KURSUS: PERADABAN ISLAM DAN TAMADUN DUNIA (GGGC6473)
TAJUK: PENGARUH TAMADUN ISLAM TERHADAP PERTUMBUHAN SAINS DAN TEKNOLOGI DI BARAT
DISEDIAKAN OLEH: NUR AMIRAH BT MOHD RASHID (GP03847) NURUL SOLEHAH BT MOHD ZUBIR (GP03851) MAIZATUL NAZIRA BT MOHD NAZIR (GP03823) WAN HANISAH BINTI MEOR ABD AZIZ SUHAIMI (GP03863)
PENSYARAH: PM. DR. HAJI MAIMUN AQSHA LUBIS
SARJANA PENDIDIKAN (PENDIDIKAN ISLAM) FAKULTI PENDIDIKAN BANGI
2016
PENGARUH TAMADUN ISLAM TERHADAP PERTUMBUHAN SAINS DAN TEKNOLOGI DI BARAT
1.0
PENDAHULUAN
Suatu ketika dahulu umat Islam pernah berada di puncak kegemilangan ketamadunan dengan kombinasi kecemerlangan yang dicapai di timur dan barat. Penguasaan Islam ke atas timur dan barat itu seakan menunjukkan kekuatan umat Islam lampau sehingga mereka dijadikan contoh dalam pembinaan tamadun barat. Di sebelah timur, kemajuan yang dicapai di Kufah, Baghdad dan Damsyik menjadi titik tolak ke arah melonjakkan tamadun Islam. Manakala di sebelah barat, kejayaan menguasai Sicily telah membuka mata dunia. Manakala kejayaan yang dicapai di Andalusia tidak dapat ditandingi pada waktu tersebut oleh kuasa-kuasa Eropah yang lain (Mohd Roslan, 2010). Kegemilangan tamadun Islam ini telah menjadi sejarah yang cukup manis untuk dikenang oleh orang Islam kerana suatu masa dahulu umat Islam sememangnya sangat terkenal dalam bidang sains dan tradisi keilmuan. Kegemilangan yang dicapai oleh tamadun Islam kemudiannya diambil alih oleh barat akibat dari kecuaian umat Islam sendiri dalam mempertahankan ketamadunan Islam. Kejayaan umat Islam tersebut tidak bertahan lama, terutama di sebelah barat. Ia mengundang rasa iri barat lalu berusaha untuk merampas kembali tanah barat dari kekuasaan Islam. Kejayaan yang dicapai telah menggamit kedatangan tentera musuh yang merancang dari awal iaitu semenjak penguasaan Islam di Andalusia. Bibit-bibit kelemahan pemerintahan kerajaan Islam dan kewujudan wilayah-wilayah kecil di Andalusia hanya menjadi asbab yang dicari bagi melegalisasikan rampasan semula oleh pihak Kristian ke atas wilayah Asbania tersebut.
2.0
DEFINISI TAMADUN ISLAM
Perkataan tamadun berasal dari perkataan Arab iaitu maddana yang bererti kehalusan budi bahasa dan kesopanan tingkah laku. Selain itu, ianya juga membawa maksud membuka bandar (Abd. Shukor et. al. 2013). Menurut Kamus Dewan (2007) merakamkan maksud tamadun sebagai kebudayaan, peradaban, kemajuan sopan santun dan sebagainya. 2
Menurut Che Haslina Abdullah (2013) tamadun ialah satu kehidupan masyarakat manusia yang telah mencapai kemajuan dalam pelbagai aspek seperti kemajuan fizikal, moral yang tinggi, kehalusan budi pekerti, kemajuan penempatan, kebudayaan, kemajuan intelektual serta kemudahan yang sempurna dan penempatan mereka adalah berpusat di bandar atau di kota. Oleh itu, tamadun dapat dirumuskan sebagai satu tingkah laku dan kehalusan budi yang baik di dalam kehidupan masyarakat dalam membentuk jati diri yang unggul untuk mencapai kesempurnaan kehidupan di dunia dan di akhirat.
3.0
DEFINISI SAINS DAN TEKNOLOGI
Sains dan teknologi membawa disiplin ilmu yang berbeza. Cowie et. Al (1989) menyatakan bahawa sains sains itu adalah satu cabang pengetahuan yang tersusun, diperolehi melalui pemerhatian dan pengujian fakta tentang alam semulajadi. Manakala, Ziman (1984) yang merupakan ahli sejarah sains telah membuat takrif-takrif sains yang berlainan mengikut aspek-aspek sains yang tertentu. Jika sains ditakrifkan sebagai ‘alat untuk menyelesaikan masalah’, ia memperlihatkan aspek instrumen yang berhubung rapat dengan teknologi. Tetapi, jika sains ditakrifkan sebagai satu ‘pengetahuan terurus’, ia memperlihatkan ciri kearkiban yang mana dapatan kajian terhadap kejadia semula jadi yang dihasilkan melalui penyelidikan diterbitkan dalam buku-buku dan jurnal-jurnal untuk pembacaan umum. Jika dilihat dari sudut falsafah pula, Seth (2000) menyatakan bahawa sains menekankan pengkaedahan sains yang bergantung kepada proses penaakulan induksi dan deduksi. Prosedur sains seperti eksperimentasi, pemerhatian atau pencerapan dan membuat hipotesis adalah merupakan elemen-elemen dalam pengkaedahan khas untuk mendapatkan kenyataan yang boleh dipercayai terhadap alam semulajadi. Sains juga boleh dilihat dari ‘aspek vokasional’ iaitu ahli-ahli sains menjalankan penyelidikan melalui kebolehan, minat dan kreativiti mereka. Sebagai rumusan, sains menerangkan banyak perkara. Ia adalah hasil penyelidikan yang mempunyai kaedah tertentu, satu pengetahuan tersusun, satu alat menyelesaikan masalah, satu institusi sosial, memerlukan sumber bahan, satu sumber kebudayaan yang perlu diurus dan merupakan satu faktor utama dalam pembinaan masyarakat. 3
Seperti juga sains, teknologi juga boleh ditakrifkan dalam pelbagai definisi. Gardner et al. (1990) mendefinisikan teknologi sebagai alat atau proses-proses pembinaan yang menuju ke arah pembentukan alat tersebut. Walaupun sains dan teknologi melibatkan kajian yang rasional, tetapi kedua-duanya berbeza dari segi matlamat dan hasil yang diwujudkan. Sains bertujuan untuk membuat pengitlakan idea dan kefahaman terhadap fenomena alam semulajadi manakala teknologi pula menggunakan idea-idea tersebut bagi menghasilkan alat untuk menyelesaikan masalah. Malcolm dan Stephens (1984) mendefinisikan teknologi sebagai ‘prosedur pemikiran dan pelaksanaan yang bercirikan perkembangan teknologi dan juga segala produk yang dihasilkan. Scriven (1985) merujuk teknologi sebagai ‘keseluruhan pengetahuan dan kemahiran yang terlibat dalam pembuatan, penyenggaraan dan pengubahsuaian alat dan juga semua alat-alat tersebut’. Umumnya, definisi teknologi merangkumi kedua-dua proses dan produk. Perkembangan sains dan teknologi adalah saling melengkapi. Dalam sains yang berasaskan teknologi, kita melihat bagaimana penemuan teknologi telah membantu perkembangan pengetahuan sains. Sebagai contoh, ciri-ciri elektron telah dapat dikaji dengan lebih terperinci apabila teknologi dapat menghasilkan kelalang vakum yang tahan terhadap tekanan tinggi dicipta. Seth (2000) menjelaskan bahawa apabila kita pergi pula kepada teknologi yang berasaskan sains, teknologi tersebut wujud hanya apabila pengetahuan atau prinsip sains yang ditemui dapat diaplikasikan dalam pembuatan teknologi tersebut. Pada masa sekarang, sains terus berkembang seiring dengan perkembangan teknologi. Perkembangan sains dan teknologi semakin mempengaruhi kehidupan manusia. Masyarakat banyak bergantung kepada penggunaan alat-alat teknologi yang menggunakan prinsip-prinsip sains. Disamping itu, kefahaman masyarakat umum terhadap prinsipprinsip sains adalah sangat penting dalam menjaga kesihatan dan alam sekitar, menyelesaikan masalah dalam atau dengan menggunakan alat teknologi dan dalam memberikan kesedaran tentang kebaikan dan keburukan sains dalam kehidupan.
4
4.0
SEJARAH
PERKEMBANGAN
SAINS
DAN
TEKNOLOGI
DALAM
TAMADUN ISLAM Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam adalah salah satu tamadun yang memberikan sumbangan terbesar dalam pembentukan tamadun dunia. Pada umumnya, tamadun manusia telah wujud semenjak Nabi Adam AS dicipta oleh Allah SWT Perkara utama yang diberikan kepada Nabi Adam adalah ilmu pengetahuan yang tidak dapat ditandingi oleh ilmu para malaikat yang mana ianya terkandung di dalam surah al Baqarah ayat 31-32. Ilmu inilah yang telah menjadi asas kecemerlangan ummah dan paksi kepada kekuatan Islam. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, pula telah wujud satu ciri terpenting pembinaan tamadun manusia yang dicapai ketika itu ialah pembentukan Madinah sebagai pusat ilmu dan elemen perpaduan antara kaum yang wujud secara praktikal (Sabri Mohamad Sharif 2008). Sejarah Islam memperlihatkan Madinah telah menjadi satu pusat yang penting dalam penyebaran ilmu ke segenap pelusuk dunia yang boleh dicapai pada ketika itu. Ini termasuklah ke segenap daerah al-Jazirah, al-Sham, Iraq, Euthopia dan Mesir.
4.1 Sains Dan Teknologi Zaman Rasulullah SAW Zaman Nabi Muhammad SAW 610–632 M: Era ini bermula sejak junjungan mulia Rasulullah SAW menerima wahyu pada tahun 610 M, kemuncak era ini berlaku apabila penghijrahan junjungan Rasulullah SAW ke Madinah pada tahun 622 M yang membawa kepada pembinaan negara dan masyarakat Islam pertama sehinggalah kewafatan baginda pada tahun 632 M. Era ini amat penting dalam konteks tercetusnya budaya ilmu Islam yang ditayangkan melalui gagasan Iqra’ yang ditiupkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Menurut Profesor S.H. Nasr (1992), benih spiritual yang ditanam oleh Nabi Muhammad SAW sejak abad pertama Islam telah membuahkan kesan zahir dalam bidang sains pada abad ke-4 dan ke-5 Islam.
4.2 Sains Dan Teknologi Zaman Khulafa’ ar-Rasyidin (632-661 M) Pada era ini terhasilnya dua usaha penting dalam konteks sains dan teknologi Islam iaitu pertama, perluasan wilayah Islam yang meliputi sebahagian wilayah Romawi seperi Iskandariah dan Parsi yang memiliki pusat-pusat sains. Kedua, penyerapan tradisi Parsi 5
dan Yunani dalam bidang pentadbiran dan peperangan terutama pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Pada zaman tersebut, pasukan tentera untuk peperangan telah dibahagikan kepada lima bahagian iaitu pasukan berkuda, pasukan pejalan kaki, pasukan perkhidmatan, pasukan peninjau dan pasukan sayap belakang. Kem-kem tentera juga telah didirikan pada zaman ini dan kem yang terbesar terdapat di Basrah, Kufah, Fustat, Qairawan dan Mansourah. Seterusnya, hal ini telah membawa kepada pembentukan tentera laut, dan serangan tentera laut Islam pertama telah diketuai oleh al-Ala bin Hadrani. Seterusnya pada zaman Saidina Uthman, Abdullah bin Qays Harith telah melakukan 50 serangan terhadap tentera Rom. Muawiyah dan Abdullah juga telah melalkukan serangan laut ke atas Cyprus pada tahun 28H. Senjata yang telah digunakan oleh mereka pada zaman tersebut antaranya ialah perisai, pedang, lembing dan panah serta menggunakan baju besi dan topi besi untuk tentera berkuda. Hal ini secara tidak langsung telah menunjukkan ciri-ciri perkembangan sains dan teknologi yang seterusnya dikemaskinikan oleh para sarjana zaman yang selepasnya.
