2
SEJAUHMANAKAH KEBENARAN HIPOTESIS SAPIR WHORF BOLEH DITERIMA DALAM BIDANG SOSIOLINGUISTIK? BINCANGKAN KENYATAAN TERSEBUT DENGAN MEMBERI CONTOH-CONTOH YANG SESUAI
Fatma Najiha Aziz
[email protected]
Abstrak:
Menerusi Tema 3: Bahasa dan Budaya, penulisan ini meneliti sejauhmana kebenaran hipotesis Sapir-Whorf boleh diterima dalam bidang sosiolinguistik. Bagi takrifan sosiolingusitik, penulisan ini merujuk kepada beberapa orang sarjana yang telah menyatakan pandangan mereka mengenai bidang tersebut. Seterusnya, konsep hipotesis ini dikupas menerusi pengenalan kepada pelopornya iaitu Edward Sapir dan anak muridnya, Benjamin Lee Whorf dengan fahaman-fahaman mereka mengenai bahasa. Penulisan ini selanjutnya membincangkan mengenai hipotesis Sapir Whorf dengan lebih khusus iaitu linguistic determinisim dan linguistic relativism berserta contoh-contoh yang sesuai. Namun begitu, hipotesis ini turut disangkal oleh beberapa orang tokoh bahasa atas pelbagai alasan seperti kajian Whorf yang tidak menyeluruh mengenai kaum Hopi dan pemikiran ialah proses kognisi, bukannya proses linguistik serta peraturan tatabahasa bahasa yang berbeza tidak bererti bahawa fikiran atau makna yang disampaikan juga berbeza-beza. Sehubungan dengan itu, penulisan ini menyimpulkan adakah hipotesis ini dapat diterima secara muktamad ataupun tidak.
Kata Kunci dan frasa: linguistic determinisim (ketentuan linguistik), linguistic relativism (kerelatifan linguistik), pemikiran, konsep masa, bahasa ekspesif, perbezaan
PENGENALAN
Dalam membincangkan tajuk seperti ini, kita tidak dapat lari daripada menjawab beberapa soalan awal. Pertama, apakah definisi sosiolinguistik? Kedua, siapakah pelopor kepada hipotesis Sapir Whorf ini? Ketiga, apakah kaitan hipotesis ini dengan sosiolinguistik? Ketiga, bagaimanakah hipotesis ini diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat? Dan Keempat, adakah hipotesis ini dapat diterima?
Soalan pertama akan dibincangkan dengan memberikan beberapa definisi sosiolingustik daripada pelbagai sarjana agar dapat memberi kefahaman yang lebih jelas mengenai bidang sosiolinguistik ini seterusnya mengaitkan bidang tersebut dengan kemunculan hipotesis Sapir-Whorf. Tokoh yang mempelopori hipotesis Sapir-Whorf ini akan dinyatakan secara ringkas sahaja. Namun begitu, kefahaman mereka mengenai bahasa serta bagaimana hipotesis yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh linguistik ini diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat akan dihuraikan secara terperinci. Di samping itu, penulisan ini turut memuatkan sudut pandang daripada tokoh bahasa yang berbeza mengenai fahaman mereka mengenai hipotesis ini.
Melalui pengenalan yang luas begini, fokus perbincangan penulisan adalah lebih kepada kegunaan hipotesis Sapir-Whorf ini dalam bidang sosiolinguistik yang akan dihuraikan dengan contoh-contoh yang sesuai. Selain itu, pandangan-pandangan sarjana bahasa yang lain mengenai keobjektifan hipotesis ini juga turut dianalisis untuk melihat sejauhmana hipotesis Sapir-Whorf ini dapat diterima dalam bidang bahasa amnya pada hari ini dan akhirnya kesimpulan berkaitan kebenaran hipotesis tersebut.
DEFINISI SOSIOLINGUISTIK DAN PELOPOR HIPOTESIS SAPIR-WHORF
Hymes (1968) mendefinisikan bidang sosiolinguistik ini sebagai satu aktiviti disiplin, di mana ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli lingusitik. Menurut N.Dittmar (1976), istilah sosiolinguistik ini telah muncul buat pertama kalinya di dalam tulisan Haver. C. Currie (1952), yang menyatakan bahawa kajian tersebut bertujuan untuk melihat hubungan antara perlakuan bahasa dan status sosial. Peter Trudgill (1984) turut menyifatkan sosiolinguistik ini sebagai cabang linguistik yang meninjau bahasa sebagai gejala sosial dan kebudayaan tetapi menimba juga dalam beberapa aspek geografi sosial atau kemasyarakatan. Oleh itu, jika diambil ungkapan "bahasa dalam masyarakat" sepertimana yang dinyatakan oleh Nik Safiah Karim (1992) maka ilmu sosiolinguistik ini meliputi semua aspek bahasa dalam hubungannya dengan masyarakat, interaksi sosial, bidang pendidikan, variasi-variasi bahasa, bilingualism, nasionalisme dan perancangan bahasa.
Perhubungan timbal-balik antara bahasa dengan masyarakat ini secara tidak langsung telah mewujudkan satu perhubungan yang bergerak sehala seperti pengaruh masyarakat ke atas bahasa atau pengaruh bahasa ke atas masyarakat. Konsep perhubungan ini telah dikembangkan dalam pelbagai bentuk oleh ahli-ahli bahasa yang berbeza termasuk "Hipotesis Sapir-Whorf". Hipotesis ini telah dipelopori oleh dua orang pemikir antropologi bahasa Amerika yang terkenal iaitu Edward Sapir (1884-1939), dan anak muridnya, Benjamin Lee Whorf (1897-1941) yang mengandaikan bahawa bahasa adalah penentu fikiran atau minda manusia atau fikiran bergantung pada bahasa (Hassan Ahmad, Jurnal Melayu: 21).
KONSEP HIPOTESIS SAPIR-WHORF
Secara umumnya, Sapir-Whorf ini telah merumuskan bahawa bahasa ibunda seorang penutur telah membentuk satu siri kategori yang bertindak sebagai rangka yang menjadi asas bagi orang itu melihat dunia di sekitarnya. Selain itu, hipotesis ini turut menganggap bahasa boleh mencorakkan masyarakat penuturnya dengan cara mempengaruhi pemikiran atau menentukan pandangan hidup (world view) mereka. Menurut Sapir, manusia ini "… are very much at the mercy of the particular language which has become the medium of expression of their society…" (Sapir, 1985:162). Baginya, manusia atau fikiran manusia itu adalah 'mangsa bahasa yang mereka gunakan'. Whorf pula berpendapat "We dissect nature along lines laid down by our native language" yang membawa maksud kita menanggapi alam tabii ini menurut peraturan yang ditentukan oleh bahasa kita. Beliau berpandangan bahawa sistem tatabahasa bahasa yang berbeza menyebabkan pengguna bahasa menanggapi dan menilai alam ini dengan fikiran atau pandangan yang berbeza-beza. Justeru, hipotesis yang disebut sebagai linguistic determinisim atau ketentuan linguistik ini merumuskan bahawa fikiran atau "pandangan hidup" manusia berbeza-beza disebabkan perbezaan bahasa yang mereka gunakan. Hipotesis ini turut disebut di dalam versi yang lebih lembut sebagai linguistic relativism atau kerelatifan linguistik. Sebagai contoh, melalui hipotesis ketentuan linguistik, Whorf telah mengkaji tentang bagaimana bahasa kaum Hopi di Amerika memperlihatkan 'fikiran' yang berbeza dengan fikiran orang yang berbahasa Eropah iaitu orang-orang Inggeris berlandaskan konsep waktu.
Menurut Whorf, perbezaan konsep waktu antara masyarakat Hopi dengan masyarakat Eropah adalah bahasa Hopi ini tidak mempunyai perkataan, bentuk nahu (tatabahasa), konstruksi bahasa atau ungkapan yang secara langsung merujuk kepada konsep waktu atau 'time' atau masa lampau, masa akan datang, atau konsep enduring or lasting (berterusan atau berkekalan). Bagi Whorf, bahasa Dayak orang Amerika ini tidak mempunyai tanggapan tentang exact sequences, dating, calenders dan chronology. Oleh itu, Whorf menyimpulkan bahawa cara berfikir kaum Hopi tidak sama dengan cara berfikir orang Eropah terutamanya berkaitan dengan konsep waktu. Bahasa Hopi ini dikatakan menjadi punca dalam mencorakkan pemikiran masyarakat Hopi yang tidak konkrit berbanding fikiran orang Barat yang berupaya 'mengkonkritkan masa' atau waktu sebagai 'benda' yang dapat digambarkan oleh minda objektif manusia. Peter Trudgill (1984) menyatakan bahawa penggunaan konsep masa ini tidaklah seratus peratus sama bagi semua bahasa dalam golongan masyarakat Eropah tersebut tetapi secara kasar dapat dicari persamaan antara bentuk itu dalam bahasa Inggeris, umpamanya, dengan bahasa Perancis atau Jerman. Walaubagaimanapun, Trudgill menyifatkan bahasa kaum Hopi ini mempunyai ciri-ciri lain bagi memperkatakan aspek kata kerja iaitu dari segi aktiviti yang berlainan di mana dalam bahasa-bahasa Eropah perlu dihuraikan dengan menggunakan frasa-frasa yang panjang.
Seterusnya, hipotesis Sapir-Whorf ini turut boleh difahami melalui artikel Abdullah Hassan (2009) yang bertajuk "Bahasa Melayu di Persimpangan: Antara Jati Diri dengan Rempuhan Globalisasi". Berdasarkan artikel tersebut, hipotesis Sapir-Whorf ini turut disebut sebagai 'Bahasa Ekspresif'. Abdullah Hassan (2009) melihat hipotesis Sapir-Whorf ini daripada sudut "bahasa yang digunakan akan menentukan cara kita melihat dan memahami realiti dunia". Kajian beliau telah memfokuskan pada situasi bangsa yang menukar bahasa komunikasinya secara tidak langsung akan menukar persepsi berkenaan dirinya dan juga persekitarannya. Secara hakikatnya, situasi ini kurang disedari oleh masyarakat kita khususnya bangsa Melayu pada hari ini. Bahasa ekspresif ini bermaksud bahasa yang digunakan oleh seseorang itu apabila terperanjarat, marah, mencarut serta bahasa yang digunakanya apabila di dalam doa, mimpi, saat bersedih dan kecemasan. Sekiranya, seseorang itu menggunakan bahasa inggeris maka bahasa itu ialah bahasa ekspresifnya. Selanjutnya, Abdullah Hassan (2009) mengaplikasikan hipotesis ini dengan melihat beberapa lakuan bahasa yang telah menunjukkan realiti dunia kita yang sudah berubah. Sebagai contoh, terdapat banyak ungkapan bahasa Melayu telah dizahirkan dalam bahasa Inggeris dan sememangnya ungkapan itu tidak muncul dalam bahasa Melayu seperti perbualan antara anak perempuan dengan emaknya mengenai majlis hari jadi:
Gadis: How many lilin will i have?
Emak: Say properly, say candles. not lilin. You must learn good English.
Gadis: Never mindlah…
Emak: What never mind, Mahathir says so… we must speak Inggeris to be a developed nation. Wawasan 2020 what…
Bapa: Both of you serupalah.
Gadis: Then what to do?
