Assalammualaikum dan Semoga Anda Menghadapi Hari Pelaburan Yang Bagus Para Peniaga, Para Pelabur dan seluruh warga Malaysia yang dihormati Pertama sekali, saya perlu merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada anda yang menyatakan hasrat untuk melanggan dan melawat siaran TV atas talian saya. Saya akan cuba untuk berkongsi pengalaman saya selama 17 tahun dengan seberapa ramai pelabur dan peniaga setakat kemampuan saya. Alhamdulillah, selama 38 tahun sejak 1977, pasaran saham tempatan kita iaitu Bursa Malaysia telah menjana keuntungan sebanyak 1900 peratus yang memberikan lebih kurang 10 peratus pulangan kompaun tahunan dalam masa setahun. Bursa Malaysia membuka pintunya untuk industri pelaburan dan membenarkan ribuan pelabur untuk menjana keuntungan dan mahir dalam bidang perniagaan saham, kewangan, pelaburan dan psikologi. Ini dilakukan melalui perniagaan tidak langsung dalam pengurusan unit amanah atau perniagaan langsung melalui akaun CDS. Dalam konteks ini, saya ingin mendedahkan kelebihan menggunakan proses perniagaan tidak langsung untuk menjana keuntungan dan mengapa 90 peratus peniaga langsung sering mengalami kerugian. Alhamdulillah, sejak tahun kebelakangan ini, jumlah unit amanah yang diluluskan meningkat dengan mantap dan kebanyakannya menjana keuntungan yang berpatutan sejak pasaran saham mengalami peningkatan bermula 2009. Pengurusan dana di Malaysia
terus menjadi segmen pasaran yang menghadapi peningkatan yang amat pantas dengan nilai asset melebihi penanda aras 600 bilion ringgit untuk pertama kalinya bagi mencecah nilai RM630 bilion (+7.1%) pada akhir tahun. Peningkatan nilai dana ini disebabkan oleh peningkatan jumlah saluran untuk pengurusan pelaburan dengan nilai aset bersih bagi industry dana amanah meningkat pada RM354 bilion, nilai yang terbesar dicatat di Asia Tenggara. Jumlah dana amanah sekarang ialah 603 dana dan angka ini masih meningkat. Nilai RM354 bilion ini menyumbang 20% permodalan pasaran dalam Bursa Malaysia. Saya berpendapat unit amanah ialah kaedah pelaburan yang paling popular untuk menjadi jutawan jika pelabur memiliki kesabaran yang tinggi dan mempunyai pelan pelaburan bagi jangka masa sederhana. Jika dipilih dengan lebih teliti, unit amanah menjana keuntungan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelaburan seharian! Unit amanah lazimnya membenarkan pelabur mengalami risiko pelaburan yang lebih rendah kerana ia biasanya dikumpulkan untuk skop pelaburan yang lebih luas yang mana ia membolehkan pelabur mendapat pulangan yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, risiko itu dipelbagaikan dalam skop yang berbeza. Ini memudahkan pelabur mencairkan pelaburan bila-bila masa jika pelabur ingin membeli atau menjual unit amanah mereka. Pengurus unit amanah selalunya dikehendaki untuk membeli balik unit daripada pemegang unit ketika diminta berbuat demikian oleh pemegang unit. Pemegang unit biasanya dibebaskan daripada masa dan bebanan pengurusan yang tinggi melibatkan kajian langsung, pelaburan, pengurusan dan penyimpanan rekod.
