PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE 50- MENTERI PELAJARAN MALAYSIA PERUTUSAN KEMERDEKAAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KE-50 TAHUN 2007 Bismillah-ir Rahman-ir Rahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 1. Bersyukur kita ke hadrat Illahi, kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama menyambut dan meraikan sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara kali ke-50. Saya berdoa agar sambutan ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini akan terus membangkitkan rasa kesyukuran dan keinsafan tentang erti sebenar kemerdekaan yang telah kita usahakan dan nikmati. 2. Kemerdekaan kali ini amat besar ertinya kepada kita kerana selama 50 tahun ini, kita telah menikmati kemerdekaan tanpa dijajah secara fizikal. Dalam usia kemerdekaan ini, telah terbukti bahawa kita mulai matang dan mampu memerintah sendiri dengan bijaksana seiring dengan kemajuan negara lain di dunia. Namun demikian, tanpa kita sedari, sebahagian minda rakyat negara ini masih dijajah oleh anasir-anasir luar sehingga berlakunya masalah-masalah sosial. Hari ini budaya kuning masih menular terutamanya dalam kalangan remaja kita, yang sepatutnya mengekalkan dan mengamalkan budaya kita sendiri. Oleh sebab itu, setiap perilaku kita mestilah berpaksikan ajaran yang baik yang berasas kepada agama dan moral. Sebagai masyarakat Malaysia yang merdeka, sepatutnya kita tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala sosial tersebut. Kita mesti sedari bahawa kemerdekaan negara kita adalah hasil perjuangan pemimpinpemimpin terdahulu yang sentiasa mengamalkan nilai budaya tempatan. Kita ambil kemajuan sains dan teknologi dari luar tetapi kita harus mengekalkan kemajuan tersebut dalam budaya dan acuan kita sendiri. Itulah yang sepatutnya kita harapkan. Warga pendidikan yang dikasihi, 3. Bagi mengekalkan kebebasan minda dan fizikal yang kita kecapi sekarang, perpaduan kaum dalam kalangan warga pendidikan merupakan elemen yang paling utama. Perpaduan ini perlulah disemai kepada anak didik sejak mereka di bangku sekolah lagi, supaya dapat melahirkan generasi masa depan Malaysia yang bersatu padu, saling memahami dan saling menghormati antara satu sama lain. Hasilnya, kita akan terus bersatu padu tanpa mengasingkan diri mengikut kaum dan kelompok masing-masing. Kita perlu sedar bahawa rakyat negara ini begitu istemewa kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan pada masa yang sama, hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni. Kita perlu berbangga bahawa
keharmonian dan keistimewaan rakyat negara ini telah dijadikan contoh kepada negara luar dalam usaha membendung isu perkauman. Jadi, kita perlu sama-sama berganding bahu meneruskan keharmonian ini seiring dengan usia kemerdekaan negara kita. Warga pendidikan yang disayangi, 4. Kita perlu sedar bahawa generasi yang kita lahirkan hari ini merupakan aset negara pada masa hadapan. Kita perlu mengakui bahawa generasi sebelum inilah menjadi arkitek yang membentuk dan mencorak kemajuan negara. Kemajuan ini boleh dirancang berdasarkan kemajuan teknologi negara luar tetapi perlu pula mengekalkan ciri-ciri bangsa Malaysia. Gabungan teknologi yang diadaptasi (glokal) ini akhirnya dapat memenuhi keperluan negara untuk menjadi terus maju. Warga pendidik pula berperanan melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk menyampaikan pelbagai ilmu dan pengetahuan kepada generasi sekarang kerana setiap insan ialah permata negara yang tidak harus dikesampingkan. Kemerdekaan tidak akan bererti sekiranya modal insan yang kita harapkan gagal dibentuk. Oleh yang demikian, tanggungjawab guru sebagai pendidik dan muridmurid sebagai pelajar adalah satu gabungan usaha untuk melahirkan insan yang berkualiti dan produktif bagi menjamin kesejahteraan dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global. Warga pendidik yang dihormati, 5. Peranan guru dalam menyampaikan ilmu tiada berpenghujung. Oleh itu, Kementerian Pelajaran sentiasa menggalakkan guru-guru meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing supaya mereka memiliki kepakaran, seterusnya boleh mempraktikkannya dalam pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Kemudahan dan infrastruktur kelas pertama yang disediakan seiring dengan kematangan usia kemerdekaan negara, seharusnya dimanfaatkan secara optimum tanpa disalahgunakan. Hal ini bersesuaian dengan matlamat negara untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan budaya hidup berkonsepkan Islam Hadhari, hasil cetusan Perdana Menteri kita. Hasilnya, ilmu dan kemahiran yang ada dapat disalurkan kepada murid untuk dipraktikkan demi membangunkan bangsa dan negara. 