PIDATO PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu bersengketa, kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu. Dan bersabarlah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” (Surah Al-Anfal, ayat 46). Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum w.b.t, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia. Sekalung apreasasi kepada saudara/saudari pengerusi majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tetap dengan jam randiknya serta warga dewan yang dikasihi dan disanjungi sekalian. Hadirin, sebentar tadi, sebagai pembuka kata, telah saya alunkan ayat Al-Quran, Surah Al-Anfal, Ayat 46. Ayat Al-Quran ini menekankan betapa kekuatan kita terletak pada perpaduan, jika perpaduan hilang digantikan pula dengan persengketaan, maka hilanglah kekuatan kita. Ayat inilah yang menjadi inspirasi untuk saya berdiri di sini bagi menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk Perpaduan Nadi Transformasi Negara. Sebelum tirai syarahan dibuka, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perpaduan bermaksud perihal berpadu, bergabung menjadi satu. Nadi pula ialah nyawa. Manakala, transformasi negara ialah perubahan sesuatu ke arah membangunkan negara. Kesimpulannya, Perpaduan Nadi Transformasi Negara berkehendakkan kita untuk sama-sama mencerna idea betapa soal perpaduan rakyat dan transformasi negara ialah saling bergantungan dan memerlukan. Ibarat isi dan kuku. Ibarat aur dengan tebing. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menyuburkan perpaduan ini? Usah bercakap soal transformasi, soal perubahan, soal pembangunan, soal kemajuan, jika soal perpaduan pun dipandang enteng, jika persoalan bagaimana untuk menyuburkan perpaduan pun tidak mampu kita jawab. Fikir-fikirkan. Oleh itu hadirin sekalian, hari ini, saya ingin bawa hadirin semua untuk menelusuri bagaimana aspek politik, ekonomi dan sosial mampu menjadi cara yang ampuh untuk menyuburkan perpaduan seterusnya menjadi nadi transformasi negara. Warga dewan dirahmati Allah, Ufuk minda saya yang pertama di bawah kata kunci “PENTADBIRAN CEKAP PERPADUAN MANTAP.” Segala unsur transformasi diteliti dan didekati, demi pentabiran negara yang berintegriti. Kesepakatan dalam menjana idea dalam kepimpinan negara menjadikan dasar negara dapat dilaksanakan tanpa halangan. Allah sendiri pernah berfirman dalam Al-Quran dengan menekankan betapa pentingnya kesepakatan atau mesyuarat dalam urusan pentadbiran. Buktinya, dalam surah Surah Ash-Shuraa Ayat 38 yang bermaksud “dan lebih baik bagi orang-orang yang menyambut perintah Tuhan mereka serta solat dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka, dan mereka mendermakan sebahagian dari apa yang Kamu beri kepadanya.” Saya yakin kesepakatan akan menjadikan urusan pentadbiran negara lebih cekap seterusnya menarik 29 juta rakyat Malaysia untuk bersatu menyahut cabaran dan rintangan.
Wacana fitrah saya yang kedua, “KESELAMATAN DICAKNA HIDUP BERMAKNA.” Perpaduan rakyat Malaysia sememangnya tersohor seantero dunia. Usia 59 tahun kemerdekaan menjadi bukti betapa kaum Melayu, Cina dan India mampu duduk semeja mencerna idea berkongsi kuasa tanpa prasangka. Seiring dengan itu, keselamatan negara terus diperkasa lantaran dasar kerajaan yang cakna akan keselamatan rakyatnya. Detik hitam 13 Mei 1969 yang menyaksikan kaum-kaum di Malaysia saling berbunuhan, menjadi pengajaran untuk mengekalkan keamanan. Ini mengingatkan saya tentang satu hadis oleh Rasulullah, "Janganlah kamu bersengketa; kerana umat sebelum kamu telah bersengketa lalu mereka binasa." Sidang pendengar sekalian, Fokus bicara yang ketiga, “EKONOMI DIPACU, RAKYAT BERSATU.” Kemakmuran ekonomi negara mampu dikecapi bersama biarpun pernah dilanda kegawatan era 90-an, namun Malaysia mampu bangkit dari kesukaran. Program Transformasi Ekonomi mampu melonjakkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7% dengan izin Capital Economy dan People Economy menjadi satu simbiosis kepada negara. Kepentingan rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan dan lain-lain cuba ditangani melalui pelbagai transformasi. Melalui dasar transformasi nasional, korupsi berjaya dikurangkan sehingga mampu menarik sokongan rakyat sekutu untuk setuju dan bersatu ke arah negara maju. Menyentuh soal korupsi, teringat saya kepada firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta kamu antara kamu dengan jalan yang salah seperti judi, tipu dan sebagainya” (Surah An Nisa, ayat 29). Kata kunci saya yang keempat, “EKONOMI MANTAP, PRASARANA HEBAT.” Dari Perlis hingga ke Sabah, prasarana yang ada terus bertambah. Berdiri megah Putrajaya, Cyberjaya dan segala kemudahan menjadi lambang ekonomi negara dapat diatur dengan jayanya. Ternyata perpaduan yang mantap dapat melonjakkan prasarana hasil transformasi yang rapi.
Cantik sungguh sang puteri di sana, Lesung pipit di muka manis bak delima, Kini tiba waktu saya laksana, Ufuk minda syarahan yang kelima.
Ufuk minda yang kelima, “AGAMA DIJUNJUNG, RAKYAT BERUNTUNG.” Hidup berteraskan pegangan agama menjadi tunjang kehidupan rakyat Malaysia. Surah Al-Imran, ayat 103,
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; Biarpun Islam menjadi agama rasmi namun agama lain masih boleh dianuti selagi Tuhan tetap diyakini berteraskan prinsip pertama Rukun Negara. Transformasi terus diterokai dengan sikap saling memahami dengan agama yang dianuti tanpa provokasi. Perbezaan agama bukan halangan untuk mencipta persafahaman. Yakinlah bahawa Islam jambatan duniawi dan ukhrawi. Fokus bicara yang terakhir, “BUDAYA DIPELIHARA, RAKYAT SEJAHTERA.” Kepelbagaian seni dan budaya Malaysia sememangnya aset yang cukup berharga. Kaum Melayu, Cina, India dan bumiputra mempunyai seni dan budaya yang menjadi identiti yang cukup bererti. Tarian inang dan zapin sudah tidak asing. Tarian ponggal dan singa sudah biasa. Semuanya berlindung di bawah Dasar Kebudayaan Kebangsaan untuk mengukuhkan perpaduan. Transformasi disanjung, budaya disantuni dan rakyat bersatu dalam lingkungan seni. Seni dan budaya menjadi warisan bangsa dan menjadi tarikan pelancong di negara kita. Melihat keunikan kepelbagaian budaya dan kaum ini mengingatkan saya kepada satu firman Allah
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya”. (Surah Al-Hujurat, ayat: 13)
Sidang warga bervisi, Kesimpulannya, begitulah hebatnya Perpaduan Nadi Transformasi Negara berasaskan tiga aspek utama politik, ekonomi dan sosial yang meletakkan Malaysia di ufuk pandang yang membanggakan di serata dunia. Saya akhiri syarahan saya dengan wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum b.b.t. Sekian, terima kasih.