Sunat ab'ad ialah ialah amalan sunat dalam sunat yang jika ditinggalkan , tertinggal atau tidak dilakukan dikehendaki melakukan sujud sahwi.
Manakala, sunat Hai'at ialah amalan sunat dalam solat yang jika ditinggalkan , tertinggal atau tidak dilakukan tidak dikehendaki melakukan sujud sahwi .
BAB I
PENGENALAN KAJIAN
PENGENALAN
Isu hudud tidak asing lagi daripada pengetahuan masyarakat, namun tidak semua yang mendengarnya benar-benar memahami akan Isu hudud ini. Hudud merupakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t kepada manusia. Hukuman ini akan dijatuhkan di atas kesalahan-kesalahan tertentu yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Antara jenis-jenis jenayah hudud ialah zina, qazaf (menuduh berzina), minum arak, mencuri dan murtad.
Sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu tidak dapat dijatuhkan hukuman ke atasnya dengan sewenang-wenangnya. Setiap hukuman yang hendak dijalankan terhadap sesuatu kesalahan perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, jika tidak lengkap salah satu syarat yang ditetapkan, maka, akan jatuh kepada hukuman ta'zir bukan lagi di bawah hukuman hudud. Ini menunjukkan bukan senang untuk menjatuhkan sesuatu hukuman hudud terhadap sesuatu kesalahan itu. Ia memerlukan kepada penelitian yang mendalam terhadap sesuatu kesalahan itu.
LATAR BELAKANG KAJIAN
Kajian ini dilakukan dengan berpandukan beberapa sumber yang telah dibuat oleh penyelidik. Terdapat beberapa sumber yang akan digunakan oleh penyelidik antaranya seperti buku-buku ilmiah dan laporan buku.
Di dalam buku yang bertajuk Hudud Dalam Perundangan Islam. Persoalan hukum hudud adalah persoalan yang amat rapat hubungannya dengan persoalan jenayah yang berlaku dalam masyarakat. Apabila Islam mewajibkan hukuman hudud dilaksanakan maka ianya bertujuan untuk membersihkan masyarakat dari perbuatan keji dan mengamankan negara dari bahaya ancaman penjenayah. Manusia hari ini telah menolak hukuman hudud dan gantinya dengan menciptakan suatu bentuk hukuman yang dikenali dengan undang-undang jenayah atau undang-undang pedana. (Harun Din. 1978 : 1)
Isu Hudud dianggap sebagai hukuman ciptaan Parti Pas pada pandangan sebahagian masyarakat. Mereka menolak hukum ini kerana hukuman ini hanyalah hukuman ciptaan Parti itu bukannya daripada hukum tuhan yang sebenar-benarnya. Hukum hudud ini bertujuan untuk menjadi contoh teladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan-perbuatan jenayah. Manusia akan dapat menyaksikan sendiri seksaan Allah di atas dunia lagi ke atas orang-orang yang melakukan kesalahan-kesalahan hudud, dengan hukuman-hukuman secara terbuka itu akan menjadi tauladan kepada semua manusia (termasuk yang melakukan kesalahan itu) betapa pahitnya hukum Allah dan dahsyatnya hukuman itu, sampai mereka akan merasa perit dan kecut hati untuk mendekati perbuatan-perbuatan keji itu lagi.
1.3 PERMASALAHAN KAJIAN
Isu hudud dipandang remeh oleh sebahagian pihak atasan yang berada di dalam barisan kepimpinan dan pemerintahan negara. Menurut pandangan sebahagian daripada mereka sebelum berlaku pelaksanaan hukum Hudud ini, ia perlu diterangkan kepada masyarakat terlebih dahulu, namun apa yang dibicarakan oleh mereka sama sekali tidak bertepatan, kerana pelaksanaan undang-undang sebelum ini, ada juga pelaksanaan baru yang mereka laksanakan tanpa memaklumkan dan mewar-warkan kepada masyarakat. Misalnya pelaksanaan pemasangan CCTV dan sistem AES di sisi lebuh raya dan jalan raya telah dipasang terlebih dahulu, kemudian baru mereka memaklumkan kepada masyarakat.
Hukum Hudud merupakan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t, manusia tidak berhak untuk menolak, memindanya atau mengingkarinya dan ia bukan hukuman ciptaan manusia yang banyak cacat cela dan kekurangan. Apakah faktor utama yang menyebabkan hukum hudud ini tidak dapat dilaksanakan lagi di negara Malaysia sehingga hari ini?