Memandangkan pelaburan pemegang unit diuruskan oleh pakar dana amanah yang terlatih, pelabur dana amanah berada pada kedudukan yang lebih baik untuk membuat keputusan pelaburan yang lebih mantap. Unit amanah juga membenarkan pelabur membeli dalam kuantiti yang banyak kerana ia biasanya dijual pada harga yang amat rendah. Bagi pelaburan permulaan minimum sebanyak RM1 atau 50 sen, pemegang unit boleh mendapatkan khidmat pengurus dana professional yang tidak mungkin dinikmati jika dia cuba mendapatkan khidmat professional sendirian yang tidak melibatkan unit amanah. Saya juga percaya pelaburan melalui unit amanah dapat mengelakan perasaan emosi yang tidak menentu akibat pelaburan secara langsung. Kesilapan ini dapat dielakkan jika kita menggunakan khidmat pengurus dana amanah yang mempunyai rekod cemerlang. Pasti kebanyakan pelabur mendengar tentang statistik–90% pelabur akan kehilangan wang dan hanya 10% pelabur sahaja yang boleh hidup dengan pelaburan saham. Sungguhpun begitu, kenyataannya ialah kebanyak pelabur langsung akan kehilangan wang berikut permainan psikologi kawanan dalam pelaburan. Bagi anda (saya akan menggunakan kata ganti “anda” untuk impak pskilogi yang maksimum), yang memilih kaedah pelaburan langsung, izinkan saya menerangkan kesilapan lazim yang dilakukan oleh kebanyakan pelabur langsung dan bagaimana kesilapan ini boleh dielakkan menggunaan khidmat pengurus professional yang mengendalikan dana amanah atau perdagangan proprietari.
#1
TIDAK BERSEDIA DARI SUDUT MENTAL
Perniagaan saham memerlukan anda untuk membuat persediaan. Anda mungkin bersedia dari sudut kewangan tetapi anda juga perlu mempersiapkan minda dan emosi anda. Sebelum anda mula memperdagangkan stok, anda perlu memiliki minda yang betul dan kestabilan emosi. Persiapan mental membolehkan anda membuat keputusan dengan tepat. Persiapan emosi mengelakkan emosi anda mempengaruhi cara pemikiran anda. Aktiviti pelaburan boleh menjadi aktiviti yang mencabar minda kerana ia memerlukan anda mengawasi pelaburan anda secara berterusan. Oleh itu anda perlu sabar dan berdedikasi, Aktiviti pelaburan juga memerlukan anda memiliki sikap yang betul.
Anda perlu berdisplin dan mempunyai sifat kawal diri yang kukuh. Anda perlu menguruskan keterujaan, ketakutan dan sifat tamak anda bagi membolehkan anda membuat keputusan pelaburan yang bijak. Kebanyakan orang gaga dalam bidang ini kerana mereka tidak komited atau mempunyai kawalan diri yang rendah bagi lebih memahami sifat perniagaan ini. Jika anda tidak dapat mengawal diri anda, maka pelaburan saham bukan untuk anda.
#2 TIDAK MELENGKAPKAN DIRI ANDA
DENGAN ILMU
Semua orang pasti bersetuju yang wang ialah topik yang sensitif. Kebanyakan orang menghadapi masalah untuk menyerahkan pengurusan duit hasil titik peluh mereka kepada orang lain. Namun, jika anda berhasrat untuk melaburkan wang anda dan melihatnya meningkat, anda tidak ada pilihan melainkan menyerahkan wang anda untuk mereka yang berpengalaman dalam pelaburan. Perdagangan stok ialah antara kaedah pelaburan popular yang dapat menjana keuntungan untuk pelabur. Ia memerlukan anda membuat keputusan yang bijak bagi mencapai hasil yang anda ingini. Memandangkan wang itu ialah wang anda, anda mempunyai tanggungjawab untuk mengajar diri anda tentang aktiviti pelaburan saham. Anda tidak boleh mengharapkan remisier anda seratus peratus kerana dia mungkin akan menipu anda. Lakukan kajian anda sendiri dan belajar segala apa yang diperlukan tentang saham. Anda perlu melengkapkan diri anda dengan ilmu untuk mengetahui sama ada remisier anda melabur duit anda dalam stok yang bersesuaian.
#3 PENGHARAPAN TERLALU TINGGI
Salah satu kesalahan lazim dalam pelaburan saham ialah mengharapkan pulangan yang sangat tinggi. Penting bagi orang atau pelabur baharu untuk mengelakkan daripada mengharapkan pulangan tinggi dalam jangka masa pendek. Pengharapan yang tinggi akan mengundang kekecewaan kerana anda menunggu hasil yang tidak dicapai dek akal. Anda perlu berfikiran terbuka dan meletakkan pengharapan yang lebih realisitik.
