Punca-punca kejadian tanah runtuh Belakangan ini, isu berkaitan kejadian tanah runtuh pernah menggemparkan negara kita. Kejadian tanah runtuh bermaksud kawasan tanah di lereng bukit dangunung jatuh atau menggelongsor. Tanah runtuh mengakibatkan kemusnahan dan mengancam keselamatan. Kejadian tanah runtuh misalnya pernah berlaku di Bukit Antarabangsa yang telah mengorbankan nyawa penduduk di situ. Terdapat pelbagai punca berlakunya kejadian tanah runtuh di negara ini. Kejadian tanah runtuh berpunca daripada aktiviti pembangunan yang dilaksanakan di lereng-lereng bukit. Aktiviti pembangunan tersebut seperti mendirikan rumah kediaman atau kegiatan pertanian. Aktiviti ini menyebabkan pokok-pokok di lereng bukit ditebang dan tumbuhan tutup bumi dibersihkan. Kesannya, air hujan akan mengalir dengan deras di kawasan lereng bukit tersebut. Keadaan ini akan menyebabkan tanah dengan mudah dibawa oleh arus air yang mengalir deras dan mengakibatkan kejadian tanah runtuh berlaku. Kejadian tanah runtuh juga berlaku apabila pokok-pokok hutan ditebang dengan tidak terkawal. Perbuatan ini dilakukan oleh syarikat-syarikat pembalakan terutama yang dijalankan oleh pembalak haram. Penebangan yang tidak terkawal menyebabkan berlakunya tanah runtuh semasa hujan turun dengan lebat. Kejadian tanah runtuh telah menyebabkan sebuah perkampungan orang asli di Kuala Dipang, Perak musnah. Kerakusan manusia untuk mendapat kekayaan telah mengakibatkan penderitaan kepada manusia yang lain. Seterusnya, kegiatan ekonomi juga boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh. Sebagai contoh semasa masyarakat menjalankan kegiatan melombong pasir khususnya di kawasan sungai. Pasir-pasir sungai dikaut dengan banyaknya untuk mendapatkan keuntungan yang berganda. Apabila pasir sungai dikorek tanpa kawalan, aliran air sungai akan menjadi lebih deras. Aliran air yang deras menyebabkan tebing sungai runtuh. Kesannya, rumah-rumah yang dibina berhampiran tebing-tebing sungai terdedah kepada bahaya tanah runtuh. Selain kesan daripada aktiviti manusia, tanah runtuh juga berlaku disebabkan oleh aliran air bawah tanah. Hujan lebat yang menakung air bawah tanah akan membentuk aliran menyebabkan struktur tanah menjadi longgar. Struktur tanah yanglonggar akan memudahkan tanah runtuh dengan sendirinya. Perkara ini biasanya berlaku di kawasan-kawasan yang bercerun. Kita selalu terbaca berita tentang tanah runtuh di kawasan-kawasan lebuh raya yang diakibatkan kewujudan aliran air bawah tanah.
Kejadian tanah runtuh yang lebih besar terjadi akibat kejadian gempa bumi. Walaupun Malaysia tidak mengalami kejadian gempa bumi, negara jiran seperti Indonesia telah mendapat akibatnya. Gempa bumi akan mengakibatkan gegaran di
muka bumi. Gegaran ini menyebabkan struktur bumi menjadi lemah. Gegaran yang kuat, walaupun dalam masa yang singkat telah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang besar. Gempa bumi telah mengakibatkan pelbagai kemusnahan . Kesimpulannya, kejadian tanah runtuh telah mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Oleh itu, kita perlu bersiap sedia untuk mengatasi masalah ini. Pihak berkuasa perlu mengawal kegiatan-kegiatan manusia yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh. Pihak yang melakukan kegiatan yang memungkinkan berlakunya tanah runtuh perlu diambil tindakan yang tegas supaya tidak mengulangi perbuatan mereka. Sebaik-baiknya kita hendaklah mencegah kegiatan ini kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubat