perdana, Off Jalan Semantan, Damansara Heights, Kuala Lumpur.
Perbadanan ini bertanggungjawab untuk membantu pelajar yang memasuki IPT dengan menyediakan dana pendidikan dalam bentuk pinjaman dan bantuan kewangan yang lain. Berdasarkan Pelan Strategik PTPTN 2011 – 2015, perbadanan ini telah menyediakan satu skim pinjaman yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Pendidikan (SPP) dan bantuan 2
kewangan dalam bentuk wang pendahuluan yang dipanggil Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP). Di samping itu, perbadanan ini bertanggungjawab untuk menyediakan dan menguruskan skim simpanan bagi maksud pendidikan tinggi iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SPPN). Dengan adanya skim ini, ibu bapa dapat membuat perancangan awal dari aspek kewangan bagi tujuan pendidikan anak-anak mereka pada masa hadapan.
Dalam usaha memastikan kelestarian pengajian tinggi, PTPTN memainkan peranan penting dalam mendokong hasrat negara terutamanya dalam menguruskan pembiayaan untuk tujuan pendidikan tinggi dan seterusnya memungut bayaran balik pinjaman. Dalam tempoh RMKe-9, kerajaan telah meluluskan peruntukan dana pinjaman sebanyak RM19.83 bilion kepada PTPTN. Daripada jumlah ini, sebanyak RM2.2 bilion telah diagihkan kepada para pelajar dan baki sebanyak RM17.63 bilion akan dikeluarkan secara berperingkat. Keperluan dana pinjaman bagi RMKe-10 dan RMKe-11 adalah sebanyak RM38.85 bilion dan RM71.40 bilion masing-masing (Pelan Strategik PT 2007). PTPTN menyediakan skim simpanan dan mengurus desposit untuk tujuan pendidikan tinggi. Perbadanan ini turut melaksanakan apaapa jua tugas yang diberikan kepadanya oleh mana-mana undang-undang bertulis. Pendek kata, PTPTN sentiasa memastikan melaksanakan fungsinya seiring dengan matlamat penubuhannya.
2.1
KELEBIHAN PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi nadi utama kepada para pelajar terutamanya golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. PTPTN dalam usahanya untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk melanjutkan pengajian atas dasar masalah kewangan (Shamsul Anuar 2013). PTPTN melaksanakan pemberian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) bagi membolehkan pelajar pelajar membuat persediaan awal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Politeknik sekali gus meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa. Sehingga 31 Oktober 2013, sebanyak 679,762 waran WPP telah ditunaikan berjumlah RM1 bilion melibatkan pelajar di seluruh negara. Hal ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi. Justeru, isu kewangan sebagai kekangan utama keterbatasan pengajian pelajar di Malaysia dapat diatasi.
3
Selain itu, PTPTN membiayai pendidikan pengajian tinggi berdasarkan syariah dengan Ujrah atau upah 1% setahun atas kadar rata telah dilaksanakan kepada peminjam sedia ada mulai 1 Ogos 2009. Pelaksanaan Ujrah ini di bawah seliaan dan pemantauan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM). IBFIM terlibat sepenuhnya untuk memastikan produk simpanan PTPTN iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN- i) yang dilancarkan pada tahun 2005 adalah patuh syariah. Kepatuhan syariah dalam pembiayaan ini amat penting bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti riba dan judi. Justeru, pembiayaan pendidikan ini boleh dinikmati oleh pelajar yang berlainan latar belakang.
PTPTN juga mampu mendorong pelajar untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Pengecualian bayaran balik pembiayaan diberikan kepada pelajar pengajian tinggi yang memperoleh ijazah kelas pertama. Sehingga 31 Oktober 2013, seramai 19,731 penerima biaya melibatkan pembiayaan berjumlah RM544.79 juta telah menikmati pengecualian bayaran balik pembiayaan PTPTN (Utusan Malaysia 2013). Hal ini memberi motivasi kepada pelajar untuk melipatgandakan usaha bagi merebut peluang seumpama ini. Ia juga berupaya membentuk graduan yang berkualiti.
Melalui pinjaman PTPTN, ia turut melibatkan komponen sara hidup. Di peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), hanya 30% sahaja daripada jumlah pinjaman digunakan untuk bayaran yuran pengajian manakala baki 70% digunakan untuk sara hidup. Berbanding dengan pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta, 70% digunakan untuk bayaran yuran pengajian dan 30% pula digunakan untuk sara hidup. Melalui pendekatan ini, pelajar dapat menikmati sumber utama untuk membiayai sara hidup mereka sepanjang tempoh pengajian.
