Kesan Politik Islam pada zaman sekarang.
Agama yang telah dikurniakan oleh Allah SWT, iaitu agama islam merupakan suatu nikmat kebenaran untuk manusia yang dapat menilai dan memahami tujuan hidup yang sebenarnya. Serta, Allah SWT juga menyediakan agama ini tanpa kekurangan walau sedikit pun, kerana tiada sifat kekurangan pada zat Allah. Maka, beruntunglah bagi manusia yang telah menerima hakikat bahawa agama yang benar dan sempurna serta diterima hanyalah Islam atau dengan nama lainnya adalah ad-din.
Islam semakin berkembang pesat dan sempurna pada zaman kehidupan Rasulullah SAW. Pelbagai kisah dan detik-detik yang dilalui oleh Baginda adalah merupakan titik permulaan kebangkitan dan kehebatan Islam, dan dapat dilihat sehingga hari ini. Rasulullah SAW telah mennggalkan kita sekitar 1400 tahun yang lalu, namun dakwah dan ajaran baginda masih relevan dan sesuai untuk digunapakai sehingga ke hari ini. Allah SWT telah memilih baginda untuk menjadi utusan kesayangan-Nya sekitar umur baginda 40 tahun, dan pada waktu itu, Islam telah berada dalam keadaan yang sangat stabil dan hebat di bawah pemerintahan Rasulullah. Segala tindakan yang diambil oleh Baginda adalah merupakan langkah yang terbaik bagi perkembangan Islam, dan ianya merupakan seruan terus daripada Allah SWT, yang Maha Sempurna dan mustahil daripada sifat kekurangan.
Ketika bermulanya zaman pemerintahan Baginda nabi Muhammad SAW, keteguhan Madinah, kekuatan ekonomi dan politik dan perpaduan antara rakyat adalah satu tradisi baru dalam peradaban manusia yang sebelumnya tidak ada dalam kebudayaan bangsa Arab. Kelahiran kerajaan Islam Madinah di jazirah Arab telah membawa revolusi rohaniah dan pemikiran yang menyaksikan pembinaan tatacara baru dunia yang diasaskan kepada kekuatan moral dan agama dan membentuk etika hubungan baru di mana penggunaan kuasa dan pengaruh dipandu oleh prinsip akhlak, semangat persamaan dan rasa hormat-menghormati yang begitu mendalam. Madinah dengan cara yang tersendiri telah berusaha untuk menjayakan cita-cita dan semangat ini. Para pujangga dan Ulama silam menyedari hakikat sejarah dan kebudayaan dunia yang dicorakkan oleh kesegaran akliah dan idealisme Islam yang telah memberikan pengarahan baru kepada pembinaan budaya ilmu, pemikiran, ekonomi, sosial, dan seluruh sektor penting keagamaan sebagai wahana memupuk kekuatan iman dan keutuhan peribadi supaya bebas dari runtuhan nafsu dan membalikkan agama lebih mempengaruhi aliran dunia.
Dapat kita lihat dengan jelas, kejayaan dan kekuatan Madinah mempunyai pertalian dengan pengorbanan dan perjuangan Baginda Rasulullah bersama-sama para sahabat dalam mendaulatkan Islam walaupun dalam bidang politik. Islam menyelusuri jiwa manusia tiada sempadan dan tiada pengakhirannya. Walau apapun keadaan dan situasi kehidupan manusia, Islam masih tetap dihadapan dan perlu dimartabatkan. Buktinya, politik sesebuah negara seperti Madinah itu tidak hanya tertumpu kepada gaya pentadbiran sahaja, namun politik merangkumi keseluruhan kehidupan selain sistem pentadbiran. Seperti perundangan, yang telah ditetapkan oleh Rasulullah mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam mengutarakan konsep al-mujtama`at almadaniyyah yang menghala kepada perkara dasar dalam sistem nilai yang dihubungkan kepada tradisi al-millat al-hanifiyyah al-samhah. Ia menjadi matlamat utama sistem keadilan dan asas kepada siyasah shar`iyyah yang meletakkan asas kemasyarakatan yang dipereratkan dengan keluasan Islam sebagai risalah universal.