Oleh itu, menurut Abdullah Hassan, ungkapan itu ialah ungkapan yang biasa diungkapkan dalam bahasa inggeris yang telah menyatakan dunia dan bahasa Inggeris. Apabila orang Melayu turut sama menggunakan bahasa Inggeris maka realiti dunianya turut berubah menjadi dunia dan bahasa Inggeris selaras dengan hipotesis Sapir-Whorf ini yang menyatakan bahasa boleh mencorakkan masyarakat penuturnya dengan cara menentukan pandangan hidup (world view) mereka seperti perbualan emaknya yang menganggap untuk menjadi masyarakat maju mengikut era pemodenan negara yang semakin membangun ini, kita seharusnya bercakap dalam bahasa Inggeris. Justeru, hipotesis Sapir-Whorf turut boleh diakui kebenaran teorinya mengenai bahasa berlandaskan kajian yang dijalankan oleh Abdullah Hassan ini.
Sehubungan dengan itu, hipotesis Sapir-Whorf secara umumnya dapat dipecahkan kepada dua versi hipotesis iaitu versi hipotesis pertama ialah linguistic determinisim dan versi hipotesis kedua ialah linguistic relativism. Menerusi perbincangan awal penulisan ini, secara ringkasnya telah menjelaskan bahawa kedua-dua hipotesis ini saling berkaitan di antara satu sama lain. Hipotesis pertamanya ialah bahasa ibunda seseorang penutur itu akan menentukan bagaimana seseorang itu mengkategorikan serta memahami fenomena-fenomena yang berbeza yang berlaku di sekitarnya sementara hipotesis kedua pula menggambarkan perbezaan sistem peraturan bahasa itu akan menyebabkan perbezaan pemikiran orang yang menggunakan bahasa tersebut. Tuntasnya, hipotesis Sapir-Whorf ini sememangnya memfokuskan bahawa pandangan hidup manusia terhadap alam sekelilingnya ditentukan oleh bahasa dan bagaimana keadaan alam sekitar fizikal itu tergambar menerusi bahasa melalui perbendaharaan kata. Sebagai contoh, bahasa Inggeris hanya mempunyai dua perkataan bagi salji iaitu snow dan sleet tetapi bahasa Eskimo mempunyai banyak perkataan mengenai salji yang jelas orang-orang Eskimo ini perlu membezakan pelbagai jenis salji walaupun bahasa Inggeris juga dapat membuat perbezaan-perbezaan itu seperti salji halus, salji lembut dan salji kering tetapi di dalam bahasa Eskimo, perbezaan ini dinyatakan dalam bentuk perkataan-perkataan tertentu.
SUDUT PANDANG DARIPADA BEBERAPA ORANG TOKOH BAHASA MENGENAI HIPOTESIS SAPHIR-WHORF
Terdapat pelbagai sudut pandang yang berbeza daripada tokoh-tokoh bahasa yang lain mengenai hipotesis yang dicipta oleh Saphir-Whorf mengenai bahasa walaupun terdapat ahli bahasa yang menggunakannya seperti Abdullah Hassan yang telah dibincangkan sebelum ini.
Salah seorang yang tidak menyokong hipotesis ini ialah Steven Pinker (1994). Kenyataan Whorf berkaitan kaum Hopi melalui teori ketentuan linguistiknya telah disangkal oleh Pinker yang telah menunjukkan kepalsuan pendapat Whorf tentang ketiadaan konsep waktu di kalangan kaum Hopi. Dengan merujuk kajian yang dijalankan oleh Ekhehart Malotki (1983) iaitu ahli antropologi Amerika, Pinker (1994) telah membuktikan bahawa bahasa masyarakat Hopi turut mengandungi banyak ungkapan dan perkataan yang merujuk kepada konsep masa seperti unit-unit masa termasuk konsep hari, bilangan hari, bahagian-bahagian hari, konsep kelmarin, esok, konsep minggu, dan hari-hari dalam seminggu, bulan, musim dan tahun yang tidak disampaikan secara 'literal' tetapi secara tersirat, yakni melalui bahasa metafora. Pinker menganggap Whorf sebenarnya tidak memahami bahasa figuratif dan metafora kaum peribumi Amerika, terutamanya kaum Hopi ini. Menurut Pinker, bahasa Hopi yang berbentuk metafora diterjemahkannya secara literal secara tidak langsung akan membentuk 'makna yang pelik', 'aneh' dan 'luar biasa' yang telah dianggap oleh Whorf bahasa yang pelik dan berbezanya fikiran kaum Hopi itu berbanding dengan fikiran orang Eropah. Oleh hal yang demikian, Peter Trudgill (1984) melalui penulisannya yang bertajuk "Sosiolinguistik: Satu Pengenalan" telah menolak versi "kuat" hipotesis Sapir-Whorf ini yang mengatakan bahawa pemikiran itu benar-benar ditentukan oleh bahasa kerana kajiannya yang tidak menyeluruh mengenai bahasa kaum Hopi ini. Menurut daripada pandangan penulis sendiri, perbandingan yang tidak tepat oleh Whorf ini secara tidak langsung telah merendahkan maruah bahasa masyarakat Hopi serta dapat menimbulkan masalah perkauman.
