Isu penampilan guru sudah timbul sejak berlakunya peningkatan di dalam profesionalisme keguruan. Berdasarkan Stewart (2005), beliau mendefinisikan penampilan sebagai tret-tret perwatakan dan personaliti yang dianggap perlu untuk kejayaan sebagai seorang guru. Berdasakan kajian-kajian lepas menunjukkan sikap, nilai, dan kepercayaan guru tentang pelajar membawa kesan kepada pembelajaran dan perkembangan pelajar (Collinson et. Al.,1999). Penampilan yang ditunjukkan atau dihasilkan oleh guru membolehkan murid menjadikannya contoh dan ikutan. Etika pakaian guru menjadi fokus di dalam isu penampilan guru ini. Ini adalah kerana pelajar menilai guru secara nyata dan apa yang mereka nampak. Nilai tanggungjawab, kepimpinan dan lain-lain nilai yang melibatkan dalaman seorang guru tidak dapat dilihat oleh murid malah ia memerlukan masa untuk seseorang mengenali nilai dalaman seseorang. Howard (2007) telah huraikan 4 ciri utama yang merangkumi penampilan guru serta sahsiah yang secara signifikannya dapat menghasilkan hasil pembelajaran yang lebih baik. Penampilan untuk perbezaan adalah ciri pertama yang dinyatakan di mana sebagai seorang guru, kita perlulah mempunyai tahap keterampilan berasaskan budaya. Guru perlulah sentiasa mencari penyelesaian yang tidak memihak kepada satu pihak sahaja. Yang kedua ialah penampilan untuk berdialog. Pakaian adalah salah satu cara berdialog tanpa suara yang ditunjukkan oleh guru. Pakaian yang kemas dan teratur menjadikan orang disekeliling lebih yakin untuk berbincang dan berdialog. Ketiga ialah disilusi di mana guru hendaklah mengawal emosi kekecewaan di sekolah. Jika guru berasa kecewa pada hari tersebut, guru hendaklah lebih bersikap profesional dan jangan menunjukkan perasaan kecewa itu dengan pakaian yang kusut dan tidak teratur. Yang terakhir ialah demokrasi di mana guru tersebut bersikap lebih terbuka dan memberi peluang melibatkan diri di dalam perkembangan diri masing-masing sama ada perkembangan guru ataupun murid.
Guru sepatutnya mematuhi etika pakaian yang telah disarankan oleh kementerian di dalam pekeliling pakaian yang telah dibuat. Isu penampilan ini timbul apabila guru tidak lagi mengikut pekeliling yang telah ditetapkan. Guru lelaki tidak memakai tali leher dengan kemas, memakai kemeja berlengan pendek dan bercorak yang terlalu menyerlah. Mereka juga tidak dapat mengenakan pakaian mengikut situasi dan kepentingan sebagai contoh guru tersebut memakai kasut sukan semasa acara rasmi diadakan. Bagi guru wanita pula ialah pakaian yang terlalu menonjol seperti baju kebaya yang terlalu ketat sehingga menampakkan susuk tubuh dan warna yang terlalu terang sehingga mengganggu fokus pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku. Terdapat juga guru yang memakai skirt pendek ketika disekolah. Guru wanita juga tidak mengenakan kasut yang sesuai di mana mereka perlulah memakai kasut yang bertutup dan bertumit sekurangkurangnya satu inci. Berdasarkan semua masalah di atas, tidak memakai tanda nama adalah satu masalah yang paling utama di dalam isu etika berpakaian ini. Rata-rata masalah ini timbul di kalangan guru lelaki dan juga wanita. Untuk menangani masalah ini, pihak atasan sekolah ataupun pihak pentadbir perlulah memainkan peranan yang penting. Pihak atasan perlulah merangka satu peraturan yang tetap dan fleksible di mana peraturan tersebut mudah diikuti dan boleh berubah di dalam situasi-situasi tertentu. Pihak atasan juga perlulah mengikuti peraturan yang telah ditetapkan dan menjadi contoh kepada guru lain. Jika mereka berjaya melaksanakannya maka guru lain akan lebih mudah untuk mengikuti peraturan tersebut. Berdasarkan teori tret (teori tradisional), Wright (1996) menyatakan bahawa tidak terdapat perbezaan antara pemimpin dengan pengikut derdasarkan mana-mana sifat peribadi pemimpin yang khusus. Jika pemimpin tidak mengikut peraturan maka tidak mustahil guru lain juga tidak mengikut peraturan. Teori Semasa (Kepemimpinan Moral) memberikan perhatian kepada nilai dan etika pemimpin di mana penggunaan kuasa dan pengaruh adalah amat penting. Sergiovanni (1992) menyatakan bahawa kepemimpinan moral sebagai satu bentuk bimbingan yang dapat memotivasikan orang lain melalui satu prinsip dan pegangan nilai yang terpuji. Pemimpin yang menunjukkan nilai positif pasti akan dicontohi oleh guru-guru lain.
