Pengurusan Dan Pentadbiran Pentadbira n Kokurikulum Sekolah (EK01003)
UNIT 2: ISU-ISU PELAKSANAAN KOKURIKULUM DI SEKOLAH 2.0 Objektif
Di akhir topik ini, pelajar seharusnya dapat: 1. Mengetahui masalah dalam pelaksanaan kokurikulum; 2. Menghuraikan faedah-faedah melakukan aktiviti kokurikulum; 3. Menjelaskan cara untuk mengatasi maslah dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah. 2.1 Pengenalan Pendidikan merupakan satu aspek penting yang harus dimiliki oleh semua manusia untuk meneruskan perjuangan hidup di dunia ini. Ia merupakan aset yang tidak ternilai harganya. Tanpa pendidikan manusia akan hilang arah, hidup tidak ketentuan dan akan dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat Malaysia berpegang pada falsafah pendidikan seimbang, yang bukan hanya menyampaikan ilmu pelajaran dalam kurikulum, malahan memberi fokus kepada tatacara dan kemahiran insaniah yang disalurkan melalui aktiviti kokurikulum. Kokurikulum sudah melebihi setengah abad wujud di sekolah-sekolah sekolah- sekolah Malaysia. Ia termaktub dalam Akta Pelajaran 1956 (Mohamed Nor Che’ Noh 1985). Bagaimanapun perancangan, pentadbiran dan pengelolaannya masih perlu diberi perhatian, berbanding tumpuan yang diberikan kepada kurikulum. Dari masa ke semasa kokurikulum diberi nafas baharu, khususnya dari aspek perlaksanaan gerak kerja. Ini bertolak dari kesedaran Kementerian Pendidikan yang yakin bahawa kokurikulum memberi sumbangan positif kepada perkembangan pelajar keseluruhannya – – jasmani, rohani, intelek, sosial dan emosi. Institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab mendidik dan mengembangkan potensi individu ke tahap maksima bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berkualiti. 2.2 Masalah Dalam Pelaksanaan Aktiviti Kokurikulum 2.2.1. Pentadbir Guru Besar atau Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum yang mengambil berat tentang kesihatan murid akan memberi penekanan kepada penyertaan semua murid dalam aktiviti kokurikulum. Ini berlaku kerana mereka percaya murid ini akan menjadi pemimpin yang akan menerajui negara pada masa akan datang. Bagi pentadbir yang lebih fokus kepada akademik, aktiviti kokurikulum tidak akan diberi perhatian secara serius. Mereka mengandaikan jika aktiviti kokurikulum dapat dilaksanakan, itu adalah memadai. Walaupun begitu, dengan adanya syarat ke SBP daripada penyertaan kokurikulum, semakin ramai pentadbir yang menyedari pentingnya kokurikulum kepada sekolah, dan khasnya kepada anak didik mereka. Gaya atau stail kepimpinan pentadbir juga memainkan peranan dalam menentukan menentukan sama ada aktiviti kokurikulum kokurikulum dilaksanakan secara berkesan atau sebaliknya. Pentadbir yang selalu ”turun padang” akan memberi kesan positif kepada aktiviti kokurikulum di sekolah. Selain itu, terdapat juga guru yang kurang mahir dan kurang berpengetahuan dalam aktiviti kokurikulum dilantik sebagai GPK Kokurikulum. Kesannya, kadang-kala aktiviti kokurikulum tidak dilaksanakan dengan berkesan. Sekiranya mereka yang kurang mahir ini mempunyai tahap kesediaan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dalam aktiviti kokurikulum, maka aktiviti ini akan berjalan lancar dan berkesan. Selain itu, misi 1
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) dan visi sekolah juga menjadi penentu kepada kejayaan aktiviti kokurikulum. Terdapat sekolah yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejayaan akademik sementara terdapat juga sekolah yang inginkan kejayaan dari kedua-duanya, iaitu kurikulum dan juga kokurikulum. 2.2.2 Guru Kejayaan atau keberkesanan aktiviti kokurikulum juga bergantung pada tahap kesediaan guru / penasihat / jurulatih. Guru yang berminat akan sentiasa hadir ketika aktiviti kokurikulum diadakan. Sebaliknya bagi guru yang tidak berminat dan berprasangka bahawa aktiviti kokurikulum membebankan, akan malas untuk hadir ketika aktiviti kokurikulum diadakan. Oleh kerana itu, kadangkala kita dapati terdapat permainan atau persatuan atau badan beruniform yang sangat aktif di sekolah serta ada juga seperti ”hidup segan mati tak mahu”, ataupun sekadar “melepaskan batuk di tangga”. Guru yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang mereka selalunya akan cuba untuk menyalurkan idea, pengetahuan dan kemahiran untuk dikongsi bersama dengan pelajar mereka. Ilmu yang ada dan berkualiti harus diserahkan kepada generasi yang akan menyambungnya kepada generasi yang seterusnya. Guru seharusnya melakukan persediaan yang rapi untuk setiap aktiviti kokurikulum. Guru/Penasihat/Jurulatih perlu mengenal pasti aktiviti yang akan dijalankan, tempat yang sesuai untuk aktiviti tersebut dan alatan yang sesuai serta bilangan diperlukan. Oleh itu guru perlu kerap memasuki bilik sukan/bilik kokurikulum untuk mengetahui jenis dan bilangan peralatan yang terdapat di dalamnya. Semua ini mesti dibuat terlebih awal dan menjimatkan masa ketika aktiviti kokurikulum dilaksanakan. Guru yang tidak membuat persediaan biasanya guru-guru yang berfikiran bahawa aktiviti kokurikulum tidak penting kerana untuk riadah atau rekreasi sahaja dan tidak perlu membuang masa memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar. Terdapat juga guru yang sengaja tidak memakai pakaian sukan / uniform kerana mereka berpendapat membuang masa sedangkan mereka hanya diperuntukkan dua jam sahaja seminggu. Guru-guru ini juga tidak tahan dengan cuaca panas. Kegagalan guru menyumbang sesuatu kepada pihak sekolah dalam aktiviti kokurikulum merupakan salah satu masalah dalam perlaksanaan aktiviti di sekolah. Ini bertepatan dengan Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) yang menyatakan kecenderungan guru terhadap beberapa aktiviti kokurikulum seperti badan beruniform dan aktiviti sukan tidak memberangsangkan. Sementara Adnan (1990), menyatakan walaupun sumbangan kokurikulum dalam pendidikan diakui, tetapi konsepnya masih kurang difahami hingga ada yang masih menganggap kokurikulum sebagai kegiatan luar. Oleh kerana itu, program atau aktiviti kokurikulum dilaksanakan secara sambil lewa dan aktiviti dijalankan secara tergesa-gesa dan tidak diberi keutamaan seperti kurikulum. Di samping itu Abu Bakar (1999), menyatakan guru merasakan kokurikulum membuang masa pelajar, terlalu banyak tanggungjawab, guru kurang pengetahuan dan kemahiran dalam aktiviti yang ditugaskan kepada mereka. Guru-guru di sekolah harus mengubah persepsi ini kerana implikasinya sangat besar, iaitu pelajar mereka akan gagal bersaing untuk menempatkan diri ke SBP kerana tidak peroleh markah semaksimum mungkin. Sebaliknya, dengan pertolongan dan komitmen yang diberikan oleh guru, peluang pelajar mereka ke SBP terbuka luas.
