BAB
1
Pengenalan Ilmu Ketamadunan Hasil Pembelajaran Setelah mengikuti bab ini, pelajar dapat: • Menjelaskan konsep dan ciri-ciri sebuah tamadun. • Menerangkan hubungan tamadun dengan agama, budaya dan bangsa. • Menganalisis faktor kekuatan dan kelemahan sesebuah tamadun.
Pengenalan Ilmu Ketamadunan
Ciri-ciri Tamadun Konsep Tamadun
Hubungan Tamadun dengan Agama, Budaya dan Bangsa
Faktor-faktor Kemunculan dan Kejatuhan Tamadun Dunia
Kesan Positif dan Negatif Pertembungan antara Tamadun
Kelahiran dan Perkembangan Tamadun
Interaksi Tamadun
Persamaan dan Perbezaan antara Tamadun
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 1
3/23/12 12:10:23 PM
2
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
1.0
Pengenalan
Bab ini membincangkan konsep dan ciri-ciri tamadun dari sudut etimologi pelbagai bahasa. Seterusnya, bab ini menerangkan hubungan tamadun dengan agama, budaya dan bangsa. Di samping itu, bab ini juga menganalisis faktor kekuatan dan kelemahan sesebuah tamadun.
1.1
Sejarah Tamadun dan Pengajian Ketamadunan
1 Pengkajian sejarah sebagai ilmu ketamadunan mula diperkenalkan oleh Ibn Khaldun (1332–1406 M) pada abad yang ke-14 M melalui kitabnya Mukaddimah. Ibn Khaldun menggunakan latar belakang sejarah sebagai asas memahami realiti masyarakat, bangsa dan umat. Beliau berjaya mengeluarkan teori, faktor, analisis kemajuan dan kemunduran umat terdahulu untuk menjadi panduan kepada umat mendatang. Analisis beliau menepati kehendak al-Quran supaya menjadikan peristiwa sebagai pengajaran berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kisah para nabi itu mengandungi pengajaran bagi orang yang mempunyai akal fikiran. Al-Quran itu bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengisahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang sebelumnya dan sebagai keterangan yang menjelaskan segala sesuatu, serta menjadi hidayah dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”. (Surah Yusoff: 111)
2 Sungguhpun sejarah menjadi asas kepada pengajian ketamadunan, namun ada perbezaan yang jelas antara kedua-duanya. Pengajian ketamadunan membicarakan teori, konsep asas, ciri serta sifat tamadun secara konseptual, teoretikal dan abstrak. Manakala sejarah tamadun pula merujuk kepada pengalaman yang dilalui oleh sesuatu tamadun dari segi pencapaian, jatuh bangun, kemajuan dan kemunduran atau ringkasnya kajian tentang masa lampau. Secara umum, pengajian ketamadunan tidaklah begitu terikat kepada batasan masa atau zaman, manakala sejarah tamadun lazimnya dibatasi oleh faktor masa. Pandangan di atas tidaklah bertujuan mengetepikan pengajian sejarah daripada pengajian tamadun kerana kedua-duanya saling memerlukan dan tidak boleh dipisahkan.
1.2
Konsep Tamadun
Memahami dan mengkaji asal usul istilah atau lebih dikenali dengan kajian etimologi amat penting kerana dapat memudahkan pelajar memahami konsep dan falsafah bidang pengajian tamadun itu. Lazimnya bahasa menggambarkan bangsa seperti pepatah Melayu yang menegaskan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Pemahaman yang baik terhadap asal usul bahasa dapat membina takrif yang tepat terhadap sesuatu istilah dalam pengajian.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 2
3/23/12 12:10:25 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
3
1.2.1 Pengertian Tamadun dari Sudut Bahasa 1 Dalam bahasa Melayu, sekurang-kurangnya dua istilah yang sering digunakan untuk maksud tamadun, iaitu ‘tamadun’ dan ‘peradaban’. Kedua-dua istilah itu juga bukanlah kata asal bahasa Melayu. Kedua-duanya ialah pinjaman daripada perkataan Arab. Dalam Kamus Dewan, tamadun bermaksud kebudayaan, kemajuan atau peradaban. Manakala peradaban berasal daripada perkataan ‘adab’ yang merujuk kepada tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan) dan istilah beradab ditakrif juga sebagai telah maju tingkat kehidupan (jasmani dan rohani), iaitu bertamadun. 2 Namun demikian, istilah tamadun merupakan istilah yang paling popular digunakan dalam masyarakat Melayu untuk menjelaskan tentang kebudayaan, kemajuan, pembangunan, peradaban dan kemakmuran yang dicapai oleh sesuatu bangsa. 3 Dalam bahasa Inggeris pula, istilah civilization diambil daripada perkataan Latin civitas yang bermakna ‘bandar’. 4 Dalam bahasa Arab, terdapat lima istilah yang boleh dihubungkan dengan maksud tamadun iaitu ‘umran, hadharah, tamaddun, madinah dan madaniyyah. • Istilah yang mula digunakan untuk maksud tamadun ialah ‘umran. Tokoh pertama yang menggunakannya ialah Abdul Rahman Ibn Khaldun (1332–1406 M) berasal dari Tunisia. Profesor Rosenthal menterjemahkan ‘umran sebagai urbanization (perbandaran) dan civilization (tamadun). Istilah ‘umran bermaksud membangun dan memakmurkan bandar. • Istilah hadharah (juga digunakan oleh Ibn Khaldun) bermaksud kehidupan menetap (sedentary life). Hadharah bermaksud sebuah wilayah, daerah atau ibu kota atau bandar atau kampung dan kawasan tanah yang ditanami. • Istilah tamaddun dan tamadyun berasal daripada perkataan madana (maddana) yang bermaksud membina dan membangunkan bandar. • Istilah madinah berasal daripada perkataan madana, jamaknya mudun atau mada’in bererti bandar-bandar atau nama kepada Yathrib yang kemudiannya diberi nama oleh Rasulullah SAW dengan Madinah-al-Munawwarah. • Istilah madaniyyah bermaksud bandar dan kehidupan bandar (city life). Pada akhir abad ke-19 dan permulaan abad ke-20, istilah ini dipopularkan semula oleh Syeikh Muhammad Abduh dan Muhammad Farid Wajdi dengan maksud tamadun. 5 Daripada pelbagai istilah yang digunakan di atas, hanya dua istilah yang meluas digunakan oleh penulis-penulis Arab, iaitu hadharah dan tamadun. Daripada dua istilah itu pula, istilah tamadun lebih sesuai digunakan untuk menyatakan konsep tamadun pada zaman moden. 6 Istilah tamadun dan bandar memang ternyata mempunyai kaitan yang sangat rapat. Hal ini kerana setiap tamadun yang agung itu mempunyai bandar-bandar yang besar, manakala bentuk-bentuk asas tamadun pula dengan mudah dapat diperhatikan di bandar-bandar.
1.2.2 Pengertian Tamadun dari Sudut Peristilahan 1 Menurut Idris Abdul Rauf al-Marbawi, tamadun membawa maksud kehalusan adat atau kemurnian pencapaian manusia yang hidup di kota dan memiliki peraturan
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 3
3/23/12 12:10:25 PM
4
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
yang baik sehingga berjaya menghasilkan keamanan, keselamatan, kemakmuran serta penghasilan teknologi yang membantu menyempurnakan kehidupan kota yang bahagia. 2 Arnold Toynbee menjelaskan tamadun sebagai kebudayaan yang berkembang di dalam kota. Beliau menambah lagi, tamadun ialah suatu kumpulan pemikiran daripada berbagai-bagai manifestasi, orientasi yang berterusan, satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi politik, kesusasteraan, agama dan moral. 3 Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan tamadun sebagai keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya. 4 Abu al-A’la al-Maududi pula mentakrifkan hadharah sebagai segala apa yang dihasilkan oleh suatu bangsa yang bersumberkan ilmu pengetahuan, adab, kesenian yang indah, pembuatan, ciptaan, perkembangan terhadap kehidupan peribadi dan masyarakat serta cara-cara yang digunakan dalam kehidupan politik. Sebagai kesimpulan, tamadun dapat diertikan sebagai pencapaian gemilang manusia dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berpusat di bandar-bandar. Ia terhasil dalam bentuk seni bina, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, kepercayaan, undangundang, pentadbiran dan politik.
1.3
Ciri-ciri Sebuah Tamadun
Pandangan beberapa tokoh tentang ciri-ciri sesebuah tamadun adalah seperti berikut: 1 Lucien Goldmann berpendapat, unsur utama yang menjadi perbezaan antara sesebuah tamadun dengan tamadun yang lain ialah pandangan semesta (world view/weltanschauung/tasawur). Berdasarkan konsep pandangan semesta, tamadun manusia secara tipologi dapat dibahagikan kepada empat ciri yang utama, iaitu: (a) Tamadun materialistik (b) Tamadun intelektual (c) Tamadun mistik (d) Tamadun berasaskan wahyu Namun demikian, dalam perkembangan sesebuah tamadun, terdapat tahap-tahap peningkatannya yang dapat diukur berdasarkan dua asas utama, iaitu: • Pencapaian fizikal yang dapat dilihat dari segi penubuhan sesebuah kerajaan atau empayar yang luas melalui penggabungan beberapa buah pusat perbandaran yang berdekatan, peluasan sempadan atau melalui penaklukan. • Pencapaian intelektual yang dapat dilihat dari segi penemuan fikiran yang baharu ataupun penemuan, penyuburan dan tafsiran kembali fikiran lama yang membuahkan sistem falsafah, pemikiran, sains dan teknologi. 2 Darcy Roberio telah memberikan sembilan ciri tamadun yang masih berada dalam proses perkembangan, iaitu: (a) Berakhirnya corak hidup nomad dengan penciptaan peralatan baharu dalam bidang pertanian.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 4
3/23/12 12:10:25 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
5
(b) Bermulanya aktiviti penternakan dan pengkhususan kerja berasaskan kelompok kemahiran. (c) Pertumbuhan kota dan negara, wujud status sosial, menggunakan sistem pengairan untuk pertanian, penggunaan peralatan tembaga dan gangsa serta wujud sistem tulisan, angka dan kalendar. (d) Penggunaan sistem pengairan secara meluas. (e) Penciptaan berteknologi daripada besi, inovasi peralatan baharu, perkembangan perkapalan dan perkembangan mata wang syiling sebagai perantaraan perdagangan. (f) Revolusi penternakan. (g) Revolusi perdagangan. (h) Revolusi teknologi. (i) Revolusi perindustrian. 3 Edward L. Farmers memberikan tujuh ciri utama tamadun, iaitu: (a) Petempatan kekal (b) Revolusi pertanian (c) Stratifikasi sosial (d) Kewujudan agama (e) Pengkhususan kerja dan inovasi teknologi (f) Urbanisasi (g) Sistem tulisan 4 Maududi berpendapat sebuah tamadun mesti mampu menggambarkan lima ciri penting, iaitu: (a) Kehidupan duniawi (b) Tujuan hidup (c) Keyakinan dan pemikiran asas (d) Pendidikan perseorangan (e) Organisasi masyarakat 5 Ibn Khaldun pula menyenaraikan lima ciri bagi ‘umran, iaitu: (a) Pegangan agama yang tinggi (kuat) (b) Sistem kenegaraan yang tersusun rapi (c) Kehidupan cara bandar (d) Pencapaian kaedah penulisan yang tinggi (e) Kepakaran dalam bidang seni lukis dan seni reka Berdasarkan pengertian-pengertian dan ciriciri yang dikemukakan, konsep ketamadunan sepatutnya dilihat daripada perspektif yang meliputi pencapaian tatasusila dan moral yang tinggi serta kemajuan petempatan dan kemudahan yang sempurna. Walau bagaiGambar 1.1 Ibn Khaldun manapun, konsep ketamadunan yang sering
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 5
3/23/12 12:10:25 PM
6
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
difahami oleh masyarakat manusia hari ini lebih menjurus kepada perkara yang berkaitan dengan kemajuan petempatan dan kemudahan yang sempurna semata-mata. Lebih buruk daripada itu, tasawur terhadap kemajuan petempatan dan kemudahan disempitkan lagi kepada persoalan kebendaan yang menjadi simbol kemewahan. Kemuncak kewujudan sesebuah tamadun bukanlah semata-mata digambarkan oleh limpahan kemewahan tetapi suasana kemakmuran sebagaimana ungkapan ‘umran yang digunakan oleh Ibn Khaldun. Kemakmuran yang sebenar ialah kemakmuran masjid sebagaimana yang telah ditegaskan dalam al-Quran: “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah: 18)
1.4
Hubungan Tamadun dengan Agama, Budaya dan Bangsa
1.4.1 Hubungan Tamadun dengan Agama 1 Dalam konteks Islam, tamadun dan agama mempunyai pertalian yang amat rapat. Agama Islam telah menjadi sumber inspirasi dan kekuatan umat Islam untuk membentuk tamadun Islam. Tamadun Islam ialah manifestasi ajaran agama yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Sebaliknya, tamadun Barat tidak bersumberkan ajaran agama, tetapi bersumberkan fahaman kebendaan atau materialisme. Islam bukanlah agama yang lahir daripada perkembangan tamadun, tetapi Islam itu sendiri melahirkan tamadun yang berteraskan sumber ajaran Islam. 2 Dari sudut sumber rujukan, kehidupan beragama dan cara hidup atau kebudayaan bersumberkan ketuhanan dan kepercayaan, sementara tamadun bersumberkan pemikiran dan usaha manusia untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan seperti politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. 3 Dalam konteks hubungan pula, agama mementingkan hubungan yang sejahtera sesama manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan. Manakala hubungan dalam konteks tamadun hanya menekankan aspek hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan benda atau alam sekitar. 4 Nilai-nilai yang terhasil daripada sebuah tamadun adalah nisbi. Misalnya, nilai kecanggihan, keberhasilan dan ketekunan. Sementara nilai agama bersifat mutlak seperti pahala dan dosa, wajib, haram, makruh dan sunat. 5 Pencapaian yang gemilang dalam pelbagai bidang kehidupan yang menjadi matlamat utama tamadun adalah juga matlamat utama pencapaian sebuah kehidupan agama yang tinggi. 6 Kemunculan tamadun silam merupakan manifestasi kepada kehidupan beragama yang berperanan membentuk pandangan semesta dan nilai kehidupan yang terpuji. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan peninggalan bangunan dan artifak tamadun silam yang dapat menggambarkan penghayatan yang tinggi terhadap kehidupan beragama.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 6
3/23/12 12:10:26 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
7
7 Namun begitu, bukan semua tamadun dipengaruhi oleh agama sebagaimana tamadun Barat kontemporari yang lebih cenderung memencilkan nilai-nilai keagamaan. Selain itu, terdapat beberapa tamadun yang turut mengumpulkan pelbagai agama yang berbeza sebagai pegangan. Fenomena ini dapat dilihat pada zaman tamadun Islam yang lalu, apabila tidak semua yang bernaung di bawah tamadun itu terdiri daripada penganut Islam.
1.4.2 Hubungan Tamadun dengan Budaya 1 Definisi budaya mengikut Kamus Dewan ialah tamadun, peradaban dan cara berkelakuan. Manakala kebudayaan membawa maksud keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan segala hasil kegiatan serta penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat. 2 Menurut Karl Wittfogel dalam bukunya Approaches to Asian Civilization mendefinisikan tamadun sebagai ciri kebudayaan secara keseluruhan daripada sesuatu negara berdasarkan pemikiran dan kepercayaan. 3 Arnold Toynbee dalam bukunya A Study of History menjelaskan bahawa tamadun sebagai sejenis kebudayaan yang berkembang di dalam kota. Beliau menambah lagi bahawa tamadun merupakan suatu kumpulan pemikiran daripada pelbagai manifestasi, orientasi yang berterusan, satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi politik, kesusasteraan, agama dan moral. 4 Tamadun dan budaya mempunyai perhubungan yang rapat kerana budaya masyarakat yang tinggi dan terpuji menandakan kehidupan yang bertamadun. Budaya kehidupan sesebuah masyarakat merujuk kepada tatacara mereka bertindak ke atas persekitaran (termasuk persekitaran sosial) dalam mengurus kehidupan secara kolektif. Masyarakat yang berbudaya tinggi sudah pasti mempunyai kehalusan budi dan kesempurnaan moral yang juga merupakan ciri-ciri kehidupan bertamadun. Walau bagaimanapun, tamadun berbeza daripada budaya sekiranya dilihat daripada dua keadaan berikut: • Pengaruh daripada natijah tamadun berkekalan lebih lama berbanding dengan pengaruh daripada natijah budaya. Dengan pengertian lain, sesuatu natijah budaya yang kekal lama dalam sesebuah masyarakat merupakan natijah tamadun. Contohnya, kesetiaan kepada maharaja merupakan satu natijah tamadun dalam masyarakat Jepun meskipun sistem politik mereka telah jauh berbeza daripada keadaan silam. Manakala cara mereka berpakaian dan pemilihan jenis makanan pula merupakan natijah budaya kerana telah mengalami banyak perubahan dalam tempoh 100 tahun ini. • Tamadun melampaui batas-batas kenegaraan dan wilayah sedangkan budaya selalunya dikaitkan dengan negara atau wilayah tertentu sahaja. Tamadun Islam misalnya mengandungi beberapa budaya mengikut negara atau wilayah yang berbeza. Contohnya, budaya berpakaian masyarakat Islam di rantau Melayu berbeza daripada masyarakat Islam di Semenanjung Arab sungguhpun mereka berada di bawah naungan tamadun yang sama.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 7
3/23/12 12:10:26 PM
8
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
1.4.3 Hubungan Tamadun dengan Bangsa 1 Hubungan antara tamadun dengan bangsa tidaklah begitu ketara meskipun terdapat beberapa tamadun yang sering dikaitkan dengan sesebuah bangsa seperti tamadun China dan tamadun India. Lazimnya sesebuah bangsa mempunyai pertalian yang rapat dengan sejarah, tradisi dan budaya kawasan geografi tertentu. Sebaliknya sifat tamadun merentasi sempadan geografi yang secara langsung melampaui batasan kebangsaan. 2 Terdapat beberapa tamadun yang mengandungi lebih daripada satu bangsa. Contohnya tamadun Barat yang mengandungi pelbagai bangsa seperti Inggeris, Jerman, Perancis, Itali dan lain-lain. 3 Tamadun Islam juga mengandungi pelbagai bangsa yang turut menyumbang kegemilangannya seperti bangsa Arab, Barbar, Turki, Moghul, India, Melayu, China dan lainnya.
1.5
Kelahiran dan Perkembangan Tamadun
1 Tamadun awal bermula di lembangan sungai. Manusia berhijrah dan membina petempatan serta menjalankan aktiviti pertanian melalui kerja menebus guna tanah dengan membina sistem pengairan. 2 Aktiviti ini membawa kepada lebihan penghasilan makanan yang mampu menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah. Walau bagaimanapun, terdapat kawasan petempatan yang tidak menghasilkan bahan mentah. Barangan seperti logam, kayu-kayan, emas dan perak dibawa masuk dari luar untuk ditukar dengan hasil pertanian yang diusahakan oleh penduduk lembangan sungai. 3 Perubahan kehidupan sebuah masyarakat yang tidak bertamadun kepada kehidupan bertamadun boleh berlaku secara beransur-ansur atau secara drastik.
