12
1.0 PENGENALAN
Pensejarahan membawa maksud karya atau penulisan berkaitan dengan sejarah. Menurut Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayuddin HajimYahaja(1988) pula, pensejarahan boleh ditakrifkan sebagai "hasil karya atau penulisan yang ditulis oleh ahli sejarah atau sejarawan". Pensejarahan merupakan satu proses dengan tahap-tahap dan aturan-aturan yang lazimnya diikuti atau dilaksanakan oleh sejarawan dalam usahanya menghasilkan penulisan sejarah. Sejarawan akan melakukan kajian berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing seperti bidang ekonomi, politik, sosial dan ketenteraan. Demikian jugalah bentuk atau hasil penulisan mereka dimana ada yang berupa sejarah politik, ekonomi, sosial atau ketenteraan. Dalam melakukan penyelidikan, beberapa langkah yang perlu diikuti oleh seorang sejarawan ataupun penyelidik. Antaranya ialah membuat pemilihan tajuk penyelidikan, penyataan masalah, mengemukakan hipotesis, membuat rujukan sumber, menentukan kaedah, analisis data melalui kritikan dalaman dan luaran dan melaporkan hasilan. Bagi menghuraikan langkah-langkah ini, berikut adalah huraian mengenai peringkat dan disiplin yang perlu diikuti oleh setiap sejarawn yang menjalankan penyelidikan.
2.0 LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIIKUTI OLEH SEJARAWAN
2.1 PEMILIHAN TAJUK PENYELIDIKAN
Menurut Kamus Dewan, tajuk ialah judul, mauduk,kepala atau pokok perbincangan. Dalam bahasa Inggeris, tajuk ialah topik, iaitu `subject to discuss something'. Pemilihan tajuk adalah proses pertama yang sangat penting bagi seorang sejarawan sebelum memulakan penyelidikan. Sebelum menentukan sesuatu tajuk penyelidikan, seseorang penyelidik harus membuat pembacaan yang umum terlebih awal sebelum menentukan tajuk kajiannya agar mendapat idea-idea dan pengetahuan yang luas tentang bidang dan subjek yang diminati. Di samping itu, penyelidik juga harus mengumpul dan membaca hasil-hasil kajian lepas untuk dijadikan panduan dan batu asas kepada penyelidikannya. Kajian lepas ini dapat membantu penyelidik dalam menentukan tajuk yang dikehendaki. Terdapat beberapa perkara lain yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan atau pembentukan sesuatu tajuk.
Yang pertama, tajuk haruslah mempunyai nilai penarik agar membolehkan pembaca-pembaca tertarik pada tajuk tersebut, dan seterus mewujudkan keinginan dalam diri mereka untuk mengetahui atau membaca lebih lanjut hasil tulisan tersebut. Dengan kata lain, sesuatu tajuk penulisan itu harus seboleh-bolehnya menampakkan kelainan atau keunikan, misalnya mengutarakan isu-isu semasa yang hangat ataupun mungkin boleh jadi sesuatu yang kontroversi. Kedua, tajuk harus memiliki keaslian. Keaslian dalam tajuk bermaksud sesuatu yang baru atau sesuatu yang belum pernah dan belum dibuat oleh orang lain. Sifat yang demikian bertepatan dengan objektif setiap penyelidikan yang sebenarnya dijalankan iaitu suatu penemuan. Ketiga, sesuatu tajuk kajian itu harus pendek, ringkas dan tepat. Ini adalah kerana tajuk-tajuk yang umum mempunyai skop yang luas dan mustahil bagi penyelidik untuk mengkaji sesuatu hal yang merangkumi keseluruhan aspek. Di samping itu, satu perkara yang tidak kurang pentingnya dalam pemilihan tajuk ialah berkenaan dengan minat peribadi atau sendiri. Ini kerana tajuk yang bersesuaian dengan minat sendiri akan mendorong untuk berusha dengan lebih gigih dan dapat mengurangkan tekanan dalam melakukan kajian.