4.3 Sains dan Teknologi Zaman Bani Umayyah (661-750 M) Selama 90 tahun pemerintahan Bani Umayyah telah bermulanya tahap penterjemahan karya-karya sains asing terutama dalam bidang sains amali seperti perubatan, kimia dan astronomi terutama pada zaman Al-Walid bin Abdul Malik (705 – 715 M). Beliau telah membina hospital pertama di Damsyik. Manakala Khalifah Umar Abdul Aziz pula membina hospital khas bagi penyakit kusta (Amir al Najjar, 1987: 60). Perluasan Wilayah Islam juga turut mensintesiskan sains Islam dengan sains Yunani, Parsi, India, Cina, Babylon dan Mesir. Ilmu pengetahuan dari pelbagai bidang juga berkembang di Kota Basrah dan Kufah. Hal ini kerana pada zaman ini juga bermulanya penterjemahan karyakarya Yunani ke bahasa Arab giat dijalankan oleh para sarjana Islam.
4.4 Sains dan Teknologi Zaman Abbasiyah ( 750-1258 M) Zaman Abbasiyah diidentitikan oleh para sarjana sejarah sains sebagai Zaman Keemasan Intelektual Islam disebabkan pencapaian cemerlang pada tempoh tersebut dalam berbagai 6
inovasi sains dan teknologi. Antara kriteria utama era Abbasiyah dapat diikhtisarkan sebagaimana berikut : a. Keunggulan polisi sains atau naungan politik para khalifahnya terutama di zaman Khalifah Harun Al-Rashid dan Al-Ma’mun (813-833 M) terhadap para cendekiawan dan kegiatan intelektual mereka. b. Kemunculan failasuf saintisnya yang dijuarai oleh Jabir bin Hayyan, Muhammad bin Musa al-Khawarazmi, al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Haytham, al-Biruni dan alGhazzali yang mewakili kaum intelektual masyarakat Neo-Muslim Abbasiyah yang terbilang. Mereka telah menghasilkan berbagai disiplin ilmu dan metodologi sains yang merangkumi kimia, matematik, perubatan, astronomi, geografi, fizik, biologi, optik, botani, zoologi dan berbagai lapangan ilmu yang baru. c. Era Abbasiyah juga telah memperkukuhkan penginstitusian ilmu-ilmu tradisi Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Pada era ini muncul aliran-aliran fiqh Islam yang berpengaruh seperti Malikiyyah, Syafi’iyyah, Hanabilah, Hanafiyah dan seumpamanya. Demikian juga lahirnya aliran-aliran pemikiran Islam dalam bidang tasawuf, ilmu kalam, falsafah, sains dan berbagai bidang pemikiran Islam yang lain. d. Selanjutnya gerakan penginstitusian ilmu yang meliputi ilmu-ilmu wahyu dan rasional telah berjalan dengan lebih bersemarak lagi dengan kemunculan Bayt al-Hikmah yang ditubuhkan oleh Khalifah al-Ma’mun sebagai pusat penterjemahan karya-karya ilmu asing ke dalam bahasa Arab yang menjadi wahana kepada kebangkitan intelektual Islam yang tiada tolok bandingnya. Di bawah pimpinan Yahya Ibn Masawayh, Bait al-Hikmah menjadi pusat utama kegiatan penterjemahan. Kerja penterjemahan di pusat tersebut telah dilakukan oleh Ibn Masawayh sendiri dan anak-anak murid beliau seperti Abu Zayd Hunayn Ibn Ishaq al-Ibadi (mati 263 H/876 M) seorang ahli kedoktoran Nestorian (O'leary, 1968: 112). Hunayn bersama-sama dengan anaknya iaitu Ishaq Ibn Hunayn dan anak saudaranya, iaitu Hubaysh Ibn al-Hassan telah berkerja bersama-sama dalam melakukan kerja penterjemahan. Hunayn telah menterjemahkan karya Eculid, Galen, Hippocrates, Archimedes, Apollonilmus dan karya Plato seperti Republic, Laws dan Timaeus serta karya-karya Aristotle ke dalam bahasa Arab. Anaknya, Ishaq telah menterjemahkan Sophist Plato, Metafizik, de anima, de generatione et de corruptione dan Hermeneutica 7
karya Aristotle (O'leary, 1968: 113). Menurut De Boer, Hunayn lebih terarah dalam menterjemahkan karya-karya perubatan, manakala anaknya Ishaq lebih menjurus ke arah penterjemahan karya-karya falsafah (De Boer, 1970: 18). Disamping mereka, terdapat penterjemah lain dari golongan Nestorian seperti Abu Bishr Matta b. Yunus (mati 328 H / 939 M) yang menterjemahkan Analytica Posterior dan Poetic Aristotle, ulasan Alexander of Aphrodisis terhadap buku de generatione et de corruptione dan ulasan Themistilmus terhadap buku 30 Metafizik Aristotle. Abu Bishr Matta juga adalah pengulas asal terhadap karya Aristotle Categories dan Isagoge oleh Porphyry. Penterjemah dari golongan Jacobites pula ialah Yahya b. Adi dan Abu 'Ali Isa b. Zaraah (De Lacy O'leary, 1968: 114). Penterjemah lain yang aktif pada peringkat ini ialah seperti Thabit b. Qurrah (mati 901 M), as-Sarakhsi (mati 899 M), al-Farabi (mati 950 M), al-Kindi (873 M), Abu Sulaiman al-Mantiqi as-Sijistani (mati 985 M), al-Amiri (mati 992 M) (Franz Rosenthal, 1975: 6), Ibn al-Khammar dan lain-lain lagi (De Boer, 1970: 18-19). e. Demikian juga kemunculan rangkaian Madaris (madrasah-madrasah), Universiti Nizamiyah, observatori, universiti hospital (bimaristan ), perpustakaan-perpustakaan, dan kompleks sains yang menjadi mekanisme kebangkitan sains dan teknologi Islam. Secara amnya, pengaruh kedua-dua bandar ilmu Cordova dan Baghdad telah membuka mata Barat dan kemudian lahirnya zaman yang dipanggil Zaman Renaisance.
4.5 Sains dan Teknologi Zaman Uthmaniyyah Bermula pada tahun 1281-1924M, Kerajaan Turki Uthmaniyyah (643 Tahun) merupakan empayar Islam yang terbesar. Diasaskan oleh Khalifah Uthman bin Ertoghrul bersama 37 orang khalifah. Kemudiannya usaha menakluki Konstantinopel iaitu Ibu negara Rom Timur atau dikenali Byzantium bermula pada 1453M bersamaan 853H di bawah kepimpinan Raja Muhammad II bin Murad (Muhammad Al-Fateh). Beliau Sultan Muhammad Al-Fateh sangat mahir dalam bidang Matematik dan kejayaan menakluki kota Konstantinopel adalah kejayaan yang ditunggu selama 800 tahun. Beliau juga berjaya mengumpul segala jenis teknologi senjata yang ada pada masa itu seperti teknologi pembuatan meriam.
8
v. Pemerintahan Islam di Andalus / Sepanyol 711 – 1492 M : Kebangkitan Intelektual Islam Sepanyol juga telah mewarnai zaman Pertengahan Eropah yang menyumbangkan zaman Renaisans Eropah. Kesarjanaan Ibn Rushd, Ibn Hazm, Ibn Firnas, Ibn Tufail, alZahrawi dan lain-lain tokoh sains dan teknologi Islam Sepanyol atau Andalus telah terpahat di dada sejarah intelektual. Kejatuhan Sepanyol Islam bererti bermulanya kebangkitan Eropah Kristian Moden yang diikuti dengan kemunculan Zaman Moden. Cordova telah menjadi pusat kegiatan ekonomi antarabangsa di Sepanyol. Bahkan terdapat kilang membuat alat-alat senjata dan industri memproses kulit. Kaum muslimin Andalus juga maju dalam bidang pertanian seperti mengadakan saliran, memilih biji benih dan menyuburkannya.
5.0
SUMBANGAN DAN PENGARUH SAINS DAN TEKNOLOGI DALAM
TAMADUN ISLAM
5.1 Aspek Perubatan Perkembangan ilmu perubatan sebelum kedatangan Islam tidak terlalu memberangsangkan pada zaman Jahiliah kerana mereka amat ketinggalan di dalam bidang ini. Asas perubatan mereka pada masa itu hanya mempercayai bahawa punca penyakit adalah dari semangat ruh-ruh yang jahat. Bahkan pada zaman itu, mereka masih lagi terpengaruh dengan tamadun kuno daripada ilmu perubatan Yunani yang dipenuhi amalan-amalan daripada tamadun Cina dan India (Nizaita Omar, T. TH.: 140). Walau bagaimanapun, menurut Nizaita Omar melalui Mahmud Muhammad Abd Aziz terdapat juga pada zaman tersebut cara perubatan saintifik tetapi di dalam bentuk yang mudah dan sesuai dengan keadaan dan suasana pada zaman tersebut. Antaranya ialah penggunaan al-kayy atau besi panas bagi penyakit-penyakit kronik. Tetapi mereka menggunakannya apabila tidak kedapatan cara-cara perubatan yang lain (Nizaita, T. TH.: 141). Seorang lagi pengamal perubatan terkemuka pada zaman kedatangan Islam ialah Ibn Abi Ramthah al-Tamimi. Diriwayatkan bahawa beliau juga mempunyai kepandaian di dalam bidang pembedahan. Perubatan secara saintifik pada Zaman Sahabat RA dan Bani Umayyah ialah penggunaan alat gantian palsu telahpun wujud pada zaman Rasulullah SAW, dikisahkan 9
bahawa ‘Afranjah RA yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW, telah tercedera di dalam satu peperangan. Beliau telah kehilangan batang hidungnya. Beliau akhirnya menggunakan hidung palsu yang diperbuat daripada perak. Setelah digunakan, tempat kecederaan telah mengeluarkan bau yang busuk. Lalu Rasulullah SAW telah mencadangkan agar beliau (‘Afranjah) menggunakan hidung palsu yang diperbuat daripada emas. Manakala pembedahan terhadap anggota badan manusia telahpun dipraktikkan dalam sejarah Bani Umayyah. Ia juga menunjukkan bahawa ubat penahan sakit (bius) telah pun tersebar dan digunakan pada zaman tersebut. Kisahnya ‘Urwah ibn al Zubair ibn alAwwam telah ditimpa satu penyakit di bahagian kakinya. Penyakit itu timbul ketika beliau berkunjung ke Damsyik untuk berjumpa Khalifah al Walid ibn ‘Abd al-Malik. Khalifah alWalid telah mengumpulkan ahlil-ahli perubatan yang hebat pada zamannya untuk membantu mengubati penyakit ‘Urwah. Mereka (ahli-ahli perubatan) akhirnya sepakat mengatakan bahawa kaki ‘Urwah terpaksa dipotong demi untuk menyelamatkan nyawa dan anggota-anggota badan yang lain dari terkena jangkitan penyakit tersebut. ‘Urwah bersetuju kakinya dipotong. Ahli-ahli perubatan yang merawatkan telah menawarkan kepadanya sejenis ubat yang boleh menghilangkan akalnya buat sementara, sewaktu kakinya dipotong. Tetapi beliau (‘Urwah) enggan menggunakannya. Sebaliknya meminta kakinya dipotong ketika beliau mengerjakan solat. Walau bagaimanapun beliau tidak sedikit pun mengerang kesakitan kerana terlalu khusyuk dalam munajat dengan Tuhannya. Beberapa tokoh sarjana perubatan Islam yang diperakui oleh masyarakat dan pemimpin (khalifah) pada zaman mereka diantaranya ialah Al-Hakam bin Abi al-Hakam al-Dimasyqi merupakan seorang pengamal perubatan yang mendapat kepercayaan Khalifah Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA untuk merawat Mu’awiyah sekeluarga. Tayyazuq pula merupakan pengamal perubatan yang dipercayai oleh al-HajjajYusuf al-Thaqafi. Abd al-Malik bin Abjur al-Kannani pernah merawat ‘Umar bin Abd al-‘Aziz, salah seorang khalifah Bani Umayyah. Diriwayatkan bahawa beliau memeluk Islam di tangan Khalifah ‘Umar sendiri. Manakala tokoh sarjana Islam wanita pula ialah Zainab al-Awadiyyah yang mahir di dalam mengubati penyakit-penyakit yang berkaitan dengan mata. Abu MarwanAbd alMalik atau dikenali juga Ibn Zuhr (1161M) telah menulis kitab “alTaysir Fi alMurawahWa alTadbir” atau “Facilitation Of Treatment”. Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada zaman Renaissance Eropah. Kandungan karya 10
ini alah huraian terhadap scabies, perikarditis, pengeluaran batu karang, penyakit telinga tengah dan lain-lain. Ibn al Rushd (1126-1198M) juga merupakan seorang tabib yang telah menghasilkan karya perubatannya yang terkenal iaitu “al Kuliyyah” atau di dalam bahasa Inggerisnya “General Rules of Medicine”. Buku ini mempunyai 16 jilid. Hasil kerjanya telah diwarisi oleh orang-orang Eropah. Ibn al Quff (1233-1286M) pula telah menghasilkan buku “al Umdah Fi Sina’at al Jurahah”. Ia mngandungi 20 fasal. Dalam buku ini beliau membincangkan kepentingan anatomi dalam pembedahan serta teknik-teknik dan alat-alat yang digunakan dalam surgeri.
