ISU ETIKA GURU : ISU KESANTUNAN GURU
1.0 PENDAHULUAN
Profesion keguruan merupakan profesion amat terpuji dan mulia di kaca mata
masyarakat. Menurut Mohd. Fadzly (2011), fungsi dan peranan guru
dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu,
jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah
malah sebagai agen perubahan. Hal ini kerana guru bukan sahaja mengajar
subjek tertentu di dalam kelas malah mereka merupakan ejen kepada perubahan
minda masyarakat.
Guru yang bertindak sebagai agen perubahan perlu memainkan peranan
berkesan dengan sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.
Di samping itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah melakukan
pelbagai usaha untuk menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang
unggul dan disegani ramai (Noriati et.al, 2010). Sehubungan dengan itu,
para guru dituntut agar sentiasa profesional dalam menjalankan amanah
mereka sebagai seorang pendidik. Seorang guru yang profesional perlu
mematuhi peraturan yang termaktub dalam etika profesion keguruan.
Etika membincangkan sama ada betul atau salahnya sesuatu perlakuan.
Menurut Thiroux (2000) dalam Foo (2005), etika merujuk kepada satu bahagian
moral (morality) yang mengkhususkan perbincangan tentang tingkah laku dan
nilai manusia. Di Malaysia, para guru perlu mematuhi kod etika keguruan.
Kod etika keguruan ini dirangkakan sebagai panduan kepada para guru agar
tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan imej profesion keguruan.
Kod etika ini juga mengingatkan para guru agar tidak melibatkan diri dalam
salah laku semasa memberi perkhidmatan pendidikan di negara ini.
Walau bagaimanapun, kerjaya profesion perguruan pada abad ini tidak
terlepas daripada isu-isu yang boleh mencalar imej profesion perguruan itu
sendiri. Walaupun isu yang diperkatakan berpunca daripada segelintir guru,
namun perkara ini secara tidak langsung telah menyebabkan pandangan
masyarakat terhadap profesion perguruan turut tercalar. Oleh itu, bagi
tugasan Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru (EDU 3083 ini),
penulis akan mengupas mengenai isu salah laku guru dan membuat ulasan
mengenai isu kesantunan guru berdasarkan artikel yang telah dipilih.
2.0 ISU ETIKA GURU
Paparan mengenai isu salah laku guru sering dilaporkan. Antara isu etika
guru yang dilaporkan adalah seperti isu kesantunan guru, isu kepedulian
guru, isu penampilan guru, isu guru berniaga di sekolah, pengurusan
kewangan, pengurusan masa dan kerjaya sambilan guru. Kesemua isu ini boleh
menjejaskan kelancaran pentadbiran organisasi di sekolah. Walau
bagaimanapun, penulis hanya akan memfokuskan perbincangan terhadap isu
kesantunan tingkah laku guru.
2.1 Isu kesantunan tingkah laku guru
Ibu bapa amat bergantung harap sepenuhnya kepada para guru supaya dapat
membentuk dan mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Namun,
berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman
yang dikenakan guru terhadap murid secara melampau sering kali dilaporkan.
Hal ini memberikan gambaran bahawa penerapan nilai kesantunan tingkah laku
dalam diri segelintir guru semakin terhakis.
Menurut Noriati et. al (2010), kesantunan ialah perlakuan yang mampu
menjalinkan hubungan baik antara satu sama lain yang menjadikan sesuatu
pergaulan itu berada dalam keadaan harmoni dan mesra. Menurut Awang
Sariyan (2007) pula, kesantunan ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan,
beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada
pihak yang menjadi teman bicara. Manakala Syed Ismali dan Ahmad Subki
(2010) mendefinisikan kesantunan sebagai perilaku yang ditetapkan dan
disepakati oleh suatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan
tersebut menjadi prasyarat dalam perilaku sosial.
Jika merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula, kesantunan atau
perihal santun bermaksud kesopanan dan kehalusan budi bahasa atau budi
pekerti. Kehalusan budi bahasa atau budi pekerti pula merujuk kepada
seseorang yang mempunyai perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak
yang baik. Berdasarkan rujukan kamus dan pendapat tokoh-tokoh akademik
dapatlah diringkaskan bahawa seseorang yang santun bukan sahaja perlu
menjaga tutur kata malah tingkah lakunya juga perlu dijaga. Oleh itu,
nilai kesantunan tingkah laku ini perlu ada dalam diri setiap guru kerana
guru merupakan 'role model' yang menjadi contoh dan teladan kepada murid-
murid.
Selain menjadi rol model kepada murid, keperluan mempunyai nilai
kesantunan tingkah laku dalam diri seorang guru juga adalah supaya tidak
berlakunya pelanggaran kod etika keguruan. Merujuk kepada prinsip
kesetiaan dalam kod etika keguruan, seorang guru tidak harus mengamalkan
tingkah laku yang tidak sopan terhadap murid yang boleh menyebabkan
jatuhnya martabat profesion keguruan (Foo, 2005). Oleh itu, apabila
berlakunya kes guru pukul murid, guru dera murid, guru mencederakan murid
dan sebagainya, guru tersebut boleh dikatakan sebagai guru yang tidak
mempunyai ciri kesantunan tingkah laku dan telah melanggar kod etika
keguruan yang telah digariskan.
Penulis telah menjumpai sebuah artikel yang berkaitan dengan isu
kesantunan tingkah laku guru. Seorang guru dikatakan 'naik angin' lalu
membaling kasut setelah mendapati seorang murid perempuan ingkar arahannya
supaya tidak bermain di dalam kelas. Bukan setakat itu sahaja, guru
tersebut juga langsung tidak menghiraukan kecederaan yang dialami mangsa
setelah berlaku insiden tersebut. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa
guru tersebut telah bertindak mengikut emosi tanpa menghiraukan keselamatan
murid berkenaan. Penulis akan mengupas dan mengulas dengan lebih lanjut
lagi mengenai artikel tersebut.
3.0 ULASAN ARTIKEL ISU GURU 'NAIK ANGIN'
Dasar Kementerian Pelajaran menjelaskan tiada seorang pun warga pendidik
yang boleh melakukan sesuka hati mereka di sekolah. Pihak kementerian juga
sudah menyediakan garis panduan berhubung tindakan disiplin (Sapora Sipon,
2007). Oleh itu, memberi hukuman terhadap murid yang melakukan kesalahan
tidak boleh menyalahi etika keguruan yang ditetapkan. Pendedahan-
pendedahan salah laku guru oleh media massa sedikit sebanyak boleh
mengakibatkan kewibawaan profesion keguruan tergugat pada mata umum.
Sebuah artikel daripada sumber akhbar Sinar Harian bertarikh 11 Julai
2014 bertajuk "Cikgu Naik Angin Baling Kasut" yang dikarang oleh Nurulatiq
Ahmad Bandi membuktikan bahawa seorang guru telah melakukan perbuatan yang
menyalahi etika perguruan. Berdasarkan artikel tersebut, seorang guru
lelaki di sebuah sekolah kebangsaan di Port Dickson telah didakwa kerana
membaling kasut kepada seorang murid perempuan tahun dua sehingga
menyebabkan kecederaan di dahi dan menerima tiga jahitan. Kejadian
tersebut dikatakan berpunca daripada tindakan murid tersebut yang bermain
di belakang kelas bersama dua rakannya ketika guru terbabit sedang mengajar
mata pelajaran Pendidikan Moral. Berikut merupakan keratan akhbar yang
dimaksudkan :
Penulis : Nurulatiq Ahmad Bandi
Tarikh : 11 Julai 2014
Tajuk : "Guru Naik Angin Baling Kasut"
Sumber : Sinar Harian Online
(Rujuk lampiran 1 untuk artikel penuh)
Berdasarkan isu yang dilaporkan ini, guru tersebut jelas telah
melanggar kod etika keguruan kerana melakukan perbuatan yang mendatangkan
kecederaan kepada muridnya. Merujuk kod etika perguruan di Malaysia, guru
perlu menjalankan tanggungjawabnya kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan
sejawat, masyarakat dan negara (Foo, 2005). Keadaan ini jelas menunjukkan
perbuatan guru tersebut bertentangan dengan akauntabiliti keguruannya
terhadap murid. Jika diamati, kes yang dilaporkan ini termasuk dalam isu
kesantunan tingkah laku guru. Dalam kes ini, guru tersebut seharusnya
bertindak secara matang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi tanpa
bertindak mengikut emosi.