Bukan itu sahaja, faedah pinjaman PTPTN mendapat subsidi daripada kerajaan iaitu 4% - 5%. Kesannya, pelajar tidak perlu membayar faedah pinjaman yang tinggi sebaliknya hanya perlu membayar upah pengurusan iaitu 1% daripada jumlah pinjaman. Berdasarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi, kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM 3.36 bilion bagi keperluan dana pinjaman pengajian tinggi sebanyak RM 19.83 bilion dalam RMKe – 9. Subsidi sebanyak RM 38.85 bilion pula diberikan dalam RMKe – 10 berdasarkan keperluan dana pinjaman pengajian tinggi iaitu RM 38.85 bilion.
4
PTPTN juga mempunyai model pembiayaan pendidikan yang berdaya maju dalam mengurangkan bebanan kepada kerajaan dari segi subsidi pinjaman yang sangat tinggi. Sehubungan itu, PTPTN telah mewujudkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai satu instrumen untuk membantu ibu bapa mengurangkan kesulitan kewangan apabila anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke IPT. Namun demikian, syarat wajib simpanan RM500 bagi keluarga yang berpendapatan bulanan yang kurang dari RM2,000 dan bagi keluarga yang berpendapatan melebihi RM2,000, simpanan RM3,000 diperlukan sebelum anak mereka layak memohon pinjaman PTPTN. Tujuannya adalah untuk membentuk generasi yang sentiasa membuat simpanan bagi jaminan masa depan tanpa perlu terlalu bergantung kepada pinjaman yang diberikan.
Sememangnya tidak dapat dinafikan pembiayaan pendidikan melalui PTPTN mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi malah memberi manfaat kepada negara. Pembiayaan pendidikan ini juga merupakan satu bentuk pelaburan jangka masa panjang negara bagi menghasilkan sumber manusia yang mampu membangun dan memajukan negara ke arah pembentukan negara maju pada masa akan datang.
2.2
CABARAN PTPTN
Dana pengurusan pembiayaan pendidikan PTPTN di awal penubuhannya diperoleh daripada Geran Kerajaan Persekutuan juga pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Walaubagaimanapun, kerajaan telah memutuskan supaya dana pembiayaan pendidikan diperoleh melalui pinjaman daripada institusi kewangan yang dibenarkan dan pemberian geran dihentikan bermula tahun 2003. Impaknya, PTPTN terpaksa mengurangkan pembiayaan pendidikan lima peratus bagi pelajar IPTA dan 15 peratus untuk pelajar IPTS mulai 1 Nov 2014 (Sinar Harian 2014). Keadaan ini menyebabkan pembiayaan pengajian pelajar tidak dapat dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman PTPTN sebaliknya terpaksa mencari alternatif lain untuk menampung perbelanjaan pengajian.
Selain itu, PTPTN berhadapan dengan masalah pengurusan terutamanya dalam aspek kutipan bayaran pinjaman. Pada 31 Mac 2015, jumlah peminjam ialah 1,716,475 yang seharusnya membuat bayaran pinjaman berjumlah RM13.3 bilion. Namun daripada jumlah 5
itu, seramai 1,110,790 mewakili 64.7 peratus telah mula membuat bayaran balik dengan jumlah kutipan mencecah RM6.2 bilion iaitu 46.9 peratus (Mohammad Yasir 2015). Keadaan ini telah menyebabkan kitaran wang untuk pembiayaan pendidikan menghadapi masalah. Ia sekaligus menyebabkan PTPTN mengenakan syarat yang ketat untuk membiayai pengajian pelajar. Lantaran itu, terdapat pelajar yang tidak mendapat pembiayaan sungguhpun permohonan telah dikemukakan.
Di samping itu, PTPTN telah mengenakan kadar perkhidmatan sebanyak 4% daripada jumlah pinjaman pelajar. Pelajar berasa terbeban untuk melunaskan hutang selepas menamatkan pengajian mereka kerana pinjaman mereka bertambah. Sungguhpun ujrah 1% diperkenalkan untuk menggantikan caj perkhidmatan ini, terdapat 700,000 peminjam yang masih dikenakan caj perkhidmatan sebanyak 4% disebabkan kegagalan mereka untuk menukar pinjaman pendidikan masing-masing kepada pembiayaan syariah (Utusan Online 2015). Hal ini menunjukkan bahawa pinjaman PTPTN tidak melaksanakan dasarnya secara menyeluruh yang menyebabkan masih wujud peminjam kewangan terpaksa membayar pinjaman daripada jumlah yang sepatutnya.
