IFTA : FATWA
KANDUNGAN
PERKARA
MUKASURAT
1.
Pengenalan
1
2.
Bab 1: Definisi
2-3
3.
Bab 2: Kedudukan Fatwa dalam Perundangan Islam
4-5
4.
Bab 3: Syarat Mufti
6-7
5.
Bab 4: Penggunaan Fatwa
8- 9
6.
Bab 5: Fatwa Bukan Mujtahid
10 -11
6.
Bab 6: Isu Hubungan Fatwa-Mazhab
12 -15
7.
Kesimpulan
15-16
8.
Rujukan
17
0
Pengenalan Perkembangan masa mencetuskan pelbagai isu dan permasalahan yang sebelum ini tidak wujud. Apabila muncul permasalahan fiqh atau hukum, maka masyarakat awam akan memohon petunjuk dari golongan yang memiliki keupayaan agar memberikan jalan dan hukum. Islam yang bersifat syumul dan sesuai sepanjang zaman memiliki jawapan bagi pengamalan di seluruh tempat, bangsa, masa mahupun keperluan. …
..
Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu sebagai agama bagimu. (al-Maidah, 5 : 3)
Keperluan bagi mendapatkan pandangan dan hukum ini yang menatijahkan tertubuhnya institusi fatwa dan mekanismenya. Institusi utama dan dianggap tertua untuk menjawab keperluaan masyarakat ini adalah institusi fatwa. Ianya disandarkan kepada Rasulullah yang mengeluarkan hukum dan petunjuk bagi permasalahan para sahabat. Dari 'Uqbah bin 'Amir r.a., katanya: "Saudara saya yang perempuan bernazar akan pergi berjalan kaki ke Baitullah dan disuruhnya saya minta fatwa kepada Nabi saw, lalu saya minta fatwa dari baginda. Sabdanya, "Berjalanlah dan berkenderaanlah!" (Sahih Bukhari, 0907)
Ianya kemudiannya dikembang dan diperkemaskan. Institusi fatwa berlegar di ruang konsep ijtihad. Ijtihad merupakan disiplin Usul Fiqh, suatu ilmu yang mempelajari dasar, metod, pendekatan dan teori yang digunakan dalam memahami ajaran Islam. Dari 'Amru bin 'Ash r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Apabila seorang hakim memutuskan suatu perkara dengan ijtihadnya, dan ijtihadnya itu ternyata betul, maka dia mendapat pahala ganda. Dan apabila ijtihadnya itu salah, maka dia mendapat pahala satu" (Sahih Muslim, 1698)
1
BAB 1
Definisi Fatwa, Mufti, Mustafti Fatwa ( )ﻓﺘﻮىatau ﻓﺘﻴﺎ
adalah dari bahasa Arab yang boleh membawa dua maksud :
1. Perbuatan menerangkan hukum 2. Hukum yang diterangkan
Perbuatan menerangkan hukum Fatwa dari segi bahasa bermaksud perbuatan menerangkan hukum, permasalahan atau memberi jawapan terhadap sesuatu kemusykilan. Fatwa dari segi istilah ialah menerangkan hukum syara’ atau memaklumkan hukum syara’ berpandukan kitab alQuran, Sunnah, Ijma’ dan qiyas. Ia membawa maksud menjawab permasalahanpermasalahan (soalan) syara’ atau perundangan yang menimbulkan masalah dalam menyelesaikannya kepada seseorang atau masyarakat. Ibn Manzur (dalam Othman Ishak, 1981: 10) menerangkan bahawa fatwa ialah satu perbuatan yang dilakukan oleh mufti mengenai sesuatu hukum atau satu keputusan hukum yang dikeluarkan oleh faqih. Fatwa dari sudut ini difahami sebagai perbuatan menerangkan hukum.
Hukum yang diterangkan Fatwa menurut Mu’jam Lughah al-Fuqaha (dalam Basri Ibrahim, 2011) bermaksud hukum syara’ yang dijelaskan oleh seseorang yang alim dalam fiqh sebagai jawapan kepada orang yang bertanya tentang perkara tersebut. D.G MacDonald, 1927 (dalam Othman Ishak, 1981 : 10) pula ialah pandangan hukum rasmi yang dikeluarkan oleh mufti atau fuqaha bagi menjawab persoalan yang ditanyakan kepadanya samada oleh hakim atau individu. Fatwa dari sudut ini difahami sebagai hukum yang diterangkan.