Apabila melihat kepada kes yang berlaku ini, boleh dikatakan bahawa
guru ini tidak mempunyai sifat santun kepada anak muridnya. Guru
seharusnya menegur perbuatan muridnya dengan lebih berhemah. Berdasarkan
maklumat yang terdapat dalam artikel tersebut, guru yang berkenaan mengajar
subjek Pendidikan Moral. Dimanakah letaknya nilai moral seseorang guru
jika menegur murid dengan menggunakan kekerasan? Kelas pendidikan moral
sepatutnya mengajar murid-murid tentang budi bahasa dan nilai-nilai moral,
namun sebaliknya pula yang berlaku.
Persoalannya, mengapakah guru itu tidak menegur perbuatan murid-murid
tersebut tidak dengan cara yang lebih berhemah? Apakah yang mendorong guru
tersebut melakukan perbuatan tersebut? Segalanya menjadi persoalan yang
bermain di minda penulis sedangkan para guru sudah tahu akibat yang bakal
dihadapi sekiranya mereka melanggar kod etika keguruan yang telah
ditetapkan. Keadaan ini juga mendorong penulis untuk mengenal pasti punca-
punca yang mendorong guru melakukan perbuatan tersebut, cara mengatasi dan
implikasinya terhadap profesion perguruan.
4.0 ANALISIS KRITIKAL ISU GURU 'NAIK ANGIN'
4.1 Definisi 'naik angin'
Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), 'naik angin' diertikan
sebagai ketidakkawalan diri kerana terlalu marah. Selalunya istilah
'naik angin' ini dimaksudkan juga sebagai perbuatan mengamuk.
Mengamuk berasal daripada perkataan 'amuk' membawa maksud menyerang
secara membabi buta kerana terlalu marah. Jika dilihat daripada
definisi yang diberikan, apabila seseorang guru 'naik angin', keadaan
ini jelas menunjukkan bahawa guru tersebut tidak dapat mengawal emosi
marahnya secara waras.
4.2 Punca-punca guru 'naik angin' terhadap murid
Menurut kenyataan yang dibuat oleh Dunham dan Varma (1998) dalam
Noriati et. al (2010), tekanan yang dihadapi oleh guru adalah
berpunca daripada ketidakmampuan guru mengawal disiplin di dalam bilik
darjah dan sekolah. Oleh itu, masalah disiplin murid boleh dijadikan
sebagai punca seseorang guru 'naik angin' terhadap murid dan melakukan
sesuatu diluar kawalan emosinya.
Dalam era modenisasi kini, murid kurang menghargai dan menghormati
perasaan guru. Guru sering kali dikejutkan dengan tindakan murid diluar
jangkaan seperti tidak mematuhi arahan, melanggar disiplin sekolah dan
sebagainya. Oleh itu, sekiranya masalah disiplin murid tidak dapat
ditangani dengan baik, guru cenderung untuk melakukan tindakan yang tidak
profesional sebagai penyelesaian kepada permasalahan tingkah laku murid
yang kurang disenangi.
Selain itu, tekanan kerja guru juga merupakan salah satu punca yang
boleh menyebabkan seseorang guru 'naik angin' terhadap murid. Mengikut
Kyriacou & Sutcliffe (1978) dalam Kamaruzaman (2007) menyatakan bahawa
tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif
seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari
aspek kerja mereka sebagai guru. Oleh itu, tidak hairan jika tekanan
kerja yang dialami oleh guru menyebabkan segelintir guru hilang
pertimbangan semasa mengenakan hukuman terhadap murid.