Guru juga perlulah ada kesedaran diri tentang tanggungjawab terhadap jawatannya. Guru adalah seorang pemimpin di kelas dan guru menjadi contoh kepada pelajar yang diajarnya. Guru perlu sedar bahawa kita sentiasa diperhati oelh pelbagai pihak dan setiap perilaku kita akan dinilai. Oleh itu sebagai seorang guru, kita perlulah sedar bahawa penampilan yang sentiasa kemas menjadikan orang tertarik dan yakin dengan apa yang kita sampaikan. Teori tingkah laku menyatakan bahawa tingkah laku itu boleh dibentuk dan dipelajari secara formal atau pun tidak. Kebiasaan guru dalam etika pakaian yang betul menjadikan mereka suda terbiasa untuk tampil lebih kemas dan segak. Berdasarkan Teori Y, jika guru sedar akan tanggungjawab terhadap jawatannya, maka mudahlah kerjasama dihasilkan dan banyak masalah-masalah kecil di sekolah dapat diselesaikan. Pihak kementerian dan pentadbir sekolah juga perlulah lebih tegas di dalam menangani masalah ini. Tindakan tatatertib perlulah dikenakan kepada guru yang sentiasa melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh sekolah dan juga pekeliling yang telah dibuat oleh pihak kementerian. Sikap pentadbir yang tidak ambil berat terhadap isu ini menjadi guru-guru semakin melupakan etika pakaian yang sepatutnya dikenakan ketika berada di sekolah dan sebagainya. Tindakan yang boleh dikenakan seperti menarik ataupun menahan pengeluaran gaji guru dan boleh juga dibuat pengantungan pengantungan perkhidmatan kepada guru yang kerap melanggar peraturan pemakaian yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun keterbukaan itu perlu. Berdasarkan Teori Kontijensi (Fiedler, 1967), tidak terdapat satu cara terbaik dalam memimpin sebuah organisasi. Sebelum sesuatu tindakan dikenakan, pihak pentadbir perlulah melihat dari semua segi dan keadaan kenapa guru tersebut melanggar etika pakaian yang telah dibuat. Pihak pentadbir tidak boleh hanya mendengar desas desus mengenai pakaian yang dipakai oleh guru tersebut dari guru lain sahaja dan terus beranggapan bahawa guru tersebut salah dari segi etika pakaiannya. Secara kesimpulannya, isu etika ini tidak akan berakhir jika tiadanya kesedaran dalam diri setiap pihak. Tidak kira pihak yang memimpin ataupun pihak yang dipimpin. Seperti peribahasa melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika bengkok rebung yang kita bentuk maka bengkok jugalah buluh yang akan terhasil. Jika kesedaran tentang isu ini masih diambil remeh maka buruklah hasilnya dan semakin teruklah isu ini terus bangkit tanpa ada penyelesaian. Setiap guru perlu
sedar bahawa tanggungjawab terhadap jawatan yang diberi bukanlah satu tugas yang mudah. Banyak yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan. Sebagai seorang guru isu etika pakaian ini tidak boleh dipandang remeh. Abdullah, Abdul dan abdul (2007) menyatakan bahawa kepemimpinan tranformasi guru memperlihatkan iltizam yang tinggi dapat menjana tahap motivasi dan nilai moral yang terpuji. Penampilan guru itu sendiri dapat memberi pendidikan tidak formal kepada pelajar dalam membentuk nilai diri yang positif dan membantu mereka menjadi insan yang berguna dan berketerampilan.