Anda juga perlu faham bahawa jenis pelaburan ini bukan bersifat jangka pendek. Pelaburan saham anda hanya akan mencatat keuntungan jika anda membiarkan ia diniagakan dalam jangka masa tertentu. Jika anda mendapati stok anda mencatat kerugian, anda perlu menunggu hingga tiba masa yang sesuai yang mana saham anda akhirnya menjana keuntungan. Anda perlu ingat yang jika anda tidak mendapat pulangan yang diingini, anda akan patah semangat untuk melabur dalam perdagangan saham. Akibatnya, anda kehilangan peluang untuk melihat wang anda berkembang.
#4 KURANG DISPLIN
Pelaburan saham memerlukan anda mempunyai kawalan diri kerana ia ialah pelaburan yang menuntut dedikasi dan kawalan berterusan anda. Pasaran saham ialah aktiviti perniagaan aktif yang berlaku antara pembeli dan penjual yang mencari pelaburan saham yang terbaik. Oleh itu, anda bersaing dengan mereka yang mahu mencapai apa yang anda ingini. Anda perlu mengawal kehendak hati anda bagi membolehkan anda membuat keputusanbijak.WalaupunandaNampakpeluangyangmembolehkan anda mendapat keuntungan yang lebih tinggi, anda perlu berfikir secara mendalam sebelum anda membuat keputusan itu. Displin penting dalam memperdagangkan saham anda. Jika anda kurang berdisplin, ia akan menjejaskan peluang anda untuk membeli saham yang terbaik. Ketakutan dan ketamakan anda juga mengelakkan anda daripada membuat pelaburan yang betul. Sifat negatif ini akan mengaburi pertimbangan anda. Sifat ini juga mengekang keuntungan yang bakal anda peroleh daripada pelaburan anda.
#5 GAGAL UNTUK MEMAHAMI
Maklumat ialah perkara penting dalam pelaburan saham. Walau bagaimana pun, maklumat sahaja tidak mencukupi untuk mendidik anda. Penting bagi anda memahami maklumat tersebut. Jika anda memahami proses pelaburan saham secara keseluruhan, anda tidak lagi berada dalam kegelapan. Memandangkan wang anda sendiri terlibat dalam pelaburan saham, penting bagi anda memahami mekanisma proses tersebut. Ia juga membantu anda mengetahui bagaimana untuk mendapat pulangan daripada aktiviti pelaburan anda. Jika anda gagal memahami proses pelaburan saham, ada beberapa kesan negatif yang perlu anda tahu. Anda akan mendapati anda memilih jenis stok yang tidak bersesuaian. Akibatnya, pelaburan anda mencatat kerugian. Anda juga sukar membuat keputusan yang tepat. Ini menyebabkan anda membuat andaian yang salah. Akhirnya, anda terpilih saham yang semakin menurun. Inimenyebabkan anda kehilangan peluang untuk menjana keuntungan yang lebih besar. Jika dilihat pada kesan-kesan negatifnya, anda seharusnya bekerja keras untuk memahami asas pelaburan saham.
#6 GAGAL UNTUK MERANCANG
Perancangan yang teliti penting jika ianya melibatkan pelaburan saham anda. Seperti juga meneroka peluang perniagaan yang lain, pelaburan saham menuntut anda membuat pelan induk. Jika dilihat pada pasaran saham yang sengit dan persekitaran yang kompetitif, anda perlu belajar membuat pelan pelaburan. Ini membolehkan anda mengetahui ke mana arah tujuan anda dan bagaimana anda akan mendapat hasil yang diinginkan. Pelan anda akan menjadi panduan anda menempuhi pasaran kewangan. Jika anda meluangkan masa untuk memikirkan tentang strategi kewangan anda, anda akan mengelakkan diri anda daripada mengalami kerugian besar. Penting untuk mempunyai pelan dan strategi sebelum anda menceburi industry pelaburan saham kerana pelan dan strategi ini menjadi peta kejayaan anda. Apabila anda berasa ragu-ragu, anda boleh merujuk pada pelan strategi anda bagi memastikan anda berada di landasan yang betul.