Sebanyak 558, 475 peminjam yang gagal membuat bayaran balik akan disenaraikan dalam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara (Shamsul Anuar 2014). Sungguhpun tujuannya adalah untuk membentuk disiplin kepada peminjam untuk melunaskan hutang namun ia tidak adil kepada mereka yang tidak bekerja dan mempunyai pendapatan rendah. Faktor-faktor kegagalan pelajar membayar pinjaman perlu dikenalpasti memandangkan bukan semua pelajar mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi. Bagi yang memperoleh pekerjaan pula, gaji yang diterima ada kalanya terlalu rendah sehinggakan tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Keadaan ini juga menyumbang kepada kegagalan mereka untuk membuat pembayaran. Sekiranya langkah penyenaraihitaman ini dilakukan, lebih banyak kesan negatif yang akan diterima oleh mereka.
Keadaan ekonomi semasa turut mempengaruhi PTPTN sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kenaikan kos dalam bidang pendidikan tinggi dan sara hidup pelajar yang semakin meningkat akan menyebabkan terdapatnya permintaan untuk menaikkan jumlah pembiayaan. Sebarang pertambahan dalam jumlah pembiayaan menyebabkan PTPTN perlu menyediakan lebih banyak peruntukan untuk membiayai pelajar. Perkara ini turut 6
mempengaruhi keupayaan peminjam untuk membuat bayaran balik yang menjejaskan kemampuan PTPTN untuk membiayai pelajar-pelajar baru dan sedia ada. Justeru itu, PTPTN pastinya tidak mampu untuk menampung pembiayaan pendidikan sepenuhnya mengikut keperluan pelajar.
Pembiayaan pendidikan PTPTN disifatkan sebagai pembiayaan yang berisiko tinggi kerana ia merupakan pembiayaan tanpa cagaran. Terdapat pelbagai prinsip, haluan, sikap, pandangan serta pegangan secara kolektif yang diambil dan dilaksanakan oleh kerajaan dalam membentuk sesuatu dasar. Pelaksanaan dasar ini ada kalanya berkait langsung kepada PTPTN. Ia memberi cabaran kepada PTPTN untuk memastikan peranan utamanya dalam menyediakan pembiayaan pendidikan pengajian tinggi sentiasa diutamakan di samping memenuhi tuntutan dasar yang digubal. Keadaan ini menyebabkan perubahan-perubahan dalam pembiayaan pendidikan berubah dan sekaligus memberi kesan kepada pemimjam kewangan.
3.0
MODEL ALTERNATIF PEMBIAYAAN KEWANGAN
Kos pengajian tinggi di institut pengajian tinggi memerlukan pembiayaan yang tinggi. Bantuan kewangan yang sedia ada bagi pelajar mendapatkan pendidikan tingggi pula terhad. Keadaan ini menjejaskan peluang pelajar terutamanya pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana bagi mendapatkan pendidikan tertiari terutamanya bidang perubatan, kejuruteraan, sains dan teknologi yang memerlukan pembiayaan kewangan yang tinggi. Menurut Shahril (2008), alternatif kewangan melibatkan sumber pembiayaan pendidikan tinggi yang lain iaitu:
a. Pemberian biasiswa, dermasiswa oleh kerajaan, badan berkanun dan pihak swasta. Biasiswa biasanya diberikan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang-bidang tertentu bergantung kepada penaja biasiswa tersebut. Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) adalah antara agensi kerajaan yang menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar di IPTA. Antara bidang yang ditawarkan ialah perubatan, farmasi, kejuruteraan, sains dan teknologi. Badan berkanun Dewan Bahasa dan Pustaka pula menawarkan biasiswa kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam kesusasteraan dan bahasa kebangsaan. Petronas, Shell, Gamuda dan Yayasan Al-Bukhary merupakan sebahagian pihak swasta yang memberi biasiswa kepada 7
pelajar dalam bidang petroleum, kejuruteraan dan sains teknologi. Penajaan ini adalah bergantung keperluan organisasi tersebut untuk membentuk sumber manusia yang berkemahiran, berpengetahuan dan pakar dalam bidang masing-masing.
b. Bantuan kewangan keluarga Bantuan bentuk ini adalah pembiayaan yang dilakukan oleh keluarga yang berpendapatan tinggi iaitu bagi pelajar yang tidak layak mendapat bantuan atau pinjaman. Pembiayaan ini diurus sendiri oleh pelajar iaitu jumlah, kaedah bayaran dan tempoh bayaran balik adalah berdasarkan perjanjian keluarga iaitu perjanjian lisan ataupun bertulis. Keluarga yang berpendapatan sederhana dan tinggi juga membiayai pendidikan anak-anak melalui pelaburan dan skim insurans pendidikan dan skim simpanan pendidikan. Skim ini mempunyai tempoh matang sehingga anak berumur 18 tahun. Individu yang melabur mendapat bayaran balik jumlah yang diinsurankan beserta kadar keuntungan.
c. Simpanan sendiri. Simpanan sendiri biasanya dilakukan oleh pelajar yang bekerja separuh masa dan mempunyai simpanan yang mencukupi bagi membiayai pendidikan mereka. Simpanan ini adalah tabungan dengan institusi kewangan seperti bank, amanah saham, koperasi dan institusi kewangan yang lain. Biasanya pembiayaan jenis ini popular di kalangan pelajar yang mengikuti pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah. Hal ini kerana golongan ini adalah golongan yang bekerja dan mampu membiayai pendidikan sendiri.