Kelahiran kota Madinah yang tersergam megah ketika awal penubuhannya merupakan simbol kekukuhan dan kekuatan Islam. Pembinaannya berkait rapat dengan tradisi ilmu dan pemekaran budaya dengan ikatan dan keutuhan komuniti dan kesedaran masyarakat untuk memelihara dan melindungi sistem politik sebagai asas masyarakat. Kota tersebut menjadi benteng utama pertahanan Islam dalam menghadapi ancaman empat kuasa besar dunia yang tidak ada tolok bandingnya. Kekuatan yang terhasil daripada percantuman Muhajirin dan Ansar dan sedikit sebanyak percantuman pengalaman pimpinan Yahudi dan semangat juang golongan Nasrani telah menjadi provokasi dan ancaman paling hebat kepada hegemoni kabilah Arab Mekah yang bakal memperhebatkan serangan terhadap kota Madinah. Madinah terus diasak dari kiri dan kanan. Berbagai kesangsian disumbatkan ke dalam benak kaum Munafiqin untuk mewujudkan rasa cemas. Kumpulan elit pemerintah Quraysh yang hidup atas rasuah, kebejatan jahiliyah, penindasan kaum dan pembohongan akan berhadapan dengan percantuman pertama melibatkan kekuatan Islam dan Yahudi. Daya atau tenaga yang terhasil dari pergabungan ini berpotensi untuk menyengat dan menggigit kemegahan Madinah.
Dengan kemegahan dan kedaulatan Islam yang telah terhasil suatu ketika dahulu, para pemimpin negara pada masa kini seharusnya mempunyai daya untuk menjadikan peritiwa dan gaya pentadbiran zaman Rasulullah itu sebagai contoh yang kuat dalam melaksanakan sistem politik yang adil dan mementingkan item dalam Islam itu terlaksana. Terdapat beberapa ayat yang boleh dijadikan sebagai penguat untuk pernyataan bahawa pemimpin zaman kini perlu manjadikan gaya kepimpinan zaman Rasulullah sebagai contoh dan tauladan, antaranya ialah daripada kalam Allah SWT, dalam surah Az-Zukhruf ayat ke 56 yang bermaksud:
"Dan Kami jadikan mereka (orang-orang) yang terdahulu sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian"
Allah memerintahkan kita manusia agar menjadikan orang yang terdahulu, iaitu orang yang telah hidup terlebih dahulu daripada kita di zaman sekarang, agar mencontohi segala apa perkara yang boleh diambil dan yang boleh dijadikan iktibar. Terutamanya adalah ketika zaman pemerintahan Rasulullah SAW, yang mana terdapat pelbagai peristiwa dan detik-detik yang mana mempunyai pelbaga faedah serta pengajaran yang boleh diambil.
Rasulullah juga merupakan ikutan bagi umat Islam, dan merupakan idola kepada seluruh umat baginda. Dengan kebijaksanaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada baginda, adalah semata-mata untuk mengajar serta memimpin kita pada hari ini. Baginda Rasulullah SAW juga telah berpesan kepada kita selaku umatnya, menerusi sabda baginda yang telah dirwayatkan oleh Abu Hurairah r.a beliau berkata:
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akansesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).
Berdasarkan hadis tersebut, maka wajiblah kita sebagai umat baginda untuk mengaplikasikan segala peraturan dan penentuan dalam segala aspek untuk kehidupan kita. Dalam aspek politik, khususnya para pemimpin yang mengetuai sesebuah pentadbiran dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara dan bentuk masyarakatnya, wajib bagi mereka untuk meneladi apa yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ketika mana baginda menguasai kota Madinah.