1.6
Faktor-faktor Kemunculan dan Kejatuhan Tamadun Dunia
1.6.1 Faktor-faktor Kemunculan Tamadun Dunia Antara faktor kemunculan tamadun dunia adalah sebagaimana yang berikut: Kedudukannya yang Strategik 1 Petempatan awal masyarakat bertujuan memperoleh sumber semula jadi demi kelangsungan hidup. 2 Faktor lokasi yang merujuk kepada kesesuaian faktor geografi telah dilihat menggalakkan kemunculan tamadun China di lembangan sungai Hwang-He dan Yangtze, tamadun India di lembangan sungai Ganges dan Brahmaputra, tamadun Mesopotamia di lembangan sungai Tigris dan Euphrates dan tamadun Mesir di lembangan sungai Nil.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 8
3/23/12 12:10:26 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
9
Rangsangan Keagamaan dan Kerohanian 1 Ajaran agama dan amalan rohani mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang murni serta membentuk kehidupan bertamadun. 2 Sesebuah masyarakat yang menghayati kehidupan beragama akan berusaha membangunkan kehidupan mereka menuju kepada kesempurnaan nilai dan ketinggian budaya. Inilah permulaan kehidupan bertamadun. 3 Contohnya kemunculan tamadun Islam banyak dipengaruhi oleh penghayatan cara hidup Islam. Penghayatan yang Tinggi terhadap Moral 1 Nilai-nilai murni yang wujud pada sesebuah masyarakat seperti kreativiti, ketekunan, kerajinan dan semangat berdisiplin menggalakkan kecintaan kepada ilmu. 2 Pemimpin yang mempunyai nilai moral terpuji seperti adil dan bertanggungjawab akan mendorong rakyatnya berganding bahu untuk membangunkan negara. 3 Penghayatan nilai-nilai murni telah dilihat wujud pada hampir kesemua tokoh tamadun silam seperti Plato dan Aristotle dalam tamadun Yunani, Lao Tze dan Kung Fu-Tze dalam tamadun China, Kautilya dan Samkara dalam tamadun India serta alFarabi, al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun dalam tamadun Islam. Kesengsaraan Hidup 1 Situasi kehidupan yang sengsara dan menderita boleh mendorong masyarakat untuk bekerjasama menggembleng tenaga bagi membebaskan diri mereka daripada belenggu tersebut. Kesengsaraan dan penderitaan menjadikan sesebuah masyarakat itu lebih berdisiplin dan kreatif dalam membangunkan kehidupan. 2 Hakikat ini bersesuaian dengan pepatah Inggeris yang menyatakan necessity is the mother of invention (keperluan kehidupan merupakan ibu segala reka cipta). 3 Dalam konteks zaman moden, kemunculan Jepun sebagai negara maju sering kali dikaitkan dengan penderitaan masyarakatnya selepas kekalahan mereka dalam Perang Dunia Kedua. Toleransi yang Tinggi terhadap Sumbangan Tamadun Lain 1 Toleransi terhadap sumbangan tamadun yang lain menggambarkan sikap terbuka untuk menerima sumber yang baik daripada tamadun tersebut dan seterusnya membantu kemunculan tamadun baharu. 2 Sikap tokoh-tokoh penting dalam tamadun sebelum ini jelas menampakkan toleransi dan saling interaksi antara tamadun. Contohnya sikap terbuka tamadun Islam yang menerima sumber-sumber tamadun lain seperti Yunani, Parsi, India dan China. Budaya Masyarakat yang Tinggi 1 Tatacara yang tersusun dalam pentadbiran dan perekonomian telah memakmurkan kehidupan masyarakat yang mendorong ke arah kegemilangan. 2 Pada zaman kegemilangan sesebuah tamadun, dapat diperhatikan pencapaian yang luar biasa dalam pelbagai bidang termasuklah kesenian, kesusasteraan, pemikiran dan falsafah.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 9
3/23/12 12:10:26 PM
10
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
3 Kegemilangan sesebuah tamadun juga dapat dilihat dari segi penciptaan teknologi yang seterusnya berkembang dalam tamadun-tamadun selepas itu. Politik yang Kukuh 1 Politik yang kukuh merupakan faktor utama yang menentukan jangka hayat sesebuah tamadun. Contohnya, tamadun Mesopotamia dengan sistem beraja dan Kod Hammurabi (1792–50 S.M). Tamadun Mesir dengan Raja Firaun dan sistem hierarkinya. Begitu juga tamadun Lembah Indus dan tamadun Melayu yang terkenal dengan sistem beraja dan sistem pembesarnya seperti empayar Melaka. 2 Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara dari Palembang di sekitar 1400 M telah mengukuhkan sistem pentadbirannya dengan memperkenalkan Undang-undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka. Tamadun China yang bermula di lembangan Sungai Kuning (Hwang-He) juga ditentukan kesinambungan hayatnya oleh faktor politik, perundangan dan kestabilan. Ekonomi yang Mantap 1 Ekonomi tamadun awal banyak bergantung kepada sungai sebagai sumber air, pertanian dan keperluan harian. Kegiatan perdagangan, perkapalan dan sistem cukai juga berpusat di sungai. 2 Ini dapat dibuktikan kerana hampir semua tamadun awal di dunia telah bermula di sekitar lembah atau lembangan sungai. Contohnya, Sungai Indus di India, Sungai Nil di Mesir, Sungai Hwang-He di China, Sungai Tigris dan Euphrates di Mesopotamia dan sungai serta pelabuhan di Selat Melaka. Interaksi antara Tamadun 1 Sikap ingin mewujudkan saling berinteraksi dengan tamadun lain merupakan rangsangan kepada kehidupan bertamadun. Hal ini kerana, sikap toleransi kepada sumbangan tamadun lain menggambarkan sikap terbuka untuk menerima nilai-nilai yang baik daripada tamadun tersebut dan seterusnya membantu kepada kemunculan tamadun baharu. 2 Interaksi antara dua tamadun atau pelbagai tamadun memungkinkan berlakunya penyebaran pengaruh positif dalam bidang agama, politik, ekonomi, sains dan sebagainya. 3 Walau bagaimanapun, setiap tamadun (dalam sejarah) mengalami zaman kemerosotan masing-masing. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa tamadun berlangsung untuk satu tempoh masa yang begitu panjang. Contohnya, tamadun Romawi berlangsung dari zaman Augustas sehingga ke zaman Aurelius (30 S.M–180 M). Begitu juga dengan tamadun Islam Uthmaniyah dari tahun Masihi 1299 sehingga 1922, lebih daripada enam abad. 4 Benarkah kemerosotan sesebuah tamadun itu disebabkan hukum sejarah yang pasti berputar setiap masa? Menurut Ibn Khaldun, kemerosotan sesebuah tamadun itu ialah putaran sejarah (cyclic history). Pada peringkat permulaan ia berjaya kerana mempunyai nilai-nilai yang baik, tetapi selepas mencapai kejayaan, nilai-nilai tersebut merosot
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 10
3/23/12 12:10:26 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
11
kerana limpahan kemewahan dan penyelewengan. Sebaliknya, para sarjana yang lain berpendapat sesebuah tamadun itu merosot bukanlah disebabkan hukum sejarah. Kemerosotan sesebuah tamadun itu boleh dielakkan sekiranya mereka belajar daripada sejarah dengan mengekalkan nilai-nilai yang baik. U
EROPAH
Laut Hitam Laut Troy Byblos Mediterranean Mycence
Laut Kaspia
S.
PENARA TIBET
Lau
us Ind
S.
