Apakah triangulasi? Bincangkan bagaimana anda akan menggunakan pemerhatian, temubual dan dokumen dalam pengumpulan data kualitatif. Triangulasi, iaitu membanding pelbagai jenis data daripada pelbagai kaedah, pada masa berbeza dan, daripada sumber yang berlainan. Triangulasi data dapat meningkatkan kesahan dan keboleh percayaan penyelidikan tindakan. Terdapat empat jenis triangulasi iaitu triangulasi kaedah, triangulasi antara-penyelidik (jika kajian dilakukan dengan kumpulan), triangulasi sumber data, dan triangulasi teori. Triangulasi Kaedah- digunakan dengan cara mengumpulkan sejenis data tetapi menggunakan kaedah yang berbeza. Sebagai contoh, seorang pengkaji mengkaji rancangan pengajaran harian bagi seorang guru sejarah (analisis dokumen) dan memerhatikan pengajarannya berdasarka rancangan yang telah disediakan (pemerhatian). Pada akhir pengajaran, pengkaji menemubual guru tersebut berkaitan dengan apa yang dirancang dan apa yang berlaku sebenarnya dalam kelas. Triangulasi penyelidik – dilakukan dengan cara menggunakan lebih dari satu orang dalam pengumpulan dan analisis data. Triangulasi penyelidik dapat dilakukan dengan mengadakan perbincangan atau melibatkan beberapa penyelidik yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi. Triangulasi sumber data - adalah mencari kebenaran informasi tertentu melalui pelbagai kaedah dan sumber perolehan data. Triangulasi teori - Triangulasi jenis ini dilakukan oleh penyelidik dengan menggunakan perspektif lebih dari satu teori dalam membahas permasalahan yang dikaji. Oleh itu, dalam melakukan jenis triangulasi ini, penyelidik perlu memahami teori-teori yang digunakan dan perkaitannya dengan permasalahan yang diteliti sehinngga mampu menghasilkan kesimpulan yang mantap. Terdapat tiga kaedah alat pengumpulan data, iaitu pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen. Penggunaan ketiga-tiga kaedah ini akan saling melengkapi antara satu dengan yang lain, ketidakjelasan daripada pengutipan data teknik pemerhatian akan ditanya kepada responden melalui teknik temu bual dan sebaliknya, yang kemudian disokong oleh teknik analisis dokumen. Penggunaan ketiga-tiga kaedah tersebut merupakan bahagian daripada proses triangulasi yang dapat menghasilkan dapatan kajian yang lebih tepat dan meyakinkan tentang konsep yang dikaji. Pemerhatian Pemerhatian merupakan teknik untuk mendapatkan data secara langsung dengan berhubung dengan seseorang atau sekumpulan orang. Semasa membuat pemerhatian, pengkaji mesti mengelakkan daripada menganggu mereka yang diperhatikan (natural state). Peranan penyelidik boleh dilihat sebagai kontinum di mana di hujung sebelah kiri merupakan pemerhati pasif , hujung sebelah kanan merupakan pemerhati penyertaan dan di tengah merupakan pemerhati aktif. Pemerhati pasif pemerhati aktif pemerhati penyertaan Kontinum bagi teknik pemerhatian Pemerhati pasif (passive observer) Pemerhati pasif tidak turut serta dalam situasi yang diperhatikan dan hanya memerhati dari luar dan menjarakkan diri dengan subjek yang diperhatikan. Pemerhati pasif hanya menggabungkan
dokumen dan memerhatikan seseorang atau sekumpulan orang tanpa membuat apa-apa yang boleh menganggu situasi. Pemerhati mesti mendapat persetujuan dan diterima oleh individu atau kumpulan yang akan diperhatikan. Sebagai contoh, seorang penyelidik yang berminat untuk mengkaji interaksi pelajar dalam kantin sekolah semata-mata membuat pemerhatian tanpa melibatkan diri dalam situasi itu. Pemerhati penyertaan (participant observer) Kaedah pemerhatian melalui penglibatan pula berasal dari bidang antropologi (kajian tentang kehidupan masyarakat). Penyelidik biasanya melibatkan diri dengan masyarakat yang hendak dikajinya untuk memahami dengan jelas sesuatu isu yang berkaitan dengan masyarakat tersebut. Pemerhati penyertaan melibatkan diri dalam aktiviti bagi subjek yang akan diperhatikan daripada bertindak sebagi pemerhati. Pemerhati penyertaan mempunyai dua peranan iaitu sebagai pemerhati dan penyerta. Pemerhati penyertaan merekodkan nota lapangan, mengadakan temubual dan menggabungkan dokumen yang berkenaan. Pemerhati aktif (Active observer) Bagi pemerhati aktif, mereka boleh melibatkan diri tetapi penglibatkan mereka dihadkan. Pemerhati aktif boleh menceroboh ke dalam kehidupan subjek seperti melawat rumah mereka atau komuniti mereka tetapi masi kekal pasif apabila berada dalam keadaan itu supaya tidak mempengaruhi tingkah laku semulajadi dan perbualan mereka. sebagai contoh, seorang penyelidik yang berminat dengan tabiat menonton TV boleh melawat rumah subjek, makan bersama ahli keluarganya, bermain dengan kanak-kanak dan melibatkan diri dalam aktiviti keluarga tersebut. Ahli keluarga diberitahu supaya jangan mengubah rutin kehidupan mereka. Akan tetapi, penyelidik mesti mencuba sedaya upaya untuk menjadi pasif, mengurangkan pergaulan yang mungkin supaya tidak mempengaruhi tingkah laku dan perbualan bagi subjek. Temu Bual Temu bual ialah perbualan dengan bertujuan‟ (conversation with a purpose). Temu bual diadakan apabila penyelidik hendak mengetahui apa yang terdapat dalam minda seseorang. Terdapat pandangan yang mengkategorikan temu bual kepada temu bual berstruktur, temubual semi-berstruktur dan temubual tidak berstruktur. Bentuk temubual akan ditentukan oleh soalan kajian serta perkembangan kajian. Temu bual lebih terbuka mungkin akan dijalankan di awalawal kajian untuk mendapatkan pandangan umum tentang fenomena yang dikaji. Kemudian temubual mungkin akan lebih berfokus kepada fenomena-fenomena tertentu apabila penyelidik telah dapat membina kategori-kategori tertentu. Temubual Berstruktur Temubual berstruktur melibatkan penemubual menggunakan soalan-soalan yang telah ditentukan untuk semua responden. Ia lebih kurang sama dengan kajian soal selidik. Ini menjadikan sangat sedikit variasi dari segi tindakbalas responden. Penemubual biasanya akan merekodkan tindakbalas mengikut skema pengkodan yang telah ditentukan. Satu prosedur yang standard darisegi pentadbiran temubual dapat mengawal perjalanan temubual serta tindakbalas daripada responden. Semua responden akan mendapat set soalan yang sama, ditanya dalam urutan yang sama oleh penemubual yang telah dilatih untuk menguruskan temubual dalam keadaan yang sama. Sangat sedikit fleksibiliti dari segi soalan ditanya dan jawapan diberi dalam temubual berstruktur. Penemubual menunjukkan sikap pendengar yang prihatin dan berminat tetapi tidak menilai tindakbalas yang diberikan.
Temubual Semi Berstruktur Pada asasnya temubual semi berstruktur menggabungkan ciri-ciri fleksibiliti temubual terbuka atau tidak berstruktur dengan ciri-ciri mengarah dan seragam temubual berstruktur. Soalansoalan dalam temubual semi berstruktur ditentukan terlebih dahulu tetapi jawapan kepada soalan-soalan tersebut adalah terbuka, boleh dikembangkan mengikut budibicara penemubual dan responden. Temubual semi berstruktur adalah yang terbaik untuk meneroka dan menjelaskan faktor-faktor dan subfaktor-subfaktor. Temubual Tidak Berstruktur Terdapat kajian yang memerlukan pengkajinya meneroka dengan mendalam dan terperinci sesuatu fenomena yang hendak dikaji untuk meningkatkan pengetahuan penyelidik tentang topik tersebut. Ini menuntut pengkaji bersikap terbuka kepada sebarang tindakbalas yang relevan, tidak ada jawapan yang betul atau salah, dan responden tidak diperlukan untuk memilih daripada pilihan soalan atau jawapan. Format yang terbuka ini memungkinkan fleksibiliti yang maksimum dalam meneroka sebarang topik secara mendalam dan terperinci. Temubual tidak berstruktur biasanya menggunakan soalan terbuka yang memberi peluang kepada responden memberi tindakbalas mengikut budibicaranya dan tidak terikat dengan sebarang jawapan alternatif atau tidak dikekang oleh panjang atau pendek soalan. Temubual tidak berstruktur atau temubual penerokaan memerlukan minda yang peka, pemikiran logik serta kemahiran komunikasi yang baik. Temu Bual Kumpulan Fokus Kaedah perbincangan kumpulan fokus (Focus Group Discussion - FGD) merupakan kaedah kualitatif yang popular. Melalui kaedah ini, pengkaji memilih sekumpulan orang yang mempunyai ciri tertentu untuk mengadakan sesi perbincangan. Seorang fasilitator (pemudah cara) yang dilantik akan menentukan hala tuju perbincangan tersebut. Apa-apa yang dikatakan oleh ahli kumpulan merupakan data penting dalam FGD dan kaedah ini memberi peluang untuk berkongsi dan membuat perbandingan tentang pengalaman dan pandangan peserta serta memberi peluang untuk berbual-bual tentang perkara yang terjadi dalam dunia sebenar. Kaedah ini digunakan untuk mendapat kefahaman lebih mendalam tentang sesebuah tajuk, contohnya motivasi, tingkah laku, perasaan, strategi membuat keputusan, atau pendapat orang-orang tertentu terhadap sesuatu isu atau topik. Selain itu, FGD bertujuan untuk mengkaji sesebuah tajuk penyelidikan secara mendalam dan intensif. Analisis dokumen Dokumen pada hakikatnya adalah segala bahan tertulis mahupun filem yang sudah tersedia pada tempat tertentu. Dokumen adalah sumber yang paling mudah kepada pengkaji kerana maklumat yang diperlukan telah sedia ada dan sukar untuk menipu.Analisis dokumen digunakan untuk membantu penyelidik mendapatkan data secara objektif melalui dokumen serta tidak memerlukan kehadiran informan dan juga dapat memberikan data yang konsisten kerana segala data diperoleh secara tersurat dan dapat digunakan untuk memperoleh kesahan sesuatu jawapan yang diperoleh daripada analisis soal selidik. Penggunaan dokumen dalam penyelidikan adalah mendukung dan menambah bukti daripada sumber-sumber lain.