6. Kemerdekaan tidak akan bermakna sekiranya masyarakat kita tidak mengamalkan sahsiah yang terpuji dan budi bahasa tinggi. Jika kita inginkan negara kita menjadi cemerlang, Keperluan kita tidak cukup dengan hanya menunjukkan keagungan, keindahan pembangunan fizikal dan kejayaan yang diperoleh melalui statistik semata-mata. Kecemerlangan hanya akan muncul jika kita menjadi satu bangsa yang berbudi pekerti, berakhlak mulia dan berhemah tinggi. Jika kita berusaha untuk mencapai cita-cita ini, nescaya kejayaan dalam bidang pembangunan fizikal akan selari dengan kejayaan pembangunan insan. Pembinaan insan seperti ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi warisan daripada generasi ke generasi. Ibu bapa mengajar anak-anak menjadi
baik, anak-anak pula mengajar anak-anak mereka menjadi insan yang baik juga dan begitulah seterusnya yang diamalkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Jika keadaan ini berlaku maka sudah pastilah bangsa kita akan terus maju dan negara akan lebih gemilang dan makmur. Hal ini bertepatan dengan salah satu teras misi nasional yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dalam melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 7. Dalam usaha meneruskan misi nasional melalui PIPP ini, bahasa perantara merupakan elemen yang amat penting digunakan. Bahasa Malaysia telah diangkat dalam mewujudkan perpaduan kaum dan seterusnya menyatukan ras dan etnik di Malaysia. Bahasa Malaysia sebagai wahana untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan menjadi cabaran negara dalam usaha mencapai matlamat wawasan 2020. Sebagai bahasa perantara untuk berkomunikasi, bahasa Malaysia terus diguna pakai dalam kebanyakan urusan termasuk bidang agama, perundangan, perubatan, ekonomi dan sains kemasyarakatan. Dalam merealisasikan impian ke arah pengukuhan penggunaan bahasa Malaysia di negara ini, seluruh warganya harus menyedari akan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan dalam mengukuhkan perpaduan rakyat daripada pelbagai kaum. Jelaslah bahawa peranan bahasa Malaysia sebagai alat perpaduan rakyat menjadi lambang kemerdekaan yang hakiki. Jadi, murid-murid mesti menggunakan bahasa Malaysia dalam setiap urusan tanpa mempunyai rasa rendah diri kerana bahasalah cerminan sesebuah negara. 8. Akhir kata, sempena dengan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, marilah kita sama-sama memperbaharu tekad dan azam untuk menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Seharusnya kita bersama-sama berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, mengoptimum kemahiran serta memperkukuh disiplin diri, agar dapat mengangkat martabat bangsa dan negara supaya menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Hal ini bersesuaian dengan tema kemerdekaan “Malaysiaku Gemilang” yang menjadi penyemarak semangat masyarakat untuk terus menjadikan negara gagah dan perkasa. Semoga kita akan memiliki jati diri yang kental dan sukar digugat oleh mana-mana anasir yang boleh merosakan bangsa dan negara. Jadikanlah diri kita sebagai warga negara yang boleh dibanggakan dan menjadi contoh yang terbaik kepada orang lain hatta kepada negara luar . Merdeka! Merdeka! Merdeka! Sekian. Sekian, Wabilahi Taufiq Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh. Kiriman Melalui Emel: Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia
TITAH PERUTUSAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KE – 50 (2007) ________________________________________________________ Bismilahirahmanirahim. Assalamualaikum Warahmatulaahi Wabaarakatuh dan Salam/ Sejahtera. Beta memanjatkan kesyukuran ke hadarat Allah subhaanawata’ala atas limpah dan kurnia-Nya, dapat Beta dan seluruh rakyat menyambut dan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke- 50 tahun pada tahun ini. Sesungguhnya, ulang tahun kemerdekaan negara pada tahun ini begitu besar maknanya kepada Beta dan seluruh rakyat Malaysia kerana sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada tahun ini merupakan sambutan Jubli Emas. Ini bermakna kita telah berjaya mentadbir dan menguruskan negara yang tercinta ini dengan baik mengikut cara dan acuan kita sendiri tanpa bergantung kepada negara luar. Oleh itu, besarlah harapan Beta agar seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga pendidik dan murid-murid dapat menghayati dan menginsafi erti kemerdekaan yang telah dinikmati selama 50 tahun ini. Dengan ini, Beta berharap agar kemerdekaan negara ini dapat diisi dengan segala rancangan dan program kemajuan untuk negara dan bangsa yang tercinta. Justeru sukacita Beta mengingatkan bahawa usaha mempertahankan dan mengisi kemerdekaan negara yang tercinta ini