5.2 Aspek Senibina Seni merupakan suatu kreativiti, kepakaran dan kebolehan seseorang individu dalam menghasilkan sesuatu ciptaan yang indah dan dapat dihayati dan mempunyai nilai-nilai estetika yang dapat menarik perhatian sesiapa sahaja yang menatapnya. Manakala hasil seni ialah suatu ciptaan yang halus, indah, cantik dan sebagainya yang terhasil daripada kreativiti seseorang individu. Islam tidak pernah melarang penganutnya menikmati keindahan alam asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Allah kerana Allah sayang dan sukakan keindahan. Hal ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Ia sayangkan kepada keindahan.” (Nang Naemah Binti Nik Dahalan & Nur Maslina Binti Ramli, 2014: 40). Masjid merupakan satu bangunan yang melambangkan keagamaan. Masjid tidak berfungsi semata-mata sebagai tempat ibadat sahaja, malah juga sebagai tempat pertemuan umat Islam dalam membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan juga kebajikan umat Islam sejagat. Menurut I.H. Qureshi melalui Mahayudin Haji Yahay terdapat beberapa jenis ciri-ciri utama seni bina Islam iaitu: i. Mempunyai ruang untuk memasukkan cahaya ke dalam bangunan sebanyak yang boleh. Hal ini sesuai dengan keadaan alam persekitaran yang boleh memberikan keselesaan kepada umat Islam sewaktu mengerjakan ibadat solat di dalam masjid atau rumah kediaman. 11
ii. Bahan hiasan yang paling menonjol ialah tulisan khat atau kaligrafi yang dipetik daripada ayat-ayat al-Quran dan Hadith sekaligus ianya melambangkan kehidupan umat Islam. iii. Mempunyai ruang pemisah di antara orang lelaki dan orang perempuan. iv. Menyesuaikan reka bentuk bangunan dengan iklim dan keadaan setempat. v. Perabot dalam bangunan mestilah sederhana dan indah. vi. Bercirikan luahan perasaan, keamanan, ketenangan dan keheningan yang semestinya tidak wujud sebarang pertentangan antara unsur kerohanian dengan kebendaan atau keduniaan dengan keakhiratan. vii. Keselamatan bangunan hendaklah selamat digunakan dalam jangka waktu yang lama. viii. Arked dan bumbung telah ditambah oleh E.J Grube sebagai pelengkap kepada ciri-ciri seni bina Islam yang dinyatakan di atas. Kesimpulannya, ciri-ciri seni bina Islam seperti yang dinyatakan I.H. Qureshi bertepatan seperti yang digunakan oleh para arkitek dan jurutera di dalam pembinaan sesebuah bangunan yang berunsurkan Islam. Seni bina Islam diperindahkan dengan pelbagai unsur dekorasi yang menggabungkan elemen perwatakan seni bina Islam yang unik berdasarkan latar belakang persekitaran umat Islam. Seni bina masjid Quba’ adalah ringkas dan sederhana sesuai dengan ajaran Islam yang mengutamakan pembentukan akhlak, tanggungjawab beribadah dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Masjid terawal ini didirikan di tempat lapang, mempunyai ruang sembahyang yang dilingkupi oleh tembok yang diperbuat daripada batang pohon tamar, berbentuk segi empat dengan keluasan kira-kira 50 meter persegi. Dindingnya pula setinggi 3.5 meter. Terdapat lindungan atau al-mizallah yang turut diperbuat dari batang tamar yang diikat dengan tanah liat di sebelah baratnya. Sembilan bilik yang menjadi tempat kediaman Nabi Muhammad SAW turut dibina di bahagian tenggara. Reka bentuk bumbung masjid ini diletakkan di bahagian tepi (serambi keliling) atau ruang riwaqs (cloister). Masjid ini beratapkan daun tamar yang disokong oleh sebilangan tiang yang diperbuat dari batang tamar dan batang tamar juga turut digunakan untuk mimbar (Abdul Halim Nasir, 1995: 25).