Sejauh manakah kefahaman masyarakat mengenai isu hudud ini sebenarnya? Adakah pelaksanaan hudud ini tidak ada sebarang manfaat dan faedah langsung daripadanya? Isu hudud ini sudah menjadi perbualan semenjak tahun 1970 an.
1.4 OBJEKTIF KAJIAN
Untuk menjelaskan persoalan berkaitan hudud.
Untuk mengukur sejauhmana kefahaman orang awam terhadap hukum hudud.
Untuk melihat persepsi orang awam terhadap Isu Hudud ini, sama ada perlu dilaksanakan atau tidak.
PERSOALAN KAJIAN
Apakah persoalan yang timbul berkaitan Hudud?
Sejauhmanakah kefahaman orang awam mengenai hukum Hudud yang hendak dilaksanakan?
Bagaimanakah persepsi orang awam terhadap Isu Hudud di Malaysia?
HIPOTESIS KAJIAN
Semakin bertambah kefahaman orang awam tentang hudud, semakin berkurang bilangan jenayah di Malaysia.
Terdapat hubungan di antara kefahaman orang awam mengenai hudud dan perlaksanaannya di Malaysia.
LIMITASI KAJIAN
Isu
Isu yang penyelidik kaji ialah berkaitan dengan reaksi orang awam terhadap perlaksanaan hukum Hudud. Oleh itu, pengkaji mahu menyelidik adakah kedua-dua pemboleh ubah ini saling berkaitan antara satu sama lain.
Masa
Kajian ini dijalankan pada 2 Oktober 2012 hingga 31 Julai 2013.
Lokasi
Pengkaji hanya mengkaji dan menyelidik orang awam di sekitar Pekan Kapar sahaja dan melibatkan orang luar di sekitar kawasan tersebut. Pengkaji telah menghadkan jumlah orang dari kawasan itu iaitu seramai 314 orang sahaja yang akan dipilih untuk penyelidikan berkenaan. Hal ini kerana, untuk mengkaji semua orang awam yang menghuni di Kapar akan mengambil masa yang lama untuk menjalankan penyelidikan.
1.8 KEPENTINGAN KAJIAN
Dengan tertegaknya hukum Hudud ini, bilangan jenayah dapat dikurangkan seterusnya kes jenayah dapat dihapuskan. Maka, akan tertegaknya negara Islam yang mengaplikasikan tuntutan syariat yang sebenar. Hukum Hudud ini memberi kegerunan
dan iktibar kepada masyarakat bahawa jenayah ini bukan suatu perkara baik, tetapi kesannya terhadap keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa dan ketenteraman Negara yang semakin tergugat pada zaman ini.
METODE KAJIAN
Aspek- aspek yang disentuh dalam metodologi kajian ialah :
Jenis Kajian
Jenis Kajian ini ialah penyelidikan kuantitatif yang cenderung kepada metode pengumpulan data.
Kajian Lapangan
Jenis Penyelidikan akan dijalankan ialah kajian lapangan untuk mendapatkan maklumat, gambaran serta data yang lebih tepat mengenai penyelidikan yang akan dijalankan.
Persampelan yang akan ditetapkan
Bentuk persampelan yang digunakan dalam kajian ini adalah persampelan rawak berkelompok meliputi pelbagai latar belakang pekerjaan dan pendidikan masyarakat setempat.
Skala Kajian
Penyelidik menggunakan skala Religous Commitment Scale (RCS), RCS telah dibina oleh Pfeifer & Waelty (1995) dalam menghasilkan borang soal selidik. Skala ini digunakan bagi menyelidik reaksi masyarakat terhadap perlaksanaan Hudud di Malaysia. Sebanyak 31 item digunakan dalam soal selidik ini adalah gabungan antara 15 item untuk mengukur kefahaman masyarakat mengenai hudud dan 16 item lagi mengenai persepsi mereka mengenai hukum Hudud ini. Skala jenis ini mudah digunakan untuk mengukur tahap kefahaman orang awam terhadap hukum hudud dan persepsi mereka tentang Hudud ini. Skala ini digunakan oleh penyelidik di dalam borang soal selidik yang telah dibuat.
Data dari responden tersebut nantinya akan dianalisis menggunakan perisian SPSS bagi melihat tahap kefahaman dan persepsi masyarakat setempat berkaitan dengan hukum dan perlaksanaan hudud di Malaysia.
Kawasan Kajian
Penyelidik telah memilih kawasan di sekitar Pekan Kapar. Hal ini kerana, permasalahan yang ingin dikaji melibatkan orang awam. Lokasi kajian tersebut sekitar kawasan persekolahan Sekolah Rendah Agama, Sekolah Rendah Islam, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Tahfiz ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), Baitul Hasanah dan stesen bas Klang Sentral dengan itu kos perbelanjaan dapat dijimatkan.
Sampel Kajian
Penyelidik akan mengedarkan borang soal selidik kepada 314 responden sebagai kajian sampel daripada orang awam di sekitar Pekan Kapar. Kajian terhadap responden melibatkan jantina, umur, latar belakang pendidikan, pekerjaan, dari mana sumber maklumat dan pengetahuan yang diperoleh mengenai Hudud serta sejauh mana kefahaman dan persepsi mereka mengenai hukum hudud dan perlaksanaannya.
Instrumen Kajian ( Soal Selidik)
Soal selidik berbentuk soalan berstruktur (fixed-alternative question). Soalan umum soal selidik ini bertemakan reaksi masyarakat terhadap perlaksanaan hudud. Set borang soal selidik ini akan diedarkan secara rawak sekitar sekolah-sekolah yang berdekatan. Ia akan diedarkan oleh pengkaji sendiri kepada orang awam. Manakala subjeknya ialah orang awam disekitar Pekan Kapar. Soal selidik ini dipilih kerana ia adalah antara satu langkah yang efektif dan berkesan dalam pengumpulan data. Selain itu, dapat menjimatkan masa dan tenaga penyelidik. Soalan-soalan yang dikemukan itu, akan menjawab objektif kajian itu sendiri. Soal selidik ini akan dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Bahagian A mengenai demografi dan Bahagian B mempunyai 2 tema iaitu mengenai kefahaman hukum Hudud dan persepsi terhadap Hudud ini.
DEFINISI OPERASI KAJIAN
Hukum Hudud.
Hukuman hudud adalah hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tertentu yang dilakukan seperti mencuri, merompak, zina, menuduh zina, minum arak dan murtad. Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Manusia tidak berhak menolak atau memindanya jauh sekali dari mengingkarinya, jika mereka beriman kepada Allah s.w.t. Manusia adalah khalifah Allah yang berkewajipan melaksanakan amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya. (Harun Din. 1978 : 6)
Orang Awam.
Masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Malahan juga berbeza pekerjaan masing-masing. Namun orang awam yang difokuskan dalam kajian ini adalah masyarakat yang hanya tinggal di sekitar Pekan Kapar berbangsa melayu dan beragama Islam sahaja.
Pelaksanaan.
Satu proses atau cara untuk melaksanakan sesuatu rancangan, aktiviti atau keputusan. Sesuatu perlaksanaan perlu dibuat, agar sesuatu program atau keputusan yang telah dibuat dapat dijalankan dengan sebaiknya.
ULASAN KEPUSTAKAAN
Berdasarkan tesis yang bertajuk Sejarah Perkembangan Hudud zaman Rasulullah sahabat dan tabi'in yang dikarang oleh Ali Ahmad Yusof. (2001). Penulis tesis ini mengkaji mengenai sejarah perkembangan hudud zaman Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in. Hukum hudud adalah hukuman yang telah ditetapkan dan ditentukan oleh Allah s.w.t Ketentuannya telah dirakam di dalam beberapa ayat al-Quran al-Karim, dan diperinci, diperjelaskan melalui hadis-hadis Rasulullah serta pendapat-pendapat ulama' muktabar. Namun begitu, kebanyakan para cendekiawan hanya menyentuh teori-teori dan praktikalitinya secara umum tanpa menghubungkannya dengan sejarah penurunan hukum atau mencungkil kembali kisah-kisah yang bersangkutan dengan pelaksanaan perundangan tersebut di zaman keagungan Islam. Permasalahan dan persoalan yang mengelirukan akan muncul di benak pemikiran orang awam berkaitan perlaksanaan hudud di awal kemunculan Islam (Ali Ahmad Yusof. 2001).
Pelbagai persoalan yang boleh ditimbulkan. Memandangkan persoalan di sudut sejarah perkembangan hudud ini kurang dipertengah dan dibahaskan, maka penulis mengambil inisiatif untuk mengembangkan idea kupasan dalam bentuk latihan ilmiah ini khususnya yang berkaitan dengan konteks perlaksanaan hudud. Dalam kajian ini, penulis akan mengutarakan perlaksanaan hudud di zaman Rasulullah s.a.w, di samping itu penulis juga akan mengupas bentuk-bentuk hukuman yang dijalankan pada zaman sebelum kedatangan Islam, khususnya bagi masyarakat quraisyh jahiliah. Untuk meneruskan kupasan ini, penulis akan mengkaji setiap kesalahan hudud pada zaman keagungan Islam iaitu zaman Sahabat dan seterusnya Tabi'in (Ali Ahmad Yusof. 2001).
Oleh yang demikian, kajian ini adalah satu kajian yang penting bagi mencungkil rahsia perjalanan perkembangan hukum hudud di zaman permulaan dan keagungan Islam. Kajian ini juga merupakan kajian teks yang menitikberatkan kepada sejarah perlaksanaan hudud. Jadi ia bermatlamatkan untuk mencungkil dan menyingkap sejauhmana perlaksanaan hukum hudud dan perkembangannya di tiga zaman yang dianggap sebagai zaman keagungan Islam. Penulis memilih hanya bagi tiga zaman sahaja kerana berdasarkan kepada hadis Rasulullah "sebaik-baik manusia adalah pada zamanku, kemudian mereka selepasnya dan diikuti mereka selepasnya". Justeru itu, skop kajian ini hanya terbatas kepada tiga zaman tersebut sahaja (Ali Ahmad Yusof. 2001).
Berdasarkan buku yang pertama bertajuk Hudud dalam Fiqh Islam yang dikarang oleh Mohd Said Bin Ishak penulisan buku ini bertujuan untuk mengungkapkan bahawa undang-undang jenayah hudud itu ialah undang-undang yang diaturkan oleh kebijaksanaan Allah yang mengetahui tabiat dan naluri manusia ciptaanNya. Ia bukan undang-undang yang sesuai di zaman unta dan masyarakat padang pasir sahaja, bahakan ia relevan sepanajang zaman, di mana kita akan memperoleh keyakinan bahawa undang-undang jenayah hudud ciptaan Allah s.w.t sahajalah yang mampu menyelamatkan tamadun manusia daripada keruntuhan akhlak dan kemusnahan sosial akibat kebebasan perlakuan jenayah seks, mencuri, merompak, menceroboh, meminum minuman yang memabukkan dan sebagainya. Oleh yang demikian, jika undang-undang jenayah hudud Islam hendak dilaksanakan, ia haruslah berasaskan sumbernya yang utama, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Bukan semata-mata berasaskan kepada satu mazhab tertentu, sebaliknya hendaklah dengan mengkaji seluruh mazhab dalam fiqh Islam termasuk mazhab al-Zahiri dan Syiah. Bahkan kita tidak perlu lagi merujuk pendapat pakar perundangan Barat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Ini kerana pendapat dan pandangan mereka tidak sesuai dengan aqidah, keimanan dan adat kita. Justeru itu, buku ini turut menjelaskan tentang persoalan apakah hukum dalam Islam itu kejam? Dan mengapakah Islam menghukum rejam terhadap penzina yang muhsan (orang yang sudah berkahwin) hingga mati, sedangkan hukuman bunuh hanya sesuai dihukum kepada pembunuh sahaja. Semoga buku ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada para pencinta undang-undang jenayah hudud Islam (Mohd Said Bin Ishak. 2000).
Buku yang seterusnya bertajuk Hudud : Hukum dan Pelaksanaan yang dikarang oleh Paizah Hj Ismail. Hudud bermaksud had ataupun batas, perenggan, hingga dan setakat. Ini bermakna sesuatu yang boleh menghalangnya daripada mengulangi perbuatan ini bahkan menghalang orang lain dari melakukannya. Begitu juga apabila disebut istilah hududullah, ia bererti sesuatu yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t sebagai halal atau haram dan memerintahkan supaya ketentuan itu tidak dilanggari. Buku ini membincangkan beberapa aspek hudud sebagai langkah yang perlu dinilai. Ia merangkumi asas-asas hukum hudud yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah juga pentafsiran ulama' fiqah mengenai asas-asas tersebut. Termasuk juga perbezaan pendapat di kalangan mereka. Di samping itu, beberapa perbezaan pendapat atau pendekatan di kalangan tokoh politik dan pentadbiran terutamanya di Malaysia diutarakan dalam melihat kemungkinan hukum tersebut terlaksanan sebagai undang-undang yang berkuatkuasa di Negara ini. Semoga tercapai matlamat dalam usaha menyebarkan pengetahuan tentang hukum hudud dan usaha melaksanakannya agar masyarakat menyedari keperlua pelaksanaannya dan mencari pendekatan yang benar-benar sesuai. Mudah-mudahan pelaksanaannya berlaku dengan sempurna dan mampu mencapai objektif asal pensyariatan agama ini (Paizah Ismail. 2008).