untuk 50 tahun mendatang dan untuk selama-lamanya merupakan cabaran utama kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya muridmurid yang menjadi generasi pewaris. Sehubungan dengan ini dan bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50 tahun pada tahun ini, Beta menyeru warga pendidik dan muridmurid agar dapat menghayati makna yang terkandung dalam Rukunegara. Sesungguhnya, prinsipprinsip Rukunegara seperti Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan merupakan asas penting yang mesti menjadi pegangan dalam memastikan kelangsungan kemakmuran dan keamanan hidup di negara yang merdeka dan tercinta ini. Oleh hal demikian, Beta amat berharap agar murid-muridlah sebagai generasi pewaris memajukan negara dan menjadi tempat untuk menyandarkan harapan negara dan bangsa daripada perkaraperkara yang boleh mengganggu gugat kemerdekaan dan keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, bahasa, agama dan budaya. Justeru, pemahaman terhadap ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa Malaysia
yang telah dipersetujui oleh generasi terdahulu hendaklah difahami dan diteladani dengan sebaik-baiknya oleh seluruh rakyat, khususnya murid-murid. Sesungguhnya, pemahaman terhadap ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa Malaysia seperti institusi raja berperlembagaan, agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan hak-hak keistimewaan bangsa Melayu danbumiputera tanpa menafikan hak-hak kaum lain hendaklah diperteguhkan dan menjadi asas perpaduan dalam kalangan generasi kini. Oleh hal demikian, beta berharap dan menyeru seluruh warga pendidik supaya dapat mendidik dan membimbing murid-murid untuk menghayati dan memahami ciri-ciri pembentukan negara dan bangsa yang terkandung dalam kontrak sosial sebaik-baiknya demi memastikan negara kita gagah dan gemilang selagi ada bulan dan matahari. Beta juga bertitah agar seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga pendidik dan murid-murid supaya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara yang telah dinikmati selama 50 tahun ini. Sebenarnya, kejayaan seluruh rakyat dalam memastikan kemerdekaan dan keharmonian negara selama 50 tahun ini adalah atas keberkatan semangat perpaduan yang diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia sejak dahulu dan kini. Oleh itu, Beta berharap semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan muridmurid terus disuburkan dan diperkasa menerusi proses pengajaran dan pembelajaran serta kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah. Sesungguhnya murid-murid pada hari ini merupakan pewaris segala kejayaan dan tamadun bangsa Malaysia yang gagah dan gemilang pada hari ini dan seterusnya akan datang. Oleh hal demikian, kemerdekaan dan kejayaan negara serta tamadun bangsa yang dibina selama 50 tahun ini hanya akan terjamin sekiranya muridmurid yang menjadi generasi pewaris mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara atau semangat patriotik yang tinggi. Hal ini kerana murid-murid yang mempunyai jati diri seperti berpegang teguh pada prinsip dan nilai-nilai bangsa yang tulen dan bersemangat patriotik dapat menghindarkan diri daripada gejalagejala negatif seperti Mat Rempit, bohsia, lepak, gerakan ekstremisme dan lain-lain yang boleh menggugat kelangsungan kemerdekaan dan keharmonian negara. Justeru bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-50 ini, Beta dengan sukacita menyeru murid-murid agar dapat menunjukkan tanda dan lambang cinta akan negara atau semangat patriotik dengan jelas. Sebenarnya, semangat cinta akan negara atau semangat patriotik ini bukan hanya ditunjukkan dengan kesanggupan memikul senjata untuk mempertahankan negara daripada penceroboh. Sebaliknya, pada konteks hari ini, semangat cinta akan negara atau semangat patriotik ini hendaklah dimanifestasikan menerusi kesungguhan dalam menuntut ilmu dan pengetahuan. Oleh hal demikian, Beta berharap agar murid-murid berusaha dengan penuh
kegigihan untuk menguasai pelbagai disiplinilmu, terutama ilmu dalam bidang Sains dan Teknologi. Beta percaya murid-murid yang berilmu dan berpengetahuan akan mempunyai fikiran yang luas dan berpandangan jauh, kreatif dan inovatif, rasional dan mempunyai ketahanan diri. Ciri-ciri ini akan menjadikan muridmurid sebagai modal insan dengan minda kelas pertama yang tentunya menjadi aset yang berguna kepada negara kerana murid-murid yang demikian cirinya dapat menjana kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Malah, penguasaan ilmu dan pengetahuan yang pelbagai disiplin dalam kalangan murid-murid membolehkan generasi pewaris bangsa dan negara mempertahankan negara daripada penjajahan bentuk baru seperti