Mufti dari segibahasa ialah kata nama pembuat (isim fa’il) iaitu pengeluar fatwa. Muftidari segi istilah pula bermaksud ahli ilmu (faqih) yang mengeluarkan fatwa atau menerangkan fatwa. al-Sarafi (dalam Abdul Samat Musa et, 2006: 12) menyatakan bahawa mufti ialah “Nama yang digunakan bagi peribadi yang menerangkan urusan agama orang ramai dan mengetahui ilmu-ilmu umum dan khusus al-Quran, nasikh mansukh dan juga sunnah serta
2
mengetahui tentang kaedah istinbat (mengeluarkan hukum)”. Kamus Dewan mendefinisikan fatwa sebagai keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas al-Quran, hadith dan sumber hukum lain termasuk ijtihad oleh mufti. Dipercayai jawatan mufti secara rasmi diperkenalkan semasa zaman pemerintahan Umar abdul Aziz
Mustafti bermaksud individu yang meminta hukum syara’. Basri Ibrahim (2011) menerangkan bahawa mustafti ialah pihak yang bertanyakan sesuatu masalah kepada mufti.
Perbuatan menanyakan hukum, masalah kepada mufti (faqih) adalah adat lumrah. AlQuran turut mencatatkan perbuatan ini apabila Rasulullah ditanyakan tentang satu permasalahan. Ayat di bawah ini menerangkan hukum tentang persoalan tersebut sekaligus menerangkan kedudukan fatwa, mufti dan mustafti.
Mereka meminta fatwa kepadamu kalalah. Katakanlah: " jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, Maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, Maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) Saudara-saudara laki dan perempuan, Maka bahagian seorang saudara laki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan kepadamu, supaya kamu tidak sesat. dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu. (an-Nisa, 4 : 176)
3
BAB 2
Kedudukan Fatwa dalam Perundangan Islam
Keperluan masyarakat terkini perlu ditangani demi memastikan umat Islam dapat melaksanakan aktivitinya berlandaskan hukum syara’ yang menepati kaedah hukum yang sebenar berdasarkan kesesuaian semasa. Dalil dan nas yang jelas mengenai hukum sedia ada masih perlu ditekuni dengan sedalam-dalamnya bagi merungkai permasalahan terkini yang belum wujud sebelum ini. Jawapan dan hukum yang diperlukan sedikit sebanyak dijawab dengan fatwa. Namun dimanakah kedudukan fatwa dalam perundangan Islam?
Kadi (Qadhi) adalah individu yang melaksanakanperundangan Islam. Rujukan, hukuman dan persoalan adalah dirujuk kepada kadi bagi membuat keputusan. Kadi yang pertama menurut sirah dilantik oleh Saidina Umar al-Khatab selaku khalifah kedua seiring keperluan umat dan jajahan Islam yang berkembang dan sukar dirujuk ke pusat pentadbiran di Madinah. Malah sebelum itu Rasulullah sendiri mengakui kebijaksanaan Muaz bin Jabal dalam kehakiman dan perundangan (halal dan haram) agar beliau menghukum dengan tertib dan bijak selaku gabenor atau wakil jajahan.
Fatwa adalah hasil ijtihad. Peringkat awal, Rasulullah dirujuk dalam semua hal dalam fatwa di mana Rasulullah menunggu jawapan wahyu ataupun pendapat sendiri. Hadith dan fatwa ini sebahagian dihafal dan sebahagian ditulis. Setelah kewafatan Rasulullah, fatwa atau ijtihad dilakukan oleh para sahabat yang menghafal fatwa Rasulullah, menghafal hadith, menghafal alQuran dan memiliki kebijaksanaan akal fikiran. Para sahabat juga mencari persamaan dan maksud hukum yang terdekat bagi membuat fatwa yang baru.
Namun terdapat juga masalah yang difatwakan berbeza dengan fatwa Rasulullah dan nas yang jelas seperti fatwa (ijtihad) Saidina Umar al-Khatab mengenai tanah tawanan hasil perang yang dikenakan cukai berbanding pengagihan yang ditetapkan atas ijtihad beliau yang memikirkan kemaslahatan.