12
5.3 Aspek Ilmu Falak (Astronomi) Jika diimbas aktiviti semasa kebangkitan zaman tamadun Islam pula, proses menilai ilmu yang datang daripada pelbagai sumber, memurnikan dengan keperluan agama dan menserasikan dengan budaya melibatkan aspek kualitatif dan kuantitatif. Dalam Kitab alHind, al-Biruni menggunakan pelbagai kaedah kualitatif dalam pemerhatiannya tentang masyarakat Hindu, seperti merekodkan perkhabaran tentang sesuatu kejadian dan keadaan daripada pedagang, pemerhatian yang al-Biruni sendiri turut serta, nota lapangan, merujuk maklumat secara silangan daripada beberapa sumber dan menggunakan maklumat sejarah.9 Kaedah kuantitatifnya lebih terserlah sekurang-kurang dalam Kitab al-Tafhim liawail sinaat al-tanjim, dengan jadual numerikalnya, data statistik, penggunaan rajah dan rumus-rumus berkaitan geometri, aritmetik, geografi fizikal dan ilmu falak. Walau bagaimanapun, sesuai dengan tradisi ilmu silam yang tidak memisahkan kedua-dua aspek kuantitatif dan kualitatif, karya al-Biruni dalam Kitab fi ifrad al-maqal fi amr az-zilal, jelas memperlihatkan keindahan gabungan kedua-dua aspek ini. Dalam karya ini, al-Biruni banyak menafsirkan ayat-ayat al-Quran tentang ‘bayang’ dan ‘cahaya’ secara kualitatif dan kuantitatif, yang membawa kepada pembuktian rumus tangen, penggunaan gnomon, penggunaan jam matahari, hubungan waktu dengan jarak di permukaan bumi, fenomena fajar petang dan pagi serta jarak antara cakerawala (Baharrudin Bin Zainal, T. TH: 5)
5.4 Aspek Ilmu Zoologi Kerja-kerja terawal zoologi Islam dalam mengkaji haiwan bermula pada abad ke-8 Masihi. Bentuk kajian yang dilakukan lebih memberikan tumpuan kepada unta dan kuda, terutama sekali aspek pembiakan binatang-binatang tersebut (Ahmad Fauzi Morad, 1997: 129). Pada abad ke-9 terdapat banyak nama-nama besar dalam bidang pengkajian zoology Islam termasuklah Abu Nadr, Ibn Shumayl al-Asmai', Ibn al-Farabi, Ibn Salman dan Ibn Hatim. Contoh penulisan yang merujuk kepada kajian zoologi ialah kitab al-Hayawan oleh alJahiz, Uyun al-Akbar oleh Ibn Kutaibah dan Hayat al-Mawat al-Kubra karangan al-Damiri.
13
5.5 Aspek Ilmu Biologi Sains biologi merupakan suatu bidang ilmu yang bersangkutan dengan benda-benda hidup. Pemahaman asas mengenai habitat, kelakuan dan pengkelasan haiwan dan tumbuhtumbuhan telah dikaji dan dicatat oleh orang-orang Islam sejak zaman Bani Umaiyah. Pada zaman tersebut mereka berminat di dalam pembiakan kuda dan unta, sehubungan dengan itu mereka berjaya menghasilkan suatu penemuan asas untuk memulakan kajian dalam bidang zoologi dan biologi biak-baka.
5.6 Bidang Botani Menurut S. Salahudin Suyumo melalui Ahmad Fauzi Morad, minat komuniti saintis Islam dalam mengkaji botani tidaklah disebabkan oleh faktor botani itu sendiri, tetapi lebih dirangsang dan didorong oleh faktor-faktor luaran, iaitu untuk kepentingan sains perubatan dan keperluan sains pertanian. Oleh itu botani dan farmakologi telah berkembang di bawah tajuk yang sama dan maju secara tidak berasingan. Kerja penyelidikan ahli sains Islam tentang botani bermula pada abad ke-8 Masihi dengan terbitnya buku karangan Jabir Ibn Hayyan mengenai botani dan pertanian (S. Salahudin Suyurno 2006: 84). Bidang ini telah menarik minat dan menjadi perhatian khusus pakar sains Islam kerana kepentingan tumbuh-tumbuhan dan hasilnya dalam perubatan amat diperlukan oleh masyarakat Islam ketika itu. Al-Riyasa Ibn Jarit (meninggal 1193M), menulis mengenai limau dan rubab dan penggunaannya. Al-Ghafiqi dari Cordava telah Berjaya mengkelaskan tumbuhan yang dikutip dari Sepanyol dan Afrika dengan nama Latin dan Berber. Beliau telah menerbitkan sebuah buku tentang tumbuh-tumbuhan dan 50 buah jenis pokok buahbuahan telah dijadikan rujukan oleh pakar-pakar lain selepasnya. Al-Nabati menjalankan penyelidikan yang meluas sehingga ke Sepanyol, Afrika Utara, Arabia dan Lautan Merah dan menghasilkan al-Rihlah, yang menceritakan tentang tumbuhan-tumbuhan yang dijumpainya. Murid beliau al-Baitar telah menyusun sebuah buku yang menyenaraikan 1,400 jenis dadah yang diproses daripada binatang, tumbuhtumbuhan dan bahan bahan galian. Karyanya al-Mughni fi al-Adwiyah al-Mufradah dan al-Jami'ji al-Adwiyah al-Mufradah paling berpengaruh dibidang farmakologi. Sebahagian karya ini diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Perancis dan Jerman.
14
Di kota besar seperti Cordava, Baghdad, Kaherah dan Fez terdapat beberapa taman bunga yang cantik dan indah, menurut Sarton pencapaian umat Islam jauh lebih dari bangsa Yunani. Asma'I dari Basrah (739-783M) telah menulis beberapa buah buku seperti "Kitab al-Ibil, Kitab al-Khail, Kitab al-Wuhusy, Kitab al-Sya' (mengenai biologi haiwan) dan Kitab al-Khalq al-Insdn' yang terakhir mendedahkan mengenai anatomi manusia. Al-Jahiz telah mengkaji lebih dari 350 jenis haiwan, dan menghasilkan "Kitab alii ay aw an". Kitab ini menyentuh tentang psikologi haiwan, persaingan antara haiwanhaiwan untuk kehidupan dan adaptasi kepada alam sekitar. Al-Damiri telah menghasilkan "Hayat al-Hayawan" dan dicetak beberapa kali di Kaherah, sebahagiannya diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh A.S.G. Jayakar. Nama-nama lain yang turut berperanan di dalam perkembangan ilmu botani ini termasuklah seperti Abu Nadr Ibn Shumayl, Abu Zayd al-Ansari dan Ibn Sikkit Abu Said al-Asmai (Ahmad Fauzi Morad 1997: 128). Kajian sejarah sains dan teknologi di zaman tamadun awal sehingga zaman moden menunjukkan bahawa setiap tamadun dunia telah memberikan sumbangan terhadap perkembangan sains. Carta sejarah perkembangan sains dan teknologi yang dikemukakan oleh Poh Swee Hiang menunjukkan dengan jelas aliran perkembangan sains dan teknologi dalam sejarah ketamadunan manusia.12 Bermula sejak tahun 3500 sebelum masihi dikenali zaman tamadun awal wujud dalam sistem kerajaan iaitu Babylon dan Mesir Purba. Pada tahun 1000 sebelum masihi wujud sains dan teknologi dalam tamadun Yunani, India dan Cina yang diklasifikasikan sebagai tamadun klasik. Zaman tamadun moden pula terdiri daripada tiga zaman iaitu Islam, Eropah Renaisans dan Eropah Moden pada tahun 500 masihi (Alias bin Azhar, 2013: 53). Kronologi sejarah perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun manusia turut direkodkan oleh George Sarton dalam karya agungnya History Of Science sebanyak lima jilid. Beliau telah membahagikan sejarah perkembangan ini kepada empat zaman utama secara umumnya. Peringkat-peringkat perkembangan tersebut antaranya ialah: i) Tahun 450SM-500M dikatakan sebagai zaman Plato (Tamadun Yunani) ii) Tahun 600M-700M, disifatkan sebagai keunggulan tamadun Cina. iii) Tahun750M-1100M merupakan zaman kegemilangan sains dan teknologi Muslim. 15
iv) Selepas tahun 1100M pula dianggap zaman kecemerlangan Sains dan teknologi Barat. Selain itu, sejarah telah mencatatkan tentang zaman kegemilangan tamadun Islam, masyarakat Islam sendiri telah membina satu tradisi sains dan teknologi yang telah mendorong kelahiran dan pertumbuhan sains dan teknologi moden di Eropah. Sains dan teknologi Islam telah mencapai kejayan yang cemerlang dalam semua bidang sains, daripada astronomi, sains dan hayat dan ilmu senibina pada zaman perkembangan Islam dalam tempoh lebih kurang antara abad ke-7 Masihi hingga ke-16 Masihi. Selain itu, sejarah telah mencatatkan tentang zaman kegemilangan tamadun Islam, masyarakat Islam sendiri telah membina satu tradisi sains dan teknologi yang telah mendorong kelahiran dan pertumbuhan sains dan teknologi moden di Eropah. Sains dan teknologi Islam telah mencapai kejayan yang cemerlang dalam semua bidang sains, daripada astronomi, sains dan hayat dan ilmu senibina pada zaman perkembangan Islam dalam tempoh lebih kurang antara abad ke-7 Masihi hingga ke-16 Masihi. Di sini jelas, kita lihat proses pemindahan sains dan teknologi daripada ketamadunan Islam melalui pendidikan dan pengajiannya merupakan aset terpenting dalam perkembangan sains. Bidang pengajian sains dan teknologi dapat distrukturkan secara berkesan kerana keduanya merupakan disiplin pengajian yang sistematik serta tidak dapat dinafikan bahawa peranan sains dan teknologi dalam kehidupan manusia amat besar, malah ianya juga berfungsi dalam menentukan corak kehidupan manusia sejagat. Identiti sains dan teknologi Islam dapat dijelaskan dalam analisis epistemologinya yang secara langsung dapat memberikan gambaran dan matlamat serta kedudukan sains dan teknologi dalam Islam. Begitu juga dengan analisis kritis terhadap metodologi yang mempengaruhi cara-cara aplikasi dan adaptasi sains dan teknologi Islam mampu menerangkan dan menjelaskan imejnya tersendiri. Akal manusia, alam semesta dan alQuran merupakan aspek asas dalam penggarapan wahyu Islam. Ketiga-tiganya dikaitkan secara sempurna dengan gagasan utama Islam, bahawa dengan kuasaNya, Allah mencipta dan mempersembahkan ciptaanNya. Segala bentuk ilmu pengetahuan adalah saling berkaitan dengan wahyu, pengkajian dan penyelidikan serta penghasilan teknologi harus menghubungkannya dengan kebenaran wahyu yang merupakan tunggak utama ketamadunan Islam.
16
Fakta sejarah perkembangan sains dan teknologi telah membuktikan bahwa majoriti di kalangan ahli sejarah dan sains Barat serta sarjana Islam yang apologetik, yakin dan percaya bahawa ahli sains masa kini bergantung pada sumbangan ahli sains terdahulu (Gabriel 1974; Vernet 1974). Ahli sains terdahulu terdiri daripada warga sains Greek dan Islam. Mereka telah membina ilmu pengetahuan bagi kemajuan ketamadunan. Pengenalan kepada sejarah sains, Sarton telah cuba menyampaikan serba sedikit tentang kualiti dan kuantiti sumbangan umat Islam dalam bidang ilmu sains (Chejne 1974).
6.0
PENUTUP
Pengaruh tamadun Islam memberikan impak yang amat besar dan bertanggungjawab secara langsung ke arah melahirkan tamadun Barat yang berasaskan kepada kekuatan sains dan teknologi yang disumbangkan oleh tamadun Islam. Seperti yang telah disebut oleh Mustafa (2004), hal ini telah diakui oleh sarjana Barat sendiri pada masa kini. Antara yang mengakui hal ini oalah Jesuit Juan Andres dalam bukunya Origin, Progress and Present State of World Literature yang menyenaraikan secara terperinci tentang unsur-unsur Tamadun Islam dalam Tamadun Barat moden yang bertunjangkan kepada ilmu sains dan teknologi. Tamadun Barat terhutang budi kepada Tamadun Islam kerana tanpa Tamadun Islam, tidak mungkin mereka dapat mencapai kemajuan yang berasaskan kepada perkembangan sains dan teknologi yang dicapai oleh umat Islam. Mastura Badzis (2008) telah membuat kajian dan berdasarkan analisis fakta dari perspektif sejarah yang telah diketengahkan, beliau mendapati bahawa hal tersebut telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlak murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Hal ini turut diakui oleh Mustafa (2004) di mana kesan daripada pertumbuhan sains dan teknologi tersebut telah membawa kepada perkembangan pesat kota raya di seluruh Andalusia. Antara kota raya yang termasyhur ialah Cordova, Seville, Malga, Toledo dan Granada. Kota raya juga menjadi pusat perkembangan pendidikan, ilmu pengetahuan serta sians dan teknologi. Beberapa buah universiti dan perpustakaan besar didirikan. Pelajarnya juga datang bukan sahaja dari seluruh Eropah malah dari seluruh dunia. 17
Fakulti dan jabatan tertentu telah ditubuhkan di universiti-universiti tersebut seperti fakulti sains tulen, perubatan, biologi, farmasi, kejuruteraan, geologi, kimia, fizik, astronomi, falsafah, bahasa dan agama. Hal ini telah menunjukkan pengkhususan pengajian telah pun wujud di Andalusia yang membolehkan penyelidikan secara lebih mendalam dapat dilakukan. Kepesatan perkembangan sains dan teknologi juga bertanggungjawab membantu memperkembangkan industri dalam pengeluaran barangan seperti industri kertas yang kemudiannya diperkenalkan ke Itali, Perancis dan negara Eropah yang lain. Para sarjana dari tamadun Barat amat takjub dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan tamadun yang telah dicapai oleh umat Islam. Mereka telah membawa pulang sebahagian dari pada khazanah ilmu pengetahuan, sains dan teknologi Islam. Buku-buku yang mereka bawa pulang itu telah dikaji dan dipelajari sehingga mereka berjaya akhirnya muncul sebagai cerdik pandai dalam pelbagai bidang terutama sains dan teknologi. Mereka memperkembangkannya lagi ke tahap yang lebih tinggi yang berterusan hingga hari ini. Setiap perkara yang diperoleh tersebut semuanya datang dari umat Islam sendiri yang memperkenalkan kepada mereka terutamanya mengenai ilmu sains tulen, perubatan, kimai, fizik, biologi, farmasi, astronomi, ubat bedil, gula, kompas dan sebagainya. Kepakaran umat Islam dalam bidang teknologi dan kesenian juga secara beransur-ansur dipindahkan ke Eropah seperti bahan logam, seni bina, tenunan, tembikar, tekstil, teknologi pelayaran, teknologi pertanian dan teknologi penyelidikan angkasa lepas (astronomi). Sesungguhnya, pembukaan Andalusia, Pulau Sicily, hubungan diplomatik antara negara Islam dengan negara-negara Eropah, perang Salib dan penubuhan universiti di Andalusia merupakan faktor utama pertumbuhan ilmu sains moden di Eropah. Tidak syak lagi pengaruh dan sumbangan Tamadun Islam kepada perkembangan dan pertumbuhan sains dan teknologi moden di Barat yang menguasai dunia pada hari ini merupakan hasil daripada sumbangan tamadun Islam.
18
RUJUKAN Abdul Halim Nasir. 1995. Seni Bina Masjid di Dunia Melayu-Nusantara. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Abdul Halim Ramli & Fadzlullah Hj Shuib. Perkembangan Sains Dan Teknologi Dalam Islam : Sains Dan Teknologi Islam, Acis. Negeri Sembilan: Universiti Teknologi Mara (UiTM). Abd. Shukor Mohd Ali, Maimun Aqsha Lubis, Muhammad Yusuf. 2013. Peradaban Islam dan Tamadun Dunia: Tamdun Islam dan Peradaban Manusia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia Alias Azhar. 2013. Sains Dan Teknologi Dalam Ketamadunan Islam: Analisa Epistemologi Dan Metodologi dalam Jurnal Al-Tamaddun. Jilid 1, Bil. 8, h. 51-66. Sintok: Universiti Utara Malaysia Alias Azhar. 2010. Faktor Pembangunan Dan Kemunduran Pengajian Sains Islam Silam dalam Jurnal Hadhari. Bil. 3, h. 43-59. Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Amir al Najjar. 1987. Fi Tarikh al-Tibb Fi al-Daulah al-Ilamiyyah. Kaherah: Dar alMa’arif. Baharrudin Bin Zainal. (T. TH). Peluang-peluang Penyelidikan Kualitatif Dalam Ilmu Falak. Serdang: Universiti Putra Malaysia Che Haslina Abdullah. 2013. ‘Pembinaan Tamadun Islam Seimbang Melalui Psikologi Islam
(Development
of
Balanced
Islamic
Civilization
Through
Islamic
Psychology)’ dalam Jurnal Hadhari. Jilid 1, Bil. 5, h. 199-213. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Cowie, A.P et al. 1989. Oxford Advanced Learner’s Dictionary. Edisi Ke Empat, Oxford London : University Press. Kamus Dewan. 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Rosdi Nik Ahmad. 2011. Ilmuan Nusantara. Kuala Lumpur: Percetakan Zafar Sdn. Bhd. 19
Mohd Roslan Mohd Nor. 2010. ‘Meneladani Sejarah Umat Islam Dalam Membentuk Masyarakat Hadhari Yang Gemilang Abad Ke 21 (Taking Lessons of Muslims History in Shaping Excellent Hadhari Community of the 21st Century)’ dalam Jurnal Hadhari. Jilid 2, Bil. 2, h. 19-40. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Mustafa Hj. Daud. 2004. Tamadun Islam Edisi Maktab Perguruan. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Nasr Seyyed Hossein. 1992. Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam. Penterjemah Baharuddin Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nang Naemah Nik Dahalan & Nur Maslina Ramli. 2014. ‘Seni Bina Masjid Dalam Islam’ dalam Jurnal Al-Muqaddimah. Jilid 1, Bil. 2, h. 39-47. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Nizaita Omar. 2006. Perkembangan Ilmu Perubatan: Sebelum dan Selepas Kedatangan Islam dalam Jurnal Pengajian Umum. Bil. 7. TTP: Kolej Universiti Sains & Teknologi Malaysia (KUSTEM). Sabri Mohamad Sharif. 2008. ‘Sumbangan Tamadun Islam Kepada Peradaban Dunia Barat: Muhammad Azizan Sabjan, Noor Shakirah Mat Akhir & Nor Azlina Mohd Zubaidi (pnyt.)’ dalam Prosiding Seminar Antarabangsa Andalusia 1300 Tahun Menyingkap Rahsia Kegemilangan Tamadun di Barat. h. 181-193. TTP: TP. Seth b. Sulaiman. 2000. Pendidikan Sains, Teknologi dan Masyarakat dalam Jurnal Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Jilid 6, h. 66-76. Sintok: Universiti Teknologi Malaysia. S. Salahudin Suyurno. 2006. Kefahaman Terhadap Falsafah Sains Islam Sebagai Pencetus Perkembangan Sains dan Teknologi: Satu Tinjauan Awal dalam Jurnal Centre for Islamic Thought Understanding. Jilid 2, No. 1 Januari, h. 84. Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM).
20