PENDAHULUAN Persaingan dunia hari ini memerlukan setiap individu untuk menguasai pelbagai pengetahuan dan kemahiran sehingga sistem pendidikan negara dan kurikulum sekolah kini memberatkan penguasaan kemahiran dari semua aspek terutamanya aspek fizikal dan sosial. Pembelajaran abad ke-21 (PAK21) menegaskan keseimbangan antara tugas guru dan pelajar. Guru bukan lagi individu yang mendominasi bilik darjah tetapi pelajar sendiri perlu mengambil inisiatif untuk meneruskan pembelajaran dengan bantuan guru. Guru kini bertindak lebih kepada fasilitator yang membimbing pelajar dalam mendapatkan ilmu serta sebagai pengurus bilik darjah itu sendiri. Hal ini secara tidak langsung adalah bagi mengoptimumkan perkembangan diri pelajar. Penulisan ini akan berfokuskan elemen PAK21 dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) matematik. KEMAHIRAN ABAD KE-21 Perubahan teknologi yang berlaku hampir setiap hari memerlukan pelajar dan guru untuk sama-sama menyediakan diri dengan pelbagai kemahiran. Kemahiran abad ke-21 seperti yang digariskan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) melibatkan tiga tonggak utama iaitu kemahiran literasi, pembelajaran dan kehidupan. Tiga kemahiran abad ke-21 yang perlu pelajar kuasai ialah kemahiran maklumat dan komunikasi, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah dan kemahiran interpersonal dan arah kendiri. Guru sendiri sebagai pendidik perlulah mempersiapkan diri dengan tiga kemahiran ini bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki setanding dan mampu membantu pembelajaran pelajar. Kemahiran literasi menekankan keupayaan guru dan pelajar untuk menguasai bidang informasi, media dan penggunaan teknologi. Guru haruslah mempunyai literasi terhadap akses maklumat dan media yang semakin canggih seperti perisian GeoGebra, Rstudio, Matlab dan Geometre’s Sketch Pad (GSP) bagi membantu pelajar mendapatkan ilmu dengan lebih meluas dan memberi pendedahan lebih terhadap pengetahuan am dan teknologi. Antara kemahiran kehidupan yang dihasratkan untuk dipupuk dalam diri setiap individu pelajar di Malaysia melalui sistem pendidikan negara ialah fleksiibiliti, daya usaha, keterampilan, produktif dan mempunyai kemahiran sosia. Pelajar seharusnya mampu untuk menyatakan idea matematik serta mengaplikasi matematik dalam usaha menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Pelajar yang mempunyai kemahiran interpersonal mampu membina imej serta mempromosikan diri dalam dunia kerjaya yang semakin tinggi persaingan. Dengan adanya tiga kemahiran abad ke-21 ini, sistem pendidikan pastinya akan berupaya untuk melahirkan sumber tenaga manusia berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Selain itu, PAK21 juga adalah berteraskan kepada kemahiran menguasai dan menakluk pengetahuan. Sistem pendidikan negara berhasrat untuk membentuk pemikiran kritis dan kreatif melalui kolaborasi antara kumpulan pelajar serta kemahiran komunikasi dalam diri setiap individu pelajar. Pemikiran analitikal dan kritikal adalah perlu bagi menyediakan pelajar yang mempu melakukan dan mengaplikasi ilmu terutamanya dalam konteks ilmu matematik dalam kehidupan harian. Guru perlu bijak merancang dan mengurus sesi PdP supaya dapat mencetuskan pemikiran aras tinggi serta membantu pelajar menjana idea-idea baru melalui inkuiri penemuan. Pembelajaran yang dirungkai sendiri oleh pelajar adalah lebih berkesan dan mudah untuk disimpan di dalam kotak memori pelajar. Pelajar akan berasa bertanggungjawab terhadap penemuan tersebut dan sentiasa inginkan pembaharuan idea. Contohnya, sekiranya pelajar berjaya menemukan rumus Teorem Phytagoras melalui aktiviti PdP, pelajar seharusnya akan mampu untuk mengingat rumus ini dengan mudah apabila terdapat pembelajaran atau masalah berkaitan segitiga bersudut tegak. GURU ABAD 21 Melalui perbincangan banyak pihak, terdapat enam ciri-ciri guru PAK21 iaitu menguasai isi pelajaran, mahir dan berketerampilan dalam pedagogi, memahami perkembangan dan menyayangi pelajar, memahami psikologi pembelajaran, berkemahiran kaunseling serta mampu menggunakan teknologi terkini. Sebagai pendidik kepada pelajar dalam zaman yang serba maju dan berkitarkan teknologi, guru perlu mahir dan mempunyai pengetahuan mengenai pelbagai alat teknologi. Pembelajaran yang tidak hanya tertumpu pada penggunaan papan tulis dan mempunyai variasi cara penyampaian semestinya adalah lebih menarik. Guru perlu menggunakan tayangan slaid, aplikasi telefon pintar, permainan serta memaksima penggunaan pemancar LCD (liquid-crystal display) untuk membawa kelainan kepada suasana pembelajaran dalam bilik darjah. Pelbagai aplikasi interaktif matematik boleh digunakan dalam PdP contohnya penggunaan perisian Matlab untuk mengilustrasi pindah bentuk pepejal 3-dimensi (Rajah 1).
