SUMBANGAN AL-GHAZALI DALAM BIDANG KEILMUAN Latar Belakang Nama sebenar ialah Muhammad bin Muhammad at-Thusi al-Imam Abu Hamid al-Ghazali yang dilahirkan di Thus, Khurasan Iran pada tahun 1058 M. Beliau digelar "AlGhazali" bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing (alGhazzal). Ada yang mengatakan mengambil sempena kampung kelahirannya, Ghazalah. AlGhazali telah merantau ke serata tempat untuk mempelajari pelbagai ilmu daripada ramai guru seperti Imam al-Radzakani, Imam al-Abi Nash al-Isma’ili dan Imam al-Haramain Abu Ma’ au alJuwaini. Beliau berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya merupakan seorang ahli Sufi yang sangat warak. Bapanya mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu ingin melihat anaknya menjadi orang alim dan soleh. Al-Ghazali adalah seorang ulama, ahli fikir dan ahli falsafah Islam yang terkemuka hingga kini. Beliau seorang yang tekun dalam menuntut dan mendalami ilmu pengetahuan sehingga berjaya menguasai pelbagai cabang ilmu seperti usuluddin, usul fiqh, mantik, membaca hikmah dan yang paling terkenal ialah bidang falsafah. Beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang penulisan dan menyusun kitab-kitab dari pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajari, antaranya kitab yang dihasilkan ialah Ihya’ Ulumuddin, Kimya al-Saadah, Maqasid al-Falasifah dan al-Mushtasfa mim ‘Ilm al-Ushul. Segala hasil-hasil tulisan beliau telah mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya, seperti Jalaluddin ar-Rumi, Syeikh Al-Ashraf, Ibnu Rusyd dan Syah Waliyullah. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadilakhir tahun 505 Hijrah (1111 M) di Thus
dan jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya.
Sumbangan al-Ghazali 1. BIDANG FALSAFAH a. Membahagikan ahli falsafah Imam aI-Ghazali membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga golongan iaitu atheis, natural dan teologi. Golongan atheis - golongan yang mengingkari wujudnya pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Golongan natural - golongan ilmuwan yang banyak membuat kajian berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan. Golongan teologi – merupakan ahli yang membincang dan membahaskan soal-soal ketuhanan bersumberkan akal seperti Plato, Aristotle dan Socrates.
b. Mengklasifikasi Ilmu Falsafah Imam al-Ghazali merupakan individu pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian, iaitu matematik, mantik, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Matematik menurut al-Ghazali adalah berkaitan dengan ilmu hisab dan kejuruteraan. Ilmu ini tidak berkaitan dengan perbahasan dan sudut agama. Mantik pula ialah ilmu yang berkaitan dengan logik akal dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan. Ilmu fizik pula berkaitan dengan kajian alam, langit, bintang-bintang, air, udara dan alam seluruhnya. Ilmu ketuhanan dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan dan perspektif akal. Ilmu ketuhanan ini didasari oleh perbincangan mantik dan logik. Ilmu ini menurut Imam al-Ghazali tersimpang daripada falsafah ketuhanan yang sebenar. Menurut Imam al-Ghazali, siasah ialah perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang dapat membantu manusia menjalani kebidupan seharian dengan lebih baik. Ilmu yang terakhir dalam ilmu falsafah menurut Imam al-Ghazali ialah akhlak, iaitu ilmu yang berkaitan dengan cara seseorang menjalani kehidupan seharian dengan sikap dan peribadi yang mulia. c. Metodologi Metodologi yang diasaskan oleh Imam al-Ghazali adalah lebih jelas dan terperinci. Antara penulisan terkenal Imam al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah Maqasid al-Falasifah, alMunqidh mim al-Dalal dan Tahafut al-Falasifah. Abu Hassan al-Nadawi juga menyifatkan Imam al-Ghazali sebagai seorang yang istimewa seperti yang diungkapkannya di dalam salah satu penulisannya. d. Menyelamatkan Akidah Umat Islam Imam al-Ghazali memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ilmu falsafah Islam, bagi menyelamatkan akidah umat Islam daripada terus direntap oleh fahaman falsafah ketuhanan Yunani yang tidak bertauhidkan agama yang suci, iaitu agama Islam. Al-Ghazali berjaya mempertahankan kemurnian Islam sekaligus mengelak amalan mengagungkan falsafah Yunani tanpa menyedari ia bertentangan dengan akidah Islam. e. Gelaran Hujjatul Islam Diberi gelaran Hujjatul Islam kerana kemampuan al-Ghazali memanfaatkan ilmu yang dipelajari daripada tokoh-tokoh ulama serta kebijaksanaan berhujah dengan mengemukakan pandanganpandangan yang bernas menyebabkan beliau amat disanjung tinggi oleh umat Islam dan sememangnya gelaran yang diberikan kepadanya amat tepat.
2. BIDANG ILMU KALAM AL-Ghazali memberi sumbangan yang cukup besar dalam ilmu Kalam. Beliau telah mengarang begitu banyak penulisan dalam ilmu Kalam. Dalam penulisan beliau, al-Ghazali banyak mematahkan hujah-hujah daripada pihak lawan yang dilihat agak keterlaluan semasa membahaskan isu-isu yang timbul daripada perbincangan ilmu Kalam. Ilmu Kalam sudah pun berkembang dengan baik bagi mempertahankan akidah ahli sunnah sebagaimana yang terdapat dalam al-Irsyad, iaitu salah satu kitab karangan Imam al-Haramain, iaitu guru Imam al-Ghazali. Ada disebut dalam sejarah, al-Ghazali tidak menyukai majlis-majlis perdebatan berkaitan dengan ilmu Kalam. Jika dijemput ke majlis seumpama itu, beliau hanya berdebat dengan menggunakan metadologi Rasulullah SAW dan para sahabat dengan berpaksikan al-Quran dan al-sunnah sahaja. Hal ini kerana beliau beranggapan tanpa dua sumber utama itu akan menambahkan lagi kerisauan dan kecelaruan dalam masyarakat pada ketika itu. Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ketika membincangkan berkaitan dengan teori dan konsep ilmu tidak meletakkan ilmu Kalam sebagai satu ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Bahkan beliau menganggap sesiapa yang keterlaluan membicangkan isu-isu yang berkaitan dengan sifat dan perbuatan Allah SWT adalah termasuk dalam golongan orang yang melakukan bida’ah di dalam Islam. Beliau mengatakan ilmu Kalam tidak bermanfaat kepada manusia kerana dua sebab. Sebab pertama ialah ilmu ini tersimpang jauh daripada matlamatnya yang utama, iaitu mengenal Allah SWT. Sebab kedua ialah perbincangan ahli ilmu Kalam terlalu jauh sehingga menyimpang daripada apa yang dibincangkan oleh para ulama. 3. BIDANG TASAWUF Apabila melibatkan diri menjadi sebahagian daripada ahli sufi, al-Ghazali berusaha membersihkan tasawuf daripada perkara-perkara khurafat dan amalan yang terkeluar daripada ajaran agama Islam yang sebenar. Dalam bidang tasawuf, al-Ghazali mempunyai beberapa orang guru yang termasyhur seperti al-Junaid dan al-Muhasibi. Apabila al-Ghazali mengetahui masyarakat melakukan kesalahan dalam bidang tasawuf, beliau melemparkan kritikan yang bertujuan membetulkan kesalahan dan menghalang daripada penyelewengan yang berlaku sehingga mencemarkan kemurnian Islam. Karya termasyhur al-Ghazali dalam bidang tasawuf ialah Ihya’ Ulumuddin yang telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain seperti Melayu, Parsi, Urdu, Inggeris dan Perancis. Kitab ini telah menjadi sumber rujukan para ulama di rantau
Alam Melayu. Kehadiran kitab Ihya’ Ulumuddin ini memberikan implikasi besar dalam pengajian tasawuf. Sumbangan ini adalah cukup besar dalam bidang tasawuf kerana al-Ghazali telah memurnikan semula ilmu tasawuf daripada kesesatan dan bidaah. KESIMPULAN Imam Al-Ghazali banyak memberi sumbangan dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti usuluddin, usul fiqh, mantik, membaca hikmah dan yang paling terkenal ialah bidang falsafah. Beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang penulisan dan menyusun kitab-kitab dari pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajari dan hasil-hasil tulisan beliau telah mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya, seperti Jalaluddin ar-Rumi, Syeikh Al-Ashraf, Ibnu Rusyd dan Syah Waliyullah.