KONSEP BELAJAR SAMBIL BERMAIN
Bermain merupakan satu pendekatan terancang, dan berstruktur bagi memberikan peluang kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa belajar dalam suasana yang tidak begitu formal, menyeronokkan dan bebas. Pelajar yang melalui proses belajar sambil bermain akan mendapat pengalaman langsung yang sudah pasti akan memberikan kesan pembelajaran yang mantap dan berkesan. Bagi kanak-kanak pula, main merupakan satu laluan yang membolehkan mereka belajar dan mengenali persekitaran atau dunianya melalui penerokaan, simulasi, lakonan, proses cuba-jaya dan manipulasi bahan dan alatan.
Main menjadi bermakna sekiranya mempunyai ciri-ciri seperti berikut :
Main merupakan aktiviti yang bermotivasi intrinsik dan dilaksanakan semata-mata untuk kepuasan.
Main hendaklah dipilih secara bebas mengikut kehendak peserta dan tidak dipaksa.
Main hendaklah membawa keseronokan dan tidak dilakukan atas tekanan.
Main hendaklah mengandungi unsur khayalan agar dapat memenuhi keperluan atau kepuasan pemain.
Main merupakan aktiviti fizikal atau psikologi atau kedua-duanya dan hendaklah disertai secara aktif oleh peserta.
Selain itu terdapat pelbagai kepentingan belajar sambil bermain diantaranya ialah :
Mengurangkan tekanan
Meningkatkan kemahiran manipulatif seperti mencantum, melukis dan menampal.
Berinteraksi secara positif
Memenuhi keperluan naluri ingin tahu
Meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi
Meningkatkan penguasaan bahasa dengan melakonkan semula apa yang dibaca atau cerita yang didengar.
Memupuk pemikiran inovatif, kritis dan kreatif
Pembelajaran adalah proses mengintegrasi atau menerapkan maklumat dalam struktur kognitif dalaman seseorang. Persekitaran pembelajaran pula merangkumi kesemua pemboleh ubah yang terlibat dalam konteks pembelajaran sama ada secara fizikal, sosial mahupun psikologi. Ia adalah suatu keadaan persekitaran di mana pelajar akan dirangsang untuk terlibat dalam proses pembelajaran, mampu mempengaruhi tingkah laku pelajar di samping pembentukan kemahiran atau perspektif kognitif dan bukan kognitif mereka. Selaras dengan konsep belajar sambil bermain, hasil pembelajaran seseorang mungkin berbeza dan tidak dapat dilihat secara jelas, namun faedah yang mereka perolehi amat berguna dalam proses penerapan maklumat seseorang individu.
Bagi memaksimumkan pemerolehan ilmu pengetahuan seseorang, persekitaran pembelajaran perlulah menyediakan rangsangan yang bersesuaian sebagai contoh rangsangan untuk penyelesaian masalah, mengurangkan tekanan dan meningkatkan keseronokan untuk belajar. Untuk itu, pendidik perlu mengetahui teknik yang terbaik yang mampu menarik minat kanak-kanak untuk belajar seperti teknik belajar sambil bermain.
KELEBIHAN BELAJAR SAMBIL BERMAIN
Dengan bermain, kanak-kanak dapat meneroka keadaan sekelilingnya (samada di rumah, di playground etc), memahami sesuatu, membina fizikal, kognitif, emosi dan sosial skil bersama orang lain.
Meneroka keadaan sekelilingnya
Dengan bermain, kanak-kanak akan membina hubungan dengan keadaan sekelilingnya dan orang-orang di sekelilingnya. Apabila mereka bermain, mereka akan dapat membina pola dan membina skema mereka sendiri. Terutama bagi kanak-kanak bertatih, mereka akan dapat bergerak bebas dengan kedua-dua kakinya untuk meneroka keadaan sekeliling.
Membina Skil fizikal
Terdapat dua aspek di dalam skil fizikal iaitu kemahiran motor kasar dan kemahiran motor halus. Kedua-dua ini tentu sekali dapat dimantapkan dengan bermain. Contohnya kemahiran motor kasar dapat diperolehi daripada aktiviti-aktiviti seperti melompat, berbasikal, naik turun tangga, memanjat, menari, bergayut dan lain-lain lagi. Kemahiran motor halus pula adalah koordinasi mata dan tangan kanak-kanak. Contoh aktiviti ini seperti menguntai manik, bermain pasir, menggunting, menguntai tali kasut, dan menampal.
Kedua-dua kemahiran ini perlu seimbang supaya kanak-kanak dapat berkembang dengan baik.
Membina Kemahiran Kognitif
Aspek kognitif adalah satu penekanan yang semakin penting dewasa ini. Kanak-kanak yang kurang diberikan pendedahan daripada aspek ini akan menyebabkan mereka kurang daripada aspek pembelajaran kelak. Aspek kognitif yang penting adalah seperti penyelesaian masalah (contoh aktiviti: permainan blok, membina istana daripada pasir dsb), kreativiti (lukisan, tarian), fokus, ingatan dan inovasi.
Membina kemahiran emosi
Untuk menjadi dewasa yang stabil, kanak-kanak perlu dididik tentang emosi yang stabil. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk mengenalpasti perasaan org lain, meluahkan perasaan sendiri supaya ketegangan dan tekanan dapat dielakkan.
Membina kemahiran sosial
Kebanyakan kanak-kanak bermain dengan supervision yang minimal daripada orang dewasa. Bagaimanapun kanak-kanak perlu digalakkan untuk bermain sesama sendiri supaya mereka mengenal keperluan orang lain, bertolak ansur, bekerjasama dan membina nilai2 murni daripada situ.