2.1 PENYATAAN MASALAH
Tujuan penyelidikan sejarah adalah untuk menghuraikan, menerangkan, menjelaskan dan membuat tanggapan dan bukannya mengemukakan sesuatu yang baru. Penyelidik dapat memeriksa atau menguji benar ataupun tidak suatu pandangan dengan melihat secara langsung ataupun tidak kepada bukti yang wujud secara bertentangan. Tugas penyelidik adalah menilai secara terperinci dan mengambil kira semua bukti yang dapat membantu mencapai kesimpulan yang kukuh.. Disini jelas bahawa projek-projek penyelidikan tidak bermula daripada titik permulaan tetapi ianya melalui idea-idea serta penyelidikan-penyelidikan yang telah dilakukan oleh orang lain. Penyelidik sepatutnya memulakan penyelidikannya dengan membaca penyelidikan-penyelidikan lain yang sama dengan lingkungan minatnya, dengan demikian dia dapat sesuatu yang baru yang perlu dilakukan untuk memperbaiki penyelidikan sedia ada ataupun memperbaharui penyelidikan lama. Melalui dari situlah seseorang penyelidik dapat menyatakan masalah kajiannya dan bertindak memulakan penyelidikan tersebut. Contoh penyataan masalah adalah mengenai teori kedatangan Islam ke Malaysia, sama ada penyebaran melalui mubaligh-mubaligh Islam yang datang ke Melaka, atau penyebaran Islam oleh pelayar-pelayar China melalui Terengganu.
Oleh itu, penyataan masalah amat penting dalam menjalankan penyelidikan dimana isu atau masalah perlu dikaji oleh para sejarawan. Jika ditanya mengapa menjalankan penyelidikan berkenaan, penyelidik tentunya sudah bersedia untuk mempertahankan isu atau masalah yang ingin dikaji dan boleh menerangkan dengan lebih mendalam mengapa penyelidikan berkenaan perlu dijalankan. Kesimpulannya, penyataan masalah boleh dikenal pasti oleh sejarawan melaui penelitian dokumen, soal selidik, pembacaan, pemerhatian dan temubual yang dijalankan.
2.2 MENGEMUKAKAN HIPOTESIS
Hipotesis ialah pernyataan sementara tentang sesuatu yang kebolehpercayaannya biasanya tidak diketahui. Hipotesis membolehkan penyelidik mengaitkan teori dengan cerapan. Bukti-bukti cerapan penyelidikan akan menentukan sama ada sesuatu hipotesis itu perlu diterima atau diketepikan. Hipotesis penting dalam sesuatu kajian yang cuba menyelidik pertalian atau perhubungan bersebab antara pemboleh ubah. Tujuan mengemukakan hipotesis dalam penyelidikan adalah untuk memberi ramalan sementara tentang fenomena yang dikaji, memberi kenyataan hubungan yang boleh diuji secara langsung, memberi panduan kepada penyelidikan, menentukan kaedah penyelidikan yang harus digunakan, memberi rangka laporan dapatan serta kesimpulan kajian. Hipotesis kajian boleh dikemukakan dalam bentuk hipotesis induktif iaitu melalui cerapan penyelidik boleh menentukan susur-galur dan kemungkinan hubungan yang wujud dan membuat hipotesis bagi menjelaskan hubungan tersebut, atau hipotesis deduktif daripada teori-teori atau dapatan-dapatan penyelidikan terdahulu yang boleh memandu penyelidikan ke arah yang lebih umum. Dalam hal ini, hipotesis sangat berguna untuk menghuraikan permasalahan penyelidikan, sebagai kaedah atau cara bekerja, digunakan sebagai panduan menilai cara kerja serta menyusun langkah dan pembuktian penyelidikan. Sejarawan perlu mengemukakan hipotesis untuk mendapat panduan bagi pengumpulan dan infrensi data, menunjukkan sama ada sejarawan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang yang membolehkannya menjalankan penyelidikan yang berkesan, dan adakah hipotesis tersebut menepati ciri-ciri tertentu bagi membolehkannya diterima sebagai hipotesis penyelidikan.