RAJAH 1
Pengetahuan mantap dalam ilmu psikologi pendidikan adalah penting bagi guru untuk memahami tahap perkembangan pelajar dan mencari penyelesaian terhadap setiap tingkah laku pelajar dalam bilik darjah. Guru perlulah membina hubungan positif dengan pelajar serta memahami perkembangan fizikal, mental dan emosi mereka. Hal ini penting agar guru dapat memberi respon dan reaksi yang sepatutnya apabila berlakunya sesuatu yang tidak diingini semasa proses PdP tetapi dalam pada masa yang sama tidak membuatkan pelajar berasa terganggu dengan respon yang diberikan. Selain itu, guru perlulah menguasai topik yang akan diajar dan pedagogi dalam menyampaikan isi pelajaran. Guru perlu menghayati dan memahami kurikulum kandungan yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) ataupun Huraian Sukatan Pelajaran (HSP). Guru sendiri perlu betul-betul memahami konsep nombor negatif dan operasi yang melibatkan nombor negatif bagi mengelakkan sebarang miskonsepsi semasa pembinaan konsep oleh pelajar. Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah dan strategi PdP bagi mengelakkan pelajar berasa bosan dan mewujudkan suasana yang lebih produktif dan kondusif. Disamping itu, guru juga perlu untuk memiliki kemahiran kaunseling agar dapat membantu pelajar menangani emosi, sosial dan pelbagai masalah lain yang dihadapi oleh pelajar. Kemahiran kaunseling sangat penting agar masalah yang dihadapi oleh pelajar di luar bilik darjah tidak menjadi satu gangguan atau halangan semasa pembelajaran dalam bilik darjah.
PPPM telah menggariskan beberapa ciri-ciri pembelajaran kelas abad ke-21. Semua pembelajaran pelajar dan proses PdP mestilah berpusatkan pelajar yakni pelajar mendominasi sesi pembelajaran dan guru bertindak sebagai pembimbing sahaja sepanjang proses tersebut. Guru perlu meletakkan minat dan kelebihan pelajar sebagai keutamaan semasa merancang PdP. Guru bleh meminta pelajar untuk menyediakan satu permainan interaktif matematik untuk dimainan bersama rakan-rakan semasa PdP akan datang. Tugasan seperti ini akan membuatkan pelajar berasa teruja kerana diberi pilihan dan kebebasan untuk merancang pembelajaran yang mengikut minat dan kemahiran mereka. Persekitaran yang kondusif dan selesa amat penting bagi memastikan pembelajaran kendiri dan penglibatan aktif pelajar. Guru yang berjaya mengurus bilik darjah dengan efektif adalah guru yang dapat memastikan pembelajaran tetap berlaku buat semua pelajar walaupun perhatian dan tumpuan guru adalah kepada sesuatu kelompok sahaja. Pelajar perlu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap pembelajarannya sendiri di samping nilai saling menghormati pendapat orang lain dan mematuhi arahan yang diberikan sebelum melakukan sesuatu tugasan. Peraturan bilik darjah yang telah dipersetujui bersama perlu dipaparkan secara jelas dan guru perlu menerangkan rasional dan kerelevanan sesuatu peraturan yang ditetapkan. Pembelajaran yang terancang dan teliti memudahkan kedua-dua pihak guru dan pelajar. Penggunaan komputer dan elemen teknologi sangat membantu dalam pelaksanaan PdP. Guru boleh memberi tugasan yang melibatkan penggunaan teknologi seperti perbentangan kerja berkumpulan. Penilaian pembelajaran abad ke-21 melibatkan keduadua pentaksiran formal dan juga informal. Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah penilaian seperti melalui pemerhatian, lisan, kuiz, perbincangan serta penilaian kendiri oleh pelajar sendiri. Guru boleh mendapatkan maklum balas daripada pelajar untuk melihat sejauh mana tahap pemahaman terhadap topik atau isi pelajaran yang dipelajari. Maklum balas turut boleh menjadi salah satu cara untuk guru mengenalpasti keberkesanan pembelajaran dan minat pelajar. Guru mestilah tidak menjalankan pentaksiran dengan pelbagai kaedah tanpa terikat dengan sesuatu bentuk ujian sahaja.
BILIK DARJAH ABAD 21 Pelaksanaan pengurusan bilik darajh abad ke-21 telah pun lama bermula sejak tahun 2014 lagi dengan beberapa langkah kecil untuk mengimplimentasikan kesemua elemen susun atur dan suasana bilik darjah abad ke-21. Tahun demi tahun pelbagai langkah pemantapan telah dijalankan. Satu modul pedagogi kreatif dan kritis telah dibina bagi memberi panduan kepada para guru untuk melaksanakan pengurusan bilik darjah abad ke-21. Beberapa ciri penting yang menunjukkan bahawa susunan itu adalah susun atur bilik darjah abad ke-21 ialah mesti merupakan susun atur yang membolehkan pelajar melibatkan diri dengan aktif semasa sesi PdP berlangsung, membina ruang autonomi pembelajaran dan menselarikan ruang pembelajaran fizikal dengan ruang pembelajaran mental. Antara contoh susunan bilik darjah abad ke-21 adalah seperti yang berikut:
Susun atur meja merupakan antara perkara yang sangat ditekankan dalam pelaksanaan PAK21 lantaran susunan yang dicadangkan ini memudahkan para guru dan pelajar untuk menjalankan aktiviti yang bercirikan PAK21 seperti aktiviti berkumpulan, ‘gallery walk’ dan ‘jigsaw learning’ yang mana memerlukan pelajar dan guru untuk bergerak aktif. Menurut rekod unjuran oleh panel PPPM, semua sekolah di Malaysia telah pun berjaya membudayakan sepenuhnya bilik darjah abad ke-21. Namun begitu, pelbagai faktor luaran dan dalaman telah menjadi halangan yang melumpuhkan pelaksanaannya. Masih terdapat kalangan guru yang kurang mahir dan tiada pendedahan serta kemahiran untuk mengendali dan mengurus bilik darjah abad ke-21. Terdapat juga guru-guru yang telah lama berkhidmat dan selesa dengan teknik pengajaran tradisional. Golongan seperti inilah yang menjadi halangan pelaksanaan pengurusan bilik darjah abad ke-21 yang efektif.
PENUTUP Usaha kerajaan untuk memurnikan pembelajaran abad ke-21 adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keberhasilan pelajar. Banyak sekolah yang tidak berjaya mengimplimentasikan PAK21 secara menyeluruh disebabkan beberapa halangan dan ancaman seperti mempunyai capaian internet yang perlahan, kekangan masa guru dan kekurangan fasiliti bilik darjah itu sendiri. Capaian internet yang perlahan menghadkan sumber bahan bantuan mengajar dan untuk guru merancang PdP yang menarik dan pelbagai.
Pelbagai cara boleh dijalankan bagi mengatasi kelemahan sekolah dalam
melaksanakan PAK21. Antaranya ialah dengan memberi pendedahan bahan kursus kepada guru agar para guru ini mempunyai panduan dan mampu untuk menjadi lebih mahir dan berpengetahuan mengenai cara pelaksanaan PAK21. Pemantauan secara berkala dan berterusan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga penting bagi memastikan pihak sekolah dan guru tidak lalai serta rajin untuk bekerja lebih merancang aktiviti PdP yang pelbagai. Peranan guru adalah sangat penting dalam memastikan kelangsungan pelaksanaan PAK21 dalam bilik darjah.
RUJUKAN Listyowulan, W. S. (2013). Transformasi Pendidikan: Pembelajaran Abad Ke-21. dalam berita yang berjudul, Transformasi Pendidikan: Pembelajaran Abad Ke-21, di dalam http://www. uny. ac. id/berita/transformasi-pendidikan-pembelajaran-abad-ke-21. html. Diambil pada tanggal, 27. PANDUAN LENGKAP Pembelajaran Abad 21. (2017). Cikguhailmi.com. Dimuat turun pada 16 Ogos 2017, daripada http://www.cikguhailmi.com/2017/01/pembelajaranabad-21.html Pelaksanaan Pembudayaan Pak 21 - Lessons - Tes Teach. (2017). Tes Teach with Blendspace. Dimuat turun pada 16 Ogos 2017, daripada https://www.tes.com/lessons/ HNtv9nXMwYXa6A/pelaksanaan-pembudayaan-pak-21 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. (2013). Putrajaya. Zubaidah, S., & Malang, J. B. F. U. N. (2016). Keterampilan Abad ke 21: Keterampilan yang Diajarkan melalui Pembelajaran. In Makalah disampaikan pada Seminar Nasional dengan Tema Isu-Isu Strategis Pembelajaran MIPA Abad 21 di STKIP Perdana Katulistiwa Sintang.