2
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003)
2.2.3 Murid Perlaksanaan aktiviti kokurikulum boleh dikatakan gagal disebabkan ketidakhadiran murid dalam aktiviti yang diadakan. Antara faktor ketidakhadiran murid ialah tiada minat terhadap aktiviti yang disertainya, masa aktiviti kokurikulum dijalankan kadang kala serentak dengan kelas tuisyen yang mereka ikuti, terutama tuisyen yang dilaksanakan oleh pihak swasta. Faktor lain ialah kesukaran untuk mendapatkan bas untuk datang dan pulang ke sekolah, terutama bagi murid yang menaiki bas secara bulanan. Faktorfaktor ini akan menjejaskan perjalanan aktiviti kokurikulum di sekolah. Bagi murid yang kurang berkemampuan, faktor kewangan juga mendorong mereka untuk tidak hadir bagi mengikuti aktiviti kokurikulum. Wang yang lebih harus disediakan untuk makanan dan minuman, baju untuk badan beruniform dan sebagainya. Murid menunjukkan sikap yang pasif dan tidak bersungguh-sungguh melakukan aktiviti sukan yang diarahkan oleh guru. Keadaan ini amat membimbangkan pihak sekolah dan masyarakat. Fenomena ini wujud disebabkan oleh sikap pelajar itu sendiri. Kadang-kala seseorang pelajar tidak mahu melakukan aktiviti contohnya permainan di depan pelajar lain kerana dia mungkin kurang berbakat dan takut dimalukan oleh pelajar- pelajar lain. Kegiatan sukan berperanan untuk menyihatkan tubuh badan manusia. Dengan menjalankan kegiatan sukan, kadar pergerakan darah adalah lebih cepat. Sukan juga merupakan terapi yang berkesan untuk mengubati penyakit sosial yang melanda anak-anak kita hari ini. Sukar untuk dinafikan bahawa pelajar-pelajar yang giat dalam bidang kokurikulum, selain dapat mencergaskan otak dan menyihatkan tubuh badan, ia juga dapat menghindarkan pelajar daripada terjebak dalam gejalagejala tidak sihat. Namun, semua ini adalah bergantung kepada individu itu sendiri untuk berbuat demikian. Hanya individu itu sendiri yang dapat menentukan gaya hidup masing- masing. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang seseorang jikalau dia memilih gaya hidup yang tidak aktif. Faktor terakhir ialah mereka tidak tahu matlamat mengapakah mereka harus mengikuti aktiviti kokurikulum. Oleh itu, penjelasan terperinci harus disampaikan oleh pihak pentadbir seperti guru besar, penolong kanan dan setiausaha kokurikulum bahawa antara syarat kemasukan ke SBP diambil dari kegiatan kokurikulum sama ada kategori sukan, kelab dan persatuan serta badan beruniform. Aspek dikenal pasti adalah jawatan yang disandang oleh murid dan penglibatan serta pencapaian murid di peringkat sekolah, zon, daerah, negeri atau negara. Dengan penjelasan yang begitu terperinci, maka murid memahami sebab mereka harus mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum. Akhirnya, mereka akan menganggap aktiviti kokurikulum bukannya aktiviti yang menghalang mereka untuk menyambung pelajaran khususnya ke SBP, sebaliknya aktiviti ini merupakan satu bonus yang mungkin memberi peluang keemasan kepada mereka untuk ke SBP, berbanding rakan mereka yang tidak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. 2.2.4 Kurang Motivasi Motivasi ialah satu istilah yang luas merujuk kepada suatu peringkat ke arah membaiki pergerakan dan tindakan. Ia berasal daripada perkataan Latin movere yang bermaksud move (bergerak). Istilah motif ialah satu keadaan khusus yang membantu perbuatan dan meningkatkan motivasi seseorang. Istilah need (perlu) merujuk kepada kekurangan dalaman, sesuatu organisma rasa kekurangan. Konsep drive (dorongan) melibatkan 3
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) tenaga yang menggerakkan sesuatu tindakan. Motivasi sering dijelaskan sebagai satu keadaan keinginan atau kehendak mempelajari sesuatu yang menggesa seseorang membuat sesuatu yang akan memuaskan keinginan atau kehendaknya. Menurut Mohd Ramli Nordin (1989) untuk memotivasikan pelajar, para guru mesti menunjukkan teladan yang baik dan menggunakan teknik-teknik motivasi yang berterusan kepada pelajar. Oleh yang demikian, motivasi adalah penting dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum.. Dari segi psikologi, seseorang pelajar yang mempunyai motivasi untuk belajar akan menunjukkan keinginan belajar. Motivasi merupakan satu penggerak yang berperanan memulakan sesuatu pembelajaran, mengekalkannya dan seterusnya mempengaruhi intensiti proses pembelajaran. Tanpa motivasi tugasan pembelajaran akan mendatangkan kesan yang minimum. Dengan adanya motivasi proses pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan sukarela. Pelajar tidak perlu dipaksa kerana mempunyai keinginan untuk melibatkan dirinya dalam sesuatu pembelajaran itu. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang ingin belajar kemahiran permainan badminton kerana berminat atau didorong keinginan meningkatkan imej kendirinya adalah dikatakan mempunyai motivasi intrinsik. Pembelajaran yang dirangsang oleh keperluan untuk mencapai penyempurnaan diri seseorang juga berpunca daripada motivasi intrinsik. Masalah yang didapati adalah bahawa pelajar-pelajar masa kini kekurangan motivasi intrinsik atau motivasi dalaman untuk melakukan aktiviti kokurikulum. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum adalah kurang. Jika diberi peluang ada antara mereka lebih suka tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti. Keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan kekurangan motivasi intrinsik pada pelajar, tetapi juga kurangnya motivasi ekstrinsik seperti pujian daripada guru, pengiktirafan atau penerimaan sosial daripada rakan sebaya, ganjaran yang akan diperoleh oleh pelajar. Dalam konteks ini, guru bukan sebenarnya memotivasikan pelajar, tetapi memanipulasikan faktor-faktor persekitaran yang akan membawa kepada penambahan atau peningkatan dalam motivasi bagi pihak murid. Contoh-contoh jenis manipulasi adalah ganjaran berbentuk gred bagi persembahan yang baik contohnya dalam aktiviti sukan dan permainan. Antara faktor-faktor motivasi yang boleh dimanipulasikan oleh guru bagi memenuhi kehendak individu adalah seperti darjah keinginan yang ditunjukkan, minat dalam aktiviti yang dijalankan, darjah kejayaan yang dicapai, pengetahuan tentang keputusan dan lain-lain. 2.2.5 Kemudahan Faktor ini juga merupakan salah satu aspek yang kadangkala menjadi penghalang kepada kegiatan aktiviti kokurikulum di sekolah. Contohnya, ketiadaan padang yang sesuai untuk aktiviti praktikal boleh menyebabkan guru atau pelajar bosan, lama kelamaan keadaan ini akan mengurangkan minat mereka untuk hadir melakukan aktiviti kokurikulum. Keadaan ini berlaku sekiranya sekolah tidak mempunyai kemudahan alternatif seperti dewan dan kawasan lapang yang lain. Setelah mempelajari kemahiran secara teori, selalunya pelajar terangsang untuk melakukan sesi praktikal. Kemudahan yang dilihat menghalang hasrat guru dan pelajar seperti padang atau gelanggang, peralatan permainan seperti kuantiti bola yang tidak mencukupi, kayu hoki yang sudah rosak, net takraw yang usang dan sebagainya. Terdapat padang sekolah yang digunakan untuk aktiviti yang lain seperti yang terjadi di Pulau Pinang, padang sebuah sekolah dijadikan satu kawasan untuk masyarakat luar melakukan aktiviti riadah. Walaupun aktiviti ini baik, tetapi keutamaan harus diberikan 4
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) kepada pelajar sekolah tersebut untuk melakukan aktiviti kokurikulum terutamanya pada hari persekolahan. (Berita Harian, 2005) 2.2.6 Masa Kegiatan Aktiviti Kokurikulum Waktu perlaksanaan aktiviti juga menyebabkan murid tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan terdapat segelintir murid yang datang ke sekolah menggunakan bas atau kereta. Masalah yang dihadapi ialah waktu aktiviti kokurikulum bermula dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang bagi murid yang bersekolah pada sesi pagi. Bas yang akan mengambil mereka selalunya datang lebih awal, bagi mengelakkan mereka ketinggalan bas, maka jalan yang selamat untuk mereka sampai ke rumah ialah tidak perlu hadir ke aktiviti kokurikulum. Masalah lain ialah terdapat murid yang mengikuti kelas tuisyen sama ada anjuran pihak sekolah ataupun pihak swasta. Murid “ulat buku” lebih mementingkan akademik daripada aktiviti kokurikulum. Pada masa ini, aktiviti kokurikulum yang selalunya diadakan pada hari Sabtu terpaksa ditukar ke hari lain, berikutan hari Sabtu merupakan hari cuti bermula pada tahun 2006. 2.2.7 Penjaga Ibu bapa juga merupakan penyebab mengapa murid tidak hadir bagi kegiatan aktiviti kokurikulum. Kepentingan aktiviti kokurikulum tidak dapat diperoleh segera. Contohnya, aktiviti kokurikulum dapat mengawal berat badan anak-anak jagaan mereka. Dengan kata lain, dapat mengurangkan murid yang obes. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa obesiti merupakan satu penyakit yang sangat berbahaya kepada murid. Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan di negara China mendapati seorang daripada empat orang, terutamanya lelaki mengalami berat badan yang berlebihan (obesiti). Sementara kajian kesihatan kebangsaan negara China yang dijalankan pada 2005 mendapati hampir 25% budak lelaki antara tujuh hingga lapan belas tahun yang tinggal di kawasan bandar mengalami obesiti. Kesedaran ibu bapa atau penjaga terhadap perkara ini boleh mengurangkan jumlah ketidakhadiran pelajar dalam kegiatan aktiviti kokurikulum. Seterusnya ibu bapa kurang diberi penerangan tentang kokurikulum untuk kemasukan ke SBP. Faktor lain pula, berkemungkinan masalah kewangan yang membebankan keluarga kurang mampu, untuk menyediakan pakaian bagi kegiatan aktiviti kokurikulum seperti pakaian Badan Beruniform. 2.2.8 Komunikasi Komunikasi antara guru dan pelajar juga merupakan penyumbang kepada masalah dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Semasa menyampaikan sesuatu strategi pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru itu bukan hanya perlu mengetahui aspek kemahiran permainan tersebut tetapi kemahiran berkomunikasi yang baik juga perlu dititikberatkan. Komunikasi yang baik dan berkesan akan menjadikan pelajar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran tersebut. Seorang guru yang pandai berkomunikasi tidak semestinya sentiasa bercakap atau meninggikan suara sewaktu di padang, sebalik beliau mampu mengawal kelas dan menjalankan aktiviti hanya dengan menggunakan wiselnya. Malangnya guru-guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran di padang, tidak begitu mahir menggunakan wisel sebagai alat untuk berkomunikasi dengan pelajarnya. 5
