Amri Marzali adalah pensiunan Profesor Antropologi FISIP Universitas Indonesia, kemudian disambung menjadi Fellow di ATMA Universiti Kebangsaan Malaysia (2007-2008) dan menjadi Visiting Professor di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya sejak Mei 2009.
Dalam salah satu cerita rakyat disebutkan bahawa daerah Orang Petalangan adalah sampai ke Dayun di utara (Siak).
Pada masa kini untuk jarak yang sama diperlukan waktu sekitar 3-4 jam sahaja, iaitu naik kenderaan umum dari Pekanbaru ke Sorek Satu selama 3 jam, sambung dengan beca motor atau ojek sekitar 30 menit.
Suku piliang ini terbagai ke dalam 3 sub-suku, yakni piliang soni, piliang godang dan piliang kocit.
Dalam masyarakat Minangkabau, Kampar dan Kuantan, kelompok di bawah suku ini disebut kaum atau payung, atau nama-nama lain-lain.
Lantai sekeping papan dan atap satu mengkawan daun nipah atau daun enau. Mengkawan ertinya sepelapah daun nipah yang diikatkan ke sepotong kayu panjang.
Menurut maklumat yang diberikan oleh Pak Kulum dari Sorek Dua (Januari 2014), Ke-Andiko-an Langgam pernah dikenal dengan nama Ranah Tanjung Bunga yang dipimpin oleh Unggeh Bomban. Selain itu juga diceritakan, pada suatu masa dibuat perjanjian antara kerajaan Pagar Ruyung dengan kerajaan Melaka (1400-1511) tentang daerah perbatasan mereka di Sungai Kampar. Daerah yang disetujui itu adalah bernama Rantau Sigalang; ke hilir adalah di bawah Melaka dan ke hulu adalah di bawah Pagar Ruyung.
Semua nama Kedatuan di atas terdapat dalam peta Effendy 1997: 23. Datuk Engku Raja Lela Putera adalah raja Pelalawan yang dikalahkan oleh Siak.
Catatan terakhir mengenai struktur pemerintahan Kedatuan ini dibuat oleh Pak Dugang bersama dengan Penghulu Muda Suku Pelabi, Bapak Kulun, Juni 2014.
Tahun 1865 ini agak diragukan, kerana dalam buku yang lain (Effendy 2005) dikatakan bahawa Sultan Tengku Sayed Jaafar memerintah di Pelalawan dalam masa 1866-1872.
18
SEJARAH POLITIK DAN PEMERINTAHAN
PELALAWAN, RIAU.
Oleh Amri Marzali
(Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya;
[email protected])
PENDAHULUAN.
Pelalawan adalah sebuah Kabupaten di Propinsi Riau. Daerah ini sekurang-kurangnya mempunyai dua keistimewaan dibandingkan dengan daerah-daerah kabupaten yang lain di Indonesia. Pertama, sejak awal, daerah ini merupakan pendudukan Orang Asli Petalangan yang mengamalkan adat perpatih – sistem persukuan matrilineal (matrilineal clan). Mereka hidup di bawah sistem pemerintahan Perbatinan, iaitu satu sistem pemerintahan asli Proto Melayu sebelum kedatangan sistem Kerajaan Hindu dan Kerajaan Islam. Kedua, setelah kedatangan Hindu sampai ke zaman kini, daerah ini telah mengalami pergantian berbagai rejim dengan berbagai sistem pemerintahan.
Daerah Pelalawan dan masyarakat Orang Asli Petalangan pernah berada di bawah berbagai kekuasaan politik besar, mulai dari kekuasaan kerajaan Pagar Ruyung (terutama di zaman pemerintahan Adityawaran 1347-1476), kerajaan Melaka (di zaman Sultan Mansyursyah 1456-1477), kerajaan Johor (kelanjutan dari Melaka sejak sekitar 1511), kerajaan Pelalawan-Siak (1789-1946), dan terakhir sekali diserahkan kepada Republik Indonesia pada tahun 1946. Tulisan ini akan bercerita tentang sejarah rejim dan sistem pemerintahan yang berlaku di daerah ini.
Tulisan ini adalah satu hasil kajian kepustakaan yang digabungkan dengan kajian lapangan di Pelalawan selama satu bulan dalam bulan Januari-Februari 2014. Penyelidikan lapangan dibuat di Kelurahan Sorek Satu, desa-desa Sorek Dua, Betung, Talau, dan Tanjung Beringin. Penyelidikan Pelalawan ini banyak mendapat bantuan dari berbagai pihak, untuk itu ucapan terima kasih ditujukan terutama kepada Bapak Hasbullah dan Bapak Husni Tamrin dari UIN SUSKA Riau, Ibu Hesti Asriwandari dari UNRI dan Bapak Dugang dari Pemerintah Kabupaten Pelalawan.
Sampai tahun 1980, daerah Pelalawan masih dalam keadaan hutan rimba belantara, dengan permukaan tanah yang datar dan berawa-rawa. Daerah ini adalah daerah transisi dataran tinggi ke dataran rendah, terletak di bahagian bawah lereng timur pegunungan Bukit Barisan, yang terus beberapa puluh kilometer lagi ke arah timur adalah daerah rawa-pantai Selat Melaka. Di sebelah barat adalah lereng pegunungan Bukit Barisan, dengan puncak tertinggi ditandai oleh Gunung Bukit Situnggal (176 meter di atas permukaan laut). Terus ke barat lagi adalah Kecamatan Kuantan Hilir. Di sebelah selatan adalah Kecamatan Peranab dan Kecamatan Rengat (Kabupaten Indragiri Hulu), yang juga merupakan daerah dataran rendah rawa-rawa.
Di tempat-tempat tertentu, sejak tahun 1970an hutan-hutan ini telah dijadikan hutan produksi yang dieksploitasi oleh syarikat-syarikat pemegang Hak Pengusahaan Hutan (forest concessionaire), antara lain PT. Inhutani IV (bekas konsesi PT. Dwi Marta) (57 873 hektar), PT. Hutani Sola Lestari (45 990 hektar), PT. Nanjak Makmur (48 370 hektar), PT. Siak Raya Timber (38 560 hektar). Sejak tahun 1990an sebahagian besar hutan ini telah berubah menjadi daerah ladang sawit, sama ada diusahakan oleh syarikat-syarikat besar mahupun oleh petani kecil. Pada masa akhir-akhir ini, daerah ini sangat terkenal sebagai penghasil asap pembakaran hutan, yang kepekatan asapnya telah menjadi ancaman bahaya kesehatan bagi penduduk Riau, bahkan sampai ke Malaysia dan Singapura.
Di tempat tertentu di Kecamatan Ukui, sebahagian hutan itu telah dijadikan kawasan Taman Nasional Tesso Nilo (Surat Keputusan Menteri Kehutanan Nomor 255/Menhut-II/2004 dan Surat Keputusan Menteri Kehutanan Nomor 663/MENHUT-II/2009) (dikutip dalam Dugang 2013). Pada masa kini di sebahagian daerah Taman Nasional Tesso Nilo ini telah berlaku konflik antara penduduk tempatan melawan Pemerintah Republik Indonesia mengenai kepemilikan tanah hutan tersebut. Pemerintah berpendapat seluruh tanah hutan Taman Nasional Tesso Nilo itu adalah di bawah kekuasaan negara sesuai dengan Surat Keputusan Menteri Kehutanan di atas. Di pihak lain adalah penduduk asli yang mendakwa bahawa sebahagian tanah hutan itu adalah milik adat mereka.
Setelah itu beberapa penduduk asli, terutama para Ninik-mamak dan Batin yang memegang kekuasaan tradisional atas tanah adat, telah menjual bahagian-bahagian tanah hutan yang didakwa sebagai milik adat itu kepada pendatang luar, yang kebanyakan adalah warga Batak dari Sumatera Utara dan sebahagian kecil adalah warga Jawa bekas transmigran. Oleh pembeli, tanah tersebut digarap dijadikan ladang kelapa sawit, manakala penduduk asli membuka hutan tersebut dijadikan ladang tradisional dan ladang sawit Penggarapan oleh penduduk tempatan, sama ada oleh Orang Asli Petalangan mahupun sukubangsa pendatang, terjadi kerana tidak jelasnya kedudukan tanah hutan tersebut secara hukum dan kurang disiplinnya pengawasan dan penjagaan oleh Pemerintah Republik Indonesia terhadap hutan konsesi bekas PP-HPH (Dugang 2013).