3.1
KELEBIHAN ALTERNATIF PEMBIAYAAN PENDIDIKAN
Pembiayaan pendidikan melalui penajaan atau biasiswa mempunyai banyak kelebihannya. Bantuan kewangan percuma merupakan kelebihan yang paling signifikan bagi biasiswa berbanding pinjaman pendidikan. Bantuan tajaan biasiswa adalah percuma selagi pelajar memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam kontrak biasiswa. Justeru itu, biasiswa memainkan peranan yang amat penting dalam membantu pembiayaan pendidikan pelajar. Walaupun demikian, pelajar pula seharusnya menunjukkan kualiti bagi memastikan mereka ditaja sehingga menamatkan pengajian.
8
Kebiasaannya, pembiayaan pendidikan melalui biasiswa meliputi bayaran yuran dan bantuan sara hidup dan jumlahnya adalah lebih besar daripada pinjaman pelajaran. Melalui biasiswa, pelajar akan ditaja sepanjang pengajiannya malah diberi elaun-elaun lain seperti elaun alat tulis, elaun praktikal dan elaun tesis. Kelebihan seumpama ini mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai prestasi yang cemerlang. Tambahan lagi, pelajar hanya perlu fokus dengan tanggungjawab mereka sebagai pelajar tanpa perlu memikirkan dana untuk membiayai pengajian mereka.
Di samping itu, penerima biasiswa juga mempunyai jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian. Terdapat sesetengah penaja mengkehendaki pelajar untuk menandatangai kontrak kerja dengan oranganisasi mereka selepas tamat pengajian. Hal ini dapat mengelakkan pelajar daripada menganggur dan tercari-cari pekerjaan memandangkan persaingan mendapatkan kerja amat tinggi. Hasilnya pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang yang mereka pelajari. Situasi ini dapat melahirkan sumber manusia berkemahiran yang dapat menyumbang kepada organisasi.
Bukan itu sahaja, pelajar tidak akan dibebani oleh hutang selepas menamatkan pengajian. Pelajar pastinya dapat menampung kos sara hidup yang tinggi setelah bekerja kelak seiring dengan peningkatan kos sara hidup masa kini. Di samping itu, pelajar juga bebas daripada risiko disenaraihitam. Mereka pasti mempunyai masa depan yang cerah sekiranya benar-benar memanfaatkan kemudahan pembiayaan kewangan ini. Pembiayaan alternatif sememangnya banyak memberikan manfaat kepada pelajar.
3.2
KELEMAHAN ALTERNATIF PEMBIAYAAN PENDIDIKAN
Pembiayaan pendidikan melalui biasiswa melibatkan kuota yang terhad, hanya pelajar yang cemerlang dalam akademik sahaja dipilih. Setiap pelajar mempunyai kecerdasan yang berbeza-beza namun penajaan sering kali mengutamakan pencapaian akademik semata-mata. Hal ini adalah kesan daripada sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. Demikian juga halnya dengan PTPTN yang hanya menjadikan pinjaman sebagai biasiswa apabila pelajar mendapat ijazah kelas pertama. Kesannya, ramai pelajar yang terpaksa menjadikan pinjaman sebagai sandaran utama untuk membiayai pengajian mereka.
9
Tambahan lagi, pelajar terikat dengan kontrak dan perjanjian. Biasiswa boleh terbatal bila-bila masa sahaja apabila syarat dan terma tidak dipatuhi. Pelajar perlu sentiasa memastikan prestasi mereka mencapai kualiti yang ditetapkan oleh penaja. Apabila berlaku perkara sebaliknya, penajaan terhadap pelajar boleh dihentikan dengan serta-merta. Pelajar juga berpotensi untuk dikenakan tindakan undang-undang apabila melakukan tindakan yang melanggar perjanjian. Tindakan undang-undang ini menyebabkan pelajar sukar untuk mendapatkan biasiswa dan bantuan kewangan melalui badan berkanun, kerajaan negeri dan badan-badan korporat yang lain.
Pembiayaan pendidikan melalui bantuan kewangan daripada keluarga dan simpanan sendiri pula memberi kesan kepada pembiayaan pendidikan yang tidak konsisten. Ia bergantung kepada kemampuan diri dan keluarga. Adakalanya pelajar terpaksa mengikat perut memandangkan pembiayaan kewangan yang disediakan hanya cukup untuk menampung yuran pengajian tetapi tidak mencukupi untuk perbelanjaan sara diri mereka sepanjang mengikuti pengajian. Tambahan lagi, wang simpanan yang dulunya bertujuan untuk pendidikan terpaksa digunakan untuk tujuan lain terutamanya apabila berlaku kecemasan.
4.0
CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Dewasa ini, hampir seluruh pelajar di pusat pengajian tinggi sama ada di politeknik, Institusi Pengajian Tinggi Awan atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta mendapatkan pembiayaan pengajian melalui pinjaman PTPTN. Bagi mengurangkan kebergantungan pelajar terhadap pembiayaan pengajian yang telah disediakan oleh kerajaan dan pihak swasta, mentaliti mereka perlulah diubah terlebih dahulu. Pelajar perlu diperkayakan dengan kemahiran dan pengetahuan dalam mengurus kewangan. Kemahiran dan pengetahuan ini sangat penting bagi mengatasi masalah penyalahgunaan pembiayaan pengajian dalam kalangan mereka. Pihak universiti pula boleh menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bagi membantu pelajar untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai pengajian mereka. Malah ibu bapa juga perlulah dilibatkan sama dalam usaha ini. Justeru, beberapa cadangan dikemukakan agar masalah pinjaman pembiayaan pengajian yang membelenggu para pelajar di pusat pengajian dan graduan universiti dapat diatasi secara total.
10
4.1
Kemahiran Pengurusan Kewangan
Para pelajar di IPT perlu didedahkan dengan kemahiran dan pengetahuan mengurus kewangan. Tujuannya adalah untuk membentuk budaya dan mentaliti pelajar bahawa pembiayaan kewangan yang diterima adalah untuk pembiayaan pengajian mereka sematamata dan bukannya untuk memenuhi keinginan dan kehendak mereka. Aspek pengurusan kewangan ini juga perlu bagi memastikan para pelajar dapat menggunakan wang secara berhemah bagi menampung pengajian mereka. Apabila kemahiran pengurusan kewangan ini dikuasai oleh para pelajar, mereka tidak akan mengadapi masalah ketidakcukupan wang.
Pihak universiti perlu menyediakan satu slot pengurusan kewangan kepada para pelajar baharu pada minggu orientasi. Pendedahan awal ini penting bagi memastikan pelajar baharu ini tahu mengurus wang setelah mendapat pembiayaan kewangan melalui pinjaman. Selain itu, ceramah dan bengkel pengurusan kewangan boleh diadakan secara berkala. Ia boleh dilaksanakan di setiap fakulti yang ada di universiti agar benar-benar berfokus kepada pelajar. Sehubungan dengan itu juga, khidmat kaunseling kewangan perlu diwujudkan di universiti. Ia menjadi tempat saluran kepada pelajar yang menghadapi masalah pembiayaan kewangan dan bagi mereka yang benar-benar memerlukan nasihat berkaitan pengurusan kewangan.
Setelah pelaksanaan bengkel dan ceramah ini pula, pihak universiti perlu membuat tindakan susulan misalnya membuat kajian keberkesanan program. Para pelajar yang mengikut bengkel pengurusan kewangan dikehendaki untuk memberi maklum balas berkenaan program selepas dua atau tiga semester mengikuti pengajian. Tujuannya adalah untuk memastikan para pelajar melaksanakan dan mengamalkan pengurusan kewangan sebagaimana yang disarankan dalam program. Maklum balas daripada pelajar juga penting bagi mengenal pasti para pelajar yang mengalami masalah pengurusan kewangan.
Oleh yang demikian, kemahiran pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar amat perlu bagi mengelakkan berlakunya masalah penyalahgunaan pembiayaan pengajian dalam kalangan mereka. Malah kekangan kewangan yang dihadapi dalam aspek perbelanjaan turut dapat diatasi secara berhemah. Sememangnya ilmu pengurusan kewangan amat penting kepada pelajar dalam memastikan kelangsungan pengajian mereka di peringkat pengajian tinggi tanpa menghadapi sebarang kekangan kewangan. 11
4.2
Keusahawanan
Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT merupakan langkah bijak pihak kementerian untuk mengatasi masalah pengangguran dan kebolehpasaran kerja dalam kalangan graduan. Pada tahun 2012, seramai 149,890 pelajar IPTA, politeknik dan kolej komunti telah mendapat pendedahan mengenai kepentingan dan nilai keusahawanan melalui pelbagai program dan aktiviti keusahawanan IPT (Utusan Malaysia, 13 Mei 2013). Melalui dasar yang diperkenalkan ini, ia menjadi salah satu sandaran kepada pelajar untuk menjana kewangan bagi membiayai pengajian mereka melalui program keusahawanan tersebut.
Program keusahawanan ini dilaksanakan melalui enam teras iaitu memantapkan pusat keusahawanan di setiap IPT; menyediakan pendidikan dan program keusahawanan yang terancang
dan
holistik;
memanta pkan
program
pembangunan
dan
pengukuhan
keusahawanan; mengukuhkan kompetensi tenaga pengajar dan pembimbing keusah awanan IPT; menyediakan persekitaran dan ekosistem yang kondusif bagi pembangunan keusahawanan; dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pendidikan dan pembangunan keusahawanan IPT. Justeru Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT merupakan langkah positif dalam mengurungkan kebergantungan pelajar kepada pinjaman PTPTN bagi membiayai pendidikan mereka. Melalui dasar ini, ia bukan sahaja mampu membentuk pelajar yang kreatif, inovatif malah mempunyai jati diri yang tinggi untuk menyahut cabaran dunia perniagaan.
Setiap program dan aktiviti yang dilakukan di pusat pengajian tinggi sememangnya melibatkan aspek keusahawanan. Justeru, para pelajar perlu diberi peluang untuk menjana pendapatan dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam setiap program tersebut. Kuota pelajar untuk melakukan perniagaan bagi setiap program dan aktiviti universiti perlu diwujudkan. Selain itu, cas bayaran tempat perniagaan bagi pelajar dikurangkan berbanding dengan pihak luar. Galakkan seumpama ini dapat membantu pelajar untuk menjana pendapatan dan sekaligus boleh digunakan bagi menampung pengajian mereka.
Bukan itu sahaja, pihak universiti juga boleh menggalakkan pelajar untuk mendapatkan dana daripada pihak luar dengan menyediakan kertas kerja berkaitan keusahawanan. Melalui langkah ini, dana yang diperolehi digunakan untuk memulakan perniagaan bagi mendapatkan pulangan kepada pelajar. Keuntungan daripada perniagaan ini 12
membolehkan pelajar untuk menggunakannya bagi membiayai pengajian mereka. Kesan daripada itu, kebergantungan pelajar kepada pinjaman dan pembiayaan yang disediakan oleh pihak kerajaan dapat dikurangkan. Ia juga membolehkan para pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan keusahawanan mereka perolehi melalui Dasar Pembangunan Keusahawanan Pengajian Tinggi.
Oleh yang demikian, pihak universiti perlulah mewajibkan para pelajar mengikuti program-program keusahawanan di IPT. Bukan sahaja bagi membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan sumber pembiayaan pengajian malah melatih mereka sebagai usahawan. Setelah bergelar graduan, mereka pastinya berani untuk menyahut cabaran dalam dunia perniagaan. Hal ini sekaligus, menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan.
4.3
Program Kerja Sambilan
Program Kerja Sambilan merupakan program alternatif untuk membantu para pelajar mendapat sumber kewangan bagi membiayai pengajian mereka. Usaha sama antara pihak universiti dan pihak swasta amat diperlukan bagi menjayakan program ini. Ia sekali gus memberi ruang kepada pelajar menjana pendapatan sambil belajar. Impaknya pelajar tidak akan bergantung harap kepada pinjaman dan biasiswa yang disediakan oleh kerajaan ataupun pihak swasta semata-mata. Program ini harus memberi fokus kepada para pelajar yang berminat untuk belajar sambil bekerja.
Bagi memastikan interaksi pembelajaran pelajar tidak terganggu, masa interaksi pelajar bersama pensyarah perlulah disesuaikan dengan waktu pelajar bekerja. Misalnya pelajar belajar pada waktu pagi hingga tengah hari manakala pada waktu petang hingga ke malam pula untuk bekerja. Pada hari Sabtu dan Ahad pula, pelajar bekerja pada waktu pagi hingga tengah hari manakala pada waktu petang hingga ke malam, pelajar boleh manfaatkannya untuk menyiapkan segala tugasan dan tutorial. Program ini boleh dijalankan sepanjang tempoh pengajian pelajar di pusat pengajian tinggi. Rasionalnya bagi memastikan pelajar sentiasa sumber pembiayaan sepanjang pengajian mereka.
13
Para pelajar juga berpeluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari dalam dunia pekerjaan sebenar. Misalnya dalam bidang perhotelan, pemakanan, perkilangan dan perindustrian. Ia memberi kelebihan kepada pelajar untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang-bidang tersebut di samping mempelajarinya di pusat pengajian tinggi. Hal ini sekali gus dapat melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran. Justeru itu, Program Kerja Sambilan perlu dihalusi bagi membuka ruang kepada para pelajar pengajian tinggi mendapatkan sumber pembiayaan pengajian mereka sendiri tanpa terlalu berharap kepada pinjaman PTPTN yang menimbulkan pelbagai masalah terutamanya keberhutangan selepas menamatkan pengajian.