Antara ciri hipotesis penyelidikan sejarah ialah hipotesis perlu dinyatakan dengan jelas, betul, dan dapat dijalankan, hipotesis tidak bertentangan dengan teori yang sedia ada, hipotesis mestilah mempunyai kuasa penjelasan iaitu keupayaan menerangkan fenomena yang dikaji dengan logik, tegas dan jelas. Hipotesis hendaklah mempunyai jangkaan hubungan antara pembolehubah-pembolehubah. Hipotesis mestilah diuji. Melalui pengujian hipotesis, kepastian dapat dibuat sama ada bukti-bukti yang diperoleh menyokong ataupun tidak hipotesia yang bersifat sementara itu. Contoh hipotesis dalam penyelidikan sejarah mengenai kedatangan Islam ke Malaysia ialah, Batu Bersurat Terengganu membuktikan penyebaran Islam ke Malaysia adalah melalui pelayar-pelayar China yang berurusan di Terengganu.
Selain itu, hipotesis membolehkan kita menggunakan idea falsafah induktif ( penekanan ke atas pemerhatian ) dan logik bagi ahli falsafah deduktif ( penekanan ke atas rasional ). Penggunaan hipotesis dapat menggabungkan pengalaman kedua-dua pemikiran ahli falsafah berkenaan untuk membentuk satu alat yang penuh berkuasa demi mencari kebenaran.
Kesimpulannnya,hipotesis berfungsi untuk menjelaskan sesuatu fenomena dan mempercepatkan pengembangan pengetahuan dalam sesuatu bidang berkenaan. Ia membantu penyelidik memberi pernyataan kaitan yang boleh diuji secara langsung dalam kajian berkenaan. Hipotesis juga menjadi panduan atau arah dalam penyelidikan supaya penyelidik tidak tergelincir daripada apa yang hendak dicari atau dikaji. Malah, hipotesis dapat memberikan satu kerangka untuk melaporkan rumusan daripada kajian berkenaan.
2.3 MEMBUAT SUMBER RUJUKAN
Mengikut Profesor Carr sumber sejarah ialah sekumpulan fakta yang telah diteliti dan dipastikan. Menurut Profesor Collingwood pula, sumber sejarah ialah teks yang mempunyai kenyataan mengenai sesuatu peristiwa sejarah. Bagi sejarawan yang melakukan penyelidikan, mereka bergantung kepada sumber-sumber yang berbentuk arkeologi, numismatik dan epoigrafi. Sumber-sumber sejarah ini telah lama wujud dalam pelbagai bentuk contohnya seperti sumber yang ditulis pada kertas, dipahat seperti batu bersurat, diukir pada kayu, buluh, tulang, tanduk, daun, kepingan logam dan sebagainya. Semua sumber ini disimpan dan dijadikan sebagai sumber sejarah. Oleh itu, sumber adalah suatu unsur yang penting dalam bidang penyelidikan, kerana tanpa sumber, mustahil untuk menghasilkan suatu penulisan sejarah yang baik.
Dalam penyelidikan sejarah,sumber dibahagikan kepada dua iaitu sumber primer dan sumber sekunder. Sumber primer ialah sumber pertama yang biasanya belum ditafsir oleh mana-mana ahli sejarah dan belum diperlengkapkan lagi. Sumber primer merupakan sumber yang terdapat dalam bentuk catatan, rekod-rekod kerajaan, fail-fail rasmi, surat-menyurat, tulisan dan saksi utama kepada kejadian ataupun peristiwa lampau. Bahan-bahan seperti ini penting dan dijadikan rujukan oleh ahli-ahli sejarah untuk menghasilkan penyelidikan yang bermutu tinggi kerana sumber primer adalah sumber pertama yang mencatat sesuatu peristiwa yang berlaku dan merupakan fakta-fakta yang benar dan tulen. Penyelidik biasanya akan memilih dokumen-dokumen yang berupa sumber primer kerana sumber ini boleh dipercayai dan diterima oleh ahli-ahli sejarah yang lain tanpa menimbulkan banyak kritikan.