Mohenjo Daro
Ho Anyang
Loyang
S. Brahmaputra e S. G S. Yangtz Cheng-chou ange s CHINA
INDIA
h
era
S.Nil
Harappa
Teluk Parsi
tM
Pusat Peradaban Tamadun Pertama
S. Eupharates
Ur
MESIR AFRIKA
is gr
Ti
Knossos Tyre Memphis
g
an
Hu
LAUT CHINA SELATAN LAUTAN HINDI
Peta 1.1 Tamadun Dunia Terawal 3500−1500 S.M: Mesopotamia, Mesir, Crete, Indus dan Shang
1.6.2 Faktor-faktor Kejatuhan Tamadun Dunia Sesebuah tamadun akan mengalami zaman merosot dan diikuti dengan kejatuhan apabila kepimpinan dan rakyatnya tidak mampu mengatasi faktor-faktor yang membawa kejatuhan. Antara faktor berkenaan adalah: Jurang Kaya–Miskin 1 Ketidakadilan berlaku dalam masyarakat apabila wujud jurang perbezaan yang ketara antara kaya dengan miskin. 2 Situasi seperti ini dapat diperhatikan di penghujung tamadun Romawi pada abad ke-3 dan ke-4 M. Begitu juga dapat diperhatikan di penghujung pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyah. 3 Jurang antara kaya–miskin akan menimbulkan konflik dan pertentangan yang membawa kepada keruntuhan masyarakat dan negara. Penindasan dan Kezaliman 1 Kehidupan bertamadun sudah tidak bermakna lagi apabila sistem ketatanegaraan dan perundangan tidak dihormati. 2 Berdasarkan sejarah, kemerosotan tamadun Yunani, tamadun Romawi dan tamadun Islam boleh dikaitkan dengan keruntuhan moral dan nilai, terutama dalam kalangan pemimpin. Seorang penyair Arab, Ahmad Shauqi Bek pernah menukilkan: “Sesungguhnya tertegaknya sesebuah umat itu disebabkan ketinggian moralnya. Sekiranya moral mereka hilang, maka umat tersebut akan lenyap”. 3 Wilayah-wilayah kolonial yang merupakan sebahagian daripada tamadun Barat telah tumbang disebabkan penindasan dan kezaliman yang dilakukan.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 11
3/23/12 12:10:26 PM
12
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
4 Berlakunya keruntuhan moral dan nilai masyarakat, terutama dalam kalangan pemimpin yang menandakan musnahnya penghayatan terhadap budi pekerti yang murni dan mulia. Sikap Tertutup 1 Sikap tidak menerima perubahan, terutamanya perubahan teknologi atau perubahan dalam struktur politik, ekonomi dan sosial salah satu faktor keruntuhan sesebuah tamadun. Sikap tertutup seperti ini sudah tentu merencatkan daya kreativiti dan inovasi sesebuah masyarakat yang seterusnya menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang beku atau jumud berpanjangan. 2 Seorang tokoh pemikir Barat semasa, Edward de Bono menyatakan bahawa sikap tertutup merupakan halangan yang paling besar terhadap anjakan paradigma. 3 Dalam sejarah dapat dilihat bagaimana tamadun Islam Uthmaniyah mengalami keruntuhan dari dalam disebabkan sikap tertutup yang tidak mahu menerima perubahan teknologi dan sosial. Malapetaka atau Bencana Alam Faktor seperti ini juga merupakan salah satu penyebab kemerosotan sesebuah tamadun. Walau bagaimanapun, faktor ini di luar kawalan manusia untuk menghalangnya daripada berlaku. Misalnya, kejadian Tsunami yang melanda Acheh dan Jepun. Keruntuhan Akhlak/Moral Keruntuhan akhlak umat terutama para pemimpinnya menandakan saat keruntuhan negara dan tamadun. Apabila sesebuah umat mengabaikan penghayatan nilai-nilai murni dalam kehidupan maka akan tersebar luas gejala keruntuhan moral. Seorang penyair Arab, Ahmad Shawqi Bey pernah bermadah yang maksudnya, “Sesungguhnya tertegak sebuah umat itu disebabkan ketinggian akhlaknya, sekiranya akhlak mereka runtuh maka umat tersebut akan turut lenyap”.
1.7
Interaksi Tamadun
Interaksi merupakan hubungan aktif yang saling bertindak balas atau saling mempengaruhi antara satu sama lain. Agama, pegangan nilai, bahasa, budaya, adat dan sistem sosial mempengaruhi interaksi pelbagai tamadun. Kewujudan interaksi antara tamadun lahir disebabkan semangat toleransi yang tinggi serta sikap saling menghormati antara sesebuah tamadun dengan sesebuah tamadun yang lain. Sikap demikian menyebabkan bercambahnya ilmu dan budaya serta mengelak daripada berlaku kemerosotan sesebuah tamadun.
1.7.1 Faktor-faktor Interaksi antara Tamadun Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi interaksi antara sebuah tamadun dengan tamadun yang lain, antaranya: (a) Kepimpinan—peranan pemimpin melalui pelaksanaan visi dan misi untuk memajukan bangsa dengan aktiviti interaksi.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 12
3/23/12 12:10:26 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
13
(b) Peranan golongan agamawan—melalui motivasi agama dan dakwah. (c) Geografi—kedudukan yang strategik memungkinkan berlakunya interaksi. (d) Perkahwinan—antara pasangan yang berlainan etnik, bangsa dan budaya yang menyebabkan berlaku asimilasi. (e) Perdagangan—melalui proses hubungan dua hala antara negara-negara yang berdagang. (f) Misi politik—melalui pelbagai pendekatan sama ada penaklukan, penjajahan atau kerjasama antara pelbagai negara.
1.7.2 Jenis-jenis Interaksi Terdapat dua bentuk atau jenis interaksi, iaitu: 1 Interaksi dalam lingkungan budaya dan bangsa yang sama adalah bercirikan: (a) Semua sempadan adalah sama. (b) Perbezaan kecil dari segi variasi kerana perbezaan geografi. (c) Mudah berinteraksi dan perubahan adalah kecil, malah berlaku pemantapan (positif) atau tertutup (negatif). (d) Devian (penyelewengan) mudah dikenali dan ditolak kerana masih mengekalkan sempadan yang ada, misalnya teorisme dan ajaran sesat. (e) Pemimpin yang ingin menguasai dunia akan menimbulkan kacau-bilau dan peperangan (seperti Hitler, Bush dan Nepoleon). (f) Semangat nasionalisme yang sempit (ultranasionalisme) seperti usaha Jepun meletakkan seluruh dunia di bawah satu bumbung penguasaan Jepun atau hakkoichui; membawa kepada penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. (g) Persaingan menguasai sumber ekonomi negara lain bagi memenuhi keperluan ekonomi kapitalis seperti negara-negara Barat menjajah hampir seluruh dunia dengan matlamat 3G (Gospel, Gold and Glory). 2 Interaksi dalam lingkungan budaya dan bangsa yang berbeza adalah bercirikan: (b) Interaksi antara budaya dengan peradaban yang berbeza. (c) Interaksi antara peradaban yang dominan dengan yang tidak dominan. (d) Contoh interaksi antara masyarakat Islam dan Hindu Buddha di Asia Tenggara.
1.7.3 Penghalang Interaksi Antara faktor yang boleh menghalang berlaku interaksi adalah: (a) Daerah/geografi (b) Semangat nasionalisme yang sempit (unilateral) (c) Kaum migran dan bukan migran (tiada toleransi) (d) Bahasa (kebangsaan, antarabangsa dan etnik) (e) Kepercayaan (Islam dan bukan Islam) (f) Budaya (kebangsaan, Melayu dan etnik) (g) Penguasaan ekonomi (bukan bumiputera [minoriti] dan bumiputera [majoriti]) (h) Penguasaan politik (bumiputera [majoriti] dan bukan bumiputera [minoriti]) (i) Tiada kumpulan yang dominan
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 13
3/23/12 12:10:26 PM
14 (j) (k) (l) (m) (n) (o)
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
Pemikiran penjajah (pendidikan [Barat bukan Barat], status sosial, elit) Penguasaan teknologi Konflik dan pergaduhan antara etnik Peperangan dan keselamatan Tradisional dan moden Definisi bangsa, budaya dan peradaban
Perkembangan dan kemajuan dalam bidang komunikasi kini, terutama kecanggihan dan pencapaian maklumat tanpa sempadan mengurangkan faktor penghalang dan meningkatnya hubungan antara tamadun.
1.7.4 Pelbagai Contoh Interaksi Negatif (a) Perang Salib antara Kristian dengan Islam yang memakan masa lebih 200 tahun (b) Pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh pemeluk agama Kristian Eropah pada abad ke-9, ke-8 dan abad ke-20 (Nazi) (c) Pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin yang sederhana dan cintakan keamanan (misalnya keluarga Gandhi, keluarga Ismail Faruqi dan Hasan al-Banna) (d) Pembunuhan orang Islam dan pemusnahan masjid oleh orang Hindu di Ayudhya, India (e) Peristiwa atau tragedi 13 Mei 1969 dan tragedi di Kampung Medan (f) Peristiwa pembunuhan ke atas umat Islam di Tak Bai, Pattani (g) Peristiwa serangan Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre) pada 11 September 2001 (h) Ethnic cleansing di Bosnia dan lain-lain
1.7.5 Contoh Interaksi Sejarah dalam Konteks Malaysia 1 Interaksi dengan tamadun India (a) Bahasa Percampuran bahasa antara bahasa Sanskrit dengan bahasa Melayu, bahasa Tamil dengan bahasa Melayu seperti perkataan amma, appa, pancaindera, maharaja, mahaguru (Indo–Eropah, pura, kepala, mantra, kaca dan cinta). (b) Kesenian Lahirnya seni taman, seni binaan yang berunsur India seperti Masjid India, semua binaan mempunyai kubah ke atas merujuk kepada Tuhan yang esa. (c) Kesusasteraan Wayang kulit, Hikayat Seri Rama, Pendawa Lima dan sebagainya. (d) Pengaruh dalam sistem pemerintahan • Institusi beraja • Konsep dewaraja • Istana dibina atas tanah tinggi • Pembinaan candi • Upacara pertabalan • Penggunaan bilangan pembesar dan hulubalang 4, 16, 32
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 14
3/23/12 12:10:26 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
15
(e) Penggunaan gelaran seperti: • Duli Yang Maha Mulia • Seri Paduka Baginda • Seri Nara Diraja—bertugas mengisytiharkan pelantikan Raja • Bendahara—sebagai menteri • Laksamana—sebagai ketua tentera 2 Interaksi dengan tamadun China (a) Kebudayaan Budaya Baba−Nyonya. (b) Kesenian Seni bina Cina dalam pembinaan masjid seperti Masjid Tanjung Kling, Masjid Tengkera, seni kaligrafi dan lukisan cat minyak. (c) Kesusasteraan Pertalian bahasa Cina dengan bahasa Melayu seperti tauke, teh, bihun, tauhu, bakmi, mi, cincau, kueh, bepang, taugeh, kanar, kuaci, kucai, angki (pisang kaki), tauhu, kincam, lai, laici, teh, behoon, samsu, apek, loki, nyonya, taukeh, kongsi, cincau, ampau, gua, lu, sengse, samsing, lancau, suwe, toa pekong, tokong, tekong, banci, cuak, loting, pangkin, bangsal, tongkang, jong, sampan, beca, langca, pongkis, sempua, sia, tanglong, tangsi, cawan, tekoh, uncoi dan dacing. (d) China peranakan/Cina kampung seperti Cina peranakan di Kelantan 3 Interaksi dengan tamadun Arab Dari sudut bahasa dan kebudayaan, lahirnya tulisan Jawi, buku-buku sastera Arab seperti Kisah Seribu Satu Malam dan Pahlawan Islam. Dalam bidang pendidikan, kurikulum pendidikan agama dan bahasa Arab di sekolah-sekolah agama; namanama Arab dan nama-nama Nabi dan sahabat digunakan dalam menamakan anakanak yang baru dilahirkan; selain itu, makanan Arab seperti nasi Bukhara, nasi Arab, pakaian Arab seperti jubah, seni bina masjid dan rumah, filem Arab dan lain-lain. 4 Interaksi dengan tamadun peribumi Pertalian antara bahasa orang asli dengan bahasa Melayu dari aspek perubatan tradisional.
1.8
Kesan Positif dan Negatif Pertembungan antara Tamadun
Pertembungan antara tamadun telah memberi impak yang mendalam ke atas bangsa dan umat antara kedua-dua buah negara sama ada aspek positif dan negatif; antara kesan positifnya adalah:
1.8.1 Kesan Positif Pertembungan antara Tamadun 1 Mendapat perlindungan, keamanan dan kestabilan. Contohnya tamadun Islam dengan Yahudi Arab dalam Perlembagaan Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW, Empayar Umaiyah dan Abbasiyah memberi perlindungan, keamanan dan kemakmuran kepada semua rakyatnya tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 15
3/23/12 12:10:26 PM
16
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
2 Interaksi antara tamadun India dengan China telah memungkinkan penyebaran agama Buddha, seni mempertahankan diri, teknologi pengeluaran gula daripada tebu, astronomi dan kesusasteraan India dikembangkan di negara China. Sebaliknya, pengetahuan membuat kertas, bahan letupan dan penggunaan kompas daripada tamadun China dapat dipelajari oleh tamadun India. 3 Sementara itu, interaksi antara pedagang Arab−Parsi dengan negara China telah mengembangkan perdagangan dan ekonomi. Lebih daripada itu, ramai pedagang Arab telah menetap di negara China dan berkahwin dengan wanita tempatan. Pada zaman pemerintahan Dinasti Tang, Sung, Yuan dan Ming, telah muncul beberapa orang tokoh pemimpin Islam dalam pemerintahan negara China. Ini telah memungkinkan penyebaran Islam dengan lebih meluas dan kewujudan komuniti Islam di negara China. 4 Interaksi antara tamadun China dengan tamadun Melayu telah melibatkan kemajuan dalam teknologi dan kebendaan, tetapi tidak mengubah pemikiran beragama. Barangan dan perdagangan seperti gula, sutera, tembikar dan logam datangnya dari tamadun China. Hubungan diplomatik negara China dengan Melayu juga semakin berkembang, khususnya pada zaman Dinasti Yuan dan Ming serta Kesultanan Melayu Melaka. 5 Hubungan tamadun China dengan tamadun Jepun juga telah membawa kesan yang amat positif di mana negara China telah membantu masyarakat Jepun dalam aspek falsafah, agama, kesusasteraan, pertanian dan penggunaan logam.