Bersangkutan dengan isu tekanan kerja guru, bekas Menteri Pelajaran,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah mendedahkan bahawa beban kerja
para guru pada masa kini adalah terlalu berat. Selain tugas-tugas hakiki
selaku pendidik, isu longkang sumbat, isu siling bocor juga antara bebanan
yang terpaksa dipikul guru. Pengharapan untuk menaikkan tahap akademik
pelajar dan sekolah turut meningkatkan bebanan kerja para guru selain
tanggungjawab remeh-temeh yang terpaksa digalas mereka (Utusan Online,
Januari 2008).
Kenyataan ini disokong juga oleh Sapora Sipon (2007) yang menyatakan
bahawa bidang perguruan adalah satu profesion yang amat terdedah kepada
tekanan. Menurut beliau lagi, tekanan yang dihadapi oleh guru boleh
memberi kesan kepada perhubungan guru dengan murid dan juga mutu pengajaran
dan pembelajaran. Keadaan ini berlaku apabila guru tidak mampu untuk
mengawal emosi akibat tekanan. Oleh itu, tekanan kerja yang dihadapi oleh
guru ini perlu dianalisis dengan lebih mendalam lagi agar tidak menjejaskan
hubungan guru dengan murid termasuklah mutu pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas.
Gangguan emosi guru juga boleh dikatakan sebagai punca guru 'naik
angin' terhadap murid. Menurut Goleman (1998) dalam Mok Soon Sang (2010),
kecerdasan emosi adalah kemampuan untuk mengawal dan mengelolakan diri
sendiri dan orang lain dari aspek perasaan, emosi dan tingkah laku.
Kecerdasan emosi juga merupakan tindakan dan kepintaran untuk mengubahsuai
sesuatu tingkah laku bersesuaian dengan masa dan keadaan. Emosi yang tidak
stabil akan boleh mengakibatkan berlakunya sesuatu perbuatan di luar
kewarasan akal.
Emosi yang tidak stabil ini boleh terhasil apabila guru tidak
mencapai keperluan peribadi. Misalnya, seorang guru mempunyai sasaran
terhadap tingkah laku murid agar tidak bermain semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran dijalankan. Apabila telah berulang kali tingkah laku yang
sama dilakukan, guru akan merasa kecewa, rasa putus asa dan akhirnya
menyebabkan guru bertindak diluar kawalan kerana berasa tercabar apabila
murid ingkar arahannya.
Punca seterusnya ialah kurangnya pemantauan pengajaran dan
pembelajaran daripada pihak pentadbir. Semasa pemantauan dilakukan, guru
yang dipantau akan dinilai daripada pelbagai aspek. Menurut Ab. Aziz
(1999), penilaian pengajaran merupakan suatu sistem formal untuk menilai
prestasi kerja seseorang dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti kerja
yang dibuat. Menurut beliau lagi, penilaian ini perlu dilakukan secara
berterusan bagi tujuan pembangunan prestasi kerja. Namun, jika kurangnya
pemantauan daripada pihak pentadbir, maka para guru cenderung untuk
menjadi agresif kepada murid kerana mereka tidak perlu risau akan akibat
daripada tindakan mereka. Pemantauan yang kurang juga akan menyebabkan
guru dengan sewenang-wenangnya bertindak mengikut perasaan tanpa
menghiraukan keselamatan murid.
Profesion guru dijadikan sebagai kerjaya pilihan terakhir oleh
sesetengah graduan juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan
berlakunya pelanggaran kod etika guru. Hal ini kerana graduan yang
menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir mereka tidak mempunyai
jiwa sebagai seorang pendidik. Mereka juga dilihat kurang memberikan
komitmen dalam kerja, kurang nilai dalam kehidupan dan mempunyai etika
kerja yang lemah.