Seterusnya, tokoh bahasa yang terkenal di Malaysia turut tidak bersetuju dengan hipotesis Sapir-Whorf ini seperti Hassan Ahmad melalui penulisannya yang bertajuk "Bahasa Melayu dan Minda Melayu: Satu Tinjauan Kritis". Beliau berpandangan bahawa cara berfikir yang dikatakan bercorak jadali, dualistic, dialektik, sintensis, analogis dan hierarkikal serta kategorikal itu bukanlah satu proses linguistik tetapi proses mental iaitu cara manusia menanggapi alamnya dengan membentuk konstruk mental atau konstruk teoritis tertentu untuk mencipta makna, konsep dan sebagainya. Baginya, semua bangsa lain boleh mempelajari kaedah berbeza-beza itu tetapi keberangkalian adanya bangsa yang menggunakan kaedah tertentu untuk berfikir.
Sebagai contoh, Hassan Ahmad yang tidak bersependapat dengan rakannya yang berbangsa Inggeris mengatakan sistem bahasa Melayu telah menyebabkan bangsa Melayu berfikir meleret-leret, panjang-panjang dan lambat berbanding bahasa Inggeris. Sebagai contoh, perkataan jamak Inggeris atau pluralnya hanya perlu ditambah 's' secara tidak langsung menyebabkan fikiran orang Inggeris lebih cepat daripada orang Melayu. Pandangan ini telah dibidas oleh Hassan Ahmad dengan menyatakan bahawa bahasa inggeris juga terdapat banyak perkataan yang panjang-panjang, misalnya democratisation, politicisation, dehumanization dan banyak lagi.
Selain itu, Hassan Ahmad turut mengulas bahawa dalam bahasa Inggeris juga mempunyai peraturan tatababahasa yang irregular verbs atau irregular past tense yang agak kompleks. Beliau menegaskan adakah sistem peraturan bahasa Inggeris yang kompleks ini dapat merumuskan bahawa orang Inggeris turut berfikiran tak konsisten, kompleks dan juga lambat. Oleh hal yang demikian, beliau tidak bersetuju dengan teori ketentuan linguistik Sapir-Whorf kerana bahasa tidak dapat menentukan fikiran manusia. Beliau berpendapat fikiran manusia tidak boleh diubah, dipercepat, atau dilambatkan dengan mengubah peraturan tatabahasanya dengan peraturan yang dianggap boleh mengubah cara seseorang manusia itu berfikir.