1.8.2 Kesan Negatif Pertembungan antara Tamadun 1 Penduduk Kristian Eropah telah membunuh orang Yahudi secara beramai-ramai pada abad ke-9, ke-18 dan Perang Dunia Kedua. Ini disebabkan oleh faktor agama, falsafah, ketidakseimbangan ekonomi dan sosial. 2 Pada Zaman Pertengahan di Eropah, telah berlaku Perang Salib antara orang Islam dengan penganut agama Kristian kerana tindakan agresif pemimpin Kristian dan faktor lain termasuk politik, ekonomi dan sosial. 3 Begitu juga dengan kes di India, yang mana penganut Islam dan Hindu sering berperang, tegang serta saling berbunuhan. 4 Hubungan antara tamadun India dengan tamadun China juga bermasalah, yang mana pada peringkat awal perkembangan agama Buddha di negara China, ia mendapat tentangan hebat daripada penganut Confucius. Para sami Buddha telah ditangkap, dipenjarakan dan kuil-kuil Buddha telah dimusnahkan. 5 Hubungan antara tamadun Islam dengan tamadun China juga bermasalah. Contohnya pada tahun 751 M, Panglima Ziyad bin Saleh telah menyerang negara China sedangkan pada masa itu hubungan baik wujud antara Empayar Abbasiyah dengan Dinasti Tang. Masalah cemburu dengan kemakmuran orang Islam di negara China pada zaman Dinasti Han dan masalah perbezaan agama juga menyebabkan berlaku pemberontakan serta penghijrahan orang Islam Cina ke Asia Tenggara. 6 Setiap tamadun dalam sejarah manusia mengalami zaman kemerosotan masingmasing. Menurut pendapat Ibn Khaldun, kemerosotan sesebuah tamadun disebabkan
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 16
3/23/12 12:10:26 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
17
putaran sejarah. Pada awalnya, ia berjaya kerana mengamalkan nilai-nilai murni, tetapi selepas mencapai kejayaan, nilai-nilai tersebut merosot kerana limpahan kemewahan dan penyelewengan. 7 Namun, ada juga sarjana yang berpendapat bahawa sesebuah tamadun merosot bukanlah disebabkan hukum sejarah. Kemerosotan boleh dielakkan sekiranya mereka belajar daripada sejarah dengan mengekalkan nilai-nilai yang baik. Berdasarkan sejarah, sesebuah tamadun merosot disebabkan faktor-faktor berikut: • Wujudnya jurang perbezaan yang ketara antara yang miskin dengan yang kaya. • Berleluasanya penindasan dan kezaliman sehingga hak-hak asasi manusia diketepikan. • Keruntuhan moral dan nilai dalam masyarakat, terutama dalam kalangan pemimpin. • Wujud sikap tertutup dan tidak mahu menerima perubahan, terutama dari segi sains dan teknologi, struktur politik, ekonomi dan sosial. Hal ini kerana sikap tertutup ini menghalang kepada peningkatan daya kreativiti dan seterusnya menyebabkan masyarakat tersebut hidup dalam kemunduran. Misalnya, tamadun Islam Uthmaniyah runtuh kerana sikap tertutup mereka yang tidak mahu menerima perubahan teknologi dan sosial. • Berlakunya malapetaka atau bencana alam yang menyebabkan kerosakan besarbesaran. Walau bagaimanapun, faktor ini di luar kemampuan manusia untuk menghalangnya daripada terjadi. • Ketidakstabilan politik juga dianggap sebagai kelemahan yang membawa kepada kemerosotan dan keruntuhan sesebuah tamadun. Contohnya, Tamadun Mesopotamia yang tidak mempunyai sistem pertahanan semula jadi seperti Mesir, begitu juga empayar Melaka yang runtuh akibat ketamakan kuasa, tidak bersatu dan serangan Portugis pada tahun 1511 M.
1.9
Persamaan dan Perbezaan antara Tamadun
1 Disebabkan tamadun-tamadun yang pernah lahir di dunia mempunyai latar belakang yang tersendiri, maka terdapat begitu banyak persamaan dan perbezaan antara sesebuah tamadun. 2 Ciri-ciri perbezaan dan persamaan antara tamadun boleh dilihat, terutamanya dalam konteks teologi dan etika. Contohnya, persoalan teologi berhubung dengan konsep monoteisme Islam begitu berbeza daripada metafizik Buddhisme yang tidak menerima konsep Tuhan Pencipta (Creator God). Hinduisme pula sebaliknya, menerima konsep Tuhan walaupun manifestasi monoteismenya berbeza daripada Islam, Kristian dan Yahudi. Islam, Kristian dan Yahudi dilihat secara umum merupakan agama-agama monoteistik, tetapi kepercayaan monoteisme mereka berbeza antara satu sama lain. 3 Persoalan-persoalan teologi, sering dilihat menimbulkan percanggahan pendapat. Percanggahan pendapat yang dimaksudkan tidak semestinya berlaku antara satu tamadun dengan satu tamadun yang lain, tetapi boleh juga berlaku dalam sesebuah tamadun, malah dalam sesebuah agama itu sendiri. Sekiranya dibandingkan dengan
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 17
3/23/12 12:10:26 PM
18
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
persoalan teologi, persoalan etika sebenarnya kurang menimbulkan kontroversi. Hakikat ini dapat menjelaskan bahawa dialog tamadun atau peradaban boleh berlangsung dalam keharmonian sekiranya fokus lebih ditumpukan kepada persoalan etika. Dalam konteks melihat perbezaan dan persamaan antara tamadun, tujuh persoalan etika berikut dikemukakan: Jadual 1.1 Persamaan dan Perbezaan Tamadun Etika
Persamaan
Perbezaan
Alam Sekitar
• Hidup secara harmoni dengan alam sekitar merupakan satu prinsip yang diterima oleh semua agama. • Alam sekitar ialah anugerah Tuhan; manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah yang berperanan sebagai pentadbir alam sekitar.
• Dalam beberapa tamadun tertentu, memelihara alam sekitar diberi pentafsiran pasif sehingga alam sekitar itu disembah dan dilihat sebagai Kuasa Dewa (Divine Power).
Keluarga
• Keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat begitu dihayati oleh tamadun tradisional. • Wujud hierarki kuasa yang menentukan kedudukan kaum lelaki dan perempuan; amalan ini menjadi warisan turun-temurun.
• Pengabaian terhadap nilai perhubungan kekeluargaan masyarakat Barat moden merupakan penafian hak seseorang dan bertentangan dengan keadilan. • Konsep kekeluargaan dalam pengajaran Islam pula begitu mementingkan kasih sayang dan hormat-menghormati.
Komuniti
• Komuniti sangat berpengaruh dalam menentukan personaliti dan identiti seseorang manusia. • Komuniti juga dapat memastikan bahawa nilai-nilai dan norma-norma murni dalam masyarakat sentiasa dihormati.
• Dalam sejarah ketamadunan manusia, dapat diperhatikan bagaimana identiti seseorang dan kemantapan komuniti mencapai keseimbangan dalam beberapa tradisi tertentu seperti Islam dan Buddhisme.
Kerajaan
• Menekankan persoalan akhlak dan moral sebagai dasar sesebuah kerajaan. • Sifat raja adil dan saksama merupakan tema utama tamaduntamadun.
• Kesetiaan yang diberikan oleh rakyat tetap berpandukan nilai-nilai moral. Sekiranya seseorang raja melanggar lunas-lunas keadilan, maka ketika itu rakyat boleh menyanggah dengan tujuan untuk membetulkannya.
Kegiatan ekonomi
• Dalam tamadun tradisional, kegiatan ekonomi berlaku dalam konteks “Moral Semesta” (Moral Universe). Oleh sebab itu, wujud
• Dalam ajaran Islam, prinsip yang berkaitan dengan halal dan haram mempunyai hubungan yang rapat dengan persoalan akhlak. Hakikat
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 18
3/23/12 12:10:26 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
Etika
Persamaan konsep hak-hak kehidupan dalam ajaran Buddhisme sebagaimana yang termaktub dalam salah satu daripada Jalan Lapan Lapis (eight fold path).
19
Perbezaan ini menjelaskan bahawa wujud kegiatan ekonomi yang boleh mempertingkatkan tahap moral manusia.
Pendidikan
• Matlamat paling utama pendidikan dalam tamadun tradisional ialah pembinaan sifat-sifat seseorang (character-building). • Manusia tidak digalakkan mengusai persekitaran luaran tanpa perubahan dalaman.
• Dalam ajaran Islam, persoalan Tauhid memainkan peranan penting bagi transformasi manusia, tetapi dalam ajaran Buddha dan beberapa aliran ajaran Hindu, transformasi sifat dapat dicapai melalui proses mencari diri sendiri.
Kesihatan
• Mengetahui persoalan konsep kesihatan dalam tamadun tradisional tidak boleh dipisahkan daripada pandangan semesta sesebuah agama. Faktor penting konsep kesihatan tamadun tradisional ialah pandangan dan pendekatan holistiknya. Holistik di sini bermakna suatu pandangan yang mengakui bahawa kesihatan seseorang dipengaruhi oleh alam sekitarnya yang lebih luas dan lebih menyeluruh.
• Konsep holistik berdasarkan idea bahawa segala-galanya yang wujud saling berhubungan. Kesan besar daripada konsep holistik bagi rawatan penyakit begitu mendalam. Mengubati penyakit bermakna memulihkan keseimbangan seseorang dan melalui proses ini dapat dipulihkan keharmonian dalam tubuh badan pesakit dan seterusnya keseimbangan dalam kehidupannya.
Rumusan 1 Berdasarkan pemerhatian terhadap kehidupan bertamadun, jelaslah bahawa teras kepada konsep-konsep kehidupan dan pencapaian matlamat hidup dalam tamadun tradisional mempunyai beberapa ciri persamaan. 2 Namun begitu, dalam persoalan-persoalan tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan teologi, wujud beberapa perbezaan yang harus kita fahami. Memahami persamaan dan perbezaan antara satu tamadun dengan tamadun yang lain seharusnya mendorong kita untuk lebih bersikap toleransi ke arah mewujudkan keharmonian sejagat. 3 Kesimpulannya, mengetahui persoalan-persoalan dasar berkaitan dengan ilmu ketamadunan membuka ruang kepada seluruh manusia untuk berinteraksi secara positif ke arah kehidupan yang lebih saksama.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 19
3/23/12 12:10:26 PM
20
TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA 2E
Rujukan Al-Attas, S.M. Naquib (1996), Masyarakat Madani Malaysia: Satu Gagasan, Konvensyen Masyarakat Madani, September 19−21, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Azhar Mad Aros et al. (2002), Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Kertas 1, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Esposito, J.L. (1995), The Oxford Encylopaedia of the Modern Islamic World, Vol. IE, Oxford: University Press. Osman Bakar et al. (2009), Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Ibn Khaldun (terjemahan) (1955), Mukadimah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Said Ramadhan al-Buti (1982), Manhaj al-Hadharah al-Insaniyyah fi al-Qur’an, Damsyik: Dar al-Fikr. Tamadun Islam dan Tamadun Asia (2001), Siri Teks Pengajian Tinggi, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya (UM). The New Encyclopaedia Britannica (1998), Vol. XVI, Chicago. Wing Tsit Chan et al. (1969), The Great Asian Religions, an Anthology, New York: Macmillan New York, Amerika Syarikat.
Glosari Budaya—tamadun, peradaban dan cara berkelakuan. Hadharah—sebuah wilayah, daerah atau ibu kota atau bandar atau kampung dan kawasan tanah yang ditanami. Interaksi—tindakan atau perhubungan aktif antara satu sama lain. Kebudayaan—keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan segala hasil kegiatan serta penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat. Nisbi—bergantung pada bandingan dengan yang lain, tidak mutlak atau relatif. Peradaban—berasal daripada perkataan ‘adab’ yang merujuk kepada tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan). Tamadun—kebudayaan, kemajuan atau peradaban. Teologi—ilmu berkaitan ketuhanan. ‘Umran—bermaksud membangun dan memakmurkan bandar.
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 20
3/23/12 12:10:26 PM
PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
21
Soalan Perbincangan Bincangkan soalan di bawah ini secara berkumpulan. 1 Bincangkan dua faktor kelahiran tamadun dan kepentingannya dalam memantapkan sesebuah tamadun? 2 Huraikan dua faktor keruntuhan sesebuah tamadun dan jelaskan bagaimana faktor tersebut boleh diatasi? 3 Bincangkan tiga faktor kejatuhan tamadun menurut perspektif Islam?
© Oxford Fajar Sdn. Bhd. (008974-T) 2012
01Bab 1_1-21_F.indd 21
3/23/12 12:10:26 PM