Ramai yang menganggap tanpa latihan asas pun mereka masih boleh
menjadi guru sandaran atau guru sementara. Hal ini kerana menurut Shuib &
Johari (2001), pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan
selamanya adalah sama, iaitu untuk mengajar, mendidik manusia yang bernama
murid dari keadaan yang tidak mengenal huruf, tidak tahu mengira dan tidak
boleh membaca kepada celik huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang
berjaya. Namun jika tiada jiwa sebagai seorang pendidik, tugas guru tidak
mampu digalas dengan sempurna juga.
Apabila sikap ini wujud, maka individu yang menjadikan kerjaya guru
sebagai pilihan terakhir tersebut akan mengambil ringan tugas yang telah
diamanahkan sehinggakan tiada lagi rasa tanggungjawab untuk bersungguh-
sungguh dalam mendidik anak bangsa dan apa yang penting bagi mereka
hanyalah gaji yang bakal diterima pada setiap bulan.
Faktor penghargaan boleh juga menjadi punca guru berkelakuan agresif
terhadap murid. Menurut Raja Maria (2011), penghargaan merujuk kepada
perbuatan menghargai, penghormatan, penyanjungan. Menurut beliau lagi,
penghargaan juga merujuk kepada penghargaan ke atas pengajaran yang baik,
struktur kerjaya, peluang naik pangkat, mempunyai suara dalam membuat
keputusan dan persepsi guru terhadap gaji yang diterima berbanding dengan
tugas yang dipikul.
Secara mudahnya, penghargaan ini merujuk kepada penghargaan yang
sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin, berdedikasi, dan
cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Terdapat guru-guru yang benar-
benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran, namun
penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Sehubungan dengan itu,
jika diamati faktor kurang penghargaan merupakan faktor yang boleh
menyebabkan tekanan kerja kepada guru seterusnya menyebabkan emosi guru
tidak stabil apabila berhadapan dengan murid.
Berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan, jelaslah bahawa isu salah
laku guru terhadap murid berpunca daripada pelbagai faktor. Faktor-faktor
yang mendorong kepada masalah salah laku guru ini menjadi satu cabaran
kepada pelbagai pihak termasuklah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
dalam memikirkan cara-cara untuk memartabatkan semula profesion perguruan
yang semakin dipandang serong oleh masyarakat.
4.3 Cadangan mengatasi masalah guru 'naik angin' terhadap murid
Cadangan pertama bagi mengatasi masalah guru 'naik angin' terhadap murid
ini ialah peranan pihak pentadbir untuk menganjurkan program berkaitan
pengurusan tekanan, sama ada dalam bentuk bengkel, kursus ataupun seminar.
Hal ini kerana menurut Sapora Sipon (2010), program pengurusan tekanan
mampu membantu individu mengurus punca-punca tekanan selain diberikan input-
input tentang cara untuk menterjemahkan perasaan dengan cara yang betul
tanpa menggangu prestasi kerja.
Cadangan kedua pula ialah para guru disarankan untuk melaksanakan
peraturan berkaitan dengan sifar masalah disiplin di dalam kelas. Menurut
Noriati et.al (2009), penguatkuasaan peraturan di dalam kelas ini merujuk
kepada Model Disiplin Asertif yang telah diperkenalkan oleh Lee dan Marlene
Canter setelah mendapati majoriti guru tidak mampu mengawal tingkah laku
yang tidak diingini berlaku dalam bilik darjah. Cadangan ini juga releven
setelah mendapati masalah disiplin murid merupakan salah satu punca guru
bertindak diluar kawalan emosinya. Dengan adanya peraturan kelas sebegini,
murid akan dikenakan tindakan berdasarkan hukuman yang telah dipersetujui
secara bersama sahaja. Oleh itu, masalah disiplin di dalam kelas berjaya
dikurangnya sekali gus dapat mengelakkan kejadian guru bertindak secara
keterlaluan bagi tujuan menghukum murid yang melanggar disiplin.