Di samping itu, hipotesis Sapir-Whorf ini turut ditolak oleh sesetengah tokoh bahasa kerana mereka berpendapat peraturan tatabahasa bahasa yang berbeza tidak bererti bahawa fikiran atau makna yang disampaikan juga berbeza-beza sepertimana yang dinyatakan oleh hipotesis Sapir-Whorf iaitu sistem tatabahasa yang berbeza menyebabkan pandangan dunia seseorang itu turut berbeza. Berdasarkan pandangan Harley (1995), perbezaan ini bukanlah satu masalah yang berkaitan kognisi tetapi masalah leksikal sekali gus memperjelas bahawa bahasa ini bukanlah penentu kepada cara pemikiran atau "world view" bagi seseorang itu dalam melihat kehidupannya. Contoh yang lebih jelas bagi menggambarkan pernyataan di atas ialah di dalam bahasa Melayu, terdapat banyak perkataan yang menunjukkan pelbagai "cara mengangkat" barang seperti jinjit, jinjing, usung, kendong, pikul sementara bahasa Inggeris pula tidak mempunyai variasi perkataan seperti kendong, jinjit dan pikul. Walaupun perbezaan perkataan ini berlaku di antara kedua bahasa tersebut tetapi situasi ini tidak bermakna bahasa Inggeris dan bahasa Melayu secara fundamentalnya mempunyai fikiran yang berlainan tentang 'benda' atau 'perbuatan' yang dilambangkan dengan kata-kata yang berbeza itu. Tambahan pula, di dalam bahasa Inggeris juga wujudnya variasi perkataan ini tetapi mungkin berlainan dari segi perkataan seperti slush, sleet dan blizzard untuk menyatakan jenis-jenis salji orang Eskimo. Oleh itu, perbezaan peraturan bahasa dan leksikal tidak menunjukkan bahawa cara berfikir orang Melayu dan orang Inggeris dibatasi oleh peraturan bahasa dan perkataan yang ada dalam bahasa masing-masing kerana keupayaan kognitif sememangnya ada pada semua manusia dan bukannya bergantung kepada bahasa.
KESIMPULAN
Dengan perbincangan penulisan ini secara keseluruhan, kebenaran hipotesis Sapir-Whorf ini sememangnya tidak boleh diterima secara muktamad kerana wujudnya perkara-perkara yang berlawanan dengan teorinya terutama bahasa menjadi kayu ukur bagi pandangan hidup sesebuah bangsa walaupun teori ini diguna pakai oleh sesetengah sarjana yang mempunyai persamaan pendapat bahawa pemikiran dan bahasa adalah satu seperti ahli-ahli behaviorisme iaitu John W.Watson (1924), B. F. Skinner (1957), Vygotsky (1986) dan Gilbert Ryle (1949). Mereka telah mempercayai bahawa pemikiran ialah sejenis 'kelakuan' atau behavior yang dapat dilihat dalam bentuk bahasa sekali gus golongan ini menolak adanya proses mental di dalam diri seseorang manusia itu sendiri. Walaubagaimanapun, hipotesis ini telah disangkal oleh Noam Chomsky iaitu ahli bahasa yang terkenal dengan teorinya berkaitan pengetahuan bahasa yang bersifat asliah. Asliah ini membawa erti otak manusia sudah wujud 'fakulti bahasa' yang membolehkan manusia mengetahui bahasa secara intuitif dan bukannya bahasa itu sendiri yang mewujudkan sifat intuitif manusia. Selain itu, hipotesis ini turut boleh dikatakan dapat menjatuhkan maruah sesuatu bangsa seperti kajian Whorf berkaitan kaum Hopi yang dilabelkan sebagai bangsa yang mundur ataupun bangsa yang tidak bergantung kepada sistem peraturan tatabahasanya. Perkara ini turut diakui oleh Claire Kramsch (1988) yang mengatakan "One can see how a strong version of Whorf's relativity principle could easily lead to prejudice and racism." Pandangan beliau ini secara tidak langsung dapat memperkuatkan lagi andaian bahawa hipotesis ini juga boleh membawa kepada masalah perkauman. Oleh itu, penulisan ini menyimpulkan hipotesis Sapir-Whorf sememangnya mewujudkan satu konsep yang tersendiri dalam bidang sosiolinguistik iaitu pemikiran bergantung pada bahasa tetapi kelemahan-kelemahan hipotesis ini dengan contoh-contoh yang telah diberikan perlulah diteliti agar kefahaman mengenai hubungan timbal balik antara bahasa dan masyarakat ini dapat difahami secara tepat dan jelas.