BMP556 SEMANTIK BAHASA MELAYU
KULIAH 2: PERKEMBANGAN ILMU SEMANTIK DI MALAYSIA Dr. Rozaimah Rashidin Jabatan Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Kajian Bidang Semantik di Malaysia Sebelum Tahun 1980 Ada beberapa kajian semantik Melayu yang telah dilakukan sebelum tahun 1980. Antaranya adalah seperti kajian Awang Had Salleh (1959), Ismail Muhammad (1959), A. Bakar Hamid (1967), Nik Safiah Karim (1978), Hilmi Haji Ismail (1979) dan Ainon Muhammad (1979). Rencana yang bertajuk “Sadikit tentang ma’ana” telah ditulis oleh Awang Had Salleh pada tahun 1959. Beliau telah menghuraikan tentang definisi makna yang diberikan oleh L. Bloomfield dan Robert A. Hall Jr. Beliau memaparkan beberapa contoh data dalam bahasa Melayu bagi membincangkan tentang makna konotasi, peluasan dan penyempitan makna. Namun begitu, rencana ini boleh dianggap sebagai sebagai sebuah rencana yang umum tentang bidang semantik kerana Awang Had Salleh tidak menerapkan sebarang kerangka teori dalam penulisan ini. Ismail Muhammad (1959) telah menulis sebuah makalah yang bertajuk “Sedikit tentang semantik”. Dalam makalah ini, Ismail kurang membincangkan perkara yang berkaitan dengan semantik tetapi perbincangannya adalah lebih kepada pembentukan kata dan perubahan makna bagi setiap kata-kata tersebut. Beliau cuba mengaitkan bidang semantik dan morfologi dengan menyatakan bahawa, dengan mengetahui bagaimana sesuatu perkataan itu terbentuk, kita akan dapat memberikan makna yang tepat kepada perkataan tersebut. Beliau menjelaskan bahawa perkataan itu terhasil daripada sistem meniru bunyi, sistem bentuk mulut, sistem akar kata, sistem panjang pendek dan sistem menurut. Jelas bahawa, beliau lebih berfokus kepada bidang morfologi dalam rencana tersebut. A. Bakar Hamid (1967) pula telah menulis sebuah rencana yang bertajuk “Semantik”. Beliau berpandangan bahawa semantik kurang mendapat perhatian dalam ilmu linguistik kerana makna sukar dikaji secara formal. Hal ini disebabkan oleh kajian dalam © ROZAIMAH RASHIDIN, APB UiTM
BMP623 SEMANTIK BAHASA MELAYU
2
bidang semantik melibatkan pengalaman manusia. Selain itu, pengkajian makna juga perlu dikaitkan dengan ilmu-ilmu lain seperti ilmu psikologi dan ilmu falsafah. Beliau juga turut menyentuh tentang tahap-tahap perkembangan ilmu semantik sejak zaman Yunani dan Romawi sehingga tahun 1950. Beliau juga telah membincangkan tentang kepentingan ilmu semantik dalam bidang tatabahasa atau sintaksis. Seterusnya, Nik Safiah Karim (1978) telah menghasilkan sebuah makalah yang bertajuk “Persoalan semantik dalam analisa transformasi”. Dalam penulisan ini, beliau telah meninjau persoalan semantik dalam analisis transformasi, aliran terbaru dalam bidang ilmu linguistik pada waktu itu. Analisis transformasi ini telah menimbulkan semantik generatif dan semantik interpretif. Selain itu juga, beliau turut membincangkan tentang kedudukan aspek semantik dalam aliran struktural. Hilmi Haji Ismail (1979) telah menulis mengenai konsep semantik dalam artikelnya yang bertajuk “Apakah erti erti”. Beliau telah mengambil konsep semantik yang dipelopori oleh Geoffrey Leech tetapi cuba menerangkannya berdasarkan tanggapan beliau sendiri. Terdapat tujuh jenis erti iaitu erti konsepsi, konotatif, stilistik, afektif, refleksi, kolokasi dan erti tematik. Rencana yang bertajuk “Semantik: satu pengenalan ringkas” telah ditulis oleh Ainon Muhammad (1979). Dalam makalah ini, Ainon telah menyenaraikan teori-teori semantik termasuklah teori analisis komponen makna, semantik interpretif dan semantik generatif secara ringkas mengikut peredaran zaman. Berdasarkan enam makalah yang telah diteliti, didapati bahawa penulisan yang dilakukan oleh Awang Had Salleh (1959), Ismail Muhammad (1959) dan A. Bakar Hamid (1967) merupakan penulisan tentang bidang semantik yang bersifat umum atau kajian yang bersifat mudah. Dalam perbincangan, mereka tidak menerapkan atau mengaplikasikan sebarang kerangka teori dalam bidang semantik di dalam penulisan mereka. Kajian mereka juga adalah kurang mendalam dan agak terbatas kerana hanya memberikan gambaran secara ringkas tentang bidang semantik. Nik Safiah Karim (1978) dan Ainon Muhammad (1979) pula telah memperkenalkan beberapa teori semantik kepada khalayak. Kajian mereka ini boleh dianggap sebagai satu kajian yang berpendekatan teori tanpa data Mereka serba sedikit telah membincangakan tentang teori analisis komponen makna, semantik interpretif dan semantik generatif dalam
© ROZAIMAH RASHIDIN, APB UiTM
BMP623 SEMANTIK BAHASA MELAYU
3
penulisan mereka. Namun begitu, hanya sedikit data dalam bahasa Melayu yang diterapkan oleh meraka dalam penulisan yang bersifat huraian tersebut. Selain itu juga, didapati bahawa para pengkaji kurang berminat untuk mengkaji bidang semantik secara lebih khusus dan mendalam. Hal ini mungkin disebabkan oleh pada waktu tersebut (1959-1980), bidang semantik merupakan satu bidang yang baru dan masih belum berkembang dalam ilmu linguistik Melayu. Kajian yang diteliti di atas merupakan sebahagian daripada kajian ilmu semantik di Malaysia. Walaupun kajian tersebut secara keseluruhannya boleh dianggap sedikit dan terbatas, namun sumbangannya kepada perkembangan bidang semantik amat besar dan berguna. Kajian Semantik di Malaysia Selepas Tahun 1980: Pendekatan Semantik Kognitif Pendekatan semantik kognitif merupakan salah satu sub-bidang semantik yang mengkaitkan makna dan kognisi manusia. Pendekatan semantik kognitif ini berkembang di Malaysia pada penghujung tahun 1990- an. Oleh kerana ia merupakan satu pendekatan yang baru maka tidak ramai pengkaji semantik bahasa Melayu menerokai atau mengkaji bidang semantik dengan menggunakan pendekatan semantik kognitif ini. Ada beberapa kajian semantik kognitif yang telah dilakukan iaitu oleh Jyh Wee Sew (1997), Imran Ho Abdullah (2000), Kazriyati Salehuddin (2000) dan Rozaimah Rashidin (2006). Jyh Wee Sew (1997) telah menulis artikel yang bertajuk “Pemahaman makna berdasarkan teori nahu kognitif: satu tinjauan pelopor”. Beliau telah menjelaskan tentang sejarah perkembangan awal pendekatan semantik kognitif. Menurut beliau, semantik kognitif atau aliran kognitif merupakan pecahan daripada aliran fungsional. Terdapat banyak pecahan kecil dalam aliran baru ini. Antaranya termasuk aliran metafora kognitif yang dipelopori oleh Lakoff dan Johnson (1980), dan dipergiatkan oleh Gibbs (1994), aliran metabahasa semantik asli yang di pelopori oleh Wierzbicka (1992), aliran nahu kognitif oleh Langacker (1991), aliran daya dinamika (Talmy 1988) dan aliran prototaip yang digiatkan oleh Rosch (1972) dan Taylor (1995). Linguistik kognitif tidak lagi menerima lunas transformasi generatif yang menerima bahawa makna linguistik bersifat syarat benar. Yang menentukan makna merupakan pengalaman dan pengetahuan kebudayaan manusia. Contohnya, matahari terbit dari timur dan terbenam ke barat. Tidak
© ROZAIMAH RASHIDIN, APB UiTM
BMP623 SEMANTIK BAHASA MELAYU
4
ada manusia di dunia ini yang akan menentang syarat alam ini. Akan tetapi dalam syarat benar yang berasaskan sains fizik, matahari langsung tidak bergerak dan hanya bumi sahaja yang bergerak mengelilingi matahari dari arah yang bertentangan dengan pemerhatian manusia. Jelasnya, makna bahasa tidak boleh berlandaskan syarat benar logik. Jyh Wee Sew turut menyentuh tentang makna warna iaitu warna- warni, merah, hitam dan makna warna dalam agama iaitu hitam, putih, merah, kuning, hijau. Seterusnya, rencana yang bertajuk “Peluasan semantik kata sifat rasa: manis, masam, pahit, masin dan tawar telah ditulis oleh Imran Ho (2000). Kajian ini adalah bertujuan untuk menghurai perluasan makna / semantik dan polisemi kata adjektif rasa seperti manis, masam, pahit, masin dan tawar. Peluasan semantik ini ternyata didasari oleh prinsip kognitif yang lebih umum, seperti metafora dan metonimi. Sebagai contoh, kata manis dalam mandala deria rasa dapat dianggap sebagai makna yang masdar atau prototypical. Makna lain leksis manis berhubung dengan makna masdar dalam mandala deria rasa. Deria rasa merupakan deria asas manusia selain deria penglihatan, pendengaran, sentuh dan bau. Penutur asli bahasa Melayu yang ditanya tentang makna manis akan memberikan atau menyenaraikan makna yang berkaitan dengan rasa sebagai makna asas kata yang berkenaan. Hal ini menunjukkan bahawa makna teras kata ini berhubung rapat dengan deria rasa. Oleh itu, penjelasan makna manis perlu dibuat dalam mandala konsepsi rasa. Dengan hal demikian, takrif manis akan dikaitkan dengan bahan yang mempunyai rasa manis seperti gula atau madu. Namun begitu, kata manis yang digunakan dalam frasa manis wajahnya, ucapan maha manis ,dan pertemuan manis tidak mempunyai perkaitan secara langsung dengan deria rasa. Kata manis dalam frasa manis wajahnya berkaitan dengan deria penglihatan, kata manis dalam frasa ucapan maha manis berhubung dengan deria pendengaran dan kata manis dalam frasa pertemuan manis pula tidak berkaitan secara langsung dengan deria manusia tetapi berhubung dengan pengalaman dan emosi. Makna manis juga ada kaitan dengan deria penglihatan, deria pendengaran dan pengalaman serta emosi. Peluasan semantik kata manis berlaku melalui proses kognitif yang dikenali sebagai sinestesia. Melalui proses ini, kata manis digunakan dalam mandala selain mandala lima deria utama dan lebih memusat kepada penilaian terhadap tingkah laku manusia sebagai agen dan penderita serta perawakan dan pengalaman manusia seperti dalam gadis manis, pengalaman manis, detik manis dan sejarah manis. Secara keseluruhannya, analisis leksikal
© ROZAIMAH RASHIDIN, APB UiTM
BMP623 SEMANTIK BAHASA MELAYU
5
semantik kata sifat rasa seperti manis, masam, pahit dan masin jelas memperlihatkan bahawa peluasan leksikal kata sifat rasa berlaku secara sistematik. Geometri struktur makna kata manis, masam, pahit, masin dan tawar mempunyai jaringan yang agak selari dengan peluasan semantik dalam mandala konsepsi seperti deria penglihatan dan deria pendengaran dan dalam mandala pengalaman hidup dan tingkah laku manusia berdasarkan prinsip metafora yang serupa. Kazriyati Salehuddin (2000) pula telah membandingkan mekanisme kognitif yang terlibat dalam pembentukan simpulan bahasa KUASA/ KAWALAN dalam bahasa Melayu dengan mekanisme kognitif yang terlibat dalam pembentukan simpulan bahasa KUASA/ KAWALAN (the metaphors of CONTROL) dalam bahasa Inggeris. Makalah yang bertajuk “ Mekanisme kognitif dalam simpulan bahasa KUASA/ KAWALAN” itu menunjukkan bahawa masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu di Malaysia lebih cenderung menggunakan skema imej tatatingkat untuk memanifestasikan konsep KUASA/ KAWALAN. Daripada perbandingan yang dilakukan terhadap simpulan bahasa yang digunakan di Malaysia, didapati bahawa skema yang digunakan tidak sama. Misalnya skema imej pusat – lilitan dan garis – lurus tidak digunakan untuk memanifestasikan konsep KUASA/ KAWALAN. Skema imej penghubung pula, walaupun kurang mendapat tempat di kalangan pengguna bahasa Inggeris, memperlihatkan peratusan penggunaan tinggi dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, skema imej tatatingkat
ternyata
mendapat tempat di kalangan pengguna bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk memanifestasikan konsep KUASA/ KAWALAN. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu lebih gemar menggunakan skema imej penghubung untuk berbanding dengan mereka yang menggunakan bahasa Inggeris. Penghuraian tentang skema imej ini dibincangkan berdasarkan prinsip kognitif yang lebih umum iaitu metafora konsepsi dan metonimi. Metafora kognitif ialah satu bentuk mekanisme kognitif yang digunakan oleh manusia untuk memahami entiti absarak melalui sesuatu yang konkrit. Entiti konkrit ini dijadikan domain/ ranah punca untuk memahami entiti abstrak yang dikenali sebagai domain sasaran. Dalam simpulan bahasa air dicincang tidak akan putus, sifat air (konkrit) dijadikan domain punca untuk menjelaskan domain sasaran hubungan kekeluargaan (abstrak). Sifat semulajadi air yang tidak dapat diputus-putus ini dipindahkan melalui metafora konsepsi ke hubungan kekeluargaan untuk menjelaskan keadaan hubungan
© ROZAIMAH RASHIDIN, APB UiTM
BMP623 SEMANTIK BAHASA MELAYU
6
kekeluargaan yang tidak mungkin dapat diputuskan walau dilanda pelbagai masalah dan dugaan. Metonimi pula adalah satu bentuk mekanisme kognitif yang digunakan dalam proses mencipta dan memahami simpulan bahasa. Metonimi merupakan entiti yang digunakan untuk memberi gambaran keseluruhan tentang entiti atau konsep yang kompleks. Misalnya, gambar Menara Berkembar Petronas sering ditonjolkan di media massa sebagai cara untuk memaklumkan kepesatan pembangunan di Malaysia kepada dunia. Menara berkembar ini disebut sebagai metonimi kerana digunakan sebagai lambang pembanggunan Malaysia. Antara skema imej yang dibincangkan oleh Kazriyati ialah skema imej tatatingkat, saiz, penghubung, hadapan- belakang, jarak, bekas dan bahagiankeseluruhan. Rozaimah (2006) telah menghasilkan kajian bertajuk “Peluasan makna rasuah dalam karya sastera Melayu Klasik: satu analisis semantik kognitif”. Peluasan makna perkataan rasuah berdasarkan tipologi dalam kajian tersebut telah dianalisis menggunakan pendekatan semantik kognitif dan teori prototaip. Data yang digunakan dalam kajian telah diambil daripada enam buah karya sastera Melayu Klasik iaitu Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Terong Pipit dan
Hikayat
Merong Mahawangsa. Peluasan makna perkataan rasuah ini telah berjaya dihurai dengan menggunakan pendekatan semantik kognitif melalui teori prototaip dan model kategori jaringan radial. Beberapa mekanisme kognitif seperti skema imej penghubung, skema imej daya, skema imej bekas dan beberapa metafora konsepsi telah berjaya diserlahkan bagi memperjelaskan bagaimana berlakunya proses peluasan makna perkataan rasuah ini. Peluasan makna perkataan rasuah berlaku secara sistematik. Peluasan makna perkataan rasuah mempunyai domain utama atau teras, domain pinggiran dan domain subpinggiran. Perbezaan setiap domain inilah yang menyebabkan wujudnya peluasan makna terhadap perkataan rasuah berdasarkan tipologinya. Seterusnya, kajian ini telah memberikan satu cara alternatif untuk memantapkan pendefinisian perkataan yang mengalami peluasan makna kerana telah berjaya memantapkan definisi perkataan rasuah berdasarkan tipologinya. Kesimpulannya, kajian ini telah mengambarkan satu persepsi bahawa gejala rasuah memang telah berlaku dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu dari dahulu hingga kini. Amalan rasuah jelas terpancar di dalam karya-karya sastera Melayu klasik yang telah digunakan dalam kajian ini.
© ROZAIMAH RASHIDIN, APB UiTM
BMP623 SEMANTIK BAHASA MELAYU
7
Berdasarkan empat makalah yang telah diteliti, didapati bahawa penulisan yang dilakukan oleh Jyh Wee Sew (1997) merupakan penulisan tentang semantik kognitif yang bersifat umum atau kajian yang bersifat mudah. Dalam perbincangan, beliau tidak menerapkan atau mengaplikasikan sebarang kerangka teori dalam pendekatan semantik kognitif di dalam penulisan tersebut . Kajian tersebut juga adalah kurang mendalam dan agak terbatas kerana hanya memberikan gambaran secara ringkas tentang semantik kognitif. Imran Ho (2000) telah memperkenalkan kajian peluasan makna berdasarkan pendekatan semantik kognitif, manakala Kazriyati Salehuddin (2000)
pula telah
memperkenalkan metafora konsepsi, metonimi dan skema imej. Kajian mereka ini boleh dianggap sebagai satu kajian yang berpendekatan data tanpa teori. Data yang digunakan adalah data korpus atau bahasa gunaan sebenar, tetapi dalam menghuraikan kajian yang telah dilakukan, mereka tidak menerapkan sepenuhnya kerangka teori yang boleh mengukuhkan kajian yang dijalankan. Kajian multiperspektif yang dilakukan oleh Rozaimah (2006) menawarkan satu cara baru kepada kajian peluasan makna sesuatu perkataan. Dengan kata lain, kajian ini menjalinkan kombinasi di antara pendekatan semantik kognitif dan peluasan makna, kajian sastera Melayu klasik dan semantik kognitif, serta pertalian dan hubungan di antara pendefinisian perkataan dan tipologi rasuah dengan bahasa atau linguistik.
© ROZAIMAH RASHIDIN, APB UiTM