4.4
Penggubalan Dasar Mewajibkan Simpanan Pendidikan
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam merancang masa depan anak-anak. Mereka perlu mempunyai wang simpanan bagi menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak dari prasekolah hinggalah ke pusat pengajian tinggi. Langkah ini perlu bagi kelangsungan pendidikan anak-anak mereka tanpa berhadapan dengan masalah kewangan. Apabila ibu bapa telah membuat simpanan bagi pendidikan, para pelajar tidak akan dibelenggu dengan masalah pembiayaan pendidikan yang memaksa mereka untuk membuat pinjaman atau bergantung harap kepada biasiswa.
Bagi mewujudkan amalan menyimpan wang atas tujuan pendidikan, pihak kerajaan seharusnya merangka dan menggubal dasar yang mewajibkan para ibu bapa membuat simpanan. Sungguhpun pelbagai skim telah diperkenalkan bagi tujuan tersebut, namun belum wujud penguatkuasaan yang mewajibkan ibu bapa untuk berbuat demikian. Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang telah diperkenalkan boleh dijadikan saluran kepada ibu bapa untuk membuat simpanan pendidikan anak-anak mereka. Melalui penguatkuasaan ini, ia boleh memberi kesedaran kepada ibu bapa bahawa pendidikan anak-anak perlulah diberi keutamaan.
. Pihak kerajaan juga boleh mengenakan syarat wajib simpanan iaitu minimum RM100 setiap bulan bagi setiap keluarga. Syarat ini perlu bagi membolehkan ibu bapa yang berpendapatan rendah turut serta membuat simpanan anak-anak mereka. Bagi keluarga yang berpendapatan tinggi pula, mereka juga digalakkan untuk membuat simpanan lebih daripada jumlah minimum tersebut. Penguatkuasaan ini boleh dijadikan salah satu alternatif bagi 14
mendidik ibu bapa merancang masa depan anak-anak mereka terutamanya dalam aspek kewangan. Sekiranya amalan ini dapat dilakukan, masalah pinjaman pendidikan yang membelenggu graduan masa kini tidak akan berulang pada masa akan datang. Tambahan lagi, pelajar pula akan lebih bertanggungjawab untuk menggunakan wang simpanan tersebut dengan sebaik mungkin memandangkan ia adalah hasil daripada titik peluh ibu bapa mereka.
4.5
Penambahbaikan PTPTN
Bagi memantapkan sistem pembiayaan pendidikan pengajian tinggi, KPT telah menubuhkan Dana Pembangunan Modal Insan Pengajian Tinggi Malaysia dengan memastikan kelestarian PTPTN. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menggariskan pelbagai insiatif melalui model pembiayaan dan kutipan dengan mempertingkatkan usaha menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Selain itu, kelemahan PTPTN juga dapat diatasi melalui menyelaraskan had pendapatan bulanan keluarga pelajar digunakan sebagai asas penetapan kos pentadbiran dan kadar pinjaman.
Tambahan lagi, amalan terbaik dalam urusan bayaran balik melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sistem pentadbiran dan sistem pengesanan peminjam akan digunakan untuk memastikan kutipan bayaran balik sepenuhnya menjelang tahun 2015. Prestasi PTPTN juga akan ditingkatkan melalui penyediaan kadar bayaran balik yang fleksibel dan setimpal dengan pendapatan malah menyediakan kadar pinjaman yang berbeza bagi setiap pengajian mengikut tahap pengajian dan sebagainya. Tindakan lebih tegas pula akan dikenakan kepada mereka yang ingkar membuat pembayaran balik. Bagi memantapkan fungsinya PTPTN pula, jumlah pinjaman yang meliputi yuran pengajian sebenar turut disediakan.
Memandangkan kemudahan pembiayaan mempunyai kaitan yang rapat dengan akses pengajian tinggi dan sebagai satu agenda nasional yang penting, maka kerajaan perlu meneroka kaedah pembiayaan yang lebih lestari. Di samping itu, dana pembangunan modal insan atau kaedah pembiayaan yang lain termasuk dari sektor swasta perlu diwujudkan untuk memastikan setiap individu yang layak menyertai pendidikan tertiari tidak dinafikan peluang mereka disebabkan kekangan kewangan.
