BEG PLASTIK
Tahukah anda apakah jenis sisa pepejal yang paling banyak dibuang setiap hari? Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Nadzri Yahaya, rakyat Malaysia menghasilkan lebih 19,000 tan sisa pepejal setiap tahun dan 24 peratus daripada jumlah itu adalah plastik. Dianggarkan seorang individu menggunakan hampir 8 beg plastik seminggu. Mengapa persoalan plastik yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak ini boleh dianggap sebagai ancaman kepada alam sekitar? Ini kerana, bagaikan menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita yang tetap mahukan beg plastik walaupun hanya membeli satu barang sahaja. Seperti yang kita ketahui, plastik mengambil masa kira-kira 100 hingga 500 tahun untuk dilupuskan secara semulajadi. Oleh itu, usaha pihak-pihak tertentu seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah melancarkan Hari Tanpa Beg Plastik (HTBP) amat dialu-alukan. Di Selangor, HTBP dilangsungkan pada hari Sabtu, manakala di Pulau Pinang ia dilangsungkan selama tiga hari iaitu Isnin, Selasa dan Rabu. Di negeri lain juga mungkin ada menganjurkan kempen seumpama ini, tetapi tidaklah dikenali dengan nama tersebut. Sebenarnya, kempen mengurangkan penggunaan plastik seperti program 3R iaitu “Reduce, reuse, recycle” sudah lama diadakan tetapi kurang mendapat sambutan. Justeru itu, kempen HTBP ini amat memerlukan sokongan masyarakat. Kempen ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pemuliharaan alam sekitar dan menyeru masyarakat untuk turut serta membantu usaha murni kerajaan dalam meningkatkan kualiti alam sekitar. Tanpa kerjasama pengguna, program ini tidak akan ke mana. Peranan utama bagi menjayakan program ini sudah tentu terletak di atas bahu pihak yang bertanggungjawab menyediakan beg plastik iaitu pusat membeli-belah termasuk pasaraya besar.
Sehubungan itu, pengguna digalakkan membawa beg sendiri kerana beg plastik tidak akan dibekalkan kepada pengguna di kedai atau pasaraya yang mengambil bahagian dalam kempen ini. Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak membawa beg sendiri, mereka diberikan pilihan untuk membeli setiap beg plastik dengan harga serendah 20 sen. Walaupun bayaran yang dikenakan adalah untuk disalurkan kepada kebajikan, ia sedikit sebanyak menjejaskan matlamat kempen HTBP. Ini kerana pengguna masih diberi pilihan menggunakannya seperti biasa pada hari kempen berlangsung. Ini hanya menampakkan kempen HTBP ini sekadar melepaskan batu di tangga. Apalah ertinya jika 'tangan kanan' tidak memberi beg plastik tetapi 'tangan kiri' pula menjualnya. Sedikit ketidakadilan (atau boleh dikatakan penipuan) juga boleh terjadi dalam situasi ini. Misalnya, katakanlah, seorang pengguna dari negeri lain (contohnya, Kelantan) datang membeli-belah di Selangor pada hari Sabtu, mereka akhirnya terpaksa membayar untuk beg plastik bagi membawa barang-barang yang telah dibeli sedangkan dia tidak tahu menahu langsung mengenai kempen tersebut. Persoalan juga timbul apabila beg yang dijual adalah beg plastik, bukankah lebih elok sekiranya penjualan beg plastik digantikan dengan penjualan beg kertas yang lebih ‘mesra alam’? Di Jepun contohnya, penggunaan beg kertas bukan sesuatu yang luar biasa. Kesimpulannya,
bersamalah
kita
renung-renungkan
sejauh
manakah
keberkesanan kempen ini. Kita tidak mahu kempen ini akhirnya menjadi ‘suamsuam kuku’ seperti kempen ‘Tak Nak Merokok’ di mana jumlah perokok tetap meningkat walaupun harga rokok meningkat saban tahun. Bahkan terdapat pula pusat membeli-belah yang menyediakan tempat khas untuk perokok. Bersamalah kita renung-renung dan fikir-fikirkan tentang kempen-kempen sebegini.
Disediakan Oleh : FARIZA BINTI HAKIM ( SMK JINJANG )