CADANGAN PENAMBAHBAIKAN BAGI MENGERATKAN HUBUNGAN DI ANTARA ETNIK PADA HARI INI.
Oleh Nuratikah Bt. Taufik
Kepelbagaian etnik di Malaysia merupakan salah satu keunikan yang terdapat di negara kita. Walau bagaimanapun, ianya juga menjadi satu cabaran kepada kita khususnya kepada pemerintah negara untuk menyatupadukan kira-kira 80 buah etnik yang kebanyakannya berada di Malaysia Timur. Hubungan yang baik antara setiap kaum di Malaysia sudah mula terjalin sejak lima dekad yang lalu. Namun begitu, seperti air, terdapat pasang surutnya, ada kalanya berlaku juga pertelingkahan dan salah faham yang walaupun kecil tetapi boleh mengundang kepada permasalahan yang lebih besar. Justeru, perpaduan menjadi kunci utama kepada eratnya hubungan antara pelbagai kaum dan etnik di Malaysia. Perpaduan negara membawa maksud satu proses yang menyatupadukan seluruh anggota masyarakat dan negara menerusi ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat itu dapat membentuk suatu identiti dan nilai bersama berserta semangat kebangsaan yang tunggal dalam masyarakat (Aziela Hanafee, 2009). Oleh itu, bagi menambahbaikkan lagi hubungan
di antara etnik yang sedia terjalin,
terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan antaranya ialah dengan mempelajari bahasa etnik yang lain, mengamalkan budaya kunjung-mengunjung dan mengawasi kandungan laman sosial yang berunsur perkauman.
a) Mempelajari Bahasa Etnik Yang Lain
Bahasa merupakan alat untuk membentuk minda, perasaan dan keinginan. Selain penanda bangsa, bahasa juga dapat merefleksikan latar budaya. Jelasnya, bahasa menjadi medium utama untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Kewujudan pelbagai kaum dan etnik di Malaysia yang mempunyai latar belakang budaya berbeza menjadikan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pelbagai bahasa dan dialek yang unik dan menarik.
Terdapat 3 bangsa utama yang terdapat di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Bahasa yang sering digunakan untuk berkomunikasi antara sesama kaum di Malaysia ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kita sering melihat masyarakat Cina dan India berkomunikasi dalam bahasa Melayu, tetapi untuk melihat seorang Melayu berbahasa Cina ataupun India ia adalah sesuatu yang jarang sekali dilihat. Apabila seseorang yang berbangsa Melayu bercakap, masyarakat India dan Cina tiada masalah untuk memahami. Tetapi berlaku sebaliknya apabila seseorang India dan Cina bercakap, kaum Melayu hanya mampu memerhati dan duduk diam tanpa mengetahui mengenai apa-apa yang diperkatakan. Keadaan ini dilihat sebagai satu situasi yang tidak mendatangkan masalah, tetapi hakikatnya tetap ada. Keupayaan untuk mengenali sesuatu kaum tersebut dengan lebih jelas agak terbatas dek kerana kekangan bahasa.
Apabila kita memahami bahasa kaum lain, bukan sahaja Cina dan India, tetapi kaumkaum lain contohnya seperti masyarakat Asli, Jawa, Dusun, Bajau, Iban dan Melanau, kita akan menjadi lebih memahami adat resam, kepercayaan dan pantang larang masyarakat mereka kerana mudah untuk menyampaikan maklumat. Selain itu, apabila kita memahami bahasa dan dialek yang dituturkan oleh kaum dan etnik yang lain, kita akan lebih berhati-hati dalam berbahasa kerana ada sesetengah perkataan yang dituturkan dalam sesuatu bahasa membawa maksud yang berbeza dalam bahasa yang lain. Sebagai contohnya perkataan ‘lawa’ dalam bahasa Melayu adalah bermaksud cantik tetapi bagi dialek Melayu Sarawak, ia membawa maksud sombong. Niat si polan yang hendak memuji tidak kesampaian kerana mesej yang diterima oleh orang yang dipuji berbunyi negatif.
Oleh itu, bagi mengeratkan lagi hubungan antara setiap etnik, kita seharusnya mempunyai kesedaran untuk mempelajari bahasa etnik yang lain dengan sebaik mungkin. Usaha yang pertama perlu bermula daripada diri kita sendiri – kita seharusnya memanfaatkan peluang hidup di bersama-sama dengan kaum yang berlainan budaya dan bahasanya dengan mempelajari sedikit sebanyak istilah-istilah yang diguna pakai oleh mereka. Selain daripada itu, kerajaan dan komuniti setempat boleh mengadakan kursus untuk mempelajari bahasa-bahasa ataupun dialek etnik-etnik dan kaum yang lain secara percuma. Kursus yang dianjurkan tersebut sedikit sebanyak boleh memperbaiki lagi kemahiran berbahasa etniknya sendiri.