Sumber sekunder pula ialah hasil penyelidikan ahli sejarah berdasarkan sumber utama yang dihasilkan dalam bentuk buku sejarah, rencana dan jurnal sejarah. Sumber sekunder ini merupakan sumber sejarah yang telah ditafsir dan dinilai oleh ahli-ahli sejarah. Tafsiran, andaian dan penilaian ahli-ahli sejarah terhadap peristiwa yang hendak dikaji adalah berdasarkan kepada penggunaan sumber primer. Oleh yang demikian, ahli sejarah akan mencari seberapa banyak yang mungkin sumber sekunder sebagai bahan bacaan dan rujukan bagi mendapat gambaran awal. Contoh sumber sekunder yang akan dirujuk ialah buku,majalah, artikel, jurnal,tesis, kertas projek, peta, kamus dan indeks singkatan.
Walau apapun kategori sumber tersebut, yang nyata ia sangat penting dalam sesuatu penyelidikan sejarah. Seseorang penyelidik dalam usaha menghasilkan sesuatu karya sejarah mestilah berusaha mendapatkan sumbernya, kemudian memilih sumber tersebut, mana-mana yang berkaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penyelidikannya. Penyelidik juga harus mengkaji serta menganalisis sumber-sumber yang diperolehi untuk mendapatkan fakta-fakta dan seterusnya melakukan penulisan serta membuat tafsiran terhadap penyelidikannya.
Seseorang penyelidik juga perlu memastikan sumber yang digunakan dalam penyelidikan adalah sumber yang asli dan tulen dan tidak mengandungi ciri-ciri kepalsuan. Pemalsuan bermaksud mengadakan apa yang tiada dalam sumber yang asli, melakukan sebarang penambahan atau pengurangan serta kesilapan dalam menterjemah isi kandungan sesuatu sumber. Kesahihan sumber bertujuan untuk memastikan fakta yang diaplikasikan dalam sesuatu penulisan itu sentiasa benar dan layak untuk berdiri sebagai sumber sejarah. Oleh itu, dalam maksud untuk menjadi sejarah sebagai satu bidang saintifik, aktiviti kesahihan sumber perlu dilakukan.
2.4 MENENTUKAN KAEDAH
Kaedah penyelidikan ialah kaedah yang digunakan untuk membuat penyelidikan sejarah atau peristiwa sesuatu perkara itu berlaku. Ia mengkaji punca, kesan ataupun corak (trend) peristiwa dan secara tidak langsung menganalisis apa yang berlaku sekarang, seterusnya membuat ramalan apa yang berlaku pada masa akan datang melalui kajian. Kaedah-kaedah yang digunakan dalam menghuraikan sesuatu peristiwa yang berlaku hendaklah diguna dengan tatacara yang betul. Kaedah penyelidikan sejarah lebih memberi tumpuan utama terhadap usaha mencari sumber sesuatu peristiwa dan sumber tersebut haruslah mempunyai autoroti yang dapat dipertahankan. Sebarang andaian yang dibuat haruslah dibuktikan melalui sumber yang diperolehi.
Secara umumnya terdapat dua kaedah asas persejarahan, iaitu kaedah persejarahan tradisi dan kaedah pensejarahan moden. Konsep dan kaedah pensejarahan tradisi ini telah dipelopori oleh Bapa Sejarah Dunia iaitu Herodotus dan Thucydides. Sejarawan ini telah mengaplikasikan kaedah pemerhatian, temuduga dan rujukan terhadap bahan bertulis dalam penulisan karya sejarah mereka. Thucydides dalam penulisannya yang berjudul Perang Pelopponesia yang terdiri daripad lapan jilid, telah menggunakan kaedah temuduga dalam penghasilannya. Beliau juga telah melakukan kajian mendalam dengan mengunjung sendiri medan-medan peperangan, malah menebual tokoh-tokoh yang terlibat dalam peperangan tersebut. Thucydides telah menemui para pemimpin Athens dan menemui rakan-rakan tenteranya. Beliau bersetuju bahawa sumber lisan adalah lebih bernilai daripasa sumber bertulis kerana sumber bertulis bisu dan sukar disoal balik. Selain itu, Thucydides dalam karya penulisannya menggunakan bahan-bahan bertulis dan kesan-kesan peninggalan lama seperti babad, puisi, epik, karya geografi, etnografi dan perubatan, dokumen kerajaan, inskripsi. batu bersurat, bangunan dan rumah berhala. Melalui contoh penulisan sejarah Perang Pelopponesia telah menunjukkan bahawa penyelidikan sejarah secara tradisi adalah dengan menggunakan kaedah pemerhatian, menemubual dan menggunakan bahan klasik.
Kaedah pensejarahan moden pula dipelopori oleh Lepold Von Ranke yang juga diberi gelaran Bapa Pensejarahan Moden. Menurut beliau, pengkajian sejarah hendaklah berteraskan penyelidikan terhadap sumber-sumber yang boleh digunakan mentafsir ataupun memaparkan kembali peristiwa-peristiwa masa lalu. Apa yang penting, beliau memperkenalkan idea betapa pentingnya menggunakan sumber primer untuk mengesahkan fakta yang berlaku pada masa lalu. Bagi beliau, sumber utama sama ada dalam bentuk dokumen atau benda-benda lain adalah lebih penting dari sumber kedua. Ranke menyatakan dengan jelas bahawa sejarah seharusnya ditulis dengan apa yang sebenar-benarnya telah berlaku.
Oleh itu, seseorang sejarawan boleh memilih untuk menjalankan penyelidikan secara tradisi ataupun membuat penyelidikan secara moden. Secara ringkasnya kaedah pensejarahan moden menekankan penulisan sejarah secara tepat dan objektif.
2.5 ANALISIS DATA : KRITIKAN DALAMAN DAN LUARAN
Dalam penyelidikan, analisis data adalah satu bahagian yang terpenting kerana hasilnya akan mencerminkan sebahagian daripada objektif sesuatu penyelidikan. Analisis data bertujuan mempersembahkan data kepada bentuk yang lebih bermakna selepas pengumpulan data-data. Data-data yang diperoleh hendaklah dinilai dan ditafsirkan secara sistematik bagi pemahaman yang maksimum. Data-data yang diperoleh sama ada primer ataupun sekunder boleh dianalisis sama ada dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif. Analisis secara kuantitatif adalah lebih mudah, teratur, selaras dan bersifat objektif. Analisis dalam bentuk ini selalunya ditunjukkan dalam bentuk angka. Berbanding dengan analisis secara kuantitatif,sejarawan sangat berperanan dalam menganalisis sesuatu data. Hasil analisis mungkin berbeza bergantung kepada tahap keupayaan dan kekuatan fikiran sesorang penyelidik..
Seterusnya, kritikan amat penting dalam mencari kesahihan sumber dan penyampai sumber tentang sesuatu peristiwa sejarah. Perkara ini penting bagi sejarawan kerana sebelum sumber sejarah itu diterima umum, mereka hendaklah membuktikan kesahihannya. Kesahihan sumber penting untuk mendapatkan sesuatu sumber yang asli , tulen dan fakta yang betul. Sesebuah karya penulisan oleh sejarawan perlu menggunakan sumber dan fakta serta melahirkan pandangan kritis. Sejarawan yamg tidak mematuhi syarat dan tidak mengkritik sumber dengan kritis, mereka belum lagi dikira sebagi seorang sejarawan. Antara langkah yang perlu diambil oleh ahli sejarawan ialah kritikan luaran dan kritikan dalaman. Kritikan luaran dilakukan bagi memeriksa kesahihan dan keaslian bukti iaitu melalui pengesahan tulisan, tanda tangan, analisa kimia dan melalui bahan-bahan yang digunakan dalam sumber tersebut. Sementara, kritikan dalaman dilakukan bagi menentukan tahap kepentingan bukti yang asli sebagai penghurai atau pendokong (hipotesis) penyelidik. Contohnya, menilai sama ada sesuatu sumber itu merupakan sumber yang terbaik untuk dirujuk oleh penyelidik.