Dalam penyelidikan tentang sistem politik dan pemerintahan masa lampau di daerah Pelalawan dan Riau umumnya, salah satu faktor yang sangat perlu diperhatikan ialah aliran sungai. Sungai adalah prasarana pengangkutan dan perhubungan utama pada masa dahulu, bahkan sampai selingkungan tahun 1980an. Sungai telah digunakan oleh kerajaan-kerajaan zaman dahulu sebagai sumber pokok pendapatan mereka melalui cukai atas barang-barang komoditi yang keluar masuk melewati sungai itu, termasuk cukai pancung alas. Oleh kerana itu, kerajaan-kerajaan Melayu pada masa lampau selalu berpusat di muara sungai (Gullick 1978). Kalau ada kerajaan tidak berpusat di muara sungai, tapi agak di pedalaman, maka kerajaan itu tentu mempunyai satu pusat pengutip cukai di muara sungai yang biasanya dipimpin oleh seorang Laksemana.
Dari gambaran peta Kabupaten Pelalawan terlihat bahawa daerah yang diduduki Orang Asli Petalangan adalah terutama pada bahagian selatan Sungai Kampar dari Langgam di barat sampai ke Teluk Meranti di timur. Sungai Kampar dengan beratus-ratus anaknya, sudah lama dikenal oleh pedagang-pedagang asing dari luar untuk mencari barang-barang hasil hutan dan hasil tambang emas dan perak. Pada abad ke 7 dikabarkan bahawa kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang telah membina sebuah candi Buddha di Muara Takus, di hulu Sungai Kampar.
Sampai tahun 1980, jalur transportasi di daerah ini masih menggunakan cara lama, iaitu melalui sungai. Sungai besar adalah Sungai Kampar. Di Pelalawan, sungai ini memecah ke dalam berpuluh-puluh anak sungai yang berhulu di bahagian timur pegunungan Bukit Barisan, iaitu di kawasan kecamatan-kecamatan Kampar Kiri, Kuantan Hilir, Baserah, Cerenti dan Peranab. Seseorang yang hendak pergi dari desa Betung ke Pekanbaru (ibukota Propinsi Riau), misalnya, harus menggunakan perahu selama seharian (12 jam), dan sehari semalam kalau ke desa Pelalawan. Pada tahun 1981, syarikat minyak PT. Stanvac Indonesia telah membina sebatang jalan darat untuk kegunaan sendiri dari Lirik di Kecamatan Rengat (Indragiri Hulu) di selatan sampai ke Buatan di tepi Sungai Siak di utara. Jalan ini terbuat dari tanah keras, licin oleh serpihan minyak, sehingga tidak dapat diguna oleh kenderaan umum, terutama pada musim hujan.
Pada tahun 1990, jalan minyak PT. Stanvac Indonesia telah menjadi bahagian dari Jalan Raya Lintas Sumatera, namun keadaannya masih merupakan jalan batu. Dikatakan oleh informant Bpk Dugang, pada masa itu dengan naik kenderaan umum dari Pekanbaru sampai ke desa Betung di Kecamatan Pangkalan Kuras diperlukan waktu 2 hari 2 malam. Bagaimanapun, dengan mulainya otonomi daerah di Indonesia sejak tahun 2000, jalan Jalan Lintas Sumatera sudah makin baik dan ramai dilewati oleh kenderaan umum. Sejak itu sedikit demi sedikit prasarana pengangkutan dan komunikasi, sama ada dalam bentuk pembangunan jalan beraspal mahupun pembangunan jaringan telekomunikasi elektronik, termasuk prasarana elektrik, makin meluas sampai ke desa-desa di seluruh Kabupaten Pelalawan. Perkembangan yang paling kentara adalah di sepanjang Jalan Lintas Sumatera yang disebutkan di atas. Jalan berturap ini telah membuat desa-desa di Kabupaten Pelalawan yang dilewatinya, terutama adalah desa Ukui, Pangkalan Lesung, Sorek dan Kerinci berkembang pesat menjadi kota-kota kecil yang meriah, menarik banyak pendatang baru dari luar untuk membuka usaha, terutama Orang Minangkabau, Batak, dan Jawa.
SITEM PEMERINTAHAN PEBATINAN.
Pada masa yang paling awal, sebelum masuk pengaruh sistem politik dan pemerintahan Hindu dan Islam, masyarakat Orang Asli Petalangan berada di bawah kekuasaan 29 Batin (Pebatinan Kuang Oso Tigo Pulou). Masing-masing Batin memerintah daerah hutan tanah ulayat sendiri tanpa hubungan politik dengan Batin yang lain. Dalam sejarah sistem politik dan pemeritahan yang berlaku di sini, belum pernah ada seorang Batin yang keluar sebagai penguasa yang tertinggi menaklukan dan membawahi Batin-batin yang lain. Johnson dan Early menyebut masyarakat yang seperti ini dengan nama "pre-state societies" dan sistem pemerintahannya adalah "chiefdom" (Johnson dan Early 1987).
Pebatinan.
Pebatinan adalah satu daerah yang luas yang disebut hutan tanah ulayat, yang dipimpin oleh seorang Batin. Di dalam sebuah hutan tanah ulayat penduduk tinggal berpencar-pencar secara semi-permanen di pondok-pondok di ladang. Biasanya pengelompokkan penduduk terdiri dari 3-5 keluarga pondok yang ladangnya berjiran. Pada suatu masa selingkungan tahun 1930an, setelah diperkenalkan tanaman karet (getah), beberapa penduduk mulai membina rumah yang lebih kuat dan selesa di dusun. Bagaimanapun, kedudukan tempat tinggal masih berulang-alik antara dusun dengan ladang. Dalam setiap hutan tanah ulayat terdapat sekitar 2-3 dusun yang dihuni oleh penduduk beberapa suku. Sebuah dusun dilingkupi oleh tanah dusun, tempat penduduk bertanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran, dan tanaman-tanaman lain yang diperlukan untuk keperluan harian penduduk kampung. Di luar dusun berkeliling hutan sekunder yang dijadikan penduduk sebagai tanah peladangan. Di luar itu adalah tanah hutan primer, yang terdiri dari rimba simpanan, rimba larangan, dan rimba kepungan sialang.
Menurut seorang informant dari desa Talau, Bapak Kodi, dalam hal membuka hutan untuk dijadikan ladang, masyarakat Petalangan harus meminta idzin kebenaran dari Batin. Batin pula berhak memungut cukai atas setiap warga Pebatinan. Cukai ini disebut pancung alas (pancung aleh). Pancung alas dikenakan pada setiap usaha penduduk untuk memanfaatkan tanah hutan dan mengambil hasil hutan, seperti membuka hutan untuk berladang, mengambil madu dari pokok sialang, dan mengumpulkan hasil-hasil hutan yang lain. Misalnya, setiap sehabis panen, setiap keluarga yang mengusahakan ladang harus menyerahkan kepada Batin 10 gantang padi/beras. Pada zaman kerajaan Pelalawan-Siak, Batin mempunyai kewajipan untuk menyerahkan sebahagian hasil panen padi itu untuk raja. Seterusnya setiap seseorang yang mengambil madu lebah, satu bahagian dari madu itu harus diserahkan untuk Batin.
Seorang Batin dipilih dan diangkat dari suatu suku tertentu secara turun temurun atau dari anak kemenakan keturunan Batin terdahulu dengan beberapa kriteria, antaranya:
Sepesukuan dengan Batin terdahulu.
Anak kemenakan dari keturunan Batin.
Berumur diatas 20 tahun.
Pandai dalam berunding dengan menggunakan norma adat.
Kewajipan dan Tugas-tugas Batin
Dalam menjalankan pemerintahan di Pebatinan, iaitu sebagai pucuk adat pesukuan, Batin memiliki beberapa kewajipan dan tugas-tugas terhadap masyarakat sukunya dan hutan tanah ulayat di bawah kekuasaan, antara lain iaitu:
Menjaga tanah ulayat dari pencerobohan oleh pihak Batin-batin lain, pihak Kerajaan mahupun pihak swasta.
Menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit dalam masyarakat suku. Dalam hal ini, Batin akan turun serta menyelesaikan masalah persukuannya apabila masalah tersebut tidak dapat diselesaikan oleh Ketiapan.
Melantik Ketiapan, iaitu Ketua suku, yang bertugas dalam membantu Batin menguruskan penduduk suku, setelah Ketiapan itu terpilih dalam mesyuarat suku.
Memberi Sesembah kepada raja setiap tahun dalam bentuk 1 ekor ayam dan beberapa puluh kilogram beras.
Kebesaran (Hak) Batin
Batin memegang kekuasaan sebagai pucuk adat pesukuan. Batin juga memiliki beberapa kebesaran dan memperoleh hak atas hutan tanah ulayat, antara lain:
Mendapatkan cukai pancung ale (sukatan) dari masyarakat yang membuka hutan (membuat ladang) di atas tanah kekuasaan (tanah ulayat) Batin. Besaran sukatan yang harus dibayar satu kepala keluarga yang membuat ladang di atas tanah ulayat adalah 10 gantang setiap habis menuai.
Jika Batin hendak membuka hutan atau ladang, maka setiap Ketiapan dalam suku-suku yang berada di bawah Batin itu harus menyuruh seluruh warga suku untuk membantu segala macam pekerjaan Batin di Perladangan secara bergantian. Dalam hal pekerjaan perladangan, Batin tidak ikut bekerja. Batin hanya mengawasi dan memberi makan warga selama ladang tersebut dikerjakan.
Menguasai hutan tanah ulayat.
Mendapatkan bahagian dari pengumpulan hasil hutan oleh warga penduduk Pebatinan.
Kampung.
Kampung adalah satu fenomena baru dalam sistem pertempatan Orang Petalangan. Sebelumnya mereka tinggal pondok basolai di ladang, berpindah-pindah sejalan dengan perpindahan ladang. Kita belum mendapatkan maklumat yang maktamad tentang bila Orang Asli Petalngan duduk menetap di kampung. Pada masa awal tinggal di kampung, mereka masih berulang-alik antara ladang (ujung) dengan kampung (puun). Kemungkinan besar perpindahan hidup menetap di kampung baru dimulai pada zaman kerajaan Pelalawan-Siak, terutama zaman pemerintahan Sultan Said Jaafar (1865), kerana pada masa inilah pihak kerajaan mulai membuat penataan terhadap kehidupan sosial-politik masyarakat Petalangan. Pada masa ini daerah Pelalawan secara khusus dan Riau amnya mulai dimasuki oleh kekuasaan Belanda. Sebuah kampung dipimpin oleh seorang kepala kampung yang disebut penghulu. Dalam sebuah kampung tinggal penduduk dari beberapa suku. Penghulu kampung lazimnya berasal dari suku yang sama dengan Batin. Penghulu kampung bertanggung jawab atas keamanan dan kedamaian kehidupan masyarakat dalam kampung. Pada masa kini kampung sudah berubah menjadi desa dan kepalanya disebut Pak Wali.
Pada awal perpindahan dari pola menetap di ladang ke pola menetap di kampung, dikatakan oleh seorang informant bahwa di wilayah Pebatinan Monti Rajo terdapat dua kampung, iaitu Talau dan Betung, yang terletak di sebelah kanan dari Sungai Peragian. Di kedua kampung ini tinggal anggota dari 6 suku Orang Petalangan, yakni suku:
Piliang
Mandailing
Penyabungan
Pelabi
Lubuk
Pematan
Ketiapan.
Sebagaimana disebutkan di atas, sebuah Pebatinan terdiri dari 2-3 kampung yang dihuni oleh orang-orang dari beberapa suku. Suku adalah kelompok kekerabatan yang paling besar, yang anggotanya merasa bersaudara kerana berasal keturunan dari seorang nenek (matrilineal clan). Warga satu suku tidak boleh saling kawin. Bila terjadi perkawinan antara warga satu suku, satu kejadian yang jarang sekali terjadi, maka kedua belah pihak dikenakan denda adat. Setiap suku dipimpin oleh seorang Ketiapan. Ketiapan bertanggung jawab mengurus kesejahteraan dan kedamaian hidup dalam suku. Ketiapan berfungsi mewakili warga sukunya ketika berhubungan dengan Batin.
Namun demikian, bila anggota sebuah suku adalah ramai dan tinggal tersebar dalam beberapa wilayah Pebatinan, maka dapat dipilih lebih dari satu Ketiapan. Kerana, Ketiapan hanyalah menjadi ketua suku dalam satu Ketiapan tertentu sahaja. Pengangkatan lebih dari satu Ketiapan ini gunanya ialah untuk memudahkan mengatur dan menyelesaikan permasalahan anak-kemenakan (warga suku) dalam satu-satu Pebatinan. Ketiapan tidak memiliki hak dan kekuasaan terhadap hutan tanah ulayat. Dia hanya mengurus hal-ihwal sosial anggota suku yang dipimpinnya sahaja.
Beberapa syarat untuk menjadi seorang Ketiapan ialah, antara lain:
Berumur diatas 20 Tahun.
Pandai berunding dengan berpandu pada norma adat.
Dipercaya dan dipilih oleh warga sukunya.
Dalam kehidupan masyarakat Orang Petalangan, Ketiapan juga dikenal dengan sebutan Mamak suku. Seseorang yang diangkat sebagai Mamak maka dia akan lebih dipandang dan disegani dalam suku itu, kerana dialah yang menjadi perunding dalam urusan pernikahan dan menjadi penengah dalam berbagai masalah pesukuan. Setelah diangkat menjadi Mamak suku, istrinya pun turut kena tempias kebesarannya, terutama dalam urusan pernikahan.
Dalam urusan pernikahan warga sukunya (di umah olat), istri seorang Mamak mempunyai kedudukan yang tinggi. Dia tidak boleh diperintah. Dia mempunyai tempat khusus didalam rumah, atau dalam istilah adat Petalangan disebut "di tanah mamak saiku, di umah mamak duo," ertinya dalam kehidupan di luar suku, yang paling dihormati dan mendapat perlakukan istimewa adalah mamak laki-laki. Tetapi di dalam rumah pesta pernikahan selain Mamak, istri Mamak pun mendapat kedudukan yang istimewa. Jika didalam rumah pernikahan, istri Mamak diperintah begitu sahaja, maka yang memerintah ini akan dihukum. Hukumannya adalah "Seekor ayam dan segantang beras."
Tugas dan Kewajipan Ketiapan
Sebagai pembantu Batin, Ketiapan memiliki beberapa tugas dan tanggung jawab yang harus dilaksanakan, antaranya:
Membantu tugas Batin dalam menjaga kedamaian dalam kelompok suku (Menjadi penengah dalam menyelesaikan permasalahan anak-kemenakan, sama ada masalah rumah tangga, masalah muda-mudi, mahupun masalah hubungan dengan warga suku-suku lain).
Menggantikan tugas Batin dalam urusan tertentu (misalnya menggantikan Batin dalam suatu acara perjumpaan umum).
Menjadi Mamak dalam urusan perkawinan (dalam hal perundingan perkawinan).
Menetapkan kadar denda (denda uang) apabila berlaku suatu permasalahan dan perselisihan antara 2 belah pihak.
Memungut pancung ale (sukatan) dari warga suku untuk diserahkan kepada Batin.
Mengatur anak-kemenakan medngikut norma adat yang telah ditetapkan oleh Batin dan adat.
Memerhati dan mencatat seluruh anak-kemenakan dalam suku di wilayah kekuasaan Batin (Maklumat ini bersumber dari Pak Kundang dan Pak Imam Pendek (Desa Betung).
Kebesaran (Hak) Ketiapan
Seorang Ketiapan mempunyai beberapa hak istimewa, antara lain:
Apabila Ketiapan membuka ladang di hutan tanah ulayat Pebatin, maka Ketiapan tidak perlu membayar sukatan.
Menerima sebahagian dari sukatan warga untuk Batin. Namun kadar sukatan yang diterimanya tertakluk kepada keikhlasan Batin.
Menerima sebahagian dari hasil hutan tanah ulayat yang diberikan kepada Batin, misalnya madu sialang.
Tuo Anak Jantan.
Sebuah suku terpecah ke dalam beberapa kelompok matrilineal yang lebih kecil, yang masing-masing diketuai oleh seorang Tuo Anak Jantan. Kelompok ini nampaknya tidak punya nama. Tapi untuk mudahnya sebut saja kelompok ini degan nama sub-suku. Kelompok itu terdiri dari rumpun keluarga matrilineal 3-4 generasi. Di bawah kelompok ini tidak ada lagi kelompok yang bersifat keturunan (affinity). Tuo anak jantan merupakan seorang laki-laki yang dipilih dan ditunjuk untuk memimpin satu sub-suku dalam suatu suku (satu keluarga dari 3 generasi). Misalnya, diberi contoh oleh informant Pak Kodi, seorang induk (ibu) mempunyai 4 orang anak perempuan kakak beradik. Dari 4 orang kakak beradik ini lahir 15 orang anak. Maka untuk satu keluarga tiga generasi ini ditunjuk seorang Tuo anak jantan, yang berfungsi sebagai Mamak pemimpin kelompok. Tuo anak jantan ini adalah saudara laki-laki yang paling berwibawa dari sang induk (ibu). Tugas Tuo anak jantan adalah menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit dalam kelompok sub-suku tiga generasi tersebut. Kedudukan Tua anak jantan adalah di bawah Ketiapan.
Tuo anak jantan memiliki tugas dan tanggung jawab, antaranya:
Menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku antara warga satu kelompok sub-suku. Jika Tuo anak jantan tidak dapat menyelesaikan permasalahan dalam keluarganya barulah diserahkan kepada Ketiapan.
Mengatur dan memperundingkan mengenai masalah keluarga, khususnya masalah perkawinan anak-kemenakan.
Dalam sistem politik dan pemerintahan tradisional Orang Asli Petalangan, Tuo anak jantan tidak berhubungan langsung dengan Batin. Tua anak jantan hanya berhubungan dengan Ketiapan. Tuo anak jantan juga mempunyai hak (kebesaran) berupa lebih dihormati dan terpandang. Jika keputusan yang dibuat oleh Tuo anak jantan dilanggar, maka sang pelanggar akan didenda mengikut norma adat dalam kadar 2 gantang beras dan 2 ekor ayam. Denda ini akan dimakan bersama oleh warga suku.
Selain itu, istri Tua anak jantan juga mendapat kebesaran. Istri seorang Tuo anak jantan tidak boleh diperintah. Dalam satu acara kenduri pernikahan, dia mempunyai tempat duduk d yang khusus di dalam rumah. Jika di dalam rumah pernikahan dia diperintah begitu sahaja maka yang memerintah ini akan mendapat hukuman "Seekor ayam dan segantang beras." Istri Tuo anak jantan tidak boleh diperintah, dia hanya akan bekerja atas kemauannya sendiri.
Ninikmamak.
Tuo Anak Jantan, Ketiapan, beserta pembesar-pembesar lain dalam sebuah suku seperti Monti dan Dubalang semuanya disebut Ninikmamak suku tersebut. Setiap Ninik-mamak dipilih melalui musyawarah anggota keluarga. Ninik-mamak ini berperan menyelesaikan sengketa dalam sukunya, dan kerana itu diharapkan memiliki pengetahuan mendalam tentang norma adat. Bila ada konflik antara orang-orang dari dua suku atau lebih, maka ninik-mamak dari masing-masing suku akan bertemu dan berunding untuk memecahkan masalah itu.
Tuo Urang Sumondo.
Seorang laki-laki disebut Urang sumondo oleh keluarga matrilineal isterinya. Keluarga matrilineal isterinya, khususnya para Ninikmamak, disebut Tompat manyumondo oleh Urang sumondo. Setelah menikah Urang sumondo tinggal bersama kelurganya di rumah isterinya. Rumah ini diwarisi oleh isteri itu dari ibunya dan berdiri di atas tanah milik suku. Kedudukan sosial Urang sumondo di rumah isterinya adalah sipi atau lemah. Apa yang menjadi hak dan kuasanya di rumah isterinya itu hanyalah lantai sakoping dan atap semangkawan. Ini adalah satu simbol yang menyatakan tentang begitu sipi dan lemahnya kedudukan seorang urang sumando di rumah isterinya. Kuasa dia di dalam rumah isterinya hanyalah sebatas bilik tempat dia dan isterinya tinggal.
Dalam keluarga istri atau dalam rumah istri kedudukan tuo sumondo ibarat "abu di ateh tunggul" atau dalam istilah adat Petalangan lebih dikenal "Saai manimo sumondo saai sangketo tumbuh, saai rang sumondo poi saai sangketo sudah." Ertinya jika terjadi perselisihan dalam keluarga istri maka Tuo sumondo mempunyai tanggung jawab dalam menyelesaikannya serta bertanggung jawab terhadap kehidupan anak dan istrinya, tetapi jika terjadi perselisihan dalam rumah tangganya, si istri dapat mengusir Urang sumondo (suami) dan permasalahan selesai.
Para Urang sumando dari sebuah kelompok sub-suku, yang dipimpin oleh Tuo Anak Jantan, menyebut satu sama lain sebagai Pamoyan. Pamoyan yang paling dekat adalah para Urang sumondo yang kawin dengan perempuan-perempuan adik-beradik. Salah seorang Urang sumondo dari kelopok Pamoyan dekat ini akan diangkat menjadi Tuo Urang Sumondo, yang bertanggung jawab dalam menjaga kesejahteraan dan kedamaian hidup dalam kelompok keluarga para Pamoyan dekat tersebut.
Dalam sistem pemerintahan tradisional Orang Asli Petalangan, kedudukan Tuo sumondo lebih rendah dari Tuo anak jantan. Tuo Sumondo adalah seseorang yang ditunjuk untuk menjadi ketua atau orang yang dianggap pandai berunding dalam menyelesaikan permasalahan dalam keluarga istri. Seorang informant, Bapak Kodi, memberi contoh sebagai berikut. Misalnya dalam satu keluarga induk terdapat 5 orang anak perempuan yang semuanya telah menikah (bersuami) dengan lelaki dari berbagai suku. Dari kelima orang suami ini dipilih satu orang yang dianggap paling berwibawa dan paling mampu sebagai penengah dalam menyelesaikan masalah-masalah dan perselisihan-perselisihan yang berlaku antara adik-beradik istrinya. Orang yang dipilih itu disebut Tuo Sumondo.
Tuo sumondo memiliki tanggung jawab untuk menyelesaikan masalah-masalah kecil dan besar yang terjadi dalam keluarga istrinya dan adik-beradik perempuan isterinya, sebelum masalah dan perselisihan itu dibawa ke Tuo anak jantan. Selain itu Tuo sumondo juga mempunyai kewajipan mengerjakan ladang istrinya. Tuo sumondo tidak berhubungan langsung dengan Batin. Dalam menyelesaikan masalah dia dapat berhubungan dengan Tuo anak jantan dan Ketiapan.
Penghulu.
Di atas telah disebutkan bahawa Penghulu adalah gelar yang diberikan untuk kepala kampung. Ternyata gelar penghulu tidak hanya sebatas itu. Kadang-kadang Penghulu juga merujuk kepada jabatan ketua suku, bahkan kepada jabatan yang setingkat dengan Batin. Oleh kerana itu perlu penyelidikan yang lebih mendalam pada masa yang akan datang tentang erti-erti dari gelar penghulu ini.
Hukum Adat Petalangan.
Dalam sistem pemerintahan tradisional Petalangan, setiap fungsionaris pemerintahan, yakni Batin, Ketiapan, Tuo anak jantan dan Tuo sumondo mempunyai kekuatan dalam menjalankan adat dalam lingkup kekuasaan masing-masing. Masing-masing dari mereka mempunyai hak dan kuasa untuk menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang berbuat salah. Bagaimanapun, mereka tidak dapat menjatuhkan hukuman secara semena-mena, kerana setiap aturan dan hukuman dalam kehidupan masyarakat Petalangan telah tersebut dalam tombo Petalangan. Hukum yang berlaku adalah hukum adat kerana hukum adat mempunyai kedudukan yang paling tinggi untuk menyelesaikan permasalahan dan perselisihan.
Istilah Petalangan tentang kadar hukum adat adalah "Sekocit-kocit adat, segodang-godang adat," ertinya hukuman adat yang paling ringan adalah "Sudah sirih Sapaminangan," atau duduk berdamai dengan memakai sirih dan pinang disertai bermaaf-maafan. Manakala hukuman adat yang paling berat ialah membayar denda seekor kambing. Kadar hukuman yang dijatuhkan oleh pemegang tampuk adat tertakluk kepada jenis dan berat masalah. Penyelesaian masalah yang berlaku dalam masyarakat Petalangan harus berawal dari peringkat pemerintahan paling rendah, iaitu kelompok yang dipimpin oleh seorang Tuo sumondo. Jika pada peringkat ini tidak didapatkan penyelesaian, maka masalah akan dibawa kepada Tuo anak jantan. Kalau disini masih belum selesai, maka dibawa kepada Ketiapan. Kalau belum selesai juga, maka dibawa ke Batin. Hukuman yang dijatuhkan tidak dapat ditawar-tawar.
Setiap hukuman denda yang dijatuhkan kepada seseorang yang bersalah haruslah dibayar. Denda boleh berupa beras, ayam, kambing dan lainnya. Dan sanksi hukuman yang telah dibayarkan ini akan dimakan bersama di rumah pihak yang menang. Dari maklumat yang diberikan oleh informant Bpk Kamardin dan Bpk Kundang, maka kadar hukuman adat yang dijatuhkan oleh setiap fungsionaris hukum adalah berbeza-beza. Kadar hukuman ini tercantum dalam Jadual di bawah ini.
Jadual 1.
KADAR HUKUMAN MENGIKUT PERINGKAT FUNGSIONARIS.
No.
Kedudukan
Had Hukuman yang di Jatuhkan
Hukum Paling Rendah
Hukum Paling Tinggi
1.
Batin
-
Beras 20 Gantang, Kambing Seekor, Uang 25
2.
Ketiapan
Beras 1 Gantang,
Ayam 1 Ekor
Beras 4 Gantang,
Ayam 4 Ekor
3.
Istri Ketiapan
-
Beras Segantang,
Ayam Seekor
4.
Tuo Anak Jantan
Beras 1 Gantang,
Ayam 1 Ekor
Beras 3 Gantang,
Ayam 3 Ekor
5.
Istri Tuo Anak Jantan
-
Beras Segantang,
Ayam Seekor
6.
Tuo Sumodo
Sudah Sirih Sapaminangan
Beras 2 Gantang,
Ayam 2 Ekor
KUASA POLITIK PAGAR RUYUNG.
Menurut tambo-tambo yang dikutip oleh Ali Akbar, Kabupaten Pelalawan, Riau, yang dulu lebih dikenal dengan sebutan wilayah Pebatinan Kuang Oso Tigo Pulou (Perbatian 29), wilayah pendudukan Orang Asli Petalangan, adalah salah satu ke-Andiko-an dibawah Andiko nan 44 yang berpusat di Muara Takus dan Mahat, di bawah naungan kerajaan Pagar Ruyung yang berpusat di Sumatera Barat (Ali Akbar 2006:36). Daerah ini disebut dengan nama Pintu Rajo, yang berpusat di Langgam dengan pimpinan yang bernama Rajo Bilang Bongsu. Daerah kekuasaannya meliputi Langgam, Pangkalan Kuras yang dipimpin oleh Monti Rajo, dan daerah-daerah Pebatinan lain sampai ke Kampar Hilir (diperkirakan sampai ke Muaratolam dan ke Teluk Meranti) (Ali Akbar 2006: 38-39, 46-47).
Satu lagi pusat kekuasaan politik Minangkabau yang juga cukup terkenal di dekat daerah Pelalawan adalah Kerajaan Gunung Sahilan, terletak di tepi Sungai Kampar agak sebelah hulu Langgam. Namun demikian belum diperoleh maklumat lengkap tentang hubungan antara kerajaan Gunung Sahilan ini dengan daerah dan penduduk Pelalawan. Apakah kerajaan Gunung Sahilan pernah memerintah masyarakat Orang Asli Petalangan yang diam di Pelalawan? Belum ada jawaban yang pasti diperoleh.
Berdasarkan hasil penyelidikan seorang sarjana sosiologi Universitas Riau, Rina Susanti, Kerajaan Gunung Sahilan mulanya adalah salah satu kerajaan kecil (rantau) di bawah naungan Kerajaan Pagar Ruyung yang berpusat di Batusangkar. Tetapi setelah kejayaan Pagar Ruyung memudar, kerajaan Gunung Sahilan nampaknya telah berdiri sendiri, dan terus lestari sampai saat kemerdekaaan Republik Indonesia tahun 1945. Raja-raja yang memerintah tidak tercatat dengan baik, kerana banyak dokumen-dokumen kerajaan yang sengaja dimusnahkan untuk menghindar dari serangan kemarahan rakyat pada zaman perang kemerdekaan Indonesia (1945-1950).
Catatan nama raja-raja yang sempat didapatkan oleh Rina Susanti adalah sebagai berikut:
Raja I sampai Raja IV tidak diketahui.
Raja V iaitu Sultan Yang Dipertuan Hitam, kuburannya di Palo Koto, Gunung Sahilan.
Raja VI iaitu Sultan Yang Dipertuan Besar, kuburannya di Mekah.
Raja VII iaitu Sultan Abdul Jalil, Yang Dipertuan Besar Sultan Daulat, kuburannya di Palo Koto.
Raja IX iaitu Sultan Abdullah Sofyan, Yang Dipertuan Besar T. Sulung, kuburannya di RSUD Pekanbaru 18 Maret 1951.
Raja X iaitu Sultan Abdullah Hasan T. Yang Dipertuan Sakti, kuburannya di Lipat Kain 08 Desember 1957.
Raja XI iaitu T. Gazaly Putra Mahkota dinobatkan pada tanggal 15 Juli 1941, kuburannya di RSUD Pekanbaru 26-06-1975. Raja ini belum naik tahta kerana setelah itu terjadi keadaan darurat, iaitu pendudukan Jepang (1942-1945) dan perang kemerdekaan Indonesia (1945-1950). Selepas proklamasi kemerdekaan Republik Indonesia, rakyat tidak mengambil kira lagi keberadaan kerajaan ini, bahkan ada isyu bahawa raja akan dibunuh oleh rakyat.
Bagaimanapun, perlu dicatat bahawa perluasan pengaruh politik Pagar Ruyung sampai ke daerah Andiko nan 44 (Pelalawan) ini kemungkinan besar berlaku pada zaman gemilang raja Adityawarman (1347-1376). Setelah Adityawarman meninggal (1376) pengaruh politik Pagar Ruyung makin lama makin susut, sama ada ke dalam mahupun ke luar. Pagar Ruyung tidak mempunyai raja pengganti yang sehebat Adityawarman. Sebaliknya, setelah itu, iaitu sejak pertengahan abad ke 15 justru pengaruh kekuasaan politik kerajaan Melaka yang makin naik di Selat Melaka dan terus merambat ke pedalaman Riau. Kerana itulah pada masa pemerintahan Sultan Mansur Syah di Melaka, daerah Pelalawan dan masyarakat Orang Asli Petalangan ini telah dapat dirampas oleh Melaka dari Pagar Ruyung.
Setakat ini belum diperoleh maklumat yang jelas tentang pengaruh dari sistem pemerintahan Pagar Ruyung terhadap masyarakat Orang Asli Petalangan. Meskipun sistem pemerintahan lokal tradisional Petalangan dan sistem sosial Minangkabau adalah sama-sama berasaskan adat perpatih yang matrilineal, namun dalam kenyataan kedua sistem ini agak sedikit berbeza. Oleh adanya sedikit perbezaan ini, maka susah untuk menyatakan bahwa Orang Asli Petalangan adalah berasal dari Orang Minangkabau di Sumatera Barat.
KUASA POLITIK MELAKA-JOHOR.
Dikatakan dalam Sulalatus Salatin bahawa pada suatu masa dalam periode pemerintahan Sultan Mansur Syah di Melaka (1458-1477), sang Sultan telah memerintahan untuk menaklukkan Kampar, iaitu daerah yang sekarang dikenal dengan nama Pelalawan, kerana "tiada ia menyembah ke Melaka" (A. Samad Ahmad 2013: 148; Mohammad Yusoff Hashim 1989: 61). Ketika itu Kampar (Pelalawan) berada di bawah perintah raja Maharaja Jaya dengan Mangkubumi Tun Demang, yang berpusat di Pekan Tua. Kerajaan ini berada di bawah lindungan kuasa politik kerajaan Pagar Ruyung di Minangkabau. Dalam penyerangan ini, Kampar kalah oleh Melaka, sehingga daerah itu jatuh menjadi jajahan Melaka. Menimbang keberanian Sultan Mansur Syah dalam menyerang Kampar, sebuah kuasa di bawah lindungan kerajaan besar Pagar Ruyung, dan tiadanya serangan balas dari Pagar Ruyung atas serbuan tersebut, maka dapat disimpulkan bahawa pada masa itu kejayaan kerajaan Pagar Ruyung sudah malap, sebaliknya kekuatan dan kebesaran kerajaan Melaka adalah sedang naik ke puncaknya.
Setelah Kampar takluk, raja Melaka menobatkan seorang raja di sana, iaitu Raja Menawar, anak dari Sultan Alauddin Riayat Syah I, cucu dari Sultan Mansur Syah (Mohammad Yusoff Hashim 1989: 39). Raja Menawar ini ialah adik beradik lain ibu dari raja terakhir Melaka Sultan Mahmud Syah (1488-1511). Selepas Raja Menawar mangkat, Sultan Mahmud Syah, telah menobatkan Raja Abdullah sebagai raja Kampar menggantikan ayahnya. Kejadian ini, mengikut Mohammad Yusoff Hashim, menandakan betapa besarnya daerah pengaruh kuasa kesultanan Melaka pada masa itu (Mohammad Yusoff Hashim 1989: 51).
Menjelang akhir pemerintahannya, dengan alasan yang sangat pribadi, Sultan Mahmud Syah telah meletakkan kedudukan beliau sebagai raja Melaka, dan menobatkan putra beliau, Raja Ahmad sebagai Sultan Melaka, dengan gelar Sultan Ahmad Syah. Pada masa pemerintahan Sultan Ahmad Syah inilah Melaka diserang dan dikalahkan oleh Portugis (1511). Selepas itu, Sultan Mahmud Syah dan Sultan Ahmad Syah pergi menyelamatkan diri ke berbagai tempat, ke Pagoh, ke Hulu Muar, ke Penarikan, ke Pahang, ke Johor, terus ke Bintan. Di Bintan Sultan Mahmud Syah dan Sultan Ahmad Syah tinggal agak lama sampai Sultan Ahmad Syah mangkat di sini (A. Samad Ahmad 2013: 271). Tidak berapa lama setelah itu, Bintan pun serang pula oleh Portugis, dan Sultan Mahmud Syah menyelamatkan diri ke Kampar (Pelalawan).
Dalam pada itu, raja Kampar yang bernama Raja Abdullah, yang merasa sebagai pewaris yang sah dari kerajaan Melaka (cicit Sultan Mansur Syah), berusaha membelot kepada Portugis. Beliau mendatangi dan meminta kepada Portugis agar sudi mengembalikan seluruh jajahan Melaka kepada beliau. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, bukan mendapatkan kembali Melaka, beliau malah ditangkap oleh Portugis, dan selepas itu dibuang ke Goa (A. Samad Ahmad 2013: 277).
Oleh kerana itu, ketika Sultan Mahmud Syah sampai ke Kampar, negeri itu berada dalam kekosongan raja. "Maka bersemayamlah baginda di Kampar," sampai datang masanya beliau dan isteri beliau mangkat di negeri itu, dan digelari orang beliau sebagai Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar (A. Samad Ahmad 2013: 288). Setelah itu, Bendahara menobatkan putra Sultan Mahmud Syah, iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah III, sebagai penerus dinasti Melaka. Sultan ini tidak lama bermukim di Kampar, terus pindah ke Semenanjung membina kerajaan baru ke Johor, dengan bantuan Sultan Pahang. Sejak itu tidak terdengar lagi hubungan antara Kampar (Pelalawan) dengan Melaka (Johor).
Apabila masyarakat Orang Asli Petalangan mendapati diri mereka tidak lagi mempunyai kuasa besar sebagai pelindung, maka diutuslah tiga Orang Besar Petalangan ke Johor untuk meminta raja. Mereka ialah Batin Muncak Rantau sebagai wakil Laras Batang Nilo, Raja Bilang Bungsu sebagai wakil Laras Sungai Kampar, dan Patih Jambuano sebagai wakil Tanah Daratan. Maka pada Enam Juamadilawal 878 tahun Hijriah (selingkungan 1558 Masehi) datanglah utusan raja Johor ke Kampar, iaitu Wan Abdul Rahman yang bergelar Datuk Maharajo Dindo. Beliaulah yang kemudian menjadi raja Kampar, yang seterusnya mengubah nama kerajaannya menjadi Kerajaan Pelalawan, berpusat di desa Pelalawan, dengan benteng-benteng yang kuat diperlengkapi banyak meriam di Mempusun, Tanjung Pembunuh, dan Sungai Naga Melingkar. Sedangkan benteng terdepan di muara sungai Kampar dipimpin oleh Datuk Laksemana Sri Amar Wangsa di Sangar (Dja'afar 1959: 3; Effendy 2005: 36). Kiranya dapat diduga, pada masa inilah banyak kedatangan orang Johor, yang terus membina beberapa kampung di tepi Sungai Siak dekat pusat kerajaan Pelalawan, untuk mendukung Kerajaan Pelalawan yang baharu.
Peristiwa pengiriman utusan masyarakat Petalangan untuk meminta raja ke Johor pada masa selingkungan tahun 878 Hijriah (sekitar 1558 Masehi) boleh ditafsirkan sebagai gambaran tentang situasi politik di Sungai Kampar secara umum, dan di Pelalawan secara khusus. Bahawa pada masa itu kerajaan Johor lah yang dianggap sebagai kerajaan paling kuat yang boleh melindungi masyarakat dari bahaya dari luar, dan juga boleh menyelesaikan masalah-masalah yang muncul dalam kalangan masyarakat Petalangan sendiri. Mereka tidak melihat kuasa yang serupa itu ada pada kerajaan Pagar Ruyung yang berpusat di pedalaman sebelah barat.
KUASA POLITIK SIAK.
Pada tahun 1798, melalui satu peperangan yang dahsyat seperti yang dibayangkan oleh Tenas Effendy dalam novel beliau bertajuk "Banjir Darah di Mempusun," kerajaan Pelalawan-Johor runtuh diserang oleh kerajaan Siak (Effendy 2005). Dengan demikian kerajaan Pelalawan yang diperintah oleh dinasti Melaka-Johor lupus digantikan oleh Pelalawan yang diperintah oleh dinasti Siak. Awal sekali yang menjadi raja di kerajaan Pelalawan-Siak ini ialah adik Sultan Siak yang bernama Tengku Sayed Abdurrakhman, yang memerintah dalam masa 1798 hingga 1822. Setelah itu kerajaan Pelalawan-Siak ini diperintah oleh keturunan Tengku Sayed Abdurrakhman, berturut-turut adalah Tengku Sayed Hasjim (1822-1828), Tengku Sayed Ismail (1828-1844), Tengku Sayed Hamid (1844-1866), Tengku Sayed Jaafar (1866-1872), Tengku Sayed Abubakar (1872-1886), Sayed Ali Tengku Sontol (1886-1892), Tengku Sayed Hasjim II (1892-1930), Tengku Sayed Osman (1925-1940), dan terakhir Tengku Sayed Harun (1941-1946) (Effendy 2005: 124-25).
Seperti telah disebut di atas, kerajaan Pelalawan-Siak membina sistem pemerintahan yang lebih teratur terhadap masyarakat Orang Petalangan. Kerajaan mengeluarkan peraturan-peraturan yang disebut adat yang diadatkan oleh Orang Petalangan. Dalam sistem pemerintahan kerajaan Pelalawan-Siak, pada tingkat pertama, daerah ini terbagi ke dalam empat Kedatuan, iaitu: Kedatuan yang dimpimpin oleh Datuk Laksamana Mangku Diraja berpusat di Kecamatan Pangkalan Kuras., Kedatuan yang dipimpin oleh Datuk Engku Raja Lela Putera berpusat di Kecamatan Langgam, Kedatuan yang dipimpin oleh Datuk Kampar Samar Diraja berpusat di Kecamatan Pangkalan Bunut, dan Kedatuan yang dipimpin oleh Datuk Seri Bandar Setia Diraja berpusat di Kecamatan Kuala Kampar (Dugang 2011:52).