Dengan pentadbiran yang mementingkan konsep akhlak, kejujuran, keadilan dan sebagainya yang membawa kepada sistem pentadbiran yang dapat memberikan impak yang sangat menakjubkan dalam sejarah Islam, tidak ada perkara yang mencelakan melainkan perkara-perkara yang benar dan hebat sahaja yang telah dilakukan oleh baginda. Maka tiada lagi persoalan yang dapat ditimbulkan bagi zaman sekarang, dimana mereka mengatakan bahawa perkara dan perundangan yang telah ditetapkan dalam sistem politik di bawah pentadbiran baginda adalah relevan dan amat sesuai diguna pakai sehingga kini dan untuk selamanya. Walaubagaimanapun, kita dapat lihat bagaimana dan apakah kesan sekiranya manusia dan pemimpin sesebuah negara itu mengetepikan dan memandang enteng mengenai ajaran Rasulullah dan sirah baginda. Contoh yang paling hampir kita dapat lihat pada zaman ini ialah di Malaysia sendiri, dimana sistem politiknya yang mempunyai sistem yang masih lemah dan di dalam tahap lembab untuk meningkat maju.
Pentadbiran di Malaysia kini adalah berbentuk sekular, di mana pemimpin memisahkan antara politik dengan bab agama. Walaupun ada sesetengah hukum dan undang-undang Islam masih diguna pakai, namun terdapat juga sesetengah hukum dan perundangan Islam telah ditolak dan dikiran tidak relevan untuk digunakan dalam sistem pentadbiran dan politik pada zaman sekarang. Ini merupakan pandangan yang jumud dan mempamerkan kejahilan pemikiran pemimpin di era zaman serba moden ini. Mereka tidak mendalami dan mempelajari mengenai sirah Rasulullah SAW, terutama dalam bidang politik dan pentadbiran ini. Apa yang masyarakat dapat lihat hanyalah kepentingan individu dan kuasa yang mereka kejar, serta status negara maju yang mereka harapkan. Segala pandangan daripada negara-negara barat sanggup dipelajari, diterokai dan dipelajari, namun pandangan yang telah nyata dan yakin berhasil dtolak ketepi, hanya kerana perkara itu telah jauh daripada zaman kini.
Hal inilah yang mana akan memberi kesan yang negatif dalam sesebuah kepimpinan sesebuah negara dan sistem politik, dan tidak mustahil dengan cara pemimpin seperti ini yang akan dapat memusnahkan pemahanan dan kedaulatan Islam itu sendiri. Mereka bercita untuk mendaulatkan Islam, tetapi ingin mendaulatkan dengan menggunakan cara ciptaan manusia yang menampung seribu kelemahan dan kekurangan. Namun jika pemimpin pada masa ini sedar dan yakin mengenai apa yang telah dibawa dan diajarkan oleh Rasulullah dalam gaya kepimpinan dan sistem politik, tidak mustahil sesebuah negara itu akan muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai kedaulatan Islamnya dijulang tinggi dan kemakmurannya berpanjangan. Selain dapat meningkatkan lagi pelbagai aspek dan bidang, termasuklah ekonomi, pendidikan, dan sebagainya seperti mana yang telah berlaku ketika zaman politik Islam berkembang dan muncul sebagai sebuah sistem politik yang berjaya.
Sebagai kesimpulannya, Rasulullah telah meninggalkan kita dengan emas mutiara yang sangat berharga yang berbentuk pengajaran dan tauladan. Cuma manusia pada masa zaman kini yang sombong dan tidak mahu untuk mengutip apa yang telah baginda tinggalkan untuk kita. Hal ini berkaitan dengan kepentingan dan nafsu yang tidak dapat mengenal pasti yang mana benar dan salah, sehinggakan tidak nampak nilai yang begitu tinggi jika kita dapat mengamalkan segala perkara yang telah diajarkan oleh Rasulullah, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah ke besar-besar perkara telah pun terkandung dalam setiap peritiwa yang berlaku.
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/umum/11345-kecelaruan-gaya-pemakanan.html