Video ini bertajuk “Kempen Kejiranan” yang telah diedit oleh Azzam Sham pada 23 September 2008 ini adalah berkisar mengenai penduduk kampung yang berbilang kaum. Berdasarkan pemilihan video yang telah saya lakukan ini, saya mendapati elemen-elemen hubungan interetnik dan intraetnik telah dimasukkan serta diamalkan oleh penduduk kampung di dalam video tersebut. Selain itu tidak dilupakan juga bahawa ini adalah sememangnya menjadi budaya hidup bermasyarakat yang hidup dalam satu kawasan tempat tinggal yang sama iaitu semangat kejiranan yang tinggi serta sikap hormat-menghormati antara satu sama lain. Melalui pemaparan video ini dapatlah dihuraikan bahawa walaupun masyarakat atau penduduk kampung ini terdiri daripada pelbagai etnik dan berbeza kepercayaan serta agama, namun mereka masih boleh hidup dalam keadaan aman dan damai malah mereka dapat berkumpul dalam satu rumah untuk menjamu makanan bersama-sama. Elemen hormatmenghormati yang telah ditunjukkan dalam video ini ialah apabila ayah rakan Abu yang berbangsa Cina menghormati agama dan budaya orang Islam iaitu makan makanan yang halal seperti perlu menyembelih ayam sebelum memasaknya. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya pengetahuan tentang budaya dan kepercayaan kaum lain untuk merapatkan lagi ikatan persaudaraan dan persefahaman antara satu-satu kaum. Elemen lain yang ditunjukkan di dalam video ini ialah amalan ziarah menziarahi seperti keluarga masyarakat Cina, India dan Melayu dapat berkumpul dalam sesebuah rumah serta dapat mengadakan jamuan makan bersama-sama tanpa mengira kaum dan warna kulit. Hidup kejiranan seperti ini sukar dicari pada masa sekarang kerana semua masyarakat di negara ini lebih menjurus kepada membuat hal masing-masing. Hal ini kerana setelah penat bekerja, mereka akan hanya berehat di rumah dan tidak menghairankan jiran sebelah menyebelah atau mungkin hanya sekadar bertegur sapa dalam suasana yang hambar dan tidak menunjukkan sifat kasih sayang antara satu sama lain. Oleh itu, wajarlah amalan ziarah menziarahi ini terus menerus dilakukan jika ada masa lapang mungkin sewaktu cuti bekerja atau cuti persekolahan. Tidak salah jika kita berbuat baik kepada orang, kelak mereka akan membantu kita di waktu kita susah. Video ini juga memaparkan elemen persaudaraan dan elemen kemesraan antara pelbagai kaum. Walau berbeza cara hidup dan adat resam, namun kemesraan yang terjalin dalam masyarakat di kampung ini jelas menunjukkan bahawa kemesraan itu amat mudah diterapkan dalam diri setiap individu. Tidak kira tua mahupun muda, ia harus dipupuk agar
jalinan persaudaraan itu kekal dan membawa kepada perpaduan kaum yang aman dan harmoni. Ditunjukkan juga kepada kita bahawa amalan memberi serta menerima adalah salah satu sikap yang mampu menjadikan hubungan antara kaum itu rapat dan akrab. Sebagai contoh dalam video ini telah menunjukkan bahawa mak Abu memberikan kuih kepada rakanrakannya yang berbangsa lain, serta pemberian Abu itu diterima serta dibalas dengan benda yang lain sebagai gantinya. Situasi ini amat serasi dengan budaya hidup masyarakat di Malaysia. ibarat kata pepatah, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Amalan murni ini dapat menjamin kesejahteraan hidup di kalangan rakyat Malaysia terutamanya. Setiap perkara akan wujud kelebihan dan kelemahannya yang dapat kita huraikan. Sebagai contoh dalam video ini, saya melihat pembikinan video ini telah memberi manfaat serta contoh yang baik untuk dicontohi oleh semua lapisan masyarakat. Iklan video sebeginilah yang mampu menyedarkan rakyat Malaysia bahawa pentingnya amalan-amalan mulia seperti hormat-menghormati, ziarah menziarahi dan sebagainya perlu dipupuk serta diamalkan dalam kehidupan seharian. Selain itu, kelebihan yang dapat saya nyatakan melalui video ini ialah penerapan nilainilai murni yang jelas terpampang di hadapan mata untuk membuka fikiran serta minda rakyat Malaysia untuk melihat kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan ini yang bukan hanya suka-suka untuk membuat video ini tetapi memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk bersikap positif serta bersikap toleransi antara satu sama lain. Kelemahan yang dapat saya kesan dalam video ini ialah ia tidak menunjukkan secara jelas tentang amalan ziarah-menziarahi dalam masyarakat kampung tersebut. Mungkin ia perlu memperjelaskan rumah siapa yang mereka pergi berkunjung dan berkumpul untuk makan malam bersama. Oleh itu, dapatlah saya rumuskan bahawa video ini memberi banyak pengajaran serta pedoman yang dapat kita pelajari dan amalkan dalam kehidupan seharian. Bukan hidup dalam kawasan tempat tinggal dengan mengamalkan sikap kera sumbang dan tidak bercampur dengan orang lain, malah kita seharusnya bersikap ramah-tamah dan saling bertegur sapa antara jiran tetangga mahupun jiran sebelah menyebelah kita adalah berbeza kaum dan agama. Tidak salah saling kenal mengenali antara satu sama lain. Hal ini kerana apabila kita susah, jiran kita juga yang akan menjadi tempat pertolongan pertama yang kita boleh cari.