Pendekatan modular telah digunakan untuk menstruktur Standard Kurikulum Bahasa Malaysia dengan tujuan memastikan penguasaan kecekapan berbahasa yang baik. Setiap kemahiran telah dipecahkan kepada unit-unit kecil yang dikenali sebagai modul. Lima modul yang terdapat dalam mata pelajaran bahasa Melayu berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Malaysia Sekolah Jenis Kebangsaan Tahap 1 ialah Modul Mendengar dan Bertutur, Modul Membaca, Modul Menulis, Modul Seni Bahasa serta Modul Tatabahasa. Tiga modul yang pertama berasakan kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis sementara Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa menyokong ketiga-tiga modul tersebut untuk mengukuhkan kecekapan berbahasa murid. Sebagaimana yang kita sedia maklum, fokus Modul Mendengar dan Bertutur ialah kemahiran mendengar dan bertutur. Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberi respons
manakala
kemahiran
bertutur
pula
merupakan
keupayaan
murid
berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan dan bertatasusila. Dalam kemahiran bertutur, penggunaan tatabahasa dititikberatkan. Beberapa objektif telah ditetapkan bagi modul ini adalah seperti berikut: murid berkeupayaan mendengar, memahami dan memberikan respons berdasarkan arahan, pesanan dan pertanyaan dengan betul, bertutur dan berbual serta menyatakan permintaan dengan betul secara
bertatasusila,
bercerita
atau
menceritakan semula perkara yang diketahui menggunakan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul, berbicara untuk menyampaikan maklumat, berbincang dan mengemukakan pendapat secara bertatasusila dan sebagainya. Modul Kemahiran Membaca pula menekankan kemahiran membaca di samping penggabungjalinan kemahiran bahasa yang lain. Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul. Aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan teknik-teknik membaca tidak boleh dikesampingkan. Murid juga berkemampuan menghayati teks yang dibaca melalui modul tersebut. Modul ini telah menggariskan beberapa objektif seperti murid berkeupayaan untuk membaca perkataan, frasa dan ayat secara mekanis dengan lancar dan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul serta memahaminya. Mereka juga berkebolehan membaca dan memahami maklumat yang tersurat dan tersirat untuk memberi respons yang betul,
dapat menaakul bahan yang dibaca untuk memindahkan maklumat, memperkaya kosa kata dan maklumat melalui bahan bacaan yang pelbagai. Modul Kemahiran Menulis memberi penumpuan terhadap kemahiran menulis yang merujuk kepada kebolehan murid menulis perkataan dan melahirkan idea melalui pelbagai jenis penulis yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui. Penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas mesti diberi penekanan. Bagi menghasilkan penulisan berunsur pengetahuan dan imaginasi, murid-murid tidak dihad menggunakan kreativiti mereka. Murid juga dapat memperoleh penguasaan kemahiran bahasa ini melalui situasi dan konteks dalam pelbagai bahan prosa, puisi dan grafik. Objektif modul ini adalah murid berkebolehan mencatat dan menulis untuk menyampaikan maklumat dengan menggunakan bahasa yang santun, menghasilkan penulisan kreatif dalam pelbagai genre dengan betul, menulis ulasan dan sebagainya. Modul Seni Bahasa merujuk kepada aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan dalam bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai murid. Kecekapan memahami, mengungkap dan menghayati bahasa yang indah dirangkumi dalam penguasaan aspek seni bahasa. Hasil pembelajaran modul ini adalah murid dapat menghasilkan serta mempersembahkan karya kreatif pelbagai genre secara lisan dan bertulis melalui variasi teknik yang menarik. Pembelajaran yang membawa keseronokan secara didik hibur dapat diwujudkan melalui aspek seni bahasa. Modul ini berobjektif untuk membolehkan murid menghayati dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotic dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa. Modul Tatabahasa pula merujuk kepada aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu yang mesti seseorang murid memahami dan menguasai. Pengajaran mestilah dirancang dengan teknik yang sesuai dan berkesan semasa mengajar aspek ini agar dapat meningkatkan pemahaman murid serta dapat menggunakan tatabahasa dengan betul dan tepat dalam pelbagai konteks. Objektif modul ini adalah murid berkeupayaan menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan.