ADAT RESAM DAN PANTANG LARANG KELAHIRAN SETIAP KAUM. Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Amnya semua kaum dalam masyarakat sangat menitikberatkan penjagaan sepanjang tempoh kelahiran. Proses kelahiran ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu proses kelahiran semasa hamil dan selepas hamil. Masyarakat Melayu, Cina dan India mempercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezeki masing-masing. Oleh itu, mereka mengamalkan adat-adat dan pantang larang sepanjang tempoh ini yang diwarisi sejak turun temurun. Kebanyakan pantang larang adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Adat dan budaya nenek moyang yang diturunkan ini bukanlah untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang terkandung di sebalik pantang larang yang wujud secara lisan ini. 1.0 ADAT DAN PANTANG LARANG SEMASA HAMIL. KAUM MELAYU. Masyarakat Melayu mengamalkan adat melenggang perut semasa hamil. Adat ini dikenali sebagai ‘Kirim Perut’ oleh masyarakat Melayu yang tinggal dibahagian utara Semenanjung Malaysia manakala dibahagian lain dikenali sebagai ‘Mandi Tian’. Kebiasaannya adat ini dilakukan kepada wanita yang hamil anak sulung dan kandungan itu telah mencapai usia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Adat ini akan dilakukan dan diawasi oleh bidan yang berpengalaman. Menurut kepercayaan nenek moyang pada zaman dahulu, adat ini dilakukan bertujuan untuk membuang kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut. Selain daripada adat resam yang diamalkan semasa tempoh hamil, wanita yang mengandung turut dituntut untuk mengamalkan pantang larang yang wujud secara lisan oleh nenek moyang ini. Pantang larang yang pertama ialah, wanita hamil dilarang untuk memukul atau menyakiti haiwan kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan menjadi cacat atau terkena kenan. Tujuan sebenar pantang larang ini diwujudkan bertujuan untuk mengelakkan berlakunya penganiayaan terhadap haiwan.Pantang larang kedua ialah wanita hamil tidak dibenarkan melintas dibawah ampaian kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir menjadi gagap dalam pertuturannya. Sebaliknya, tujuan pantang larang ini digunakan untuk melindungi wanita yang hamil daripada terkena kecelakaan ketika melintas dibawah ampaian. Sekiranya wanita tersebut melintas lalu tersadung sesuatu ini akan menyebabkan keselamatan ibu terjejas dan seterusnya mampu membahayakan keselamatan ibu dan anak yang dikandung. Pantang larang ketiga ialah wanita hamil dilarang bersikap dingin dan bermasam muka terhadap ibu mertua kerana dikhuatiri semasa proses kelahiran wanita hamil tersebut akan mengalami kesulitan untuk melahirkan. Sebaliknya, pantang larang ini wujud bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni yang perlu digunakan dalam kehidupan berumahtangga agar institusi kekeluargaan sentiasa aman dan harmoni.
KAUM CINA. Masyarakat Cina juga mempunyai adat resam dan pantang larang yang digunapakai dalam kehidupan mereka. Kehidupan harian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka lebih bergantung kepada nasib. Adat dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina. Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang yang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa hamil. Pantang larang ini bertujuan untuk memastikan bayi yang bakal dilahirkan tidak akan ditimpa kejadian buruk seperti kecacatan, keguguran atau kematian. Oleh itu, wanita masyarakat Cina yang hamil akan sentiasa diberikan kawalan ketat terhadap setiap pergerakan dan kegiatan seharian mereka. Mengikut amalan kaum Cina, ibu mertua akan memainkan peranan penting dan bertanggungjawab menjaga wanita hamil. Masyarakat Cina amat mementingkan kelahiran anak lelaki daripada anak perempuan. Hal ini demikian kerana, mereka beranggapan bahawa anak lekaki boleh meneruskan keturunan mereka melalui perkahwinan manakala anak perempuan pula hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sebelum mereka dewasa dan berkahwin lalu menjadi milik keluarga suaminya. Masyarakat Cina juga mengamalkan pantang larang kepada wanita hamil dan pantang larang ini perlu dipatuhi dengan baik. Pantang larang pertama ialah wanita hamil tidak dibenarkan memukul dan menyakiti haiwan kerana dikhuatiri bayi yang bakal lahir akan menerima kenan daripada perbuatan tersebut. Pantang larang kedua ialah wanita hamil tidak dibenarkan untuk memilih nama bayi yang belum lahir kerana dikhuatiri wanita tersebut akan mengalami gangguan emosi dan kecewa sekirannya terjadi sesuatu kepada kandungan tersebut. Pantang larang ketiga ialah wanita hamil tidak dibenarkan terlalu kerap menggosok perut kerana khuatir bayi yang bakal lahir akan memiliki sifat manja apabila dewasa kelak. KAUM INDIA. Masyarakat India juag seperti kaum lain yang mempunyai adat resam dan pantang larang yang diamalkan dalam kehidupan mereka. Kebiasaannya, adat resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan adat dan budaya masyrakat Melayu. Masyarakat kaum India mengamalkan adat valaikaappu kepada wanita hamil. Adat ini dilakukan terhadap kandungan sulung yang telah menjangkau usia tujuh hingga Sembilan bulan. Wanita tersebut akan dipakaikan gelang tangan yang dikenali sebagai suulkaappa. Suul bermaksud kandungan ibu manakala kappa bermaksud perlindungan. Pemakaian gelang ini bertujuan untuk memberi perlindungan kepada ibu dan bayi yang dikandung serta untuk mengelakkan berlakunya kesulitan semasa proses kelahiran. Selain itu, mereka juga mengamalkan adat kulittal. Adat ini merupakan adat memandikan wanita yang sedang hamil.
Wanita tersebut akan dimandikan dengan air susu, air kunyit, air kelapa muda, air mawar dan air bunga-bungaan. Setelah selesai dimandikan, wanita tersebut akan dihias cantik seperti pengantin dan akan dikalungkan dengan kalungan bunga oleh suaminya. Wanita hamil masyarakat India turut mempunyai pantang larang yang perlu dipatuhi bagi memastikan kandungan terhindar daripada sebarang kecelakaan. Pantang larang pertama ialah wanita hamil tidak dibenarkan untuk mengumpat, menfitnah dan bergaduh. Hal ini demikian kerana, khuatir bayi yang bakal lahir akan terkena badi atas perbuatan tersebut. Seterusnya ialah wanita hamil ini tidak dibenarkan untuk tidur pada waktu siang atau tidur secara berlebihan. Pantang larang ini bertujuan untuk mengelakkan bayi yang bakal lahir menjadi lemah dan tidak aktif. 2.0 ADAT DAN PANTANG LARANG SELEPAS HAMIL.
KAUM MELAYU. Adat resam yang sering diamalkan oleh nenek moyang pada zaman dahulu ketika seseorang wanita telah mencapai tempoh hamil iaitu Sembilan bulan sepuluh hari, secekak daun mengkuang akan digantung dibawah rumah. Mengikut fahaman mereka, adat ini dilakukan untuk menghalang daripada gangguan makhlus halus. Setelah selesai melahirkan, bayi tersebut akan dibersihkan terlebih dahulu. Selepas selesai dibersihkan, tali pusat bayi tersebut akan dipotong menggunakan sembilu buluh. Baki tali pusat yang berada di perut bayi akan disapukan kunyit dan kapur lalu dibungkuskan dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal dengan sendirinya. Adat yang seterusnya ialah pemilihan nama untuk bayi yang baru lahir. Mengikut ajaran islam, masyarakat Melayu disunatkan untuk memilih nama yang mempunyai makna yang baik. Kebiasaannya jika bayi lelaki, nama yang dipilih sebaiknya dalam kalangan nama para nabi manakala jika bayi perempuan, nama yang disunatkan adalah dalam kalangan para isteri nabi atau nama anak-anak nabi. Setelah tujuh hari bayi tersebut selamat dilahirkan, kebiasaannya masyarakat Melayu akan mengadakan majlis cukur jambul. Majlis ini akan disertakan dengan majlis dia selamat dan akan menghidangkan pulut kuning kepada pengunjung yang datang melawat ibu dan bayi yang dilahirkan. Bayi akan dipakaikan dengan pakaian yang cantik dan akan didukung oleh bapa atau datuk. Bilangan yang menggunting rambut bayi adalah dalam bilangan yang ganjil. Seterusnya adat bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita hamil kembali normal. Semasa berpantang, mereka akan diberi makan ubat-ubatan tradisi. Tunggu yang dipanaskan diatas bara akan dituam pada bahagian perut dan bahagian-bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Setelah selesai bertunggu, wanita
tersebut akan disapu air limau yang dicampur dengan kapur pada perut sebelum dipakaikan bengkung. Pemakaian bengkung ini bertujuan untuk mengatasi masalah perut buncit selepas bersalin dan memberikan keselesaan kepada wanita selepas mengalami proses bersalin. Tempoh berpantang yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu msetilah selama 44 hari. Sepanjang tempoh berpantang, ibu dilarang untuk makan makanan yang sejuk dan berangin. Hal ini demikian kerana, makanan ini mampu untuk mendatangkan kemudaratan kepada si ibu. Setelah tempoh berpantang mencecah tujuh hari, barulah si ibu dibenarkan melakukan pergerakan ringan namun masih tidak dibenarkan untuk memijak tanah.
KAUM CINA. Wanita Cina yang baru melahirkan akan berpantang selama 40 hari. Ibu ini tidak dibenarkan mandi menggunakan air sejuk kerana dibimbangi akan menyebabkan ibu mengalami sakit badan, otot dan sendi. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, bayi yang baru dilahirkan dan mempunyai pusat yang tenggelam ke dalam merupakan suatu petanda baik. Bayi tersebut akan menjalani kehidupan yang mewah pada masa hadapan kelak. Selain itu, bayi yang memiliki saiz telinga yang lebar dan cuping telinga yang tebal bakal pendapat kehidupan yang serba lengkap dalam erti kata lain bayi ini bakal menjalani kehidupan yang kaya. Namun begitu, jika bayi ini mempunyai pusar di kepala lebih daripada satu, bayi tersebut akan menjadi budak yang nakal dan tidak mendengar kata sepanjang proses tumbesaran bayi ini.. Masyarakat Cina akan mengadakan satu majlis yang bertujuan untuk menyambut kedatangan insan baru dalam lapisan keturunan mereka. Majlis ini akan diadakan setelah bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas kaum Cina yang berbentuk bulat akan diagihkan kepada saudara mara yang terdekat dan sebagai balasan, mereka akan membawa buah tangan kepada ibu dan bayi semasa melawat mereka. Kaum Cina juga mengamalkan upacara mencukur rambut. Adat ini menyerupai adat yang diamalkan oleh kaum Melayu. Majlis cukur jambul ini diadakan kerana mereka beranggapan bahawa rambut bayi yang dilahirkan merupakan rambut sementara. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baharu ke dalam keluarga da keturunan mereka. Adat pemilihan nama merupakan adat yang sangat penting dan sering menjadi perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh semua ahli keluarga. Nama kaum Cina terdiri daripada tiga perkataan iaitu nama keluarga, nama di kalangan adik beradik dan nama panggilan untuk diri sendiri. Sistem nama yang baik perlu menitikberatkan unsur makna, unsur Yin dan Yang yang dibuat mengikut perhitungan matematik Cina. Kesulitan masyarakat Cina memilih nama yang sesuai menyebabkan mereka mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat dan budaya nenek moyang yang memerlukan mereka untuk merujuk kitab-kitab lama sebagai panduan.
KAUM INDIA. Proses kelahiran merupakan satu proses yang sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat India. Waktu kelahiran sangat penting bagi mereka kerana melalui detik inilah mereka akan mencatat dengan tepat tarikh dan maklumat-maklumat penting mengenai bayi yang dilahirkan pada tenpoh-tempoh tertentu. Maklumat yang dicatat bertujuan untuk menentukan bintang bayi mengikut almanac Hindu. Bintang ini akan menentukan mental,fizikal dan rohani bayi ini sehingga mereka dewasa. Kaum India akan menjalankan adat menyapu madu kepada bayi yang baru dilahirkan. Adat ini menggunakan madu yang dicampur bersama minyak sapi laluu disapu pada lihat bayi tersebut. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk melembutkan lidah bayi dan memudahkan mereka untuk bertutur kelak. Selain itu, bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujug atau hari-hari yang lain tetapi mestilah hari ganjil. Adat ini mengamalkan upacara aalati sebelum bayi dibawa masuk ke rumah kerana mereka beranggapan upacara ini mampu mengelakkan bala atau malapetaka daripada berlaku. Ibu dan bayi yang di bawa pulang ke rumah akan diasingkan di sebuah bilik yang dijaga kebersihannya dari ahli keluarga yang lain. Semua ahli keluarga tidak dibenarkan untuk melawat ibu dan bayi ini pada dua minggu yang pertama. Jika ibu bersalin melalui proses pembedahan, ibu tersebut tidak dibenarkan mandi selama dua minggu akibat masalah kesihatan iaitu keadaan fizikal ibu yang lemah selepas melahirkan bayi yang dikandung manakal bagi ibu yang melahirkan bayi secara normal, mereka akan dimandikan selepas dua hari daripada tarikh bersalin. Kaum India juga amat mementingkan upacara pemilihan nama yang sesuai untuk bayi yang baru lahir. Apabila bayi telah berusia enam belas hari, upacara pemberian nama akan dilakukan. Bayi akan dimasukkan ke dalam buaian dan akan dikendalikan oleh ahli keluarga yang arif. Nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak Hindu yang akan berdasarkan tarikh sebenar kelahiran bayi itu. Upacara pemberian nama ini akan dilakukan dengan teliti kerana nama yang bakal dipilih untuk bayi ini akan mempengaruhi perwatakan bayi ini kelak.