penjajahan minda, budaya dan ekonomi. Beta yakin ciri generasi pewaris yang disebutkan ini merupakan ciri terbaik untuk menjamin kelestarian kemerdekaan dan kemakmuran negara. Sehubungan dengan ini, usaha membentuk jati diri dan semangat cinta akan negara atau semangat patriotik akan lebih mantap sekiranya warga pendidik dan murid-murid dapat menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam Hadhari yang menjadi pendekatan baru dalam pentadbiran dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan pada hari ini. Pendekatan Islam Hadhari ini hanya merupakan suatu usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai kekuatan rohani, akhlak, intelektual, mampu berdikari, berdaya saing, melihat kehadapan, inovatif, cekap menghadapi cabaran dengan bijaksana, rasional, praktikal dan damai. Sesungguhnya, pendekatan Islam Hadhari ini dapat menjadi instrumen bagi melahirkan modal insan yang cemerlang. Inilah hasrat dan matlamat yang diidamidamkan pemimpin negara dan rakyat Malaysia selama ini. Justeru pendekatan Islam Hadhari ini perlu dihayati dan diamalkan oleh warga pendidik dan murid-murid bagi membolehkan warga pendidik dan murid-murid membawa negara ke mercu kejayaan sehingga boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Selain itu, Beta dengan rasa sukacita bertitah agar warga pendidik dan muridmurid hendaklah mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan sehari-hari. Sesungguhnya, amalan akhlak pekerti yang baik, berbudi bahasa dan bernilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya warga pendidik dan murid-murid turut menjadi elemen penting dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang, dan seterusnya dapat menjamin sebuah kehidupan yang aman, harmoni dan damai serta negara menjadi makmur. Sehubungan dengan ini, Beta juga merakamkan rasa berbangga atas daya usaha kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia kerana kejayaan menghasilkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Antara teras strategi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan tersebut ialah membina negara bangsa dan membangunkan modal insan. Sesungguhnya, kedua-dua teras ini menjadi suatu strategi yang menyokong usaha-usaha melahirkan modal insan yang cemerlang dan cinta akan negara. Malah, Beta yakin bahawa dua teras tersebut
juga dapat menjadi strategi untuk membina negara dan bangsa Malaysia yang maju. Oleh itu, Beta menyeru agar Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin di sekolah-sekolah kerana kedua-dua teras ini tentu dapat menyokong usaha melahirkan dan membentuk murid-murid menjadi rakyat dan generasi pewaris yang berfikiran glokal dan bersatu padu. Dengan ini, tentu murid-murid mampu memastikan kemerdekaan negara yang dinikmati selama ini terus kekal sambil berupaya meneruskan usaha-usaha mengisi kemerdekaan negara tercinta ini. Sesungguhnya, seruan Beta terhadap pembentukan rakyat dengan ciri-ciri seperti bersatu padu, berilmu dan berpengetahuan, mempunyai minda kelas pertama, berbudi bahasa, menghayati prinsip9 prinsip Rukunegara dan memahami ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa serta mengamalkan pendekatan Islam Hadhari adalah kerana beta yakin dengan ciri-ciri rakyat yang demikian akan menjadi faktor penting untuk memastikan kejayaan Rancangan Malaysia Ke-9 terlaksana seperti yang dirancang. Kerajaan memang bersungguhsungguh dan penuh komitmen melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-9 ini demi kemajuan dan kemakmuran rakyat dan negara. Malah Rancangan Malaysia Ke-9 ini juga merupakan antara usaha dan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kemerdekaan negara yang diperoleh diisi dengan rancangan-rancangan pembangunan yang bermanfaat untuk semua lapisan rakyat tanpa memilih agama, kaum dan bahasa. Inilah amanah yang sedaya upaya dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengisi kemerdekaan negara demi Malaysia yang tercinta. Oleh hal demikian, besarlah harapan Beta pada detik dan saat seluruh warga Malaysia menyambut dan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-50 ini, warga pendidik dan murid-murid dapat bersama-sama memasang tekad dan azam serta melaksanakan usaha-usaha ke arah memastikan negara tercinta ini terus kekal merdeka, gagah dan gemilang. Justeru tema ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini, iaitu “Malaysiaku Gemilang” hendaklah menjadi suatu matlamat untuk dicapai bersama-sama dengan penuh iltizam. Akhir titah, selamat menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Yang Ke-50. Sekian, Wabilahi Taufiq Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh. Kiriman melalui emel dari Bahagian Sekolah, KPM.