Keempat Datuk ini, kecuali Datuk Engku Raja Lela Putera (mantan penguasa Pelalawan-Johor terakhir), adalah orang-orang bangsawan Pelalawan-Siak. Masing-masing mereka adalah kepala dalam setiap wilayah Kedatuan, iaitu kedudukan politik di bawah Raja Pelalawan-Siak. Setiap Datuk membawahi beberapa Batin yang menjadi penguasa suatu hutan tanah ulayat dan rakyat Petalangan yang hidup dalam wilayah Pebatinan itu. Kerajaan tidak berhubungan langsung dengan rakyat Petalangan. Yang memerintah rakyat Petalangan secara langsung adalah Batin-batin yang dibantu oleh Ketiapan-ketiapan (ketua suku atau matrilineal clan). Rakyat Orang Petalangan tetap hidup dengan berpandu kepada adat tradisional yang telah mereka warisi dari nenek moyang mereka, iaitu adat perpatih (persukuan matrilineal), yang disebut adat yang teradat. Di tiga Kedatuan yang mempunyai banyak Batin, diangkat seorang Batin-koordinator yang diberi gelar kebangsawan tersendiri. Di Kedatuan Bandar Setia Diraja yang hanya terdiri dari 3 kebatinan tidak ada Batin koordinator. Dalam Jadual 2 di bawah ini diperlihatkan Batin-batin yang ada di bawah kuasa masing-masing Datuk.
Jadual 2.
KEDATUAN DAN PERBATINAN
DALAM KERAJAAN PELALAWAN-SIAK
KEDATUAN
BATIN
1
Datuk Laksaman Mangku Diraja
Berkedudukan di Pangkalan Pasir Desa Kesuma, Kecamatan Pangkalan Kuras.
Batin Batang Nilo (Datuk Monti Raja)
Batin Muncak Rantau
Batin Hitam Sungai Medang
Batin Putih Air Hitam
Batin Tuo Napuh
Batin Mudo Genduang
Batin Pematan
Batin Sengerih
4
Datuk Engku Raja Lela Putra
Berkedudukan di desa Langgam, Kecamatan Langgam.
Batin Tambak (Datuk Raja Bilang Bungsu)
Batin Mudo Langkan
Batin Mudo Penarikan
Batin Sotul
Batin Pelabi
Batin Badaguh
Penghulu Besar langgam
Batin Rantau Baru
Batin Kerinci
Batin Lalang
Antan-Antan
3
Datuk Kampar Samar Diraja
Berkedudukan di desa Bunut, Kecamatan Pangkalan Bunut.
Batin Dayun ( Datuk Patih Jambuano)
Batin Delik
Batin Telayap
Penghulu Sungai Buluh
Batin Bunut
Batin Payung
Penghulu Biduando
4
Datuk Bandar Setia Diraja
Berkedudukan di desa Serapung, Kecamatan Kuala Kampar.
Batin Panduk
Batin Air Suluh di Laut Teluk Meranti
Batin Tanah Air Kerumutan
Sumber: Informant Bpk Dugang MSi, Januari 2014. Kebenaran tentang nama-nama Batin masih terus diselidiki.
Kalau maklumat yang tercantum dalam Jadual 2 ini adalah satu kebenaran yang berlaku pada masa kini, maka keadaan ini nampaknya tidak sama dengan keadaan yang berlaku pada masa tahun 1811 dan tahun 1865. Senarai nama Pebatinan yang berlaku dalam tahun 1811, dan perubahan yang dibuat oleh Sultan Pelalawan Tengku Sayed Jaafar dalam tahun 1865, tercantum dalam Jadual 3. Maklumat dalam Jadual 3 ini adalah berdasarkan atas maklumat yang diperolehi oleh Tenas Effendy dari manuskrip-manuskrip yang ditulis oleh Tengku Tonel (1925), Tengku Said Umar Muhammad (1930), dan Tengku Said Dja'afar (1941).
Jadual 3.
SENARAI NAMA-NAMA PEBATINAN
DALAM PEBATINAN KURANG OSO TIGO PULOU.
No.
Nama Pebatinan (1811)
Perubahan Nama dan Pemecahan Pebatinan (1865)
Pebatinan Kerumutan
Pebatinan Bunut
Pebatinan Panduk
Pebatinan Panduk, dan
Penghulu Setia Diraja Panduk.
Pebatinan Lalang
Pebatinan Napuh
Pebatinan Genduang
Pebatinan Muncak Rantau
Pebatinan Sungai Medang
Pebatinan Pematan
Pebatinan Sengerih
Pebatinan Sialang Kawan
Pebatinan Monti Rajo Talau
Pebatinan Tanah Air
Pebatinan Payung
Pebatinan Putih
Pebatinan Bedaguh
Pebatinan Bedaguh, dan
Pebatinan Bakung, dan
Pebatinan Telayap
Pebatinan Penarikan
Pebatinan Penarikan, dan
Pebatinan Muda Manahan
Pebatinan Delik
Pebatinan Dayun
Pebatinan Patih Jambuano
Pebatinan Kerinci
Pebatinan Sibokol-bokol
Pebatinan Pelabi
Pebatinan Merbau
Pebatinan Geringging
Pebatinan Geringging
Pebatinan Siganggang
Pebatinan Sungai Buluh
Pebatinan Sungai Buluh, dan Pebatinan Pebadar
Pebatinan Kiap
Pebatinan Langkang Sikilap
Pebatinan Rajo Bilang Bongsu
Penghulu Besar Langgam
Pebatinan Gondai
Sumber: Effendy n.d. hal. 18.
Selain daripada mengubah nama beberapa Pebatinan dan mengubah jumlah Pebatinan dari 29 menjadi 34, Sultan Pelalawan Tengku Sayed Jaafar juga telah membentuk 12 Kepenghuluan baru, iaitu:
Kepenghuluan Bandar Tolam (sebelumnya masuk wilayah Batin Bunut)
Kepenghuluan Setia Diraja Sotol (sebelumnya masuk wilayah Rajo Bilang Bongsu)
Kepenghuluan Lubuk Mas
Kepenghuluan Lubuk Keranji
Kepenghuluan Petodak
Kepenghuluan Telawa Kandis
Kepenghuluan Siakung
Kepenghuluan Serapung
Kepenghuluan Mendul
Kepenghuluan Kuala Panduk
Kepenghuluan Teluk Meranti
Kepenghuluan Lubuk Terap (Effendy n.d. hal 20).
Dalam perubahan ini, tidak ada maklumat yang menjelaskan perbezaan antara sebuah kesatuan wilayah yang dipimpin oleh seorang Batin (Pebatinan) dengan yang dipimpin oleh seorang Penghulu (Kepenghuluan). Satu maklumat yang diperolehi dari informant Bpk Dugang dalam penyelidikan lapangan Januari 2014, dikatakan bahawa dalam hal kaitannya dengan hutan tanah ulayat, kedudukan Batin adalah sama dengan Penghulu. Setiap Batin dan Penghulu mempunyai satu kawasan hutan tanah ulayat yang dikuasainya. Jika maklumat ini dapat dipercayai, maka ertinya sejak tahun 1865 ada 34 Kebatinan dan 12 Kepenghuluan, atau 46 kesatuan wilayah dan pemerintahan yang dapat disamakan dengan Pebatinan dalam kalangan masyarakat Petalangan. Keadaan ini masih perlu diselidiki kebenaranya.
Seterusnya, kerana maklumat dalam Jadual 3 dan maklumat tentang tambahan 12 Kepenghuluan adalah bersumber dari keputusan dan catatan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Pelalawan, maka sepatutnya maklumat-maklumat ini adalah lebih dapat dipercayai daripada maklumat yang ada dalam Jadual 2. Namun demikian, terdapat satu maklumat yang berharga dalam Jadual 2 yang perlu diambil kira, iaitu seluruh Pebatinan dan Kepenghuluan tersebut (tidak kesah sama ada berjumlah 29 mahupun 46) mengelompok ke dalam 4 Kedatuan. Pembahagian ke dalam Kedatuan ini adalah sangat penting, kerana setelah wilayah kerajaan Pelalawan itu diserahkan kepada Pemerintah Republik Indonesia tahun 1946, wilayah itu secara pentadbiran dibagi ke dalam 4 Kecamatan selaras dengan wilayah Kedatuan pada masa lampau.
Selain dari pembinaan sistem pemerintahan kerajaan yang lebih kemas dan teratur, Kerajaan Pelalawan Siak nampaknya tidak mengusik sistem pemerintahan lokal tradisional Pebatinan dan Pesukuan. Oleh Raja dinyatakan: "Hak milikilah harta, punyailah seperti biasa sediakala, kami hanya memerintah di atas dari tuan-tuan" (Dja'afar 1959: 3). Hutan tanah ulayat tetap dikuasai oleh Batin-batin menurut asalnya masing-masing. Begitu juga, kerajaan tidak campur tangan dalam hal-ehwal sistem kekerabatan persukuan asli Petalangan.
Bagaimanapun, sebagai menghormati kekuasaan Raja, "… segala yang tinggal di atas tanah ulayat Batin-batin itu hendaklah menyembahkan padi poti tiap-tiap kelamin 10 gantang dan ayam satu ekor setahun. Sedangkan hasil lilin, manisan dan pancung alas diambil oleh Batin-batin sendiri" (Dja'afar 1959: 3). Manakala Orang-orang besar kerajaan juga memiliki tanah kekuasaan yang dapat mereka ambil upetinya, yakni tanah darat yang terletak 250 meter di sebelah kiri dan kanan Sungai Kampar. Jika masyarakat membuka ladang di tanah kekuasaan orang-orang besar itu, maka masyarakat harus membayar upeti kepada Orang Besar tersebut, bukan kepada Batin. Dan jika masyarakat menjumpai barang-barang berharga di atas tanah tersebut maka harus menyerahkannya kepada pihak yang berkuasa.
KUASA POLITIK REPUBLIK INDONESIA: KABUPATEN PELALAWAN.
Setelah merdeka pada tahun 1946, Raja Pelalawan terakhir, Tengku Sayed Harun menyerahkan kerajaannya kepada pemerintah Republik Indonesia. Oleh pemerintah Republik Indonesia, wilayah kerajaan Pelalawan-Siak ini diubah menjadi wilayah Kewedanaan Pelalawan, yang bersama dengan Kewedanaan-kewedanaan Rokan Hulu, Rokan Hilir, dan Kampar, berada di bawah lingkup pentadbiran Kabupaten Kampar.
Dalam pada itu, Kedatuan diubah menjadi Kecamatan dan para Datuk menjadi Camat. Kedatuan yang dipimpin oleh Datuk Laksamana Mangku Diraja berubah menjadi Kecamatan Pangkalan Kuras yang mulanya berpusat di Pangkalan Pasir, kemudian pindah ke desa Sorek Satu, Kedatuan Datuk Engku Raja Lela Putera menjadi Kecamatan Langgam yang berpusat di desa Langgam, Kedatuan Datuk Kampar Samar Diraja menjadi Kecamatan Bunut yang berpusat di desa Bunut, Kedatuan Datuk Seri Bandar Setia Diraja menjadi Kecamatan Kuala Kampar berpusat di Teluk Meranti. Manakala wilayah 29 Pebatinan diubah menjadi 29 kampung, dan para Batin menjadi Kepala Kampung dengan panggilan Pak Wali.
Pada tahun 1999, berdasarkan Undang-undang Republik Indonesia Nomor 53 Tahun 1999, Kewedanaan Pelalawan diubah menjadi Kabupaten Pelalawan di bawah Propinsi Riau. Kecamatan dalam lingkungan Pelalawan pun dipecah-pecah. Kecamatan Pangkalan Kuras dipecah tiga menjadi Kecamatan Pangkalan Kuras, Kecamatan Ukui dan Kecamatan Pangkalan Lesung; Kecamatan Bunut dipecah tiga menjadi Kecamatan Bunut, Kecamatan Bandar Petalangan dan Kecamatan Pelalawan; Kecamatan Langgam dipecah tiga menjadi Kecamatan Langgam, Kecamatan Pengakalan Kerinci dan Kecamatan Bandar Sikijang; Terakhir Kecamatan Kuala Kampar dipecah tiga menjadi Kecamatan Kuala Kampar, KecamatanTeluk Meranti dan Kecamatan Kerumutan. Manakala kampung diubah menjadi desa, dan Kepala Kampung menjadi Kepala Desa, namun tetap dipanggil Pak Wali. Pada waktu penyelidikan ini dilakukan (2014) Kabupaten Pelalawan terdiri dari 12 Kecamatan, yang terpecah lagi ke dalam 106 desa dan 12 Kelurahan (BPS Kabupaten Pelalawan, 2010). Kelurahan adalah desa pusat Kecamatan.
Jadual 4.
PENDUDUK KECAMATAN PANGKALAN KURAS (2013)
No
Desa/
Kelurahan
Luas
Km²
RT
RW
Kepala
Kel'ga
Penduduk
Lelaki
P'puan
Jumlah
DESA ASLI
1
Sorek Satu
8.00
29
9
2713
6060
5173
11233
2
Sorek Dua
115.00
11
5
617
1211
965
2176
3
Dundangan
81.60
12
6
652
1882
1678
3560
4
Terantang manuk
105.53
13
5
689
1221
1088
2309
5
Palas
95.00
9
4
365
875
802
1659
6
Kemang
95.00
12
4
547
1115
1062
2177
7
Betung
50.00
8
3
282
693
665
1358
8
Kesuma
100.00
26
4
1125
3120
2632
5752
9
Talau
83.00
6
3
224
1012
887
1899
10
Tanjung beringin
17.00
7
2
332
615
562
1177
DESA EX-TRANSMIGRASI
11
Surya indah
11.97
18
4
465
904
821
1725
12
Beringin indah
12.50
20
4
350
802
714
1516
13
Sialang indah
17.63
18
6
609
1126
1066
2192
14
Meranti
10.46
14
4
370
696
575
1271
15
Harapan jaya
13.52
16
4
327
620
601
1221
16
Batang kulim
16.80
19
6
818
1566
1524
3090
17
Sido mukti
6.78
14
4
356
792
762
1554
JUMLAH
847.37
252
77
10841
24290
21575
45865
Sumber: Laporan Kependudukan, Kecamatan Pangkalan Kuras, Agustus 2013.
Daftar Bacaan.
A. Samad Ahmad (2013). Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ali Akbar Dt. Pangeran (2006). Islam dan Adat Andiko 44 Melayu Riau. Pekanbaru: Alaf Riau.
Dugang (2011). Sistem Kepercayaan dalam Pengobatan Tradisional (Studi Kasus pada Orang Petalangan di Kabupaten Pelalawan). Skripsi Jurusan Sosiologi, Universitas Riau, Pekanbaru.
Dugang (2013). Konflik Masyarakat Pada Kawasan Taman Nasional Tesso Nilo. Tesis S2, Program Pascasarjana Sosiologi, Universitas Riau, Pekanbaru.
Dja'afar M., T.S. (1959). Sedjarah Hutan Tanah (naskah ketik yang difotokopi oleh Monti Ajo A. Munir BS), Kuala Napuh.
Gullick, J. M. (1978). Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Johnson, Allen W; & Timothy Earle (1987). The Evolution of Human Societies. Stanford University Press.
Muhammad Yusoff Hashim (1989). Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tenas Effendy (n.d). Nyanyi Panjang. Sastra Lisan Orang Petalangan, Riau. Naskah ketik, tidak diterbitkan, tersimpan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Tenas Effendy (1997). Bujang Tan Domang; Sastra Lisan Orang Petalangan. Yogyakarta: Yayasan Bentang Budaya, Ecole Franĉaise d'Extreme-Orient, & The Toyota Foundation.
Tenas Effendy (2005). Banjir Darah di Mempusun. Kabupaten Pelalawan: Lembaga Adat Melayu.