#7 MELABUR WANG ANDA DENGAN PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Pelaburan saham bukan untuk semua orang. Ia memerlukan pengalaman dan teknik untuk Berjaya. Oleh itu, anda perlu memastikan anda melabur wang anda dengan pihak yang benar. Anda bertanggungjawab sebagai seorang pelabur untuk mengenali siapa yang mengendalikan wang anda. Anda ada hak dan tanggungjawab untuk tahu sama ada remisier anda ialah orang yang boleh dipercayai. Kesalahan lazim yang dilakukan oleh pelabur ialah mempertaruhkan wang dengan individu yang tidak bertanggungjawab. Pelabur gagal untuk mempelajari latar belakang, pengalaman dan sejarah remisier mereka. Akibatnya, mereka kehilangan hampir kesemua wang pelaburan mereka yang sepatutnya memberikan pulangan keuntungan yang lumayan.Jika anda baharu mula melabur dalam perniagaan saham, anda perlu ingat yang kajian wajib dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan. Ini mengelakkan anda mempercayai sembarangan orang. Tindakan ini juga membuatkan anda lebih berhati-hati dalam pelaburan wang anda dengan menggunakan khidmat remisier yang jujur dan bertanggungjawab.
#8 DIPAKSA UNTUK MEMBUAT PELABURAN
Seperti yang diperkatakan sebelum ini, pelaburan saham bukan untuk semua orang. Aktiviti ini memerlukan pelabur membuat persiapan dari sudut mental, emosi dan fizikal. Jika anda mencari pilihan pelaburan yang mendatangkan keuntungan, pelaburan saham boleh menjadi salah satu pilihan anda. Tetapi, jika anda bercadang untuk melabur wang anda menggunakan kaedah pelaburan saham, anda perlu memastikan yang anda tidak dipaksa oleh sesiapa. Ahli keluarga, kawan atau rakan sekerja tidak sepatutnya mempengaruhi keputusan anda untuk melabur dalam bidang saham ini. Anda perlu menyedari hakikat betapa pentingnya untuk mengelak diri anda daripada dipaksa untuk melabur dalam saham supaya anda tidak terjebak dalam kesan negatif yang terhasil daripada keputusan yang dibuat di luar kerelaann anda.Tindakan ini juga melindungi anda daripada menyalahi orang lain jika anda mengalami kerugian. Anda mempunyai hak untuk menentukan apa yang perlu dilakukan dengan wang anda sendiri. Anda tidak perlu mengikut rentak orang lain.
#9 KEGAGALAN MENCARI INDIVIDU YANG
SESUAI UNTUK SKOP TUGASAN ITU
Tidak dapat dinafikan pencarian remisier yang sesuai untuk mengendalikan wang anda dan membuat pelaburan bagi pihak anda ialah tugasan yang mencabar, Ramai broker saham yang menawarkan khidmat mereka tetapi tidak semua antara mereka yang cekap mengendalikan portfolio yang besar. Ada broker yang kekurangan pengalaman dan ini menyebabkan pelanggan mereka kerugian. Anda mempunyai tanggungjawab sebagai seorang pelabur untuk menganalisis kemahiran dan kemampuan bakal pengurus dana anda bagi memastikan wang anda berada di pihak yang sesuai. Kegagalan mendapatkan broker saham yang bersesuai untuk memperdagangkan stok bagi pihak anda boleh menyebabkan anda mengalami kerugian besar. Jika anda meletakkan wang anda di tangan mereka yang tidak cekap dan tidak bertanggungjawab, risiko kerugian anda menjadi lebih tinggi. Selalunya, broker yang tidak berpengalaman gagal mengendalikan portfolio pelanggan mereka dengan baik. Mereka mungkin tidak mempunyai displin yang mencukupi untuk mengendalikan pasaran saham atau mereka sebenarnya baru sahaja berjinak-jinak dengan proses pelaburan saham.
#10 TERLALU MENARUH KEPERCAYAAN KEPADA BROKER
Satu lagi kesalahan yang sering berlaku dalam pelaburan saham ialah terlalu bergantung pada kemampuan broker saham anda. Sesetengah pelabur tidak memantau pelaburan mereka kerana terlalu mempercayai broker mereka. Kesimpulannya, pelabur-pelabur ini kehilangan wang atau mereka menjadi mangsa penipuan. Mereka gagal menyemak pelaburan mereka untuk jangka masa yang tetap. Oleh itu, mereka tidak mendapat jumlah wang dan keuntungan yang diingini. Anda mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat dan menyemak pelaburan anda secara tetap. Anda perlu mengawasi pergerakan dana anda untuk mengetahui kedudukan anda. Elakkan daripada mempercayai peniaga atau broker anda kerana kemungkinan besar dia akan menipu anda. Anda perlu sedar akan setiap pergerakan transaksi wang anda untuk memastikan mereka melakukan kerja mereka. Cara ini akan menjamin peluang untuk anda mendapat keuntungan.
#11 MELETAKKAN SEMUA WANG PELABURAN ANDA DALAM PORTFOLIO YANG SAMA.
Meletakkan semua wang anda dalam portfolio yang sama atau bak kata pepatah sambil menyelam minum air tidak praktikal untuk aktiviti perniagaan sebegini kerana anda akan menanggung kos yang sangat tinggi. Memandangkan pelaburan saham ialah salah satu jenis pelaburan, penting bagi anda untuk meletakkan hanya sebahagian kecil daripada wang anda untuk perdagangan sebegini. Ini ialah kerana rentak aktiviti perdagangan ini tidak menentu. Ia bergantung pada trend ekonomi semasa, oleh itu, wang anda akan terjejas secara langsung. Penting bagi anda mempelbagaikan pelaburan anda untuk meminimumkan kerugian wang anda. Keputusan anda untuk meletakkan kesemua wang anda bagi tujuan pelaburan saham bukan keputusan yang baik kerana ia membahayakan peluang anda untuk memaksimumkan keuntungan anda pada masa hadapan. Jika pasaran saham menurun atau jika harga saham menjunam jatuh, anda mungkin akan kehilangan segala yang anda miliki.
#12 SERING MEMBUAT ANDAIAN
Perniagaan saham memerlukan anda membuat keputusan berkala. Sebelum anda membuat keputusan, anda perlu memastikan anda sudah melakukan kajian anda. Anda perlu mempelajari setiap perkara sebelum membuat keputusan mutakhir. Oleh itu, andaian tidak memberi jaminan yang kukuh. Jika anda melihat harga saham yang rendah, elakkan membuat andaian saham itu berbaloi untuk dibeli. Ingat, harga saham yang rendah tidak menjamin pelaburan anda itu berbaloi. Jika anda menjumpai saham syarikat yang bernilai lebih rendah daripada pesaing-pesaingnya, pastikan anda mengetahui tentang syarikat itu sebelum membuat pelaburan. Cuba amati portfolio syarkat itu sebelum bercadang untukmembeli saham syarikat itu. Semak keuntungan mereka dan sejarah pendapatan mereka berserta kedudukan terkini mereka dalam pasaran. Tentunya saham-saham itu dinilai pada harga sedemikian
#13 MENGEJAR PELABURAN
Dalam perdagangan saham, broker dan pedagang cenderung untuk menjejak saham yang bergerak pantas. Sama ada nilai saham itu menaik atau menurun, mereka akan mengejar pergerakan saham itu tanpa henti. Perasaan membeli dan menjual saham pada saat akhir mungkin nampak menarik bagi sesetengah broker. Tetapi, amalan ini merupakan kesalahan lazim dalam perdagangan saham. Ada yang berasa teruja setiap kali mereka melihat saham-saham tertentu meningkat dengan mendadak. Apa yang menjadi masalah dengan mentaliti sebegini ialah broker yang berpengalaman akan bertembung dengan pelabur baru. Akhirnya, kedua-dua mereka akan terlepas peluang membeli saham tersebut. Jika anda berada dalam situasi yang mana anda terlepas peluang untuk membeli saham yang diingini, anda perlu membiarkan peluang itu pergi. Lebih baik bagi anda menunggu prospek pembelian saham yang lain.
#14 DENGAR TIP DARI ORANG LAIN
Ada kalanya pelabur atau pedagang saham tertipu kerana mengikut tip orang lain. Lazimnya, mereka yang tidak berpengalaman menjadi mangsa tip atau petunjuk yang tidak boleh dipercayai. Mereka ini terdesak dan sanggung mempercayai apa sahaja dan ini membuatkan mereka terjerat dengan individu yang mengambil kesempatan atas mereka. Perkara ini juga membawa pada pertimbangan dan keputusan yang tidak bagus. Elakkan mempercayai orang lain melainkan sumber anda itu boleh dipercayai. Individu-individu sedemikian pakar memujuk orang lain supaya mengikut rentak mereka. Namun, jangan dengar pendapat mereka melainkan anda sudah lama mengenali mereka dan boleh dipercayai. Ingat, mereka yang mempunyai kepentingan tidak akan berkongsi maklumat dengan orang lain. Mungkin anda sukar untuk menerima situasi ini tetapi kebanyakan pelabur dan broker yang berjaya selalunya berpandukan pertimbangan mereka sendiri.
#15 GAGAL UNTUK MENDAPATKAN
KEUNTUNGAN ANDA DALAM BENTUK TUNAI
Sekiranya anda semakin mahir dalam pelaburan saham, akan tiba masanya anda mendapat keuntungan. Anda ada pilihan untuk mencairkan keuntungan anda dalam bentuk tunai atau membiarkan keuntungan itu terikat dengan saham anda untuk jangka masa tertentu. Namun, ada pedagang saham yang memilih untuk meletakkan keuntungan mereka dalam saham tersebut untuk jangka masa yang lama. Mereka menjadi terlalu yakin kerana mereka sudah merasai perasaan apabila mendapat keuntungan yang lebih besar. Apa yang menyedihkan ialah amalan ini akan menimbulkan beberapa masalah untuk pelabur dan juga broker saham. Kegagalan untuk menukar keuntungan anda dalam bentuk tunai akan menyebabkan anda menyesal dengan keputusan anda itu. Ada masanya anda perlu mengeluarkan keuntungan anda supaya anda dapat menikmati hasil kerja anda. Jika anda rasa anda sudah berada di puncak, masanya sudah tiba untuk mendapatkan keuntungan anda itu. Ingat, lebih baik untuk menjual pada harga yang tinggi dan menguntungkan daripada menjual saham pada saat-saat akhir.
#16 GAGAL UNTUK MENGURANGKAN KERUGIAN
Pasaran saham selalunya tidak menentu kerana ia terlalu bergantuk pada permintaan dan penawaran dan juga status ekonomi. Hasilnya ada juga saham-saham yang menunjukkan penurunan nilai. Walaupun pasaran saham mengalami peningkatan dan penurunan, ada juga saham-saham yang ketinggalan. Saham sebegini perlu dijual kembali. Memandangkan anda melibatkan diri dalam pasaran saham untuk menjana keuntungan, anda perlu menjual saham-saham yang mencatatkan kerugian. Walaupun ada harga saham yang semakin menurun, masih ada broker yang masih berpegang pada saham-saham ini. Mereka lupa yang mereka sepatutnya melabur dalam saham yang menguntungkan. Broker saham ini membiarkan perasaan mereka menguasai mereka. Oleh itu, pertimbangan mereka dikaburi oleh perasaan mereka sendiri. Mereka terlalu obses dengan saham-saham ini. Akhirnya, mereka hilang matlamat dan perspektif mereka.
#17 MELABUR DALAM SAHAM-SAHAM
MENJANGKAUI KEMAMPUAN ANDA
Sesetengah pelabur dan pedagang saham menjadi terlalu yakin bila mereka menguasai proses perniagaan saham itu. Mereka terlalu selesa dengan kemahiran mereka memperdagangkan saham dan mereka gagal berfikir dengan bijak Salah satu contoh ialah apabila pelabur atau pedagang saham yang biasa menguruskan sehingga maksimum 500 jenis saham sudah mula menikmati keuntungan daripada saham sedia ada. Mereka cenderung untuk menjadi tamak dan menambah pelaburan mereka dua kali ganda. Senario ini nampak biasa tetapi ia mempunyai kesan yang membahayakan atas keseluruhan pelaburan saham anda. Anda mungkin mempertaruhkan risiko yang lebih tinggi, menjangkaui kemampuan anda. Akitiviti memperdagangkan saham tidak mudah dikuasai, maka anda perlu mengukur kemampuan anda sebagai broker. Anda perlu berfikir dengan lebih teliti sebelum anda membeli lebih banyak stok.
