Tajuk : Kemelesatan Ekonomi Dunia dan Kesannya
Terhadap Malaysia.
Oleh : Nazri Ghani
Catatan pada : 9 Oktober 2011
Jabatan : SK Peserian, Semerah, Batu Pahat.
KANDUNGAN
BIL PERKARA MUKA SURAT
1. Pendahuluan 3
2. Permulaan Krisis Ekonomi Amerika 4
3. Kesan Krisis Terhadap Malaysia 6
4 Pakej Rangsangan Ekonomi 7
4.1 Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama 8
4.2 Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 9
4.3 Kesan Pakej Rangsangan Ekonomi 10
5 Pengangguran 12
5.1 Peranan Penasihat Ekonomi Negara 13
5.2 Cadangan Langkah-langkah bagi
Menjamin Pekerjaan 14
6. Kesimpulan 18
7 Apendix 19
1. Pendahuluan
Model ekonomi kapitalis yang diamalkan oleh kebanyakan negara
khususnya Amerika dan Eropah telah memacu kemajuan yang pesat dalam
pelbagai bidang dengan pergerakan modal yang besar merentasi sempadan.
Terdapat juga negara-negara Asia yang mengikuti sistem ekonomi ini
antaranya Singapura dan Korea Selatan. Sistem ini terbukti berjaya
meningkatkan daya saing negara berkenaan di peringkat global seterusnya
dikenali antara negara ekonomi baru dunia selain kumpulan negara G7.
Namun sistem ekonomi ini juga mempunyai kesan negatif jika
disalahgunakan dengan tujuan meraih keuntungan berlebihan tanpa mengira
kesan ekonomi kepada rakyat berpendapatan rendah dan negara miskin.
Ketamakan penanam modal mengaut keuntungan dengan kuasa kewangan mereka
telah memberi kesan kepada negara ekonomi kapitalis seperti Amerika yang
mengalami krisis sub-prima seterusnya mempengaruhi negara yang bergantung
dengan suasana ekonomi di Amerika.
Sub-prima adalah sebuah model kewangan yang digunakan bagi
menggantikan model kewangan tradisional di Amerika. Dalam model kewangan
tradisional pembiayaan hanya melibatkan dua pihak iaitu pembeli hartanah
dan pihak bank sebaliknya model sub-prima melibatkan tiga pihak iaitu
pembeli hartanah, pihak bank dan pemegang bon. Rajah 1.1 di bawah
menunjukkan model yang disebutkan di atas.
Rajah 1.1 Model Kewangan Amerika
2. Permulaan Krisis Ekonomi Amerika
Secara tradisional, bank-bank di Amerika membiayai pinjaman
gadaijanji mereka melalui deposit yang diterima dari para pelanggan. Hal
ini telah menyekat jumlah pinjaman gadaijanji yang boleh mereka berikan.
Bank telah beralih ke model baru di mana mereka menjual gadaijanji ke
pasaran bon. Hal ini telah menambah dana untuk diberikan kepada para
peminjam. Ini menyebabkan bank tidak lagi memiliki insentif untuk menyemak
dengan teliti gadaijanji mereka yang bermasalah.
Sektor swasta telah secara dramatik memperluaskan peranannya dalam
pasaran bon gadaijanji, yang sebelumnya didominasi oleh agensi kerajaan
seperti Freddie Mac.
Mereka menawarkan gadaijanji yang baru, seperti pinjaman sub-prima untuk
peminjam dengan sejarah kredit yang buruk dan dokumentasi pendapatan yang
lemah yang selama ini sukar untuk berurusan dengan agensi seperti Freddie
Mac. Ini termasuklah gadaijanji "jumbo" untuk hartanah melebihi dari had
gadaijanji USD 417,000 (£ 202,000) yang diberikan oleh Freddie Mac.
Perniagaan ini terbukti sangat menguntungkan bagi bank, yang memperoleh
bayaran untuk setiap gadaijanji yang diurusniagakan. Mereka mendesak broker
untuk menjual lebih banyak gadaijanji.
Broker-broker telah menawarkan kepada pemilik rumah agar membuat
pembiayaan semula ke atas rumah mereka bagi mendapatkan wang. Sikap rakyat
Amerika yang berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan mereka gagal
melunaskan kembali hutang yang dibuat hingga menyebabkan rumah mereka
diambil alih oleh pihak bank. Dalam masa yang sama berlaku lambakan rumah
yang tidak dijual di pasaran. Ini memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan
harga hartanah jatuh seterusnya merugikan syarikat perumahan.
Menurut BBC News, Kejatuhan nilai hartanah telah mempengaruhi ekonomi
Amerika, di mana industri pembinaan mengurangkan separuh output mereka, dan
ini mengakibatkan kehilangan antara 1-2 juta peluang pekerjaan. Banyak
syarikat pembinaan kecil kehilangan perniagaan mereka manakala syarikat-
syarikat besar juga mengalami kerugian yang teruk. Industri pembinaan
membentuk 15% daripada ekonomi AS, namun penurunan di pasaran hartanah juga
mempengaruhi banyak industri lain, misalnya, pengeluar barang keperluan
rumah dan sebagainya.