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) Menurut Parcells dan Coplon (1985), untuk memudahkan hubungan antara guru dan pelajarnya, penyampaian maklumat secara efektif kepada si penerima dan penerimaan maklumat secara efektif adalah dua aspek yang perlu ditekankan. Malangnya terdapat sebilangan guru yang kurang berkomunikasi dengan para pelajar sewaktu menjalankan pengajaran dan pembelajaran di padang. Aspek komunikasi dua hala, iaitu antara pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan guru ini sangatlah penting bagi memudahkan kedua-dua pihak memahami antara satu sama lain. Guru perlu banyak menyoal pelajarnya bagi mengetahui tahap kefahaman mereka terhadap isi pelajaran atau kemahiran yang dijalankan. Di samping itu guru perlu memantau dan memerhatikan setiap lakuan dan aktiviti yang dibuat oleh pelajarnya. Apabila komunikasi antara guru dengan pelajar berjalan dengan baik, ia dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar, meningkatkan persefahaman antara satu sama lain serta memudahkan guru mendapat maklum balas untuk merancang pengajaran dan pembelajaran akan datang. Sebaliknya, jika komunikasi antara guru dan pelajar tidak berkesan, pelajar yang berminat dalam pelajaran ini tidak dapat mengikutnya dengan baik. Justeru itu, setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dirancang dengan rapi oleh guru tidak dapat mencapai sasaran objektif. 2.2.9 Masalah Fizikal dan Kematangan Masalah fizikal pelajar merupakan faktor yang kerap timbul dalam aktiviti kokurikulum. Keadaan fizikal yang kurang memuaskan berpunca daripada penyakit, kekurangan zat makanan atau kemalangan dan sebagainya dapat menimbulkan masalah dalam kokurikulum. Biasanya, pelajar-pelajar yang menghadapi masalah ini akan cepat berasa letih dan tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti. Kecergasan fizikal yang baik akan membolehkan seseorang murid itu melakukan sesuatu kemahiran atau tugas dengan sempurna tanpa berasa penat atau letih. Seperti yang kita ketahui bahawa perkembangan dan pertumbuhan manusia adalah berbeza antara satu individu dengan individu yang lain dari segi kematangan, kadar dan arah pertumbuhan. Kematangan adalah kemunculan sebarang ciri-ciri yang menunjukkan kesempurnaan perlaksanaan. Perkembangan ciri ini bergantung kepada fungsi neurologi dan berlaku pada hayat awal individu. Variasi pemakanan latihan dan keadaan alam sekeliling tidak begitu mempengaruhi kematangan. Kematangan dicapai oleh seorang individu tanpa mengadakan usaha yang serius atau yang banyak. Aktiviti kokurikulum senang dikendalikan sekiranya pelajar-pelajar mempunyai peringkat kematangan yang baik dan sesuai dengan aktiviti yang dipelajari. Namun demikian, halangan akan berlaku dalam aktiviti kokurikulum jika berlaku di sebaliknya. Dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum, guru/penasihat/jurulatih perlu peka terhadap perbezaan-perbezaan ini dan persamaan-persamaan yang dijangka akan berlaku. Kemahiran motor akan berkembang apabila sistem otot sudah bersedia. Tindak balas akan terbentuk apabila peringkat kematangan sudah sampai atau dicapai. Seorang kanak-kanak lebih senang dilatih jika dia sudah mencapai peringkat persediaan fisiologi. Guru dan ibu bapa akan menentukan masa yang paling baik untuk mempelajari kemahiran dan menyusun satu situasi pembelajaran yang berkesan untuk perkembangan kemahiran seseorang murid atau pelajar. Pelajar-pelajar yang mempunyai pertumbuhan jasmani yang lambat atau terencat tidak boleh dilayan sama seperti pelajar-pelajar yang normal. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang mengalami perkembangan jasmani yang melebihi umurnya. Keengganan guru memberi perhatian
6
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) kepada pelajar-pelajar yang seperti ini akan menimbulkan masalah dalam aktiviti kokurikulum. 2.2.10 Masalah Biologikal Faktor biologikal merangkumi berat badan, tahap kecergasan dan status kesihatan. Dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum terdapat pelajar yang terlibat dengan masalah biologikal sehingga mereka kurang melibatkan diri contohnya dalam badan beruniform atau sukan dan permainan. Kita sedia maklum bahawa seseorang yang mempunyai berat badan yang ideal lebih bermotivasi untuk bersukan. Pelajar yang kurus dan ringan dan kurang cerdas biasanya lebih minat bergiat dalam sukan berbanding dengan individu yang obes. Ini kerana pelajar yang lebih kurus dapat meningkatkan tahap kecergasan lebih cepat dan secara langsung menggalakkan mereka untuk terus bergiat dalam aktiviti yang diikuti. Sebaliknya, individu yang lebih berat atau obes kurang aktif dan bertenaga untuk terus bermain atau berkawad, mereka berasa kemajuan mereka adalah sedikit dan terhad apabila melakukan program kecergasan, atau bergiat dalam program yang diikuti. Pelajar yang pintar pula kadang kala mempunyai sikap yang negatif seperti malas bermain dan tidak mahu tubuh berpeluh. Jika guru/penasihat/jurulatih tidak tegas, sikap ini akan menjadi seperti barah yang makin sehari makin membesar dan akhirnya mengganggu pelaksanaan aktiviti kokurikulum.. Pelajar wanita pula kerap menghadapi masalah senggugut apabila “datang bulan” dan guru perlulah bertolak ansur supaya tidak memaksa mereka melakukan aktiviti dalam keadaan yang demikian. Guru juga perlulah berhati-hati dan tidak memaksa mana-mana pelajar yang demam dan tidak sihat serta mempunyai masalah kesihatan yang kronik. Mereka yang sakit dan bermasalah perlu menunjukkan surat doktor kepada guru supaya dapat dikecualikan daripada melakukan aktiviti-aktiviti sukan dan permainan atau badan beruniform. Guru juga tidak sepatutnya merasa marah dan menyindir mana-mana pelajar yang disahkan sakit, kecuali mereka yang berpura-pura sakit dan malas melakukan aktiviti kokurikulum. 2.2.11 Pemantauan dan Pencerapan Aspek yang paling penting dalam sesuatu program ialah pemantauan atau penilaian. Sesuatu program yang baik mestilah sentiasa dipantau dan diperbaiki segala kelemahan yang wujud di dalamnya. Keadaan ini tidak terkecuali dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum. Perkara yang berlaku ketika ini ialah pemantauan jarang dibuat. Guru/penasihat/jurulatih perlu juga dinilai dari segi pelaksanaan aktiviti kokurikulum. Malah ada dalam kalangan mereka yang mengajar secara remote control dari kantin atau garaj kereta atau bawah pokok, tetapi mereka masih tidak mendapat teguran dan amaran dari pihak pentadbir. Keadaan ini amat berbahaya kerana guru mesti bertanggungjawab penuh terhadap segala tindakan dan perlakuan pelajar, mereka perlu mematuhi tatasusila etika perguruan. Pemantauan atau pencerapan sukar dilakukan jika pihak sekolah atau pentadbir sendiri tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. Ini ditambah dengan ketiadaan senarai semak atau borang khas untuk melakukan pemantauan tersebut. Pihak sekolah, guru, pelajar, ibu bapa dan pihak-pihak lain masih mempunyai tanggapan bahawa kokurikulum hanya berunsur “main-main” sahaja. Kita kerap melihat pegawai-pegawai dari Jabatan atau Jemaah Nazir melakukan lawatan ke sekolah-sekolah untuk mencerap guru atau menyemak fail-fail mata pelajaran untuk memastikan ia terkini dan terperinci, tetapi jarang sekali berlaku terhadap aktiviti kokurikulum. Lawatan sebegini amat perlu agar 7
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) guru/penasihat/jurulatih berasa mereka juga penting dalam proses pendidikan negara, mendapat pengetahuan terkini dan bimbingan yang berterusan terutama bagi guru-guru yang kurang berkemahiran dan kurang pengetahuan dalam kokurikulum. 2.3 Kesan Negatif Tidak Melaksanakan Kokurikulum 2.3.1 Sekolah Kebanyakan sekolah akan dikenali di peringkat zon, daerah, negeri atau negara berdasarkan kecemerlangan dari segi pencapaian kurikulum dan atau kokurikulum. Oleh itu, sekiranya sekolah yang tidak cemerlang dalam akademik, mereka masih boleh dikenali di peringkat yang dinyatakan melalui kecemerlangan kokurikulum, kadang kala, sekolah juga akan diambil tindakan jika tidak melaksanakan aktiviti kokurikulum oleh Jabatan Pendidikan Negeri. 2.3.2 Guru Guru tidak dapat mengembangkan pengetahuan yang mereka peroleh sama ada dari bakat semula jadi atau dari mengikuti kursus, bengkel atau pun seminar. Oleh itu, ilmu pengetahuan yang mereka peroleh tidak dapat disalurkan kepada murid yang sememangnya dahagakan ilmu, sama ada akademik mahupun kokurikulum. 2.3.3 Murid Bagi murid yang tidak mengikuti aktiviti kokurikulum, maka mereka akan kehilangan markah bagi kemasukan ke SBP. Ini merupakan satu kerugian kepada murid yang sememangnya bijak dalam akademik, tetapi kurang aktif dalam kegiatan kokurikulum. Kegagalan mereka menempatkan diri di SBP, mungkin disebabkan oleh kegagalan mereka hanya dalam aktiviti kokurikulum sepanjang masa persekolahan. Selain itu, pelajar juga akan mengalami masalah kesihatan seperti yang telah dinyatakan. 2.3.4 Faktor Kesihatan Kegagalan pelajar menyertai aktiviti sukan akan memberi kesan terhadap tahap kesihatan mereka. Menurut Anuar Din (2006), murid yang tidak aktif dalam sukan atau kokurikulum mungkin akan mengalami pertambahan berat badan atau lebih dikenali sebagai obesiti, mudah diserang penyakit berkaitan kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung, strok dan sebagainya. Selain itu murid akan mudah berasa letih dan lesu. Kajian yang dilakukan oleh sebuah majalah di Britain yang menyatakan tekanan darah tinggi dijangkakan menjadi ancaman kesihatan penduduk di seluruh dunia menjelang 2025 (Berita Harian, 2005). Kajian ini menunjukkan jumlah orang lelaki dewasa yang mengidap darah tinggi sebanyak 972 juta orang, iaitu 333 juta orang di negara maju, sementara itu 639 juta orang di negara sedang membangun seperti Malaysia. Lebih mengejutkan lagi, kajian ini juga berpendapat penyakit tekanan darah tinggi akan meningkat 80% di negara membangun. Faktor yang menyebabkan penyakit ini, antaranya pengambilan lemak yang berlebihan, kurang melakukan aktiviti fizikal serta pengambilan garam yang tinggi dalam makanan yang sudah diproses, yang lebih dikenali sebagai makanan segera. Kebanyakan mereka yang berada pada 2025 adalah murid yang sekarang ini berada di sekolah rendah dan juga di sekolah menengah. Ini akan memberi kesan kepada negara dari pelbagai sudut, sama ada produktiviti, politik, ekonomi, kewangan mahupun sosial.