4
Para ulama usul fiqh bersepakat menerima fatwa para sahabat sebagai satu sumber hukum Islam. Namun perbezaan wujud pada kedudukan dan autoritinya. Mazhab utama kesemuanya menerima fatwa sahabat sebagai sumber perundangan. Berikut kedudukan autoriti fatwa sahabat di kalangan mazhab utama :
Kedua : Imam Hambali
-selepas Nas (al-Quran dan Hadith)
Fatwa sahabat yang tidak bercanggah dengan fatwa sahabat yang lain (kedua) Fatwa sahabat yang bercanggah dengan fatwa sahabat yang lain (ketiga)
Ketiga : Imam Syafi’i
-selepas Nas (al-Quran dan Hadith) dan Ijma’
Fatwa sahabat yang tidak bercanggah dengan fatwa sahabat yang lain (ketiga) Fatwa sahabat yang bercanggah dengan fatwa sahabat yang lain (keempat)
Ketiga : Imam Malik
-selepas al-Quran dan Hadith
Ketiga : Imam Hanafi
-selepas al-Quran dan Hadith
Fatwa sahabat yang hampir dengan pandangannya (terpilih)
Imam Ghazali mensyaratkan fatwa sahabat mestilah disandarkan kepada Rasulullah untuk diterima dan dijadikan hujah. Jika tidak, ia ditolak. al-Amidi menyatakan bahawa fatwa sahabat tidak boleh membatalkan fatwa sahabat yang lain kerana kedua-duanya telah melalui penelitian dan kesungguhan. Perbezaan kedudukan fatwa sahabat berbanding fatwa selepas sahabat masih diperselisihkan. Satu pandangan melihat fatwa sahabat memiliki kekuatan berbanding fatwa tabiin dan terkemudian jika ia melalui proses qiyas. Pandangan yang lain adalah ia tidak terpakai kepada orang yang terkemudian.
Kedudukan fatwa kepada golongan mujtahid ialah para mujtahid bebas mengikut fatwa sedia ada atau mengikut fatwa (ijtihad) tersendiri. Namun, orang awam wajiblah berpegang kepada fatwa para mufti.
5
BAB 3 Syarat Mufti Al-Shaukani dalam Irsyad al-Fuhuldalam al-Qasimi, 1986 (dalam Hasnan Kasan, 2008:49) berkata Mufti perlu memiliki 3 syarat :
Ijtihad
Adil
Tidak mempermudahkan atau memperingankan dalam hukum
Imam Abu Ishak al-Syairazi (dalam Hasnan Kasan, 2008:49) menjelaskan syarat mufti :
Pengetahuan akan ayat ahkam dalam al-Quran
Pengetahuan akan hadith-hadith hukum
Pengetahuan akan metode memahami al-Quran dan Hadith o Hakikat dan Majaz
Am dan Khas
o Mujmal dan Mufassal
Mutlaq dan Muqayyad
o Mantuq dan Mafhum
Bahasa Arab
o Nasikh dan Mansukh
Ijma’ dan perbezaan pendapat
o ‘Illah
Tarjih
o Amanah o Tidak mempermudahkan atau memperingankan dalam hukum
Imam Ahmad (dalam Hasnan Kasan, 2008:51) menyatakan mufti perlu memiliki lima ciri :
Niat yang tepat untuk mencari redha Allah -Fatwa dikeluarkan bukan untuk pangkat atau takut pada pemerintah
Ilmu dan bersikap lemah-lembut, berhati-hati dan tenang -Ilmu diperlukan dalam mengeluarkan fatwa seiring dengan sikap yang diperlukan
Sifat teguh dan mantap -Berpegang teguh dengan apa yang difatwakan dan tidak dipengaruhi persekitaran
Kekuatan berdikari sara diri -kemampuan berdikari menjadikan mufti dihormati dan berwibawa
Pengetahuan tentang keadaan dan realiti semasa -Fatwa tepat dengan keadaan dan tidak membawa kerosakan dan kesukaran
6
Yusuf Qardhawi (1988) dan Ahmad Ibrahim (1965) turut menekankan akan kepentingan memahami realiti semasa bagi para mufti agar fatwa yang diberi berpijak di bumi nyata dan disamping memelihara batasan dan ruang. Yusuf Qardhawi (dalam Basri Ibrahmi, 2011) menyenaraikan syarat-syarat mufti seperti berikut :
Alim dan berwibawa -kewibawaannya tidak dapat dipertikaikan
Baligh adalah bukan syarat -kanak-kanak yang berakal juga boleh mengeluarkan fatwa
Berakal -Orang gila dan kanak-kanak tidak berakal tidak boleh mengeluarkan fatwa
Adil -keadilan menjadikan dia pusat rujukan dan tidak ditolak
Merdeka adalah bukan syarat -Hamba boleh mengeluarkan fatwa jika mampu
Lelaki adalah bukan syarat -Lelaki bukan syarat kerana wanita yang mampu juga boleh berfatwa (Saidatina Aisyah)
Pengetahuan akan Al-Quran
Bahasa Arab
Pengetahuan Usul Fiqh dan teknik istinbat
Pengetahuan tentang keadaan dan realiti semasa
Pengetahuan tentang Hadith -mampu menentukan hadith yang sahih dan yang cacat, sanad dan riwayat
Pengetahuan tentang sejarah, sunnatullah dan masyarakat
Jelasnya, mufti perlulah memiliki keupayaan dan kemahiran ilmu yang diperlukan bagi mengeluarkan hukum. Syarat mufti sepertimana syarat para mujtahid yang telah dibincangkan dan dipelajari sebelum ini. Pembahagian mufti juga seperti mana mujtahid iaitu mutlak, muqallid atau sebagainya.
7
BAB 4 Penggunaan Fatwa
Perbezaan antara Fatwa dan Ijtihad Walaupun fatwa saling berkaitan dengan ijtihad, namun terdapat perbezaan antara keduanya :
Fatwa lebih khusus daripada ijtihad. Ini disebabkan fatwa hanya dikeluarkan untuk masalah hakiki yang sedang berlaku untuk diselesaikan. Ia bukan permasalahan yang diadaadakan atau dijangkakan.
Ijtihad pula lebih umum daripada fatwa. Ini disebabkan ijtihad melibatkan permasalahan syara’ yang telah wujud atau belum wujud. Ini boleh dilihat oleh Imam Abu Hanifah yang melakukan pengeluaran hukum berdasarkan dalil dan sumber seterusnya menimbulkan permasalahan-permasalahan andaian untuk diberikan jawapan.
Beramal dengan Fatwa Yusuf Qardhawi (dalam Basri bin Ibrahim, 2011:22) menegaskan bahawa apabila fatwa dikeluarkan oleh mufti yang layak, maka mustafti hendaklah beramal dengan fatwa berkenaan. Namun jika mufti berkenaan menarik kembali fatwanya dan mustafti pula mengetahui penarikan fatwa berkenaan, maka adalah haram bagi muftafti beramal dengan fatwa terdahulu yang ditarik itu.
Jika mustafti telah beramal dengan fatwa yang ditarik balik ketika belum diketahui, maka hendaklah mustafti memohon fatwa yang baru dan berpegang dengan fatwa yang baru berkenaan dari mufti yang sama atau mufti yang lain. Pendapat yang lain (Imam Subki) menyebut bahawa adalah wajib beramal kepada mustafti yang menanyakan fatwa kepada mufti yang ditanyakan.
Oleh kerana fatwa boleh berubah mengikut keadaan dan penemuan terkini, maka fatwa yang terbaru hendaklah diamalkan dan ditinggalkan fatwa yang telah dibatalkan.
8
Fatwa Dua Mufti atau Lebih Jika hanya terdapat seorang mufti sahaja, maka wajib ke atas mustafti beramal dengan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti berkenaan. Namun bagi isu fatwa dua orang mufti atau lebihbagi permasalahan yang sama pula, hendaklah mustafti bertanyakan kepada mana-mana sahaja mufti tanpa perlu membuat pertimbangan tahap alim atau siqah seseorang mufti itu sepertimana yang dilakukan semaza zaman sahabat.
Jika terdapat percanggahan fatwa antara para mufti di mana satu membernarkan dan satu lagi menegahkannya, maka muftafti hendaklah berpegang dengan fatwa yang lebih alim dan warak. Ibn Salah (dalam Basri bin Ibrahim, 2011:24) pula menyatakan apabila berlaku percanggahan fatwa, mustafti bolehlah memilih mana-mana fatwa dari mufti yang ingin dipilih namun tidak dibenarkan menukarkan kepada fatwa yang lain selepas itu.
Jamal al-Din al-Qasimi (dalam Basri bin Ibrahim, 2011:58) memberikan 5 pendapat : 1. Mustafti hendaklah mengambil fatwa yang paling ketat 2. Mustafti hendaklah mengambil fatwa yang paling ringan 3. Mustafti hendaklah berijtihad untuk menentukan mufti yang hendak dipilih (utama) 4. Mustafti hendaklah bertanya kepada mufti lain dan kemudian membuat pilihan. 5. Mustafti boleh memilih mana-mana fatwa yang disukai.
Yusuf Qardhawi berpendapat apabila wujud percanggahan fatwa maka mustafti hendaklah berpegang dengan fatwa majoriti mufti kerana ia didokong dengan hujah dan sandaran yang lebih kuat dari fatwa yang minoriti.
Pandangan Yusof Qardhawi dalam hal ini lebih sesuai bagi pendapat kami dengan mengambilkira sikap tidak memudah-mudah dan dekatnya fatwa majoriti (ijtima’i) dengan ijma’. Malah kewujudan media yang bergerak pantas memudahkan pemerolehan fatwa walaupun jarak geografi yang jauh kini sudah tidak menjadi halangan.
9
BAB 5 Fatwa Bukan Mujtahid
Sepanjang masa dan tempat akan sentiasa timbul berbagai masalah yang memerlukan keputusan hukum samada di bidang muamalat, munakahat atau lain-lain. Sebahagian ulama’ usul al-Fiqh dalam membincangkan perkara ini mengatakan bahawa tiada suatu masa pun yang ketiadaan mujtahid. Mengikut Abu Ishak jika wujud ketiadaan mujtahid di sesuatu masa maka hilanglah taklif kerana ia tidak ditetapkan oleh Allah kecuali dengan ada hujah yang jelas.
Mereka yang berpendapat seperti di atas telah membawa beberapa dalil sebagai hujah. Antara hujah yang dikemukakan ialah hadith Rasulullah saw yang bermaksud: “Sentiasa wujud segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran sehingga berlaku kiamat dunia.”
Hadith yang lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran hingga Allah datangkan kepada mereka satu urusannya, sedangkan mereka tegas atas kebenaran.”
Pendapat yang mengatakan tidak ada lagi mujtahid selepas Imam yang empat adalah masalah khilafiah. Pendapat ini disangkal oleh al-Syaukaniy yang telah mengemukakan beberapa orang ulama’ al-Syafi’iyyah yang telah menandingi pengetahuan para mujtahid terdahulu. Antaranya ialah:
Ibn ‘Abd al-Salam (578-660H)
Ibn Daqiq al-‘Iid (615-702H)
Ibn Sayyid al-Nas (671-734H)
Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-853H)
Imam al-Suyuti (846-911H)
dan lain-lain
Pendapat yang mengatakan sudah tiada mujtahid di masa kini ialah merujuk kepada mujtahid mutlak iaitu seorang individu yang lengkap dan berpengetahuan tinggi yang dapat menyelesaikan berbagai masalah dengan penguasaan kemahiran yang pelbagai.
10
Justeru itu bagi menangani ketiadaan mujtahid mutlak maka alternatifnya ialah dengan mengadakan suatu kumpulan yang khas seperti “Jawatankuasa Fatwa” yang terdiri dari para ulama yang mampu dalam ilmu yang berkaitan dan mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu bagi membincangkan dan mengkaji untuk dibuat keputusan hukum atau fatwa.
Usaha yang yang dijalankan oleh kumpulan ulama dan pakar-pakar ilmu ini dinamakan juga ijtihad jamai’ yang bermaksud suatu kumpulan yang terdiri dari pakar-pakar di dalam bidang ilmu yang boleh mencapai tujuan mengeluarkan hukum-hukum yang berdasarkan ijtihad. Mereka berbincang mengenai suatu masalah yang memerlukan hukum dengan mengemukakan hujah-hujah yang kuat berdasarkan kepada dalil-dalil yang diakui dalam perundangan Islam.
Asas ijtihad ijtima’i ini adalah cara yang baik kerana melalui ramai ulama’ yang berbincang tentulah suatu keputusan yang baik dan kemas boleh dilahirkan. Bersesuaian dengan Imam al-Tabraniy di dalam al-Ausat yang menerangkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ali, katanya:
“Wahai Rasulullah, sekiranya dibentangkan kepadaku satu perkara yang tidak ada diperturunkan (al-Quran) keputusannya dalam perkara itu dan juga sunnah, bagaimanakah suruhan kamu kepadaku?” Jawab Rasulullah, “Kamu lakukan mesyuarat (syura) di antara ahli fiqh dan ahli ibadat dari kalangan orang beriman dan jangan kamu putuskan hukumnya hanya dengan pendapat kamu sendiri.”
Maka apa sahaja yang dilakukan secara berkumpulan melalui perhimpunan di peringkat antarabangsa mahupun jawatankuasa fatwa (negeri atau negara) dalam memutuskan atau mengeluarkan hukum atau fatwa adalah dinamakan ijtihad ijtima’i. Syarat ijtihad ijtima’i ini mestilah memenuhi kehendak kebebasan dimana kumpulan itu dapat melahirkan pendapat mereka dengan terang dan mengeluarkan keputusan dengan penuh keberanian tanpa tekanan dari kerajaan atau pemerintah. Fatwa ijtimai’ ini lebih besar autoritinya dan inilah pendapat yang kami pilih.
11
BAB 6 Isu : Hubungan Fatwa -Mazhab
Hubungan Mazhab Syafie Terhadap Fatwa Ahmad Hidayat Buang (2002: 42) telah mengulas akan pengaruh mazhab Syafie di dalam institusi kerajaan dan masyarakat di Malaysia bermula seawal abad ke-20M dengan perlantikan Kadi-kadi dan Mufti-mufti di negeri-negeri Tanah Melayu yang berlatarbelakang pendidikan dan latihan di dalam mazhab Syafie.
Oleh yang demikian apabila Majlis Agama Islam negeri negeri ditubuhkan, peruntukan tentang fatwa telah diperundangkan dengan mensyaratkan ikutan kepada fatwa tersebut mestilah berasaskan kepada mazhab Syafie. Malah di sesetengah negeri seperti Johor disyaratkan supaya semua pegawai jabatan Agama yang dilantik mestilah berpegang dengan mazhab Syafie. Namun sebagai kompromi, pandangan-pandangan mazhab lain juga boleh diikuti jika pandangan mazhab Syafie tidak boleh menyelesaikan masalah yang timbul dan derni kepentingan atau maslahat awam setelah mendapat perkenan Sultan negeri yang berkenaan.
Pengikatan fatwa kepada mazhab Syafie boleh dilihat dalam undang-undang pentadbiran agama Islam negeri Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Terengganu. Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri telah menetapkan beberapa dasar mengenai penggunaan mazhab Syafie sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan seperti berikut: (1) Semua fatwa yang diputuskan mestilah berdasarkan kepada qaul yang muktabar di dalam mazhab Syafie. Jika hendak beramal dengan qaul dari mazhab lain perlu mendapat restu dari Yang DiPertuan Agong (2) Umat Islam tidak dipaksa beramal dengan mazhab Syafie bahkan boleh beramal dengan mana-mana mazhab lain yang disukai dengan syarat tidak boleh menyalahkan orang-orang yang beramal dengan mazhab Syafie. (3) Mazhab-mazhab lain tidak boleh diajar atau disyarah secara terbuka di khalayak ramai namun boleh diajar di majlis-majlis pelajaran.
12
(4) Menjadi satu kesalahan jika mengajar selain daripada mazhab Syafie secara terbuka. (5) Jika fatwa telah dikeluarkan berasaskan kepada mazhab Syafie tiada siapapun boleh membantahnya dengan menggunakan hujah daripada mazhab yang lain.
Kajian oleh Rahimin Affandi Abdul Rahim et el (2009: 201-202) terhadap realiti penggunaan konsep ijtihad di dalam institusi fatwa di Malaysia mendapati: 1) Boleh dikatakan tidak ada langsung elemen ijtihad insya’i (bebas) mengikut pandangan peribadi seseorang mufti. 2) Keterikatan sesuatu fatwa dengan pandangan mazhab Shafie secara qauli, yang terpaksa bergantung kebanyakannya kepada kitab Fiqh klasik dan tidak merujuk secara langsung kepada sumber asasi (Quran dan Sunnah) ataupun manhaj usuli mazhab Shafie. 3) Para mufti dalam mengeluarkan sesuatu fatwa kerap kali meniru ataupun merujuk kepada pandangan yang dikeluarkan mufti negeri lain di Malaysia. 4) Para mufti sendiri mengakui kelemahan mekanisme pengeluaran fatwa yang dialami, seperti kekurangan sumber rujukan hukum Islam yang terkini, ketandusan pembantu penyelidik (pegawai Istinbat) yang berkelayakan dalam bidang penyelidikan hukum dan kelemahan unit penyelidikan di institusi fatwa. 5) Walaupun ada peruntukan yang membenarkan mufti merujuk kepada pakar-pakar luar, tetapi ianya jarang dilakukan, kerana kekurangan peruntukan kewangan yang disediakan kepada pejabat mufti. 6) Rungutan daripada masyarakat awam tentang kelemahan fatwa yang dikeluarkan, khususnya membabitkan isu: a. Kandungan fatwa tidak bersifat ilmiah kerana tidak mempunyai asas dan sandaran hukum yang kukuh. b. Fatwa yang diberikan adalah tidak tegas dan terikat dengan kepentingan tertentu. c. Fatwa yang dikeluarkan tidak bersifat semasa, sebaliknya terlalu terikat dengan paradigma taqlid. d. Jawapan yang dikemukakan oleh fatwa kerap kali bersifat adhoc dalam soal remeh temeh serta tidak mampu menyelesaikan masalah yang sebenar.
13
7) Pemakaian paradigma taqlid diperlukan demi untuk mewujudkan perpaduan dan keseragaman bagi memastikan wujudnya kestabilan hidup sosio-politik umat Islam.
Ini bagi memudahkan proses penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam dijalankan. Hal ini boleh dikatakan sebagai asas perpaduan umat Melayu sehingga tidak wujudnya perbalahan dan fanatik mazhab yang menimbulkan pertumpahan darah.
Namun penekanan yang agak keterlaluan terhadap dominasi taqlid yang agak ketat ini bakal membuahkan hasil yang kurang sihat kepada perkembangan pemikiran hukum Islam dan ia turut disedari sendiri oleh kalangan mufti di Malaysia yang melakukan pelbagai usaha untuk menerapkan pendekatan reformisme bagi menghadkan penggunaan taqlid secara berlebihan
Pembebasan Mazhab Terhadap Fatwa Tanpa menafikan dominasi mazhab Syafie dalam amalan fatwa namun ijtihad tarjihi kelihatan menjadi pendekatan yang agak popular kepada jawatankuasa fatwa negeri-negeri pada era ini. Menurut al-Qaradawi, ijtihad jenis ini bererti memilih salah satu daripada pendapat-pendapat yang ada dalam perbendaharaan fiqh dan dikemukakan sebagai fatwa yang dipilih.
Pendekatan ini sebenarnya bukan merupakan perkara baru kerana ia telah diamalkan oleh para fuqaha sejak zaman klasik. Oleh itu semasa pembahagian tingkatan mujtahid dibuat, wujudnya satu tingkatan yang dinamakan sebagai mujtahid al-tarjih atau ahl al-tarjih yang merujuk kepada golongan ulama yang mempunyai kemampuan membuat pentarjihan di antara pandangan-pandangan yang ada berasaskan kekuatan dalil dan kesesuaiannya dengan tuntutan realiti semasa. Oleh itu mereka tidak dianggap sebagai penentu hukum baru. Hal ini berlaku samada dalam lingkungan satu mazhab atau merentasi mazhab.
Kajian Kes : Tarjih Penetapan Eid Adha Kemaslahatan awam apabila berpegang dengan qaul muktamad Syafi‘i juga perlu menerima pandangan di luar mazhab Syafi‘i atau sekurang-kurangnya mengambil pandangan lain. Fatwa
14
penetapan Eid Adha berdasarkan wuquf di Arafah adalah cadangan pindaan kaedah penetapan di Malaysia.
Satu cadangan dan pandangan Jemaah Ulama’ Kelantan dikemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mencadangkan supaya penetapan tarikh Eid Adha berdasarkan wuquf di Arafah. Jemaah Ulama’ dalam mengemukakan cadangan berkenaan telah mengambil pendekatan ijtihad tarjihi.
Penelitian Jemaah Ulama’ Kelantan terhadap teks-teks hukum yang pernah diputuskan, mencadangkan supaya penetapan Eid Adha diselaraskan di Malaysia dan seluruh dunia dengan berpandukan wuquf di Arafah. Keputusan yang dikeluarkan ini berdasarkan apa yang diputuskan oleh majoriti fuqaha mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Pendapat yang sama juga merupakan pendapat yang lemah dalam mazhab Syafi‘i yang mewajibkan seluruh negara Islam mengikut ru’yah al-hilal di negara lain (berdekatan atau berjauhan). Pendapat ini juga merupakan pendapat sekumpulan fuqaha dalam mazhab Zaidiyyah.
Berbeza dengan qaul muktamad dalam mazhab Syafi‘i yang memutuskan bahawa setiap negara diwajibkan mengikut ru’yah al-hilal masing-masing tanpa terikat dengan negara lain. Ia juga memberi kesan kepada puasa sunat hari Arafah kerana ianya akan turut berubah harinya antara negara di mana puasa tersebut mungkin tidak jatuh pada hari wuquf di Arafah.
KESIMPULAN
Fatwa adalah hasil ijtihad dan ia melalui proses istinbat hukum dengan disiplin ilmu fiqh yang ketat. Ia merupakan sumber perundangan yang terpakai kepada umat Islam samada dari segi perundangan mahupun tanpa kuasa perundangan.
Fatwa ialah jawapan atau penerangan akan sesuatu hukum yang ditimbulkan hasil pertanyaan dan kekeliruan yang tiada jawapan yang jelas dan tidak pernah ditemui sebelum itu.
15
Namun memohon fatwa hendaklah dilakukan kepada ahli yang tepat iaitu individu yang memiliki keupayaan dan ilmu yang diperlukan dalam mengeluarkan hukum dan bukan sewenang-wenangnya kepada sesiapa sahaja yang bakal menimbulkan kerosakan. Ilmu dan kemahiran seperti penguasaan bahasa Arab, nasakh mansukh, qawaid fiqh dan lain-lain perlu diadun dengan fiqh waqi’iah iaitu berdasarkan realiti dan suasana semasa.
Justeru di Malaysia, badan atau individu yang lebih berautoriti dalam memohon fatwa dan menggunapakai fatwa yang dikeluarkan adalah mufti dan jawatankuasa fatwa di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Fatwa di peringkat antarabangsa secara ijtima’i turut memiliki autoriti yang utama. Pihak kumpulan kami memilih kerangka al-Qardawi bahawa fatwa majoriti memiliki keistimewaan dan keutamaan untuk diterima dan digunapakai berbanding fatwa persendirian dan terasing.
16
Rujukan
Ahmad Hidayat Buang (2002), Analisis Fatwa-fatwa Semasa Syariah di Malaysia, Jurnal Syariah 10:1, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor. Hasnan Kasan(2008), Institusi Fatwa di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor Basri bin Ibrahim (2011), Metod Fatwa al-Qardawi dalam Menangani Isu-Isu Semasa, Al-Hidayah Publications, Selangor. Lokmanulhakim Bin Hussain (2013), Penyelarasan Fatwa di Malaysia : Kewajaran dan Kekangan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan. Abdul Samat Musa et el, Prinsip dan Pengurusan Fatwa di Negara-Negara ASEAN, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Negeri Sembilan. Othman Ishak (1981), Fatwa dalam Perundangan Islam, Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur. Rahimin Affandi Abdul Rahim et el (2009), Ijtihad Dalam Institusi Fatwa Di Malaysia: Satu Analisis, Jurnal Syariah Jil. 17 Bil. 1 (2009) 195-222, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor.
17