Walaupun dikatakan sumber itu mungkin mempunyai kebenaran serta kesahihan dari sudut kritikan luaran, tetapi jika kandungannya diragui ketepatan serta kerasionalannya, maka sumber itu tidak wajar dijadikan sumber rujukan sejarah. Ketepatan dan kerasionalan sesuatu sumber itu boleh diteliti dengan mengaitkan persoalan 'siapa, bila dan di mana'. Persoalan 'siapa' adalah berkait dengan diri penulis dalam sesuatu karya sejarah tersebut. Dengan mengetahui latar belakang saksi, maka kita boleh mengetahui sama ada fakta yang diberikan itu benar ataupun salah. Hal ini kerana Gottschalk sendiri menyatakan bahawa wujudnya "saksi-saksi yang berkepentingan" seperti pegawai-pegawai dari sesebuah jabatan kerajaan ataupun sesebuah politik atau badan agama dan sebagainya yang cuba mempengaruhi sejarawan. Ahli sejarah perlu berhati-hati dengan keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi supaya fakta atau sumber dalam penulisan mereka tidak akan mengelirukan generasi yang akan datang.
Dalam hal kritikan dalaman ini sewajarnya sejarawan mengambil kira beberapa perkara penting sebelum membuat penyelidikan rapi, iaitu memahami bahasa, maksud tulisan penulis dan mengetahui akan ragam, niat serta fikirannya itu sama ada sejarawan itu prejudis atau mudah terpengaruh dengan fakta-fakta lain atau menulis berdasarkan fakta sejarah yang benar atau pun tidak. Selain itu, penggunaan bahasa juga sentiasa berubah-ubah dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Contohnya bahasa yang ditulis lima atau enam abad yang lampau tentu amat berbeza berbanding dengan bahasa yang digunakan pada hari ini.
Ketepatan sesuatu sumber bukan sekadar yang telah dibincangkan di atas sahaja. Terdapat beberapa sumber dan fakta sejarah yang kurang kerasionalannya telah mula dipertikai oleh beberapa sejarawan lain. Contohnya, kenyataan Arnold Toynbee, Marco Polo seorang pelayar berbangsa Itali telah tiba di negara China sekitar tahun 1271- 1295 melalui Laut Hitam dan Istambul. Toynbee juga menyebut Marco Polo akan singgah di istana Kublai Khan setibanya di China. Namun kini, kenyataan tersebut dianggap tidak benar oleh sejarawan moden atas beberapa alasan yang agak rasional. Antaranya, tiada satu rekod pun kedatangan Marco Polo ke China, tiada satu pun kenyataan dalam rekod China tentang kedatangannya ke istana Kublai Khai sebagai tetamu sepanjang ketibaannya di sana. Kedua, Marco Polo gagal membuat kenyataan tentang budaya makan China dengan menggunakan penyepit, tradisi mengikat kaki atau teh sebagai minuman kegemaran orang China. Ketiga Marco Polo tidak pernah membuat kenyataan tentang sahabat-sahabat atau sesiapa yang ditemui sepanjang pelayaran ke negara China.
Disini dapat disimpulkan bahawa ahli sejarah atau sejarawan perlu menjalankan ujian atau analisa terhadap sumber terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu karya penulisan. Sumber-sumber sejarah yang diperoleh hendaklah diuji terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan dan keaslian sumbernya. Kajian atau analisis data hendaklah merangkumi aspek kritikan iaitu kritikan luaran dan kritikan dalaman. Tujuannya hanya untuk memastikan sesuatu sumber itu sahih dan diterima umum.
2.6 MELAPORKAN HASILAN
Setelah sumber-sumber rujukan dan data-data itu siap dibaca, dibuat catatan, dikritik jika perlu tentang isi dan kesahihannya, dan dianalisis, langkah seterusnya ialah menuliskan laporan kajian sejarah itu. Sebenarnya penulisan adalah merupakan hasil terkahir penyelidikan seseorang sejarawan dan seperti yang telah dinyatakan merupakan yang terpenting. Dalam menghasilkan laporan penyelidikan, ianya memerlukan satu perancangan yang teliti dan satu kerangka yang boleh disemak dan dinilai. Usaha menulis adalah suatu usaha yang sukar dan rumit; malah kadangkala lebih rumit dan sukar dari kerja-kerja penyelidikan itu sendiri. Seseorang itu harus mempunyai bakat, latihan dan azam yang kuat untuk melaksana dan menghasilkan sesebuah penulis sejarah yang boleh dianggap baik. Kebiasaannnya, pengorganisasian utama sesuatu penyelidikan akan disusun dlam bentuk kronologi atau tajuk mengikut perkembangan masa. Dari aspek penulisan pula, kelemahan dalam pembinaan ayat dan perenggan, tanda baca, ejaan, dan lain-lain perlu dielakkan oleh sejarawan. Sesuatu penulisan juga perlu mengemukakan bukti yang ditunjukkan dalam nota kaki kerana penulisan sejarah adalah menekankan sumber dan bukti. Penulisan laporan sejarah hendaklah menggunakan bahasa yang mudah difahami dan ayat yang dibina hendaklah pendek dan jelas. Hal ini kerana, penulisan laporan yang berkesan akan tercapai jika penulisan itu dapat difahami oleh pembaca.
Hasil penulisan yang baik adalah melalui dua atau lebih draf. Draf pertama, ianya panjang dan akan melalui proses pemotongan dan pengeditan ayat. Kaedah 'cut and paste' kadangkala digunakan untuk menyemak draf bagi menjimatkan masa. Dalam semua peringkat draf, untuk mengemukakan bukti yang jelas , pemerhatian utama harus diberi tumpuan. Contohnya, interpretasi jelas harus diberikan jika ianya memerlukan penjelaskan kerana golongan pembaca kepada penulisan sejarah adalah golongan terpelajar yang berminat dengan disiplin.Oleh itu, kesalahan dari segi nahu, bahasa dan ejaaan perlulah dielak kerana ianya akan mempengaruhi dan mengganggu konsentrasi pembaca untuk membaca laporan penyelidikan tersebut. Bentuk penulisan laporan juga amat penting iaitu dikemukakan sama ada dalam bentuk artikel, monograf atau buku. Ketiga-tiga bentuk penulisan tersebut mempunyai persamaan dari aspek kaedah, gaya penyampaian dan rujukan sumber. Ianya hanya berbeza dari segi saiz atau panjang sesuatu penulisan. Dengan terhasilnya suatu penulisan dalam bentuk buku, artikel ataupun monograf, barulah sesuatu projek penyelidikan sejarah itu boleh dianggap lengkap. Penulisan itu adalah merupakan suatu lanjutan, suatu hasil dan suatu kemuncak bagi suatu projek penyelidikan sejarah.
2.7 KESIMPULAN
Dapat disimpulkan disini bahawa penyelidikan sejarah merupakan proses yang tiada akhirnya. Selain itu, penyelidikan sejarah juga adalah satu penyelidikan yang sukar kerena penyelidikan ini bertujuan untuk mempelajari , mengali fakta-fakta dan menyusun lalu menghuraikan hubungan yang berkaitan dengan peristiwa masa lampau. Oleh itu, satu penyelidikan yang baik adalah melaui langkah-langkah yang telah ditetapkan iaitu penyataan masalah, mengemukan hipotesis, membuat sumber rujukan, menentukan kaedah, teknik dan strategi, analisis data melalui kritikan dalaman dan luaran serta seumpamanya. Dalam mematuhi langkah-langkah tersebut, sejarawan juga perlu menitikberatkan etika semasa penyelidikan untuk menghasilkan satu penyelidikan yang bersih dan tulen . Penyelidikan sejarah merupakan proses yang tiada akhirnya. Ia akan terus berlanjutan ke generasi yang lain. Ia mungkin berubah seiring dengan zaman disebabkan kepesatan bidang teknologi. Maka penelitian dan pengkajian yang mendalam penting dalam menjalankan penyelidikan sejarah iaitu mengikut langkah-langkah yang telah dilakukan.
BIBLIOGRAFI
Aidiell Fadziell (2007). Belaian Jiwa. Diperoleh pada November 11 2013 daripada http://belaianjiwa09.blogspot.com/2010/08/edisi-3-reka-bentuk-penyelidikan.html
Azizi Hj. Yahaya (2006). Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan : Teori, Analasis dan Interpretasi Data. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.
Barnabas Bayang Bay (2013). Meruanku Ngenang Knowledge Centre. Diperoleh pada November 11 2013 daripada http://meruankungenang.blogspot.com/2010/09/bincangkan-secara-kritis-kaedah-yang.html
Barzun. J and Graff, H.J. (2004). The Modern Researcher. Edisi Keenam. New York : Harcount.
Bhasah Abu Bakar (2006). Kaedah Analisis Data Penyelidikan Ilmiah. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.
Carr, E.H.(1988). Apakah Sejarah ? (Terjemahan Ab. Rahman Haji Ismail). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Cikgu Azhar Zack (2009), SEJARAH. Diperoleh pada November 04 2013 daripada http://koleksi-nota-sejarah.blogspot.com/2009/03/histriografipenulisan-sejarah-malaysia.html
Felt, Thomas E. (1976). Research Writing and Publishing Local History. Vashville : American Assocation for State and Local History.
Garraghan, G.J. (1957). A Guide To a Historical Method. (2nd ed). New York : Fordham University Press.
Hajah Noresah Bt Baharom (2007). Kamus Dewan Dan Pustaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Jones, H.G. (1985). Local Goverment Records An Introduction To Their Management, Preservation and Use. Nashville : American Assocation for State and Local History.
Marius, Richard. (1970). Guide to Writing About History. New York : Logman.
Marwick, A. (2001). The New Nature of History : Knowledge, Evidence, Language. Basingstoke : Palgrave.
Michael J. Galgano, J. Chris Arndt, Raymond M. Hyser. (2006). Doing History : Research and Writing in the Digital Age. Boston : Thompson.
Muhd. Yusof Ibrahim (1997). Ilmu Sejarah : Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Haji Yahaja (1988). Sejarawan dan Pensejarahan ; Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Rosie Turner – Bisset.(2004). Pengajaran Pakar. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Sulaiman Masri (2003). Kaedah Penyelidikan Dan Panduan Penulisan (esei,proposal,tesis). Kula Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Teggart, Frederick J. (1992). Theory and Processes of History. Berkeley & Los Angeles : University of California Press
P. Sivarajan, S. Malar Arasi (2012). Pengantar Sejarah. Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Hajah Noresah Bt Baharom (2007). Kamus Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pusaka.
Muhd. Yusof Ibrahim (1997). Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pusaka, hlmn 223
Azizi Hj. Yahaya (2006). Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan : Teori, Analisis dan Interpretasi Data. Kuala Lumpur : PTS Professional Sdn.Bhd, hlmn 33
Sulaiman Masri (2003). Kaedah Penyelidikan Dan Panduan Penulisan (esei,proposal,tesis). Kula Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, hlmn 39
Bhasah Abu Bakar (2006). Kaedah Analisis Data Penyelidikan Ilmiah. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd, hlmn 4
Sulaiman Masri (2003). Kaedah Penyelidikan Dan Panduan Penulisan (esei,proposal,tesis). Kula Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, hlmn 14
http://belaianjiwa09.blogspot.com/2010/08/edisi-3-reka-bentuk-penyelidikan.html
P. Sivarajan, S. Malar Arasi (2012). Pengantar Sejarah. Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Hlmn 36
Ibid, hlmn 36
zizi Hj. Yahaya (2006). Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan : Teori, Analisis dan Interpretasi Data. Kuala Lumpur : PTS Professional Sdn.Bhd, hlmn 31
http://meruankungenang.blogspot.com/2010/09/bincangkan-secara-kritis-kaedah-yang.html
Rosie Turner – Bisset (2004). Pengajaran Pakar. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, hlmn 38
http://ge2123.tripod.com/Paul/1.htm
Azizi Hj. Yahaya (2006). Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan : Teori, Analasis dan Interpretasi Data. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn.Bhd, hlmn 37
Carr, E.H.(1988). Apakah Sejarah ? (Terjemahan Ab. Rahman Haji Ismail). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlmn 64
Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Haji Yahaja (1988). Sejarawan dan Pensejarahan ; Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlmn 287