8
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) Selain itu, menurut Magendran Rajagopal (2005), berdasarkan data yang disediakan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO), kajian pada tahun 1996 menunjukkan hanya 11.6% daripada rakyat dewasa negara kita bersenam. Angka ini menunjukkan jumlah rakyat Malaysia melakukan aktiviti sukan sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Malaysia yang dianggarkan 20 juta pada masa tersebut. Kajian ini juga menunjukkan 21% rakyat dewasa juga mengalami kegemukan atau obesiti, dan terancam kepada risiko diserang penyakit berkaitan kardiovaskular dan kencing manis atau dikenali sebagai diabetes. Paling mendukacitakan kita semua, kajian ini juga mendapati hampir 19% murid mengalami obesiti dan daripada angka tersebut, sebanyak 8% murid dari sekolah rendah dan 11% dari pelajar di sekolah menengah. Ini menunjukkan murid sekolah menengah lebih ramai yang mengalami obesiti berbanding murid sekolah rendah. Menurut Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Dr Azhari Rosman, menyatakan remaja yang seawal usia 18 tahun juga mengalami masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi. Faktor yang menyebabkan penyakit ini disebabkan oleh faktor keturunan, obesiti dan memiliki tahap kolesterol tinggi, hormon tidak stabil, amalan gaya hidup yang tidak sihat, mengambil makanan bergaram secara berlebihan dan jarang bersenam. Kajian menunjukkan satu daripada tiga orang rakyat Malaysia mengalami tekanan darah tinggi. 30% rakyat Malaysia mengalami penyakit hipertensi (Nasron, 2006). Kerajaan menganggarkan 4.4 juta orang rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan mengalami obesiti pada tahun 2020 nanti (Berita Harian, 2005). Pada masa sekarang, mereka yang mengalami obesiti di negara kita adalah seramai 3.3 juta, juga merupakan satu angka yang sangat besar dan akan memberikan kesan yang tidak baik kepada negara yang sedang menuju ke negara maju. Kamaruddin Liusin (2005) dalam kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan di Sabah mendapati pada 2003 kematian yang berpunca daripada masalah kardiovaskular sebanyak 776 orang atau 29.76% daripada jumlah mereka yang meninggal dunia pada tahun tersebut. Kajian mendapati daripada 32,936 subjek yang dikaji, 88.4% menyatakan mereka tidak melakukan aktiviti sukan, manakala 11.6% subjek menyatakan mereka melakukan aktiviti sukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. 2.4 Kesan Positif Melaksanakan Kokurikulum 2.4.1 Cara Hidup Sihat Dr Azhari, Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia menyatakan rawatan terhadap tekanan darah tinggi boleh dilakukan melalui dua kaedah, iaitu mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengurangkan makanan bergaram, mengurangkan berat badan dengan melakukan aktiviti fizikal selain mengambil ubat-ubatan. Jadi penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum merupakan satu langkah bijak bagi menangani masalah ini. 2.4.2 Nilai Murni Aktiviti kokurikulum penting sebagai alat untuk menyediakan pelajar yang matang berfikir secara kritis dan kreatif, serta mempunyai fizikal yang sihat selaras dengan harapan dalam Dasar Pendidikan Negara, iaitu membentuk warganegara yang bersahsiah mulia, seimbang dari segi rohani dan jasmani. Pengalaman yang diperoleh semasa melaksanakan aktiviti kokurikulum akan dapat meluaskan pandangan, pengetahuan, kefahaman pelajar serta menghasilkan perkembangan dan kematangan
9
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) mental, sosial, emosi dan jasmani. Ini diperoleh melalui interaksi sosial yang sihat dan positif dalam suasana yang lebih bererti, gembira, meyakinkan dan menyeronokkan. Selain itu, aktiviti kokurikulum juga merupakan proses untuk melahirkan barisan kepimpinan negara pada masa akan datang. Ini diperoleh melalui aktiviti persatuan, badan beruniform serta sukan dan permainan. Murid akan dilantik menjadi pengerusi, dilatih berpidato dan sebagainya. Mohd Hamidi (2002), menyatakan ilmu kepimpinan dan mengurus bukan seperti orientasi ilmu akademik yang kebanyakannya berkisar dalam kelas dan kertas-kertas ujian, tetapi melalui satu pendidikan yang mesti dialami dan dilaksanakan sendiri oleh pelajar tersebut, kerana memimpin dan mengurus perlu berhadapan dengan manusia. Lantaran itu, apabila pelajar diberikan tugas atau tanggungjawab mengurus dan memimpin persatuan, kelab, badan beruniform atau permainan, maka secara tidak langsung mereka akan memimpin dan mengurus subordinat (ahli-ahlinya). Proses memimpin dan mengurus ini memerlukan kebijaksanaan, komunikasi, psikologi dan strategi yang berkesan. 2.4.3 Integrasi Perpaduan kaum seperti yang dinyatakan oleh bekas Menteri Pendidikan Malaysia dalam perutusan Tahun Baru 2002 kepada warga pendidik, iaitu ”perpaduan akan terus menjadi agenda utama bagi memupuk perpaduan kaum melalui sistem pendidikan di negara kita. Kita akan terus mempergiatkan lagi program dan aktiviti yang melibatkan penyertaan pelajar dari pelbagai kaum untuk memupuk perpaduan, terutamanya melalui kegiatan kokurikulum seperti program sukan dan berpersatuan”. 