Keadaan ini telah menimbulkan krisis subprima di AS sehingga
menyebabkan beberapa bank utama di negara itu bankrap. Krisis subprima AS
telah menyebabkan jatuhnya harga hartanah, kelembapan ekonomi, dan kerugian
yang dialami oleh bank-bank dan syarikat kewangan di Amerika antaranya
seperti Fannie Mae, merill Lynch & Co, Washington Mutual, Lehmann Brothers
dan AIG . Perubahan dasar dalam gadaijanji dan tabungan serta lambakan
hutang tidak berbayar telah menjejaskan kecairan tunai institusi kewangan.
Bank-bank dan institusi kewangan di mana-mana negara merupakan tunjang
ekonomi sesuatu negara dan jika institusi ini mula tumbang, ekonomi negara
itu akan turut tumbang dan jika negara yang tumbang itu ialah satu negara
gergasi seperti AS maka ianya akan tumbang dan mencederakan banyak negara-
negara di dunia.
Antara kesannya ialah pasaran saham menjadi tidak menentu akibat
penarikan modal oleh para pelabur. Menurut sumber pada 20 September 2008,
purata indeks Dow Jones Industrial telah kehilangan 504 mata atau 4.42 %.
Nilai matawang Amerika juga kian merosot dan memberi kesan kepada negara
yang terlalu bergantung kepada nilai dolar dalam perdagangan. Usaha
menyelamat beberapa syarikat gergasi telah dilakukan oleh pentadbiran
Amerika menggunakan dana persekutuan namun ia tidak dapat membantu
memulihkan kembali kelembapan ekonomi Amerika dengan pantas. Jelaslah
Amerika telah mengalami krisis dan sudah tentu akan melibatkan banyak
negara dunia yang bersandarkan eksport ke negara tersebut antaranya Jepun
dan Malaysia.
Kemelesetan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan Jepun pada suku tahun
terakhir 2008 telah menandakan bermulanya era kemelesetan ekonomi dunia.
Banyak kerajaan di seluruh dunia telah membuat persiapan untuk menghadapi
krisis ekonomi global ini dengan pengenalan beberapa pakej penyelamat bagi
memastikan kemelesetan ekonomi yang terburuk pada dekad ini tidak menular
dan seterusnya memburukkan lagi keadaan ekonomi dunia.
3. Kesan Krisis Terhadap Malaysia
YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan bahawa walaupun
negara-negara maju telah mengumumkan empat pakej rangsangan ekonomi yang
begitu besar melebihi 3 trilion dolar Amerika, sejumlah besar digunakan
untuk menyelamatkan institusi kewangan dan syarikat gergasi mereka, namun
masih belum dapat memulihkan keyakinan para pengguna dan pelabur. Malah
pengumuman terkini menunjukkan kadar pengangguran di Amerika Syarikat
berada di tahap 8.1%, kadar paling tertinggi sejak tahun 1983. ( Dewan
Rakyat : 10 Mac 2009 ).
Perkembangan ekonomi dunia yang amat negatif ini telah memberi impak
ke atas ekonomi negara dalam suku keempat tahun 2008. Eksport dan
pengeluaran industri negara mula merosot dan pelaburan berkurangan.
Sentimen pengguna juga telah turut terjejas. Berikutan ini, Keluaran Dalam
Negeri Kasar (KDNK) telah mencatatkan penurunan kadar yang ketara rendah
sebanyak 0.1 peratus, berbanding dengan purata sebanyak 6.3 peratus dalam
tempoh sembilan bulan pertama tahun 2008. Pengurangan ini disebabkan,
terutamanya oleh penguncupan eksport, bagi tempoh yang sama, telah
mengalami kejatuhan nilai sebanyak 13.4 peratus. Kejatuhan eksport ini
telah menjejaskan pertumbuhan sektor ekonomi, terutamanya pembuatan yang
telah mencatatkan penguncupan sebanyak 8.8 %.
Ekonomi Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang menggalakkan sebelum
ini kerana peningkatan perdagangan antarabangsa yang mencakupi hampir 200%
daripada KDNK, iaitu antara yang tertinggi di dunia. Pertumbuhan ekonomi
negara juga telah dijanakan oleh aliran masuk pelaburan asing yang tinggi
dan pembangunan pasaran modal yang mantap. Walau bagaimanapun, dalam
keadaan kegawatan ekonomi dunia, Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa
ekonominya yang begitu terbuka sudah pasti menerima tekanan berikutan
kegawatan ekonomi global.
Tekanan terhadap ekonomi Malaysia disebabkan oleh empat faktor iaitu
berkurangnya nilai eksport akibat permintaan dunia yang merosot, penurunan
harga komoditi eksport, Kemerosotan FDI dan kejatuhan pasaran saham Bursa
Malaysia seterusnya memberi impak negatif kepada sektor perkhidmatan.
4. Pakej Rangsangan Ekonomi
krisis ekonomi dunia 2008 bukanlah krisis pertama yang dihadapi
Malaysia malah negara telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran,
terutamanya dalam tahun 1969, 1972, 1986 dan 1997. Setiap krisis itu telah
dapat diatasi dengan jayanya dan ekonomi negara telah muncul lebih kukuh.
Krisis ekonomi 2008 membawa negara sekali lagi berdepan dengan persekitaran
ekonomi global yang jauh lebih getir berbanding dengan krisis-krisis
terdahulu. Walau bagaimanapun, berbekalkan pengalaman lalu kerajaan terus
berusaha menggunakan sumber negara secara berhemah bagi mengelakkan impak
yang lebih besar kepada ekonomi negara dan rakyat keseluruhannya.
Sehubungan dengan itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan
telah memperkenalkan langkah-langkah bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi
negara pada 4 November 2008. Antaranya menyediakan persekitaran perniagaan
dan pelaburan yang kondusif serta penjanaan peluang pekerjaan yang mapan
bagi sektor swasta iaitu mengurangkan duti import bahan pembinaan,
usahasama dengan pihak swasta bagi membangunkan tanah kerajaan, tambahan RM
200 Juta makro kredit dan sebagainya. Selain itu, kerajaan juga berusaha
untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan mengekalkan permintaan
dalam negara antaranya melalui pengurangan potongan caruman KWSP pekerja,
pelanjutan tempoh bayaran balik pinjaman perumahan serta peningkatan had
kelayakan pinjaman kereta bagi kakitangan awam, dan lain-lain.
Kerajaan juga berusaha meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan
di mana mengutamakan projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi dan
kandungan import yang rendah. Kerajaan juga mempercepatkan pengambilan
kakitangan bagi jawatan yang kritikal dalam sektor awam secara kontrak
selain mempercepatkan pelaksanaan pendaftaran serta liputan penuh penerima
kebajikan masyarakat berdasarkan kelayakan baru.
Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang semakin mencabar,
kerajaan juga telah mengambil langkah tindak balas polisi bagi menangani
masalah kewangan global dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi
pertama pada 4 November 2008 dan pakej rangsangan ekonomi kedua pada 10 Mac
2009.
4.1 Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama
Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama merangkumi tiga strategi khusus dalam
Bajet 2009 iaitu menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan
berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara. Pakej ini merupakan
inisiatif kerajaan yang melibatkan suntikan peruntukan sebanyak RM 7
Billion bertujuan memangkinkan aktiviti ekonomi dalam negeri serta
merangsang aktiviti ekonomi sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat
yang melibatkan pelaksanaan lima teras misi nasional mengikut tiga strategi
yang ditetapkan.
Peruntukan Pakej ini adalah berdasarkan kepada penjimatan subsidi
bahan api berdasarkan kriteria-kriteria bahawa negara mesti berbelanja ke
arah projek-projek yang memberi kesan multiplier kepada ekonomi negara dan
membela kesejahteraan rakyat. Menurut YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul
Razak, pakej ini adalah pilihan terbaik bagi meningkatkan domestic
consumption untuk mencapai ekonomi yang lebih baik dengan unjuran sebanyak
3.5 % pada tahun 2009. Sementara itu, nilai defisit pula dikekalkan pada
tahap 4.8 %.
( Bahagian Penerbitan Dasar Negara, 2008 ).
Kepantasan bertindak bagi melaksanakan semua program adalah amat
kritikal. Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan Unit Pengurusan Projek
(Project Management Unit - PMU) di bawah Kementerian Kewangan bertujuan
memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi
serta memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan. Unit ini melapor
terus kepada Menteri Kewangan yang dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan
kerajaan, badan kawal selia, dan syarikat berkaitan kerajaan yang terpilih.
2. Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua
Pakej Rangsangan Kedua bertujuan mengurangkan kesan penguncupan
ekonomi global ke atas ekonomi negara. Sekiranya usaha-usaha ini tidak
diambil, ekonomi negara akan mengalami kemelesetan yang serius. Pakej ini
dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Mac 2009 oleh YAB Dato' Seri Mohd
Najib Tun Abdul Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap
Menteri Kewangan Malaysia.
Pakej Rangsangan Kedua bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar
yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran. Ini
termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana,
pengeksport dan graduan menganggur. Di samping itu, langkah-langkah yang
dirangka dalam Pakej Rangsangan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada
usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi merangkumi juga
inisiatif membina kapasiti ekonomi pada jangka panjang.
Pakej Rangsangan ini memberi tumpuan kepada empat teras utama, iaitu
mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan, meringankan beban
rakyat terutamanya golongan mudah terjejas, membantu sektor swasta
menghadapi krisis serta membina keupayaan masa depan negara. Pakej
Rangsangan ini berjumlah RM 60 bilion. Pakej ini akan dilaksanakan dalam
tempoh dua tahun, iaitu 2009 dan 2010. Daripada jumlah tersebut, sebanyak
RM 15 billion merupakan suntikan fiskal, RM 25 billion Dana Jaminan dan RM
10 billion pelaburan ekuiti, RM 7 billion inisiatif pembiayaan swasta (PFI)
dan off-budget serta RM 3 billion insentif cukai.
( Kementerian Kewangan Malaysia, 2009 )
Jumlah RM 60 bilion ini merupakan hampir 9% daripada KDNK. Pelaksanaan
Pakej Rangsangan yang bersaiz besar seperti ini adalah kali pertama
dilakukan dalam sejarah ekonomi negara. Oleh itu, Ketua Setiausaha
Kementerian dan ketua perkhidmatan yang berkaitan dikehendaki mengemukakan
Laporan Kemajuan Pelaksanaan secara berkala setiap minggu kepada KSP dan
disalinkan kepada KSN, KPPA, KP ICU dan Unit Pengurusan Projek (PMU) bagi
Pakej Rangsangan Ekonomi ini manakala prestasi pelaksanaan projek atau
program di bawah Pakej ini dan Bajet 2009 akan menjadi KPI Pegawai Pengawal
yang berkaita.
4.3 Kesan Pakej Rangsangan Ekonomi
Sehingga 5 Jun 2009, RM 7 billion yang diperuntukkan untuk Pakej
Rangsangan pertama, 99% atau RM6.95 billion telah diagihkan. Daripada
jumlah ini, sebanyak RM4.02 bilion atau 57.9% yang melibatkan 43,681 projek
telah ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor yang berjaya. sebanyak RM1.4
bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan 10,979 projek. Ini turut
melibatkan projek-projek kecil seperti menaik taraf dan membaikpulih jalan
luar bandar, jambatan, sekolah dan hospital yang berjumlah RM 500
juta telah dilaksanakan.
Di samping itu, program penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan
projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM592 juta siap dilaksanakan.
Projek rumah mesra rakyat yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM200 juta
bagi membina 2,664 unit rumah telah dilaksanakan dengan segera.
Perlaksanaan projek ini telah memberi kesan positif kepada aktiviti sektor
pembinaan pada suku pertama tahun 2009, di mana sektor ini telah mencatat
pertumbuhan 0.6%. Perlaksanaan projek tersebut telah memberi peluang
pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor-kontraktor kecil, terutamanya di
kawasan luar bandar.
Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pula, sejumlah 7,811 projek
bernilai RM 4.2 billion telah diberikan sehingga 5 Jun 2009. Daripada
jumlah projek tersebut, sebanyak RM 1.2 bilion telah dibelanjakan untuk
menyiapkan 453 projek. Ini turut melibatkan program penyelenggaraan
infrastruktur awam (PIA) dan projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM
173 juta yang melibatkan 2,686 projek, yang memberi tumpuan kepada Sabah
dan Sarawak. Ini secara langsung telah dapat membantu meningkatkan aktiviti
ekonomi serta kualiti hidup rakyat luar bandar terutama di Sabah dan
Sarawak.
Peruntukan sebanyak RM 674 juta telah ditambah sebagai subsidi untuk
mengelakkan kenaikan harga bahan makanan harian seperti gula, roti dan
tepung. Ini telah membantu mengurangkan kadar inflasi kepada 3.0% pada
bulan April 2009, berbanding dengan 8.5% pada bulan Julai dan Ogos 2008.
Kerajaan juga telah menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan berasaskan Syariah
berjumlah RM5 bilion. Bon ini telah mendapat sambutan yang amat baik dan
habis dilanggan.
Sejumlah RM 460 juta disediakan bagi memberi latihan kemahiran dan
teknikal kepada golongan sasaran. Perbelanjaan ini juga termasuk pemberian
elaun harian berjumlah antara RM500 hingga RM1,800 sebulan. Sehingga Jun
2009, seramai 3,200 orang pelatih telah mengikuti program latihan kemahiran
dan teknikal di pusat-pusat latihan kemahiran negeri dan ini telah
bertambah dari semasa ke semasa.
Di samping itu, program untuk melanjutkan pelajaran di peringkat
sarjana dan PhD turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan
kesemua peruntukan berjumlah RM 200 juta telah dihabiskan diagihkan. Selain
itu, sebanyak 4,869 kekosongan jawatan di pelbagai agensi dalam sektor awam
juga telah diisi. Trend bilangan pemberhentian pekerja telah mula reda
dengan bilangannya telah berkurangan daripada 7,665 pada bulan Disember
2008 kepada 3,085 pada bulan Mei 2009 sejak pakej rangsangan ekonomi ini
dilaksanakan.
Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia telah
disediakan peruntukan oleh Kerajaan bagi melaksanakan Program bagi Pekerja
Yang Diberhentikan, Graduan Menganggur, Belia, JobsMalaysia Centre (JMC),/
Community-Based Employment Support Service (CESS), Kursus Modular dan Job
Creation bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan dan mengurangkan
kadar pengangguran. Program tersebut telah berjaya membantu pekerja yang
diberhentikan kerja mendapat pekerjaan serta mengurangkan pengangguran.
Bagi tempoh 1 Januari 2009 hingga 24 Jun 2009 Kementerian telah berjaya
membuat 20,049 penempatan pekerjaan.
Inisiatif yang diambil oleh Kerajaan untuk memulihkan ekonomi telah
dapat memberi keyakinan para pelabur, terutama dalam pasaran ekuiti. Ini
jelas dilihat apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencatatkan
peningkatan ketara sejak Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua diumumkan. KLCI
telah melonjak sehingga 1,072.85 mata pada 8 Jun 2009 berbanding 855.25
mata pada 10 Mac 2009. Perlaksanaan pakej ransangan dijangka memberi kesan
lebih ketara ke atas ekonomi negara dan dijangka mencatatkan pertumbuhan
positif dalam suku ke empat tahun 2009.
( Parliamentary reply Pakej Rangsangan Ekonomi, 2009 )
Tidak dinafikan bahawa strategi dan langkah yang telah dirangka dalam
kedua-dua pakej rangsangan yang komprehensif dan menyeluruh ini seiring
dengan tindakan oleh kebanyakan negara luar telah dapat mengurangkan impak
kemelesetan ekonomi dunia terhadap ekonomi domestik serta dapat memastikan
kesejahteraan rakyat.
5. Pengangguran
Krisis ekonomi yang membelenggu dunia, telah menyebabkan permintaan
terhadap barangan eksport Malaysia berkurangan terutama barangan yang
berasaskan industri elektrik dan elektrikal. Keadaan ini menyebabkan sektor
perkilangan yang berkaitan mengurangkan kemampuan pengeluaran mereka
antaranya tindakan mengurangkan pekerja secara VSS, menghadkan kerja lebih
masa dan menutup sebahagian operasi kilang serta menyatukan operasi kilang
agar lebih ekonomik, berdaya saing serta dapat mengimbang kos dengan lebih
baik.
Utusan Malaysia 31 Mac 2009 melaporkan bahawa Sebanyak 26,224 orang
telah diberhentikan kerja di negara ini sejak 19 Mac 2009. Ini berpandukan
kenyataan oleh Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia
(MEF), Shamsuddin Bardan. Daripada jumlah itu, sebanyak 12,674 rakyat
tempatan dan 6,651 warga asing diberhentikan kerja begitu sahaja, manakala
selebihnya ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS). Menurut Shamsuddin
lagi lebih banyak pekerja hilang pekerjaan sekiranya keadaan ekonomi tidak
segera diperbaiki.
Kerajaan juga menjangkakan seramai 40,000 hingga 58,000 orang akan
diberhentikan kerja ekoran krisis ekonomi global. Timbalan Menteri Sumber
Manusia, Datuk Noraini Ahmad berkata, angka sebenar bergantung kepada
perkembangan ekonomi global dan sejauh mana kesan pelaksanaan Pakej
Rangsangan Ekonomi pertama dan kedua kelak.
( Kosmo, 26 Februari 2009 )
Mengikut rekod Kementerian Sumber Manusia (KSM), mulai 1 Oktober 2008
sehingga 25 Jun 2009, seramai 30, 111 pekerja tempatan telah diberhentikan
kerja. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 15,716 atau 52.2 peratus adalah
pekerja lelaki dan 14, 395 atau 47.8 peratus pekerja wanita.
Pengangguran dalam kalangan rakyat jika tidak ditangani dengan
berhemah dan bijak akan membuka rantaian masalah lain antaranya
meningkatnya kadar jenayah, kemiskinan, masalah sosial dan sebagainya. Oleh
itu perlu ada langkah yang berkesan agar matlamat kerajaan untuk
meningkatkan kesejahteraan rakyat mencapai sasarannya. Sebuah kerajaan yang
baik boleh tumbang akibat masalah pengangguran yang tidak ditangani dengan
segera apatah lagi ada tangan-tangan tersembunyi yang sedia mengambil
peluang akibat kemelut tersebut untuk mengkucar-kacirkan suasana semasa.
5.1 Peranan Penasihat Ekonomi Negara
Peranan penasihat ekonomi amat penting dalam perancangan dan
pelaksanaan aktiviti ekonomi sesebuah negara. Malaysia juga mempunyai
sebuah badan yang membantu kerajaan iaitu Majlis Penasihat Ekonomi (MPE)
yang ditubuhkan bagi menyediakan nasihat pakar sebagai sokongan secara
langsung kepada Perdana Menteri. Majlis ini terdiri daripada 6 hingga 8
penasihat pakar dalam hal-hal ekonomi. Jawatan Pengerusi Majlis ini adalah
bertaraf Menteri. Di samping itu Bank Negara juga turut bertindak sebagai
agensi penasihat ekonomi terutama berkaitan sistem kewangan negara agar ia
dapat diuruskan dengan baik, lancar, telus dan sempurna.