#18 TIDAK MENGENDAHKAN PETUNJUK
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pasaran saham sentiasa berada dalam keadaan yang tidak menentu. Tetapi, ada beberapa petanda atau petunjuk yang boleh membantu pelabur memilih mana satu saham untuk dibeli. Apabila anda semakin bergerak cergas dalam perdagangan saham, persaingan yang begitu sengit akan mencabar kemampuan anda. Anda akan menjadi terlalu fokus terhadap keinginan anda untuk mendapatkan lebih banyak wang dan anda terlepas peluang untuk membeli stok yang diingini. Selain daripada kajian anda sendiri, anda boleh mencari petunjuk di sebalik perubahan harga saham atau reaksi saham terhadap pergerakan ekonomi yang paling minimum. Lebih baik anda berpandukan maklumat terbaharu yang ada dengan anda. Namun, anda juga boleh menggunakan data ini untuk mentafsir pergerakan saham. Semak jika saham-saham ini semakin menurun nilainya atau mereka ada potensi untuk berkembang. Teknik ini membantu anda membuat keputusan yang bijak.
#19 TIDAK MEMPEDULIKAN TENTANG PASARAN
Praktis ialah kunci untuk menguasai perdagangan saham. Anda boleh bermula daripada bawah tetapi anda boleh mencatat kejayaan sebagai broker saham jika anda mengamalkan kemahiran yang perlu ada dalam perdagangan saham. Salah satu kemahiran ini ialah menganalisis pasaran. Memandangkan ekonomi banyak mempengaruhi pasaran saham, anda perlu prihatin terhadap setiap perubahan. Jika anda memantau trend pasaran, anda boleh menjadi pedagang yang lebih baik kerana ini membolehkan anda mengagak apa akan berlaku seterusnya. Pasaran memberikan anda gambaran keseluruhan tentang apa yang berlaku dan apa yang akan berlaku. Anda boleh membaca berita atau mengikuti trend untuk mengganggarkan bagaimana berita itu membawa kesan ke atas harga saham anda. Maklumat ini juga memberitahu anda jika masanya sesuai untuk anda membeli atau menjual saham tertentu. Namun, anda perlu ingat yang sumber maklumat anda itu boleh dipercayai. Ini mengelakkan anda mendapat maklumat yang salah.
#20 GAGAL MENYIMPAN REKOD
Penting bagi anda melihat saham anda sebagai pelaburan dan peluang perniagaan. Oleh itu, seperti peluang perniagaan yang lain, lebih baik anda menyimpan rekod untuk setiap aktiviti perdagangan anda. Amalan ini membolehkan anda menjadi objektif. Memandangkan perdagangan saham cenderung untuk mempengaruhi perasaan anda, anda mungkin berhadapan dengan tekanan emosi. Tetapi, anda boleh menyemak rekod anda untuk melegakan perasaan anda Apabila anda menyimpan rekod yang terperinci, anda akan belajar daripada kesilapan anda. Rekod anda membolehkan anda menyemak setiap pergerakan pelaburan anda. Ia juga membolehkan anda mempelajari dan menganalisis apa yang anda telah lakukan untuk memperbaiki transaksi dan perdagangan anda pada masa akan datang. Rekod anda akan memandu anda ke arah yang lebih baik bagi mencapai objektif anda. Oleh itu, anda dapat memaksimumkan peluang anda untuk menjana lebih banyak keuntungan.
Alhamdulillah, dengan memberikan anda senarai yang terperinci di atas, saya dengan rendah hatinya berharap semua rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menjadi broker supaya bijak bermain dalam permainan saham ini. Kemahiran menguruskan perasaan dalam perdagangan saham memang menarik walau nampak sukar tetapi boleh dikuasai. Ianya berpandukan pada kegigihan dan komitmen kita dalam menguasai kemahiran tersebut. Pilih pelaburan secara langsung jika anda AGRESIF dan BERJIWA KENTAL dan pilih pelaburan unit amanah jika anda KONSERVATIF dan masih BAHARU dalam pasaran. Akhir sekali, dalam pasaran yang menyaksikan nilai ringgit yang menurun akibat pelaksanaan GST, penurunan harga minyak dan peningkatan kos hidup, saya harap kita akan bersiap sedia menghadapi enam bulan akan datang dalam 2015. BittaufiqWalHidayah. SELAMAT MAJU JAYA. Dato’ Dr Nazri Khan Presiden, Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia/ Malaysian Association of Technical Analysts (MATA) Naib Presiden, Ketua Kajian Peruncitan Affin Hwang Investment Bank
Follow us at
www.nazrikhan.com
facebook.com/mohdnazrikhan