2.4.4 Murid Bagi murid, mereka kurang didedahkan kepada keberkesanan menyertai aktiviti kokurikulum. Menurut Halim Md Salleh (2002), dengan kemahiran-kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari semasa mengikuti aktiviti kokurikulum, pelajar diharap boleh memupuk satu gaya hidup yang sihat. Ini bermakna mereka akan terus melakukan aktiviti ini sekurang-kurang 30 minit setiap sesi dalam masa 3 kali seminggu. Sementara itu, Wee Eng Hoe (1996), menyatakan kegiatan kokurikulum juga dapat mengukuhkan interaksi antara murid sekali gus memupuk integrasi antara kaum di samping memupuk sifat kesopanan, berdikari, kerajinan bekerja, berdisiplin dan patuh kepada undang-undang yang boleh membentuk pelajar supaya menjadi warga negara yang berguna dan produktif. Pengetahuan yang diperoleh semasa mengikuti aktiviti kokurikulum juga akan menyebabkan murid berasa yakin, kerana guru yang berpengetahuan dan berkemahiran akan mengajar mereka cara untuk mengatasi keresahan atau kebimbangan, terutama ketika menghadapi sesuatu kejohanan atau pertandingan, tidak kira di peringkat zon, daerah, negeri ataupun kebangsaan. Contohnya, mereka mungkin diajar melakukan latihan imageri, mental rehearsal ataupun simulasi oleh guru sebelum bertanding. Anuar Din (2003) pula menyatakan bahawa murid akan berasa yakin dan dapat mengurangkan perasaan bimbang apabila bertanding dengan melakukan perkaraperkara yang telah diajar oleh guru atau jurulatih mereka. Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga dapat menghindarkan diri pelajar daripada aktiviti yang tidak berfaedah seperti lumba haram.
10
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) Dengan melakukan aktiviti kokurikulum, murid dapat mengurangkan atau pun mencegah penyakit berkaitan dengan kardiovaskular, murid akan bertenaga, pihak sekolah akan dapat memilih pelajar terbaik untuk mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum contohnya, pertandingan dalam aktiviti sukan, disiplin pelajar secara tidak langsung akan meningkat dengan pembentukan sahsiah melalui aktiviti kokurikulum. Kerajaan pula dapat mengurangkan kos perubatan kerana menjangkakan semua orang akan mengamalkan gaya hidup sihat, melahirkan pemimpin yang berwibawa, semangat juang yang tinggi, dapat mengurangkan kadar kematian pada peringkat umur yang masih muda, meningkatkan produktiviti negara. Secara tidak langsung sekolah berjaya melahirkan modal insan seperti yang disarankan oleh YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang Kelima. 2.5 Cara Mengatasi Pelaksanaan Kokurikulum 2.5.1 Pentadbir Guru besar, Guru Penolong Kanan terutamanya GPK kokurikulum seharusnya diberikan penerangan yang lebih terperinci oleh KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri. Penerangan tentang pentingnya kokurikulum kepada murid untuk memasuki SBP. Penerangan ini mungkin boleh disampaikan melalui kursus, bengkel atau pun seminar. Selain itu, dengan melantik pengetua atau GPK Kokurikulum sebagai AJK di peringkat daerah, negeri atau negara juga merupakan salah satu cara untuk melibatkan mereka secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. 2.5.2 Guru Pentadbir sekolah seharusnya memberi penekanan kepada setiap guru di sekolah mereka. Pentadbir harus memberitahu setiap guru kepentingan kokurikulum kepada pelajar, seperti kesihatan, kerjasama, integrasi, terutama kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPTA. Selain itu, usaha yang berterusan ini harus diselaraskan dengan kempen-kempen mengenai kesihatan, ceramah-ceramah daripada mereka yang berkecimpung dalam bidang ini, seperti guru mata pelajaran pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan ataupun guru sains sukan, sesi bimbingan dan kaunseling yang boleh dianjurkan oleh pihak sekolah, sama ada pada hari kokurikulum dijalankan, perhimpunan sekolah atau dalam program lain yang boleh memberi kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya menjaga kesihatan diri. Bagi melaksanakan satu aktiviti kokurikulum yang berkesan, guru-guru juga perlu dihantar oleh pihak sekolah untuk menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu, seperti Pejabat Pelajaran Daerah, Pejabat Pelajaran Bahagian/Gabungan, Jabatan Pelajaran Negeri atau Kementerian Pelajaran Malaysia. Ini kerana, pengetahuan yang diperoleh semasa berkursus akan meningkatkan keyakinan guru untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar mereka semasa aktiviti kokurikulum dijalankan. Penekanan berkaitan dengan Akta Pendidikan 1996 Jilid 42. No 11 Tambahan No 41, Perundangan (A), P.U (A) 196 seperti yang telah dinyatakan harus disebut selalu kepada setiap guru, terutama semasa mesyuarat kokurikulum dijalankan. 2.5.3 Murid Murid harus diberitahu tentang kepentingan kesihatan diri, penyakit yang berkaitan dengan kardiovaskular. Pihak pentadbir, GPK kokurikulum, Setiausaha kokurikulum dan semua guru harus memberi kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya kokurikulum untuk masa depan pelajar. Ketidakhadiran semasa aktiviti kokurikulum boleh diatasi 11