Cadangan ketiga ialah para guru perlu menghadiri kursus yang
dikendalikan oleh kerajaan bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab
sebagai pendidik. Nilai murni seperti kemanusiaan, kasih sayang, nilai
moral, etika, tanggungjawab dan sebagainya perlu diterapkan ke dalam diri
setiap guru. Nilai hidup yang baik ini dapat memelihara mereka daripada
melakukan tindakan yang bertentangan dengan norma hidup masyarakat. Dengan
kata lain, para guru perlu melibatkan diri secara produktif dalam setiap
proses perubahan yang mempunyai tujuan moral yang dikaitkan dengan tugas
dan tanggungjawab mereka.
Cadangan seterusnya pula ialah kerajaan digesa agar mengurangkan
penempatan guru sandaran atau guru sementara yang tidak terlatih.
Kekosongan jawatan guru sama ada di sekolah biasanya diisi oleh guru
sandaran yang tidak mendapat latihan secara formal sama ada di institut
perguruan ataupun universiti. Umum tidak dapat menafikan mengenai
keperluan mengisi kekosongan tersebut atas dasar keperluan pendidikan murid
di sekolah, namun pandangan masyarakat terhadap profesion keguruan ini
akan menjadi lebih pudar lagi apabila ada sesetangah pihak yang menganggap
tanpa mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat tertentu, mereka masih
boleh menjadi seorang guru. Bahagian Dasar dan Penyelidikan Pendidikan
perlu mengambil langkah yang proaktif terhadap lambakan guru-guru sandaran
tidak terlatih di sekolah yang sekali gus akan merendahkan martabat
profesion keguruan.
Cadangan yang terakhir ialah pemilihan calon guru yang benar-benar
layak dan cinta akan profesion keguruan. Menurut Wan Zahid (1998), kajian
yang dijalankan terhadap beberapa orang guru mengenai kejadian 'burn-out'
jelas menunjukkan bahawa guru yang sering kali menghadapi masalah ini ialah
guru yang kurang berminat menjadi guru sejak dari awal lagi. Calon-calon
guru yang dipilih perlulah bukan dalam kalangan graduan yang menjadikan
profesion keguruan sebagai kerjaya terakhir. Hal ini kerana sekiranya
profesion ini adalah pilihan yang terakhir bagi calon guru tersebut, minat
utama terhadap profesion ini sebenarnya hanya sedikit sahaja dan akibatnya
selepas dua atau tiga tahun menjadi guru, mereka mula bosan dengan tugas
sebagai seorang guru.
4.4 Implikasi salah laku guru terhadap profesion keguruan
Sekiranya tingkah laku negatif guru terhadap murid tidak dibendung dengan
baik, berkemungkinan besar masalah ini akan menular dengan lebih teruk
lagi. Implikasi daripada perlakuan negatif guru ini bukan sahaja
memberikan kesan kepada diri guru dan mangsa malah kewibawaan profesion
perguruan turut terjejas akibat perbuatan segelintir guru ini. Bak kata
pepatah, "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".
Salah satu implikasinya ialah profesion perguruan akan dipandang
rendah oleh masyarakat. Akibat tindakan segelintir guru, masyarakat sudah
mula hilang kepercayaan kepada pentadbiran sekolah secara amnya dan para
guru secara khususnya dalam menyediakan pendidikan yang selamat dan
berkesan. Jika dahulu masyarakat menganggap kerjaya guru sebagai kerjaya
yang mulia, namun akibat tindakan segelintir guru yang mencemar nama baik
profesion ini, bidang perguruan ini tidak akan dihormati lagi oleh
masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid.
Selain itu, implikasi salah laku guru terhadap profesion perguruan
ialah generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru. Hal ini kerana
mengikut Lilia dan Norlena (1998) dalam Noriati et.al (2010), penyusutan
kuasa untuk menjalankan tugas secara profesional menyebabkan imej profesion
perguruan menurun di kaca mata masyarakat. Apabila hal ini terjadi
profesion ini akan kekurangan genarasi muda yang berbakat untuk mendidik
anak bangsa. Kerajaan pula tidak lagi dapat melahirkan guru-guru yang
berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang
ingin menceburi bidang ini.
Perbuatan guru yang melampaui batas semasa menghukum murid
juga telah menjejaskan nama baik guru yang bekerja dalam profesion
perguruan terutamanya apabila berita kurang baik ini berleluasa disebarkan
di dada-dada akhbar. Selain itu, akibat daripada tindakan guru terbabit,
guru-guru yang lain juga menerima tempiasnya terutamanya guru-guru yang
berada di sekolah berkenaan sekali gus menyebabkan mereka dipandang serong
oleh masyarakat setempat.
Tambahan lagi, guru yang bertindak tanpa memikirkan nilai sahsiah dan
moral terhadap anak muridnya telah bergerak selangkah untuk menggelapkan
masa depannya sendiri. Hal ini kerana guru tersebut boleh dikenakan
tindakan tatatertib jika disabitkan kesalahan. Tindakan di luar
kewarasannya itu juga turut memberikan kesan terhadap murid yang
dicederakan termasuklah trauma dan hilang motivasi untuk ke sekolah.
Kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa murid terbabit terhadap guru
sebagai penyampai ilmu turut dimusnahkannya dengan perlakuan tersebut.
Murid-murid yang lain di dalam kelas juga akan berasa takut untuk mengikuti
kelas yang dilaksnakan oleh guru terbabit.
Implikasi lain yang dihadapi oleh guru yang melakukan perbuatan ini
ialah hubungan guru dan murid menjadi renggang di mana semua murid akan
menjadi takut untuk menuntut ilmu dengan guru tersebut. Dalam situasi ini
murid berasa tidak selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Selain itu
hubungan guru dan rakan sejawat juga akan musnah kerana guru lain tidak
akan percaya kepada guru tersebut. Guru tersebut juga akan mengalami
masalah jiwa terhadap perbuatan yang dilakukannya.
5.0 PENUTUP
Profesion keguruan merupakan satu profesion yang memainkan peranan yang
sangat penting dalam menjulang martabat pendidikan di negara kita Malaysia.
Hal ini kerana golongan guru merupakan golongan utama yang diamanahkan
untuk membantu negara dalam mencapai matlamat utama pendidikan negara iaitu
bagi menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui
perkembangan bersepadu individu yang menyeluruh dari segi jasmani, emosi,
rohani, intelek dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Semua warga guru bertanggungjawab untuk membantu segala usaha bagi
mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan menjadikan negara ini
sebagai pusat kecemerlangan bertaraf dunia. Sifat-sifat yang luhur,
bertanggungjawab serta mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi
semestinya menjadi amalan sepanjang menggalas jawatan sebagai guru.
Guru juga seharusnya mempunyai etika kerja supaya dapat menanamkan
sikap positif dan menghapuskan sikap negatif dalam melaksanakan tugas-tugas
yang diamanahkan bagi meningkatkan kualiti kerja. Selain itu, etika kerja
ini juga dapat meningkatkan disiplin diri bagi menghasilkan perkhidmatan
yang cemerlang kepada murid-murid dan organisasi serta dapat memberikan
sumbangan positif yang berterusan kepada negara
Walaupun isu tingkah laku negatif guru ini sedikit sebanyak telah
menjejaskan imej profesion perguruan, namun masyarakat seharusnya bijak
menilai bahawa tidak semua guru mempunyai sikap yang sama. Masih ramai
lagi guru yang bertungkus-lumus mendidik anak-anak bangsa dengan jujur dan
ikhlas. Masyarakat tidak seharusnya menghakimi para guru dengan gelaran-
gelaran tertentu yang tidak enak didengar.
Secara kesimpulannya kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya
yang cukup mencabar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh
seseorang guru dalam memberikan sesuatu yang terbaik kepada murid. Sesuatu
yang positif perlu dilakukan segera oleh pihak kerajaan, pentadbiran
sekolah dan juga guru sendiri bagi mengelakkan punca-punca tingkah laku
negatif guru ini membawa kesan yang lebih teruk sekiranya dibiarkan
berterusan.