Di dalam buku yang ketiga pula bertajuk Undang-undang jenayah Islam : Konsep dan asas perlaksanaannya di karang oleh Mahmood Zhudi Abd Majid. Buku ini menjelaskan pandangan Islam terhadap undang-undang jenayah Islam yang mempunyai prinsip-prinsip asasi bagi menjamin hubungannya yang tidak terhad terhadap masyarakat dan sesuai pula dengan tujuan – tujuan secara umum akidah Islamiah. (Mahmood Zuhdi Abd Majid. 1992)
Manakala di dalam surat khabar Nusajaya Kini, bicara dialog yang berlaku di Johor Bahru pula Isu Hudud ini telah diperjelaskan kepada orang bukan Islam yang hadir kira-kira lebih 20 wakil NGO yang selama ini dimainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN). Dialog Negara Berkebajikan ini dianjurkan oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) dengan kerjasama Nusajaya Kini. Masyarakat Bukan Islam khususnya Kaum Tionghua telah menghadiri dialog ini dan mereka telah diberi penjelasan yang mendalam serta membuka minda mereka terhadap undang-undang hudud yang dianggap tidak wajar dilaksanakan di Malaysia oleh UMNO.
Menurut Dato' Dr Mahfodz Mohammad selaku Pesuruhjaya Pas Negeri Johor berkata, dalam isu hudud ini, masyarakat bukan Islam perlu faham bahawa mereka diberi pilihan sama ada perlaksanaan undang-undang hudud dikenakan ke atas mereka atau mereka boleh meneruskan undang-undang sivil. Beliau menambah lagi, kebimbangannya yang sebenar adalah terhadap pemikiran orang Melayu itu sendiri yang masih tidak mahu berubah. Malahan mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke 4 iaitu Dr. Mahathir Mohammad sendiri tidak berapa faham akan isu hudud ini. (http//:nusajayakini. com. 8 September 2012).
Berdasarkan artikel ini di ruangan Nasional Sinar Harian. Di Shah Alam, pada 1 November 2012 orang bukan Islam mula fahami hudud. Menurut Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), pendedahan kewujudan hukum hudud bukan lagi satu kejutan kepada masyarakat bukan Islam dan mereka sudah mula memperlihatkan penerimaan dan sudah memahami. Kelompok ini lebih memahami Isu Hudud berbanding MCA. Hu Pang Chow selaku pengerusi DHPP mendakwa perkembangan ini telah menjadi kebimbangan buat MCA dan menyebabkan presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek sering menakut-nakutkan masyarakat Cina tentang hudud. Menurutnya lagi, tohmahan MCA semakin hari semakin melampau disebabkan oleh tertekan kerana masyarakat bukan Islam sudah membuka mata dan sudah tidak jahil tentang hudud (http//:www.sinarharian.com.my. 1 November 2012).
1.12 KESIMPULAN
Kefahaman mengenai hukum hudud masih tidak sampai ke dalam kelompok masyarakat secara sepenuhnya dengan kefahaman yang betul. Kekangan penyampaian maklumat ini terjadi disebabkan oleh ruang-ruang dan peluang kefahaman mengenai Hukum Hudud ini tidak meluas seperti penyebaran ilmu-ilmu agama yang lain. Contohnya silibus subjek di sekolah-sekolah/pengajian tinggi, tidak menitikberatkan mengenai ilmu ini. Sedangkan hukum hudud ini merupakan ilmu agama dan hukum fiqh yang penting dalam perlaksanaan undang-undang di Negara kita. Selagimana, kefahaman sebenar ini masih tidak sampai sepenuhnya ke dalam masyarakat selagi itulah masyarakat masih tidak memahaminya dan mengetahui betapa pentingnya hukum hudud ini. Walaupun pengetahuan hukum hudud ini telah sampai kepada masyarakat, namun penguasaan keseluruhan mengenai hukum hudud ini masih tidak dapat dikuasai sepenuhnya seperti masalah ibadah, solat. Sekiranya masalah solat itu diterangkan secara terperinci dari segi rukunnya, sunat ab'ad, sunat hai'at, perkara yang membatalkannya, perkara yang makruh dan kefahaman yang berkaitan dengan solat ini. Hakikatnya, penerangan secara terperinci dan jelas mengenai hukum hudud ini seperti solat dalam kalangan masyakarat masih belum sampai ke tahap itu lagi.
12