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) melalui unit bimbingan dan kaunseling setiap sekolah. Unit Bimbingan dan kaunseling mempunyai pelbagai cara dan kaedah untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar tentang peri mustahaknya menyertai aktiviti kokurikulum. Selain itu, pihak sekolah juga harus menggunakan sistem merit dan demerit kepada pelajar bagi kegiatan aktiviti kokurikulum. Sementara bagi pelajar yang masih ingkar, tindakan disiplin boleh diguna pakai bukan untuk hukuman tetapi sebagai pengajaran. 2.5.4 Kemudahan Terdapat sekolah yang tidak mempunyai kemudahan mencukupi bagi membolehkan kegiatan aktiviti kokurikulum berjalan lancar. Oleh yang demikian, pihak sekolah boleh mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah ini, contohnya dengan pembelian peralatan sukan. Selain itu, masalah kekurangan padang atau kawasan untuk aktiviti kemahiran sukan atau badan beruniform terhad, GPK Kokurikulum, Setiausaha dan Penyelaras aktiviti perlu menyusun jadual yang adil bagi semua kelab atau permainan serta badan beruniform, agar mereka tidak melakukan aktiviti praktikal dalam satu masa yang sama. 2.5.5 Penjaga Terdapat ibu bapa atau penjaga yang mempunyai cita-cita yang tinggi untuk melihat anak mereka ke menara gading hingga memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap kurikulum sahaja. Oleh yang demikian, ibu bapa atau penjaga harus diberi kesedaran dan penerangan melalui ceramah motivasi, semasa mengambil buku rekod pencapaian pelajar, semasa mesyuarat Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) diadakan, hari Anugerah Kecemerlangan Akademik atau pun semasa Kejohanan Sukan Olahraga peringkat sekolah. Selain itu, semasa ceramah motivasi yang diadakan harus diterapkan dengan unsur-unsur penjagaan kesihatan diri anak-anak, dengan memberikan fakta-fakta berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu seperti pihak Kementerian Kesihatan dan KPM. Penerangan ini penting untuk memberikan input bermakna kepada penjaga atau ibu bapa tentang mustahaknya anak mereka melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. 2.5.6 Anugerah Kecemerlangan Sekolah boleh mengadakan hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum seperti yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 2006. Anugerah ini dilaksanakan bagi memberi pengiktirafan kepada murid, sekolah seterusnya menjadi pemangkin bagi menggalakkan murid menyertai aktiviti kokurikulum. Anugerah kecemerlangan ini dinilai bermula dari peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara. Sebanyak tujuh anugerah telah diberikan, antaranya Murid Cemerlang Kokurikulum. 2.6 Kesimpulan Kokurikulum dan kurikulum diibaratkan seperti aur dengan tebing. Murid saling memerlukan antara kedua-duanya. Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa kokurikulum adalah pelengkap kepada kurikulum di sekolah. Selain itu, kokurikulum sangat penting untuk merapatkan hubungan kaum di Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Prof Khoo Kay Kim (2006), ”Kita perlu mencari jalan bagi membolehkan pelajar bergaul. Bagi saya sukan (kokurikulum) adalah paling efektif, tetapi sekarang sukan diketepikan. Walau bagaimanapun, kita boleh memperbetulkan keadaan dalam bidang 12
Pengurusan Dan Pentadbiran Kokurikulum Sekolah (EK01003) sukan. Perhatikan apabila ahli sukan seperti Lee Chong Wei, Nicol Ann David, Shalin Zulkifli dan Pandalela Rinong meraih kejuaraan antarabangsa, setiap rakyat Malaysia berbangga dan melupakan faktor perkauman”. Melalui integrasi kedua-dua komponen ini, iaitu kokurikulum dan kurikulum, maka sudah tentu kita dapat melahirkan rakyat Malaysia yang bijak bukan sahaja dari segi intelektual tetapi juga jasmani dan kesihatan, rakyat yang mindanya cerdas dan fizikalnya cergas. Hal ini bersesuaian dengan kenyataan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan rakyat perlu melibatkan diri dalam berbagai-bagai aktiviti sukan, kerana ia pelaburan yang paling baik untuk kesihatan pada masa hadapan. Antara kata-kata hikmah bekas YAB Perdana Menteri ialah “Kita bukan sahaja mahu negara kita maju dari segi ekonomi tetapi mahu rakyat bahagia dan sihat. Kebahagiaan tidak akan datang tanpa badan yang sihat. Justeru menjadi kewajipan kita memberi perhatian kepada aspek kesihatan selain sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan pelbagai aspek lain yang berkaitan pekerjaan kita. Rakyat juga perlu menjaga kesihatan supaya tidak mudah terkena penyakit dengan mengamalkan gaya hidup sihat yang dapat dilakukan dengan kegiatan senaman dan latihan gerak badan lain”. Murid merupakan aset negara dan bukannya liabiliti, persepsi ini harus diterapkan ke dalam minda semua warga pendidik di Malaysia. Oleh itu, mereka seharusnya mendidik mereka dengan menyampaikan ilmu pengetahuan secara total, dan bukannya mengabaikan sebahagian dan memberi fokus kepada bahagian yang lain. Kurikulum dan kokurikulum seharusnya diajar seiring. Latihan 1. Bincangkan faktor internal dan eksternal yang menyebabkan aktiviti kokurikulum sukar dilaksanakan di sekolah secara berkesan. 2. Huraikan peranan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri dalam mempastikan aktiviti kokurikulum dapat meningkatkan imej sekolah. 3. Jelaskan fungsi pentadbir sekolah dan guru/penasihat/jurulatih dalam menarik minat murid melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum.
13