15
5.0
KESIMPULAN
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa berusaha mencari alternatif terbaik dalam memastikan pelajar dapat menjalani pendidikan tertiari di peringkat pengajian tinggi. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dipertanggungjawabkan untuk memberikan pinjaman bagi memastikan tidak ada pelajar yang tercicir untuk mengikuti pengajian di politeknik, IPTA dan IPTS. Selain pembiayaan pendidikan berbentuk pinjaman, wujud pembiayaan pendidikan alternatif yang lain iaitu biasiswa, bantuan kewangan daripada keluarga dan wang simpanan. Walau apa pun bentuk pembiayaan kewangan di peringkat pengajian tinggi, matlamatnya adalah sama iaitu memastikan kelangsungan pelajar mengikut pendidikan tertiari. Secara tidak langsung, perkara ini menyumbang kepada usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berpendidikan, berkemahiran, kreatif dan inovatif.
Sungguhpun demikian, setiap bentuk pembiayaan kewangan mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa menyediakan pembiayaan pendidikan melalui pinjaman kepada pelajar. Namun, sekiranya pelajar dapat menunjukkan kecemerlangan dengan memperoleh ijazah kelas pertama, ia akan menjadi biasiswa buat mereka. Pelajar seharusnya berusaha bersungguhsungguh untuk memperolehi ijazah pertama agar mereka tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian kelak. Demikian juga dengan pembiayaan pendidikan alternatif yang lain seperti biasiswa yang sepatutnya dimanfaatkan oleh pelajar sebaik mungkin agar penajaan ini tidak ditarik semula.
Pinjaman PTPTN dan kebergantungan kepada biasiswa seolah-olah menjadi budaya pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Pelbagai alternatif boleh dilakukan bagi mengatasi keadaan ini secara total iaitu melalui latihan pengurusan kewangan kepada pelajar, pembangunan keusahawanan, Projek Kerja Sambilan dan penggubalan dasar yang mewajibkan ibu bapa membuat simpanan pendidikan anak-anak mereka. Sekiranya langkahlangkah seumpama ini dapat dilakukan, pelajar akan lebih berdikari untuk membiayai pendidikan mereka sendiri tanpa bergantung kepada pihak kerajaan dan pihak swasta. Justeru itu, pelajar pengajian tinggi pada masa akan datang tidak akan dibelenggu dan dibebani oleh masalah hutang selepas menamatkan pengajian. Sememangnya pembiayaan amat penting dalam memastikan kelangsungan pengajian pelajar ke pusat pengajian tinggi bagi di IPTA atau IPTS. 16
RUJUKAN
Anon. 2013. PTPTN Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat. Keluaran Khas Utusan Malaysia, 22 November. Anon. 2014. PTPTN Kurangkan Pinjaman Kepada Pelajar Mula 1 Nov. http: //www. sinarharian. com.my /nasional/ptptn-kurangkan-pinjaman-kepada-pelajar-mula-1-nov1.330116 [10 Mac 2016]. Anon.
2015. 700,000 Peminjam PTPTN Belum Tukar Skim Ujrah. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/700-000-peminjam-ptptn-belum-tukarskim-ujrah-1.48414 [10 Mac 2016].
Idris Jusoh. 2013. PTPTN Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat. Keluaran Khas Utusan Malaysia, 22 November. Kementerian Pengajian Tinggi. 2007. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020. Kementerian Pengajian Tinggi. 2013. Pelan Strategik Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Kementerian Pengajian Tinggi. 2015. Ringkasan Esekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pengajian Tinggi). Mohammad Yasir Jaafar. 2015. 605, 685 peminjam PTPTN masih hutang RM 4.7 bilion. http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/605-685-peminjam-ptptn-masih-hutangrm4-7-bilion 1.83851 #sthash .qnP1ZbPK.dpuf http://www.utusan.com.my /berita/parlimen/605-685 -peminjam-ptptn-masih-hutang-rm4-7-bilion-1.83851 [10 Mac 2016]. Muhammad Firwan Norliza. 2012. PTPTN: Kekal atau mansuh atau tambah baik? http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/ptptn-kekal-atau-mansuh-atautambah-baik-1.42419 [10 Mac 2016]. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. 2011. Pelan Strategik PTPTN 2011 – 2015. Shahril @ Charil Marzuki. 2005 . Dasar Kewangan Pendidikan. PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Shahril @ Charil Marzuki. 2008 . Dasar Kewangan Pendidikan. PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Shamsul Anuar. 201416 Tahun Merentasi Arus Pendidikan Negara PTPTN Galas Cabaran
Besar. Keluaran Khas Utusan Malaysia, 22 November. Zunaidah Zainon. 2013. 16 Tahun Merentasi Arus Pendidikan Negara PTPTN Galas Cabaran Besar. Keluaran Khas Utusan Malaysia, 22 November.
17