Antara tugas penasihat ekonomi negara ialah menganalisa data-data
ekonomi, menilai pembangunan dalam ekonomi domestik dan antarabangsa dan
mengenal pasti bidang yang perlu diberi perhatian. Selain itu ia perlu
menjalankan aktiviti perisikan dan pengawasan rapi serta membuat ramalan
tentang keadaan ekonomi negara seterusnya membentangkan saranan-saranan
dasar pada sesi taklimat tetap kepada Menteri Kewangan dan juga melalui
penyertaan dalam pelbagai forum pembuat dasar ekonomi di peringkat
kebangsaan.
Langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan dalam menjamin pekerjaan
dalam situasi ekonomi yang tidak menentu juga turut dicadangkan oleh
penasihat ekonomi negara. Cadangan yang dikemukakan dapat membantu kerajaan
seterusnya krisis yang dihadapi boleh ditangani dengan baik dan berkesan.
5.2 Cadangan Langkah-langkah bagi Menjamin Pekerjaan.
Industri elektrik dan elektronik (E&E) menerajui sektor industri
Malaysia dengan menyumbang sebahagian besar kepada keluaran, eksport dan
gunatenaga perkilangan negara. Pada 2006, keluaran kasar industri ini
berjumlah RM 214.9 bilion, manakala eksport produk elektrik dan elektronik
adalah sebanyak RM 282.2 bilion atau 61.7 peratus daripada jumlah eksport
perkilangan. Industri berkenaan telah mewujudkan 397,553 peluang pekerjaan
dan menyumbang 36.6 peratus kepada keseluruhan gunatenaga dalam sektor
perkilangan. Pada masa ini, industri elektronik Malaysia berjaya membina
keupayaan dan kemahiran yang signifikan bagi mengeluarkan rangkaian meluas
peranti semikonduktor, barangan elektronik pengguna lebih canggih dan
produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Krisis ekonomi dunia menyebabkan industri elektrik dan elektrikal
(E&E) terjejas teruk kerana kurangnya permintaan terhadap barangan
berkaitan terutama dari negara pengimport utama seperti Amerika. Import dan
eksport bagi barangan ini telah menjunam semenjak 3 tahun yang lalu.
Pertumbuhan dalam sektor ini juga turut terjejas dan lebih parah lagi
risiko kehilangan pekerjaan dalam sektor berkenaan.
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi menjaga kebajikan pekerja
apatah lagi mereka adalah rakyat Malaysia. Ini jelas dinyatakan dalam Akta
Pekerja 1955. Maka langkah bagi menjamin menjamin pekerjaan seterusnya
mengurangkan peningkatan pengangguran dalam kalangan rakyat hendaklah
diteliti agar masalah ini dapat ditangani secara berkesan dan kesejahteraan
rakyat terus terjamin.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan ialah memperkenalkan
program latihan dan penempatan bagi bekas pekerja yang masih belum mendapat
pekerjaan bertujuan melatih mereka dengan kemahiran baru. Bagi mengurangkan
sedikit beban kewangan mereka, elaun latihan haruslah diberikan di samping
jangka masa latihan yang bersesuian dengan kemahiran baru yang diikuti.
Jabatan Tenaga Kerja ( JTK ) juga haruslah membuka bilik gerakan
pendaftaran pekerjaan bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan mereka serta
melatih dan memadankan mereka dengan pekerjaan lain yang bersesuaian.
Seterusnya, keutamaan hendaklah diberi kepada pekerja tempatan bagi
mengisi jawatan dalam bidang yang memerlukan pekerja dan tidak terjejas
dengan krisis ekonomi. Jika syarikat terpaksa mengurangkan pekerja, maka
pekerja asing hendaklah diberhentikan dahulu sebelum pilihan kepada pekerja
tempatan. Kerajaan boleh meningkatkan kadar levi pekerja asing di mana Levi
akan dibayar oleh majikan dan bukannya oleh pekerja manakala pembayaran
balik levi pekerja asing kepada majikan akan dibuat secara prorata
sekiranya tempoh perkhidmatan pekerja asing disingkatkan berbanding kontrak
asal. Sehubungan dengan itu dasar perberhentian pekerja asing terlebih
dahulu hendaklah dikuatkuasakan.
Satu direktori peluang pekerjaan di Malaysia juga hendaklah disediakan
sebagai rujukan pencari kerja yang mengandungi maklumat penawaran kerja di
seluruh Malaysia. Direktori ini boleh disediakan dalam bentuk cetakan
bulanan, mingguan atau secara online bagi memudahkan bekas pekerja mencari
pekerjaan yang bersesuaian. Program Penempatan Pekerjaan Khas untuk warga
tempatan perlu diadakan bagi memberi peluang mereka yang diberhentikan
kerja mendapat kerja baru. Hal ini dapat dilakukan dengan mendapatkan
kerjasama majikan dari pelbagai sektor yang memerlukan pekerja, parti-parti
politik dan sebagainya.
Selain itu, bagi menggalakkan syarikat mengekalkan pekerja tempatan
mereka, insentif atau potongan cukai yang berpatutan haruslah
dipertimbangkan. Pengurangan sumbangan syarikat kepada Tabung Pembangunan
Sumber manusia (HRDF) haruslah diperhalusi terutama bagi syarikat-syarikat
berasaskan E & E bagi membolehkan mereka terus berkeupayaan mengekalkan
pekerja tempatan.
Kerajaan hendaklah membekukan pengeluaran lesen agensi pengambilan
pekerja asing dan syarikat penyumberan luar serta memperketat syarat
kemasukan mereka. Langkah tersebut bertujuan memastikan tidak berlaku
lambakan tenaga kerja asing di dalam negara sewaktu permintaan semakin
merosot berikutan kesan kemelesetan ekonomi global. Pekerja industri yang
diberhentikan akibat kesan kemelesetan ekonomi perlu dibantu dengan
menyerapkan mereka ke dalam sektor perladangan dan ternakan atau diberikan
modal khusus untuk membolehkan mereka memulakan kegiatan berasaskan
pertanian dan perniagaan kecil.
Pihak syarikat juga boleh memainkan peranan melatih semula pekerja
mereka dengan sokongan kerajaan dalam bentuk insentif dan bantuan yang
bersesuaian. Ini akan membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka
seterusnya menyumbangkan kepada kualiti produk yang dihasilkan. Langkah ini
juga dapat membantu pengilang yang tidak ada permintaan produk atau
terpaksa mengurangkan operasi manakala pekerja tidak diberhentikan tetapi
diberi peluang untuk dilatih semula sehingga ekonomi kembali pulih dan
pekerja dapat kekal bekerja. Langkah mengadakan program latihan semula
dilihat praktikal kerana pembuangan pekerja untuk mengurangkan kos operasi
bukan jalan penyelesaian yang terbaik malah kos untuk pengambilan semula
tenaga kerja bila ekonomi kembali pulih adalah mahal.
Kerajaan juga hendaklah memastikan agar pembuangan pekerja oleh
syarikat-syarikat adalah pilihan terakhir mereka. Pekerja yang
diberhentikan hendaklah diberikan pampasan yang setimpal dengan
perkhidmatan mereka. Nasihat kewangan juga haruslah diberikan agar pekerja
terbabit membelanjakan pampasan yang diterima secara bijak serta dapat
memperkembangkan ekonomi mereka melalui aktiviti ekonomi lain seterusnya
dapat melalui detik sukar sebelum memperolehi pekerjaan baru dengan baik.
Pengembangan sektor ekonomi lain contohnya pelancongan, pendidikan,
perniagaan hendaklah digalakkan bagi memberi lebih peluang pekerjaan kepada
rakyat. Pembukaan pusat membeli belah terkemuka seperti Tesco, Carrefour
dan Giant misalnya sudah tentu membuka peluang pekerjaan yang besar kepada
rakyat. Oleh itu perlu ada perancangan teliti bagi menarik pelaburan dalam
sektor berkenaan.
Bagi menggalakkan pekerja terlibat dengan bidang pertanian, Konsep
pertanian kontrak di mana hasil pertanian mendapat jaminan pasaran
hendaklah diperluaskan dan diperkenalkan kepada golongan sasaran. Ini
kerana terdapat pekerja berasal dari kawasan desa yang mempunyai tanah
pusaka dan sebagainya serta sesuai dijadikan tapak memulakan aktiviti
pertanian. Seperti yang kita sedia maklum keperluan bahan makanan dan
permintaannya dalam pasaran negara dan dunia adalah tinggi. Oleh itu para
pengusaha tidak perlu risau dengan nilai pasaran hasil pertanian mereka.
Buku berkaitan Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja
hendaklah disebarkan luaskan terutama kepada pekerja dan majikan yang
terlibat dengan krisis agar langkah-langkah bersesuian dapat diambil
sebelum tindakan pemberhentian pekerja diambil. Antara langkah yang
dinyatakan dalam panduan berkenaan ialah menghadkan kerja lebih masa,
mengurangkan hari bekerja serta mengurangkan waktu kerja harian selain
mengadakan program latihan semula. Panduan ini hendaklah dipatuhi oleh
syarikat dan pihak JTK mesti mengawasi pelaksanaannya.
Akhir sekali, kerajaan hendaklah mengadakan latihan kerja yang bermutu
berasaskan teknologi di mana pekerja dilatih untuk menjadi tenaga kerja
mahir dan separa mahir agar tenaga kerja yang berlebihan boleh dieksport ke
negara luar contohnya seperti di Arab Saudi, UAE, Singapura dan sebagainya.
Sektor pembinaan di negara terbabit misalnya amat memerlukan tenaga kerja
mahir akibat kerancakan pembangunan yang dijalankan. Pusat-pusat pengajian
tinggi juga hendaklah melatih para mahasiswa-mahasiswi dengan silibus yang
berasaskan keperluan pasaran. berkemahiran tinggi, berteraskan R & D serta
sektor yang masih belum diteroka sepenuhnya.
Kita sedia maklum bahawa pasaran buruh Malaysia secara umumnya tidak
lagi kompetitif bagi sesetengah pelabur. Ini kerana terdapat negara-negara
Asean lain yang dapat menawarkan tenaga kerja yang lebih murah. Oleh itu,
tenaga kerja Malaysia hendaklah memiliki kualiti dalam semua aspek bagi
menandingi rakan-rakan mereka dalam rantau ini atau rantau yang lain. Sikap
terlalu memilih pekerjaan dan banyak membuat tuntutan yang tidak munasabah
akan merimaskan industri dan kemungkinan operasi syarikat akan terganggu
dan output juga akan terjejas.
6. Kesimpulan
Kerajaan sentiasa mengambil berat segala permasalahan rakyat. Selaras
dengan slogan 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan menuntut
segenap lapisan masyarakat sama-sama berganding bahu membantu kerajaan
dalam menjayakan setiap misi yang telah ditetapkan. Jika krisis ekonomi
Asia pada 1997, sering diperkatakan negara Barat sebagai urus tadbir
kewangan yang lemah, korupsi, sikap politik yang tidak bertanggungjawab dan
sebagainya kini negara ekonomi sebesar Amerika yang dikatakan memiliki
segala kecanggihan juga turut mengalami krisis. Lalu, di manakah keadilan
tuduhan-tuduhan liar yang selama ini memperlekehkan orang Asia tentang
urusan negara mereka ?
Philippe Ries (2006) dalam bukunya ASIAN STORM : The Economic Crisis
Examine menyatakan bahawa badai kewangan Asia meninggalkan sisa kebenaran
yang menyedihkan tentang ledakan ekonomi Asia yang tidak pernah berlaku
sebelumnya – bank lumpuh akibat hutang lapuk dan syarikat membuat pinjaman
besar dalam matawang asing tidak dilindungi, bersama pelaburan berisiko
tinggi, amalan perniagaan diragui, nepotisme dan rasuah yang berleluasa.
Jadi apakah agaknya komen Philippe apabila krisis yang sama melanda
Amerika.
Jelaslah bahawa kita bukan orang yang tidak mempunyai ilmu dalam
ekonomi. Pemimpin-pemimpin kita juga melanjutkan pengajian ekonomi di
negara Barat. Kemampuan kita adalah setanding malah kadangkala lebih baik
dalam merangka dan memberi reaksi segera terhadap suasana ekonomi negara.
Seperkara lagi para penasihat ekonomi hendaklah meningkatkan kemampuan
mereka dalam menganalis dan memberi cadangan yang praktikal dan berkesan
kepada kerajaan untuk dilaksanakan.
Tindakan kerajaan mengadakan pakej rangsangan ekonomi dalam situasi
sukar sekitar 2008 -2009 amatlah bertepatan demi kesejahteraan negara dan
rakyat. Dengan adanya pakej sebegini negara kurang mengalami kesan langsung
yang ketara akibat krisis ekonomi As seperti masalah pengangguran dan
sebagainya.
APENDIKS
RUJUKAN / REFERENSI
Bank Negara Malaysia (2003). Maklumat Am Bank Negara Malaysia. Kuala Lumpur
: Bank Negara Malaysia
Dewan Rakyat. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (2009) Teks
Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009). Kuala
Lumpur : Parlimen Malaysia.
Malaysia. Bahagian Penerbitan Dasar Negara. (2008) Rancangan Isu Khas Pakej
Rangsangan ekonomi 2009. Kuala Lumpur : Bahagian Penerbitan Dasar
Negara.
Malaysia. Kementerian Kewangan Malaysia (2008). Langkah-langkah
Memperkukuhkan Daya Tahan Ekonomi Negara. Kuala Lumpur : Kementerian
Kewangan Malaysia
Malaysia. Kementerian Kewangan Malaysia (2009). Pakej Rangsangan Ekonomi
Kedua.. Kuala Lumpur : Kementerian Kewangan Malaysia
Malaysia. Dewan Rakyat (2009). Parlimentry reply – Pakej Rangsangan
Ekonomi. Kuala Lumpur : Parlimen Malaysia.
Malaysia. Dewan Rakyat (2009). Pengangguran - Dewan Rakyat – Sidang 2 Dari
15 Jun – 30 Jun 2009. Kuala Lumpur : Parlimen Malaysia.
Malaysia. Kementerian Sumber Manusia (2009). Garis Panduan Pengurusan
Pemberhentian Pekerja (kegunaan Majikan dan Pekerja). Putrajaya :
JTKSM
Nooriah Yusof, Katiman Rostam (2008). Sumber Manusia dan Kelebihan Daya
Saing Lokasi Industri Barangan Elektrik dan Elektronik : Kes Zon
Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pulau Pinang : USM
The Commissioner of Law Revision (2006). Act 265 EMPLOYMENT ACT 1955
Incorporating all amendments up to 1 January 2006. Kuala Lumpur :
Percetakan Nasional Berhad.
Philippe Ries (2006). ASIAN STORM : The Economic Crisis Examine.
Massachusetts : Turtle Publishing
58,000 dijangka hilang kerja (26 Februari 2009). Akhbar Kosmo, ms 3.