1.0 Pengenalan
Terdapat lima proses tahap hubungan etnik di Malaysia yang mana tahap-tahap ini amat penting dalam membentuk perpaduan dan integrasi. Tahap tersebut antaranya ialah akomodasi, amalgamasi, akulturasi, asimilasi dan segregasi . Kesemua proses ini akan
diperhalusi satu persatu supaya kefahaman mengenainya dapat dipertingkatkan seterusnya dapat dinilai semula sama ada proses ini masih segar dalam masyarakat pada hari ini atau telah mula longgar ditelan kemodenan. Perpaduan dan integrasi adalah merujuk kepada proses menggabungkan bahagian-bahagian menjadi satu unit. Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2007), perpaduan adalah satu proses menyatupadukan masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti, nilai bersama, perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Integrasi pula adalah satu proses mewujudkan satu identiti nasional dalam kumpulan terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. 2.0 Tahap hubungan etnik Tahap pertama: AKOMODASI
Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing. Kita dapat memahami konsep dengan jelas dengan menggun akan formula “A + B+ C = A +B+C”, +B+C”, disini A, B dan C merujuk kepada budaya. Ia merupakan satu keadaan atau proses apabila kelompok-kelompok yang berkonflik bersetuju untuk menghentikan dan mengelak konflik dengan mengadakan interaksi secara aman damai baik untuk sementara atau selama-lamanya. Interaksi sosial seumpama ini membolehkan kelompok-kelompok yang terlibat meneruskan identiti serta sikap mereka yang berasingan. Pelbagai kumpulan etnik hidup secara harmonis dan menghormati antara satu sama lain. Pada peringkat pemerintahan pusat, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi dan pendidikan dan mereka saling bergantung. Konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia kerana setiap kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni. Dengan adanya konsep ini, kita sebagai rakyat Malaysia berpeluang untuk memahami agama, bahasa dan budaya masingmasing. Kita dapati bahawa prestasi perpaduan dan integrasi dalam setiap proses berkenaan adalah berbeza. Proses akomodasi adalah sangat penting dalam perpaduan dan integrasi
kelompok etnik di Malaysia. Hal ini terjadi kerana sikap positif saling hormat-menghormati antara kelompok etnik terhadap nilai dan norma masing-masing, yang kita boleh ungkapkan ”sama tetapi tidakserupa.” Maksudnya, setiap kelompok etnik ada sistem kepercayaan masing-masing, ada perayaan masing-masing dan ada pantang larang masing-masing. Dari segi ini semua kelompok etnik mempunyai persamaan.Namun cara mas ing-masing, misalnya, merayakan hari kebesaran agama masing-masing ternyata mempunyai perbezaaan. Atas asas persamaan ini setiap kelompok etnik menghormati perayaan masing-masing. Malah sanggup pula saling merayakan hari-hari kebesaran tersebut. Tahap kedua: AMALGAMASI
Amalgamasi merupakan satu proses penyatuan pelbagai kumpulan etnik dari segi biologi. Dalam proses ini, semua entiti kebudayaan pelbagai kumpulan dicampuradukkan melalui perkahwinan campur dan akhirnya mewujudkan satu bangsa atau budaya baru tanpa menuruti budaya asal mereka. Proses ini kebiasaannya memakan masa yang lama dan akan melalui beberapa generasi. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C = D, di sini A,B dan C mewakili kumpulan etnik yang berlainan dan D mewakili kumpulan baru (amalgam) yang terhasil daripada penyatuan A,B dan C itu tadi. Proses amalgamasi merupakan proses yang boleh dilakukan secara “campurtangan” (interventionist) dan sedar oleh beberapa kumpulan etnik atau pemerintah, di dalam usaha untuk mencantumkan beberapa unsur berbeza daripada kumpulan yang berbeza ke dalam satu entiti yang bersatu, samada secara sementara atau berkekalan dan contohnya seperti wujudnya Sekolah Wawasan oleh pihak kerajaan. Idea penubuhan sekolah wawasan telah dicernakan oleh mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad.Sekolah integrasi ini berpegang kepada konsep belajar bersama-sama di bawah satu bumbung atau satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama. Konsep ini bermaksud dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan pentadbiran dibina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan-kemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer, kantin dan sebagainya. Perkongsian kawasan dan kemudahan sekolah ini memungkinkan usaha-usaha penerapan nilai-nilai masyarakat majmuk serta memupuk semangat persefahaman dan toleransi antara kaum, khususnya di kalangan murid-murid sekolah sejak di peringkat rendah lagi.
Tahap ketiga: AKULTURASI
Akulturasi juga merupakan satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Berbeza dengan proses asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima. Dalam sejarah tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam meminjam. Pada peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta dijadikan usur kebudayaan sendiri. Di Malaysia, beberapa kes boleh dijadikan rujukan seperti penggunaan tali leher, angpau, makanan, hiburan dan sebagainya. Hari ini istilah dan konsep angpau sudah dihayati dan diamalkan dalam adat resam etnik Melayu. Malah setiap bank dan syarikat swasta menyediakan sampul surat untuk memberi angpau di Hari Raya Puasa sudah diamalkan lebih dari satu dekad di Malaysia. Yang nyata daripada akulturasi ini, ianya tidak merobah tiang seribudaya, norma dan nilai sesuatu kumpulan etnik. Yang berlaku adalah budaya sesuatu etnik yang meminjam telah diperkaya dengan ritual budaya yang baru. Tahap keempat: ASIMILASI
Asimilasi yang merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik yang mempunyai berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Konsep ini berhubungan dengan penyerapan sehala individu atau kelompok ke dalam kelompok yang lain. Menurut seorang pakar sosiologi, Vander Zanden menyatakan, asimilasi ialah satu proses dalam mana-mana kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh berbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. Contohnya, orang Melayu di Thailand telah mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa dan hamper semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Konsep ini diwakili dengan formula A+B+C = A, di mana A mewakili golongan dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti.Pada dasarnya proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik yang berbeza budaya bagi suatu tempoh yang agak lama.
Kejayaan
dan
keberkesanan
asimilasi
pada
umumnya
bergantung
kepada
kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti. Di negara kita Malaysia, seperti apa yang berlaku ke atas masyarakat Cina Kelantan, Jawa, Baba dan Nyonya merupakan salah satu contoh berlakunya proses asimilasi. Walaubagaimanapun ianya hanya berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama. Dalam sesetengah kes masyarakat Cina di Malaysia telah mengamalkan kepelbagaian kebudayaan yang umum di mana pemikiran dan sentimen mereka walaupun bersifat kecinaan dari segi etnik namun mereka dikatakan berkongsi sentimen bersama dan beberapa cara hidup orang Melayu, India dan penduduk-penduduk Malaysia yang lain dan begitu juga sebaliknya samada dari segi pemakanan, pakaian dan sebagainya. Jelaslah bahawa di Malaysia pendekatan asimilasi adalah salah satu pendekatan yang terbaik di dalam usaha membina perpaduan kaum yang utuh dan tulen, sekurang-kurangnya dalam konteks peleburan bahasa ibunda etnik minoriti. Contohnya apabila dilihat melalui konteks golongan Baba Nyonya di Melaka dan juga Pulau Pinang, golongan India peranakan atau Mami di Pulau Pinang dan Arab Peranakan telah meleburkan sehingga mengorbankan bahasa nenek moyang mereka. Di sini amat jelas bahawa budaya golongan minoriti dalam konteks asimilasi sosial teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halus terdapat perbezaannya. Budaya Bab Nyonya, India Peranakan dan Arab Peranakan ini dengan jelas telah menjelmakan satu proses perpaduan kaum yang utuh dan tulen. Tahap terakhir: SEGREGASI
Proses yang terakhir iaitu segregasi. Segregasi merupakan pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah Negara. Pemisahan berlaku dalam beberapa keadaan, antaranya dari segi kawasan tempat tinggal, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Amir Hassan Dewi (2002) dalam Penteorian Sosiologi dan Pendidikan telah menyatakan segregasi atau pengelompokkan etnik merupakan satu keadaan yang biasa di mana-mana tempat di muka bumi. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam kehidupan manusia, akan tetapi boleh berlaku secara tidak sengaja pada kehidupan lain seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Pola taburan seperti ini merupakan satu corak dan strategi hidupan secara semula jadi untuk membolehkan hidup bertahan dalam satu komuniti yang kukuh. Segregasi wujud sama ada didasari oleh undang-undang. Sebelum merdeka, Malaysia telah pun melalui keadaan ini selari dengan dasar pecah dan perintah British sebagai kuasa penjajah. Dasar berkenaan mewujudkan segregasi dalam kalangan pelbagai etnik yang dapat mengukuhkan kedudukan kuasa politik dan ekonomi British. Seterusnya, British dapat bertapak dan menjajah selama 170 tahun di negara ini. Pengalaman segregasi yang pernah dilalui rakyat negara ini turut sama dirasai oleh penduduk di Afrika Selatan. Sungguhpun terdapat perbezaan yang nyata antara kedua-dua negara, tetapi terdapat pengajaran penting tentang kesan negatif amalan segregasi tersebut. Di Afrika Selatan, segregasi yang diamalkan dari tahun 1948 hingga tahun 1994 didasarkan oleh undang-undang yang dikenali sebagai dasar apartheid. Justeru, isu yang berlegar sekitar hubungan etnik adalah penting untuk difahami demi membina kesejahteraan hidup rakyat. Di Malaysia pula, Amidah Hamim (2001) menyatakan tentang dasar-dasa r yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan seperti Dasar Wawasan Negara (DWN ialah mencapai perpaduan nasional, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan pembangunan seimbang menerusi pembangunan alam sektor yang mapan untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang. DWN akan merangkumi teras kritikal seperti berikut; membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang juga tersemat dengan nilai positif, dan meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi.
Rumusan
Isu-isu yang berlegar sekitar hubungan etnik terutamanya berkaitan perpaduan dan integrasi amat perlu untuk difahami kerana jika diperhalusi daripada sudut sosiologi dan antropologi, integrasi nasional membawa maksud minat yang semakin bertambah dalam diri manusia untuk menyatukan kelompoknya demi survival kelompok tersebut (Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:286). Sekiranya proses ini tidak dilakukan kelompok tersebut akan musnah dan hancur. Justeru itu, integrasi nasional dan perpaduan merupakan rukun survival yang perlu untuk meneruskan kehidupan di dunia. Sehubungan itu, negara memerlukan bangsa Malaysia yang bersatu padu, berkongsi masa depan yang sama, hidup dalam keadaan yang harmoni dan wujud perkongsian dengan cara yang sebenar dan adil. Apa pun situasinya, penghayatan terhadap konsep dan nilai integrasi dan perpaduan serta keupayaan setiap individu dalam kumpulan etnik tertentu untuk mengadaptasi diri dengan kepelbagaian etnik dan budaya merupakan strategi utama dan relevan dalam usaha untuk mencapai matlamat perpaduan sosial, budaya dan politik yang dihadapi oleh kebanyakkan Negara, termasuklah negara maju.
Rujukan
Wan Hashim Wan The, 2011. Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Institur Terjemahan Negara Malaysia Berhad. Norhasniah Wan Husin, 2012. Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina. Kuala Lumpr: Universiti Malaya. Ahmad Ali Seman, Warti Kimi, 2013. Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd